Bagaimana kita ingin segera menguasai apa yang dipelajari? Bagaimana kita ingin pastikan yang kita faham dengan apa yang kita pelajari? Persoalan yang kerap bermain dalam pemikiran orang yang sedang belajar tambahan apabila pembelajaran itu berfokus kepada peperiksaan. Persoalan ini punya jawapan namun seperti keadaan yang lainnya, ia memerlukan sedikit usaha bagi memastikan kita melakukannya dengan cara yang betul dan terbaik.
Antara cadangan yang boleh kita usahakan untuk anak-anak kita cuba adalah dengan belajar melalui mengajar orang lain. Secara umumnya, untuk mengajar, mereka perlulah melakukan persiapan dengan apa yang ingin diajarkan. Pertama, mereka yang akan mengajar sendiri perlu memahami bahan yang akan diajarkan. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan usaha pembacaan mereka kerana tanggungjawab orang yang mengajar ialah untuk memastikan apa yang diajarkan dapat disampaikan dengan cara yang termudah dan terbaik. Maka, tidak cukup sekadar memahaminya, bahkan mereka perlu menguasainya dengan sebaik mungkin ditambah dengan pelbagai contoh yang akan memudahkan penerangan mereka. Apabila proses menerangkan bahan-bahan ini kepada rakan-rakan mereka berlaku, komunikasi yang aktif antara yang mengajar dan yang diajar akan menggalakkan cara berfikir mereka yang mengajar untuk memudahkan apa yang disampaikan. Kreativiti turut bertambah melalui kepelbagaian contoh yang mungkin terlintas di dalam fikiran semasa membentang serta ketika menjawab soalan rakan-rakan mereka. Oleh yang demikian, untuk lebih baik lagi, orang yang mengajar seharusnya menambah maklumat dengan cara menambah bahan bacaan dan bukan sekadar bergantung kepada satu atau dua buku rujukan sedia ada.
Usaha memberi ilmu kepada orang lain akan membantu menambah faham buat diri kita sendiri. Namun tidak dinafikan, ada sebahagian anak-anak kita yang hilang keyakinan atau berasa ragu-ragu untuk melakukannya. Saat inilah, sokongan dan dokongan rakan-rakan amat membantu. Maka, proses mengajar dalam belajar akan berlaku di mana, orang yang membentang secara terbuka juga boleh menerima pandangan dan sedia untuk dibetulkan tanpa malu. Belajar dalam kumpulan menjadikan proses ini lebih selesa kerana mereka saling mengenali antara satu sama lain. Pandangan rakan-rakan yang mendengar akan menambah faham yang mengajar sekaligus turut membantu rakan lain untuk memahaminya. Orang yang mengajar juga amat digalakkan menyediakan nota rujukan bagi memastikan pengajaran berjalan lancar mengikut susun atur yang sesuai kepada keperluan kefahaman. Nota adalah sebagai bahan rujuk atau petunjuk kepada orang yang mengajar supaya semua yang diajarkan sampai dan tidak ada yang ketinggalan.
Pesanan buat rakan-rakan juga dalam sesebuah kumpulan belajar, seharusnya saling lengkap melangkapi, usah merendah-rendahkan atau menilai apa yang dibentangkan dengan banding membanding antara satu dengan yang lain. Kekalkan kebersamaan melalui penerimaan keunikan antara satu dengan yang lain. Sebarang kelemahan ditutupi dengan cara yang terbaik. Apabila pembentangan dari orang yang mengajar bermula, tumpukan perhatian, sediakan soalan serta berikan pandangan yang membina bukan menjatuhkan. Inilah antara kekuatan SMART Study Group yang cuba kami ketengahkan dan diamalkan oleh anak-anak atau pelajar-pelajar. Ia tidak sekali-kali menggantikan peranan guru, tetapi secara psikologi, mereka akan lebig gembira belajar bersama dengan keadaan yang lebih santai dan bersahaja. Secara tidak langsung, kita akan menggalakkan anak-anak kita untuk berkongsi ilmu yang mereka ada dan mereka juga dapat menguji sejauhmana mereka memahami sesuatu subjek itu berdasarkan kefahaman yang diperolehi oleh rakan-rakan mereka. Begitulah caranya yang dapat kita mengajar dalam belajar dan belajar dalam mengajar.
Comments