Bagaimana ingin menjadi remaja yang teratur? Manusia yang teratur adalah mereka yang pada asasnya mempunyai misi yang jelas mengenai masa yang ada pada mereka. Kita lihat sahaja mereka yang telah dijatuhkan hukuman untuk ke tali gantung, bagaimana mereka menghabiskan masa mereka? Adakah kita menyangka mereka akan berharap segala kekayaan yang ada akan kekal bersamanya? Adakah mereka akan menyalahkan orang lain jika berlaku apa-apa kepadanya. Pada saat itu, mereka akan menjadi insan yang pemaaf, penyabar dan amat tenang sekali. Mereka tahu, itu semua adalah persiapan yang perlu dibuat untuk berada aman di sana. Bagaimana pula dengan mereka yang membeli tiket bas apatah lagi kapal terbang. Mereka akan sanggup sampai awal di terminal, merancang waktu perjalanan, elakkan kesesakan hanya untuk memastikan mereka sampai tepat pada masanya bahkan ramai juga yang sanggup datang awal.Maka, apabila seorang remaja memiliki jelas apa yang mereka ingin miliki, lakukan atau capai di dalam kehidupan mereka, maka mereka secara langsung akan mengatur kehidupan mereka untuk mencapai apa yang mereka harapkan. Oleh kerana itulah, pemikiran remaja harus ditanamkan dengan pelbagai harapan dan misi yang besar bukan hanya perkara-perkara kecil yang akhirnya menjadikan mereka insan yang hanya mementingkan diri sendiri. "Yang penting aku ok, orang lain, lantaklah". Pemikiran begini harus kita atasi dan diubah di dalam minda remaja. Mereka perlu disedarkan mengenai peranan mereka yang besar untuk mengepalai masyarakat pada suatu hari nanti. Mereka tidak boleh merasakan bahawa harapan mereka hanya tergantung kepada cita-cita ibu ayahnya, tergantung kepada jenis bidang pelajarannya atau tergantung pada tempat belajar mereka. Sebaliknya mereka harus bergantung kepada impian dan disiplin diri. Mereka perlu melakukan eksplorasi dalam pelbagai perkara untuk berkembang. Mereka harus ada kemahuan untuk belajar dan di ajar kerana pada usia remaja, mereka bukan hanya penerima bahkan adalah pemberi yang bukan pada harta tetapi, masa, keringat dan pengetahuan mereka. Kuat berusaha untuk memperbaiki diri dan tidak hanya bergantung kepada nasib semata-mata.
Remaja harus sedar mengenai masa yang sifatnya dipinjamkan. Ia akan diambil semula dan persiapan untuk itu perlu ada. Masa adalah kehidupan dan kehidupan itu sangat singkat. Sekiranya pilihan mereka untuk bersuka ria, maka pembaziran besar-besaran akan berlaku kerana mereka tidak akan tahu menilai harga sebuah kehidupan itu dengan berpesta sana sini. Nilai kehidupan terserlah apabila berhadapan dengan pelbagai konflik dan kesukaran untuk meneruskan apa yang kita hajatkan. Kehidupan adalah cabaran dan rintangan yang tidak akan pernah luput sehinggalah kematian menjengah.Sabda Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam di dalam sebuah hadis yang bermaksud, daripada Abu Ya'la Syaddad bin Aus r.a. daripada Nabi sallallahu'alaihiwasallam, baginda bersabda: "Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya)."
Remaja yang teratur akan tahu apa itu perkara penting dan segera, akan kenal perkara segera tetapi tidak penting, perkara penting tetapi tidak segera serta mereka akan kenal perkara-perkara yang tidak penting dan tidak segera yang mana ini yang paling banyak menghabiskan usia kebanyakan remaja hari ini. Remaja yang teratur juga akan mampu menilai antara kaca dan permata di dalam persahabatan kerana mereka mempunyai ramai penasihat-penasihat yang bersedia memberikan bimbingan kepada mereka kerana kerapnya masa mereka dihabiskan untuk bersama orang-orang yang dapat memberikan manfaat terbanyak buat mereka. Semua sikap ini juga amat bergantung bagaimana ibu bapa mereka berperanan dalam memberikan kesan yang positif itu. Harapan utama terletak atas bahu ibu bapa kemudian para guru hang seharusnya turut menjadi pendorong kepada diri mereka.
Pemilihan kawan yang sesuai, yang benar-benar ikhlas adalah cabaran sebenar kehidupan remaja. Sekiranya mereka tidak mendapat nasihat dan bimbingan yang betul dari orang dewasa mereka, maka amat mudah mereka akan terjebak dengan pelbagai perkara yang negatif disebabkan pengaruh dari kanawan-kawannya. Fokus remaja adalah untuk memastikan diri mereka adalah yang terbaik untuk ibu bapa mereka, guru-guru, kawan-kawan serta masyarakat yang ada disekitar mereka. Jika mereka berjaya untuk menjadikan diri mereka sebagaimana yang kita bayangkan, berjasa kepada ibu bapa, membanggakan guru di sekolah serta hidup harmoni dan positif di dalam masyarakat, nescaya kita akan mampu melihat remaja yang pasti akan teratur dalam kehidupannya.
Comments