Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

SIAPA ANAK MUDA?

Mereka ini harapan kita semua. Harapan untuk menggantikan siapa orang dewasa mereka hari ini. Harapan untuk mengemudi segala ikhtiar yang dijalankan terhadap keperluan-keperluan kehidupan yang sentiasa berubah-ubah. Tambahan apabila kita melalui zaman yang amat luas, dunia tanpa sempadan, dunia yang perlu dikuasai dengan keupayaan yang tinggi berdasarkan keperluannya. Anak mudalah yang memiliki kemampuan khusus mendepani zaman mereka ini. Hari ini, anak muda ini mungkin masih berada dibangku-bangku sekolah lagi. Anak-anak yang dinilai sebagai 'budak' yang hanya tahu berusaha untuk mencari kepuasan diri dan amat rendah dari sudut kesedaran emosi mereka. Anak muda sering dinilai sebagai 'tidak tahu' dek kerana sedikitnya usia mereka berbanding orang dewasa. Mana tidaknya, orang dewasa lebih banyak makan garam, maka pengalaman mereka sudah tentu jauh jika hendak dibandingkan dengan anak muda. Anak muda juga disinonimkan dengan setahun jagung atau menggunakan istilah anak muda sekarang 'BBNU', 'budak baru nak up'.

Anak muda juga terkenal dengan sikap tidak sabar mereka. Berbuat tanpa berfikir panjang dan selalunya dilihat seperti tiada kematangan. Orang dewasa sering meletakkan keraguan sebelum diberikan peluang. Sukar untuk dipercayai dan amat sukar sekali untuk menghasilkan sesuatu yang benar-benar membanggakan. Anak muda gemar untuk mencuba perkara-perkara baharu. Mahu diri mereka sentiasa berbeza dan dipandang oleh orang lain. Mereka juga cenderung untuk mengikut budaya-budaya baharu yang pada pandangan mereka 'cool' tetapi tentu sekali tidak pada pandangan orang dewasa. Anak muda akan membiarkan diri mereka meneroka dan mencuba. Ingin rasakan pengalaman baharu bahkan berbeza dari orang lain. Mereka sepertinya amat bebas, tiada halangan dalam pemikiran kadangkala tindakan juga. Kebebasan ini membawa mereka kepada satu dimensi pemikiran bahawa 'orang lain tidak tahu apa yang aku rasa' sehingga menyebabkan mereka tidak dapat mendengar apatah lagi menerima nasihat. Dimensi yang memaksa mereka hidup selesa dengan apa yang mereka rasa sahaja walaupun hakikatnya mereka tahu itu salah.

Kaca mata orang dewasa amat berbeza dari kaca mata anak muda. Muda itu umpama satu tiket untuk mereka melakukan pelbagai perkara tidak kira sama ada baik atau buruk. Anak mudalah yang selalu dimasukkan dalam kategori berisiko. Ada juga dikalangan orang dewasa yang seolah-olah membenarkan sahaja keadaan ini. 'Biasalah, anak muda,' 'Biarlah dia buat silap, orang muda memang selalu buat silap'. Adakah benar begitu? Mereka buat silap kerana mereka muda atau orang dewasanya yang meninggalkan tanggungjawab membimbing dan mendidik anak muda mereka? Atau adakah perlu kita benarkan sedikit kesilapan sebagai pengajaran? Anak muda takut untuk mencuba dan takut untuk buat salah. Sebab itu mereka lebih selesa untuk ikut apa yang dilakukan orang lain, dan apabila bersalah, mudah untuk mereka menuding jari kepada orang yang memulakan. Sikap ini, juga terdapat pada orang dewasa yang pada waktu mereka sebagai anak muda, mendapat didikan yang sama. Seharusnya kita ambil iktibar dari kesilapan anak muda dahulu yang menjadi orang dewasa hari ini.

Jika kita bersama merungkai sirah ketamadunan Islam, anak muda tidak dibiarkan bersendirian oleh orang dewasa mereka. Banyak nama yang boleh disenaraikan, tetapi biarlah itu dibincangkan kemudian. Mereka diberikan peranan, kepercayaan bersama nasihat-nasihat yang mampu membangunkan jiwa-jiwa mereka. Seawal usia muda mereka, telah diingatkan tentang amanah kemanusiaan serta kewujudan Tuhan yang wajib menjadi sembahan. Hari ini kita melihat, layanan kepada anak muda ini sudah mula lari dari landasan bahkan sebahagiannya songsang dari fitrah kehidupan. Kenangkan sahaja bagaimana anak-anak muda diingatkan untuk belajar sungguh-sungguh agar nanti dapat kerja elok dan hidup jadi senang. Sebahagian dari kita juga mungkin pernah dipesan supaya belajar pandai-pandai, peperiksaan biar A, nanti dapat masuk universiti, senang dapat kerja. Pemikiran sebegini akhirnya menterjemahkan bentuk pendidikan bertaraf bermula dari yang taraf tinggi atau kelas depan, kelas tengah, pelajar biasa-biasa sahaja dan kelas hujung.

Maka, secara tidak langsung, anak muda ini telah belajar hidup dengan perbezaan darjat. Anak muda telah hilang nilai diri sehingga mereka gagal berperanan walaupun untuk kelompok mereka sendiri. Maka, siapakah anak muda kita hari ini? Anak muda bagaimanakah yang ingin kita lahirkan yang akan menjadi orang dewasa akan datang? Mampukan anak muda kita hari ini menjadi orang dewasa yang memenangkan Islam? Oleh sebab itu, fokus perbincangan catatan ini adalah untuk mengembalikan semangat insan yang bernama anak muda ini dengan memusatkan mereka semula kepada peranan penting yang asas. Mereka sepatutnya tidak dikecualikan dari memainkan peranan menjadi ejen-ejen perubahan yang berkesan dalam masyarakat atau mudahnya dikenali sebagai ejen dakwah. Catatan ini ingin mengajak anak-anak muda yang punyai anasir baik dalam dirinya agar menonjolkan diri dengan segala bentuk keberanian demi untuk melihat dunia mereka lebih baik dari sebelumnya. Sejarah telah membuktikan, sifat fitrah anak muda bersama dengan dorongan orang dewasa yang baik akan menghasilkan suatu kesan yang amat positif bahkan berimpak tinggi buat ummat. Maka, keberanian orang dewasa pula sudah tentu adalah untuk memberikan kepercayaan kepada anak muda melakukan apa yang terbaik.

Orang dewasa perlu disedarkan, bahawa, pada umur anak muda ini 8 hingga 12 tahun, merupakan waktu penting pendidikan adab, tata susila serta akhlak. Tunjang penting untuk dakwah anak muda ini adalah akhlaknya sebagaimana yang dicontohkan oleh Baginda Rasul sallallahu'alaihiwasallam. Ketika umur mereka menginjak ke 12 hingga 15 tahun, perlulah diteruskan pendidikan adab dan pada masa yang sama, dimulai dengan menanamkan semangat serta nilai keilmuan dalam diri mereka. Cintakan majlis ilmu, rajin membaca dan menelaah, serta terlibat dalam perbincangan yang membina pemikiran mereka. Proses yang sangat penting kerana, pada usia mereka 15 hingga 17, disamping pendidikan adab serta semangat keilmuan, mereka seharusnya telah mula diperkenalkan dengan semangat menyumbang, nilai keprihatinan serta jiwa besar untuk ummat. Mustahil seseorang insan itu dapat melakukannya tanpa nilai keilmuan yang hendak dipraktikkan bahkan akan menjadi terlalu buruk jika ianya dipraktikkan tanpa ada ilmu bersamanya. Kita mengharapkan, apabila usia mereka melangkaui umur 18 tahun, jiwa mereka cukup besar dan bersedia untuk berterusan menyumbang, memberikan idea-idea bernas untuk kebaikan masyarakat khususnya dipersekitaran mereka sendiri.

Itulah gambaran anak muda yang kita dambakan yakni orang dewasanya. Nilaikanlah sendiri, bagaimana anda sebagai anak muda? Adakah anda telah bersedia untuk menjadi dewasa dengan jiwa yang besar? Atau anda hanya seperti anak muda lain yang pada umur belasan tahun mereka masih mencari identiti serta banyak menghabiskan masa hanya dengan liburan semata-mata? Anak muda harus punya penasihat yang baik dari kalangan orang dewasa yang hampir dengan mereka supaya anak muda ini mendapat peluang untuk membuktikan bahawa mereka boleh dipercayai dan mampu memikul amanah dengan baik. Anak muda harus sedar peranan mereka sebagai hamba dan khalifah dan sekaligus tahu bagaimana untuk berfungsi hampir dengan masyarakat mereka. Kita tidak boleh lagi melakukan kesilapan dalam membina anak muda kita jika kita ingin melihat kemenangan Islam itu. Anak muda dahulu telah melalui pengalaman, yang pastinya mereka tidak mahu ia berlaku lagi kepada anak muda hari ini.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...