Impian ayah ibu adalah pengaruh terbesar dalam menentukan cita-cita si anak. Kita bersama sudah sedia ketahui, impian itu lima puluh lima puluh. Maka kekalkan ia sebegitu. Usah izinkan pecahan itu berubah pergi kepada kurang peratus kita dan lebihnya peratus tidak berjaya. Sebab itu, kita harus semat dalam hati kita, dalam tempoh anak-anak itu membesar, ia adalah proses pembelajaran buat mereka. Mereka seharusnya mendapat bimbingan dan dorongan yang betul. Untuk melahirkan impian ayah itbu, impian itu perlu ditanamkan dalam pemikiran mereka sejak bayi lagi. Impian tidak hadir hanya dengan mengungkapkan tetapi apa yang amat penting adalah kerja buat ke arahnya. Sekiranya ayah ibu menanamkan sesuatu impian ke dalam jiwa anak-anak, mereka menilai bagaimana usaha ayah ibu untuk memastikan impian tiu tercapai? Mereka menilai dalam diam dan pengakhirannya, itulah yang mendiami dalam hati mereka, tatacara pendidikan emosi yang dicontohkan oleh ibu ayah mereka sendiri. Putus asa atau marah-marah dan mungkin berhenti hanya kerana penat. Ayah ibu pasti ingin melihat anak berusaha bukan sahaja cemerlang, yang penting usahanya. Ayah ibu ingin melihat anak-anak mereka bersungguh-sungguh belajar, jika keputusan tidak memihak kepada anaknya, adalah memadai melihat anak mereka berusaha berbanding tidak berbuat apa-apa.
Kelahiran anak pada permulaannya membawa kita untuk menjadikan anak itu seseorang kerap kali terhenti apabila kita seolah-olah kecewa mereka tisak seperti yang kita harapkan. Marilah kita bermuhasabah, beristighfarlah. Apa yang ada depan mata kita itu (anak kita) adalah petunjuk kepada apa yang kita usahakan sehingga pada saat dan masa itu. Kegagalan anak-anak pada masa itu, anggaplah ia adalah kegagalan kita sebagai ayah dan ibunya. Begitu juga jika berlaku sebaliknya. Kita ibu ayah adalah guru pertama mereka, bukan belajar tulis baca, bahkan lebih penting kerana mereka belajar sikap dari kita. Sikap yang ramai orang kata, itulah sebenarnya penentu kejayaan manusia. Ada sebahagian kita berasa tidak selesa apabila apa yang mereka impikan tidak ada pada anak-anak mereka? Soalan yang patut ditanya, apa impian kita sebenarnya? Bagaimana impian yang perlu ibu bapa letakkan dan adakah ia mesti selari dengan cita-cita anak-anak? Semua kekecewaan, rasa penat dalam mendidik anak-anak, sifat pemarah luar biasa, menengking atau apa sahaja yang negatif melampau pada ibu bapa adalah atas dasar kesilapan meletakkan impian itu. Pasti kita bersama akan ketawa jika impian ayah ibu itu untuk melihat anak pandai dan dapat kerja tetap, boleh masuk universiti, nanti kemudian hari boleh beli rumah, hidup senang dan pelbagai lagi impian-impian yang sebenarnya adalah impian kecil yang tidak memberi makna kepada nyawa yang dipinjamkan Allah s.w.t. untuk anak-anak kita. Adakah ini impian kita pada anak-anak? Jika mereka gagal untuk dapatkannya, adakah maknanya kita gagal? Atau mereka yang gagal?
Jom kita muhasabah semula sebab kejadian manusia dan apa yang Allah s.w.t. ceritakan tentang anak-anak kita di dalam Al-Quran. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Az-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud;
"Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia untuk mereka mengabdikan diri (terhadap-Ku)"
Sudah kita tundukkan hati kita untuk menilai bahawa kewujudan anak kita juga adalah untuk menjadikan kita mengabdikan diri untuk Nya? Firman Allah s.w.t. dalam satu ayat yang lain dari surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud;
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
Kesimpulannya, impian ayah ibu kadang kala perlu disusunkan semula, dinilai dan diperhatikan sama ada ia menepati atau sebenarnya kita terlalu cintakan dunia dan takutkan mati. Oleh kerana itu, pastikanlah impian kita jauh lebih besar menepati peranan kemanusiaan bukan hanya memenuhi kehendak kehidupan yang fana ini. Tidaklah pula ini bermakna tidak boleh berimpian akan dunia, tetapi usahlah berlebihan sehingga mencacatkan kelahiran mereka untuk 'menjadi orang' seperti catatan Pendeta Za'ba. Renungilah peringatan Allah s.w.t. di dalam surah Al-Anfal ayat 28 yang bermaksud;
"Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar."

Comments