Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

DAHULUKAN BELAJAR ILMU YANG FARDHU AIN


Menurut Imam Al-Ghazali di dalam Injil Nabi Isa a.s. ada disebutkan, "Mulai seorang mayat diletakkan di atas keranda sampai mayat itu diletakkan di tepi kubur, Allah s.w.t. telah bertanya kepadanya empat puluh soalan. Yang pertama sekali ialah, 'Wahai hambaKu! Kenapa engkau sentiasa sepanjang tahun memperhatikan kebersihan tempat pandangan manusia kepadamu (iaitu anggota badanmu) tetapi engkau tidak peduli kepada tempat pandanganKu (hati engkau) walaupun hanya satu saat.'"

Tidak dapat kita nafikan bagaimana obses insan hari ini terhadap cantik dan segak diri mereka sehingga mereka melupakan yang utama akan ditanya Allah s.w.t. ketika akhirat kelak. Tubuh badan atau fizikal kita, sekiranya sakit atau sihat, penamatnya hanyalah sehingga ditanamkan di liang lahad, namun sihat atau sakit hati kita itulah yang akan menentukan bagaimana balasan yang akan kita terima ketika dihisab dihadapan Allah s.w.t.. Hati inilah yang akan menjadi timbangan penentu amal sepanjang kehidupan yang sementara ini. Hati milik Allah s.w.t. yang tidak akan pernah siapapun ketahui apakah isi dalamnya. Oleh sebab itulah, keutamaan ilmu-ilmu fardhu ain adalah untuk mendidik hati untuk sentiasa taat kepada Allah s.w.t.. Ia seharusnya mendekatkan kita dengan yang Maha Mencipta kerana ilmu fardhu ain ialah ilmu-ilmu tentang kebenaran. Ia merupakan objektif untuk pedoman manusia dan merupakan ilmu abadi yang menjadi inti dasar kepada ajaran Islam sebagai contoh ilmu mengenai akidah, syariat dan akhlak dan lain-lain yang berkaitan dengan selok belok agama Islam.

Sebab itulah ia amat dititikberatkan dalam kehidupan seorang Muslim. Tanpa menginsafi dan mempelajari ilmu fardhu ain, hati manusia itu akan menjadi keras kerana kurangnya mengingati serta bermuhasabah kepada Allah s.w.t.. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 74 yang bermaksud;

“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedangkan Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.”

Bagaimana hati yang keras bahkan lebih keras dari batu? Jika batuan boleh berlekuk disebabkan titisan air, dari batuan boleh memancut air mata air, tetapi hati manusia yang keras tidak akan dapat ditembusi oleh apapun melainkan hidayah dari Allah s.w.t.. Hati adalah tempat yang lembut dan sering disebutkan sebagai 'soft spot' bagi manusia. Maka, sifat-sifat kelembutan ini cenderung kepada rahmah dan kasih sayang. Oleh yang demikian, hati kita ini perlu disuburkan dengan berzikir kepada Allah s.w.t. sepertimana yang disyariatkan dalam rukun Islam kita sendiri serta pelbagai lagi ibadah khusus yang pada dasarnya menjadi ilmu fardhu ain buat manusia.

Telah Allah s.w.t. tegaskan bahawa terdapat beberapa ciri hati-hati yang lembut seperti firman Nya di dalam surah Az-Zumar ayat 23 yang bermaksud;

“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik iaitu al-Quran yang serupa (nilai ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka pada waktu mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjukkan siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.”

Begitu juga di dalam hadis Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam yang begitu banyak di dengari sebagaimana sabdanya yang bermaksud, “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya, tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotorlah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan itu ialah hati”.

Syeikh an-Nasafi menurut tafsirannya (Madarik at-Tanzil) dalam menerangkan ayat ini berkata: “Bahawa ia merupakan penerangan betapa kerasnya hati mereka berbanding batu. Kerana batu yang pejal tersebut boleh mengeluarkan air yang banyak, sedangkan hati akan menjadi gersang dan kering. Di samping itu, sebahagian batu gugur dari puncak gunung semata-mata kerana berasa takut dan gerun kepada Allah. Ia sentiasa mengikut fitrah Allah, sedangkan hati tidak tunduk dan patuh kepada segala yang diperintahkan. Dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; ada yang jatuh dari gunung-ganang kerana takut kepada Allah, sedangkan kamu wahai Yahudi tidak memberi kesan dan tidak takut kepada Allah.”

Sayid Qutub berkata, "Apabila hati mereka dibandingkan dengan batu, tiba-tiba hati mereka lebih kering dan lebih keras lagi daripada batu. (Batu yang dibandingkan dalam ayat ini) ialah batu yang pernah diketahui mereka sebelum ini kerana mereka telah melihat batu yang mengalirkan dua belas mata air, dan mereka juga melihat batu-batu bukit bergegar apabila Allah ber-tajalli di bukit itu dan Musa AS rebah pengsan, tetapi hati mereka tidak juga lembut dan tidak juga melahirkan degup takut dan takwa. Hati mereka terus keras, pejal, kering dan kafir. Oleh sebab itulah (al-Quran menyebut) ancaman ini kepada mereka."

Secara kesimpulannya, mendahulukan mempelajari ilmu fardhu ain amat terkait dengan pengurusan hati manusia yang perlukan bimbingan dari Allah s.w.t.. Mana mungkin kita berupaya untuk melestarikan kehidupan mengikut kehendak Nya jika hati ini terjauh dari DIA yang Maha Menciptakan. Kita perlu berusaha mengelakkan diri kita dari melakukan keburukan yang boleh mendatangkan titik hitam di dalam hati yang akhirnya menjauhkan kita dari cahaya Allah s.w.t. itu sendiri. Usahlah kita membuang masa atau terlalu fokus kepada perkara-perkara cabang yang lain, perbaikilah kita pada amalan fardhu ain kita. Ini bukanlah bermakna menafikan keperluan mempelajari ilmu lain, bahkan belajar itu sendiri adalah fardhu ain, namun, letakkanlah hasrat kita biar ilmu fardhu ain itu sempurna dan dapat dicontohkan kepada orang lain juga.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam, baginda bersabda, "Sesungguhnya seorang hamba, ketika berbuat dosa, ada titik hitam di hatinya. Ketika dia meninggalkan dosanya, memohon ampun, dan bertaubat, hatinya kembali bersih. Dan jika dia kembali (berbuat dosa), titik hitam terus bertambah di hatinya sampai menggunung, dan itulah yang menyelubungi hati (dari cahaya) seperti yang Allah firmankan, “Sama sekali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka."

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...