Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

TELINGA SENDIRI PALING DEKAT


Guru tidak selalunya betul dan semestinya tidaklah juga semuanya salah. Guru adalah gelaran kepada seseorang yang meletakkan dirinya sebagai pendidik yang secara berterusan memberikan bimbingan kepada kelompok yang lain serta fokusnya adalah untuk menjadikan mereka lebih baik dari sebelumnya. Guru tentunya orang yang kita pandang sebagai seseorang yang berpengetahuan serta mahir dalam bidangnya. Guru yang baik adalah guru yang bukan hanya mengajar bahkan sedia belajar tidak kira dari sesiapapun. Keinginan untuk terus belajar itu adalah cerminan dari kerendahan diri bahawa tidak semua yang kita tahu. Sebab itu, menjadi seorang guru tidaklah semudah mengajar, tetapi apa yang lebih utama adalah bersedia untuk belajar dari apa yang kita ajarkan kerana apa yang kita cakapkan, yang pertama harus melaksanakan adalah diri orang yang bercakap itu sendiri. Ini adalah sebahagian dari disiplin penting seorang fasilitator. Latihan fasilitator tidak harus tertumpu kepada kemahiran bercakap, berpidato, berceramah atau berkongsi pandangan serta cerita, tetapi kemahiran komunikasi yang diajarkan seharusnya juga merangkumi aspek non-verbal yang akhirnya memberikan kesan langsung atau tidak langsung kepada peserta bimbingan kita dalam program. Aspek non-verbal ini kami tekankan tentang akhlak seorang fasilitator.

Akhlak merupakan cerminan diri dihadapan khalayak yang sentiasa memerhati. Fasilitator harus sentiasa memperelokkan akhlak diri yang dipertontonkan buat tatapan kelompok yang dibimbing mereka. Mereka harus menjadi contoh yang boleh diikuti dan sentiasa menjadi memberikan pengajaran yang baik-baik. Seorang fasilitator yang memilih untuk melakonkan watak baik dihadapan orang yang dibimbingnya akan berhasil memberikan gambaran baik dalam satu jangka masa yang singkat. Fasilitator mereka dihormati juga dalam waktu yang singkat. Perbuatan sebegini akan mengundang banyak kesukaran khususnya dalam memastikan usaha penambahbaikan kelompok bimbingan tadi akan terjejas, bukan sedikit bahkan mungkin terlalu besar sehingga merebak kepada orang lain. Oleh yang demikian, memiliki akhlak yang baik harus didasari kepada apa yang diperintahkan Allah kepada manusia bukan hanya untuk mendapatkan habuan dan perhatian semata-mata manusia. Lakonan berakhlak mencerminkan seorang fasilitator itu tidak memiliki visi yang jelas dalam peranannya kepada kelompok bimbingannya. Peribadi fasilitator harus memiliki keupayaan untuk melakukan perubahan untuk kebaikan kepada diri sendiri termasuk dalam soal memperbaiki akhlak diri. Mereka yang melakonkannya adalah hipokrit tetapi mereka yang hadir bersamanya niat untuk memperbaiki diri, mereka ini adalah orang yang akan berjaya. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang selalu dikumandangkan di dalam mana-mana ceramah atau program motivasi dari Surah Ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

Ayat ini menjelaskan, betapa pentingnya untuk seorang fasilitator untuk terus melakukan perubahan pada diri. Bahkan perubahan diri tidak akan berlaku melainkan dengan penambahan ilmu yang berterusan. Semakin banyak yang kita tahu maka akan semakin banyaklah perubahan yang akan kita lakukan bahkan resmi pagi itu, semakin berisi semakin menunduk. Pengalaman melalui latihan fasilitator serta menjalankan  program latihan fasilitator memberikan kefahaman yang jelas serta visi yang tidak akan pernah akan kita capai kerana manusia itu adalah makhluk yang diciptakan untuk melakukan pelbagai perubahan. Kita mungkin melihat kejayaan pada mereka yang dibimbing, tetapi pastinya kejayaan itu akan mendorong kita untuk terus mencipta kejayaan melalui insan yang lain pula. Fasilitator yang memiliki visi yang sebesar ini tidak mungkin boleh mengambil ringan atas akhlak peribadinya. Tidak mungkin mereka akan terus berlakon untuk mendapatkan perhatian sepertinya mereka itu ingin menjadi insan terkenal dek kerana viral atas sebab lakonannya. Atau adakah mungkin berakhlak pada hari ini bukan perilaku arus perdana kerana ia dilihat terlalu 'low profile' serta terlalu lurus?

Jika kita ingin melihatkan perubahan besar dalam ummat kita, percayalah, kita tidak akan mampu mengubah mereka melainkan kita mula mengubah diri kita. Kita tidak akan mampu mengubah diri kita selagi mana fokus kehidupan kita hanyalah untuk memenuhi keperluan dan kepentingan hak peribadi sahaja sehingga melupakan hak masyarakat terhadap kita sebagai insan yang berilmu bahkan sebagai muslim. Apabila insan itu melupakan hak masyarakat terhadapnya, maka mereka akan mula membina persepsi yang negatif terhadap masyarakat mereka. Apa sahaja yang diperlukan masyarakat akan dilihat sebagai menyusahkan dan menjadi beban. Akhirnya, budaya menyalahkan, menuding jari dan mencari kambing hitam akan mula diketengahkan kerana yang penting dalam hidup kita adalah slogan, 'yang penting aku selamat' atau 'yang penting bukan aku'.

Kesimpulannya, fasilitator adalah ejen kepada perubahan kelompok bimbingannya dan untuk menjadikan ejen ini relevan sepanjang masa adalah dengan memulakan perubahan itu pada diri mereka sendiri. Nasihat yang diberikan akan lebih berkesan sekiranya ia datang dari orang yang telah melalui proses perubahan itu. Ini tidak bermakna, kita perlu melalui kesilapan untuk mampu memberikan nasihat kerana orang yang cerdik itu belajar dari pengalaman dan yang lebih cerdik itu belajar dari pengalaman orang lain. Apabila kita memberikan nasihat dengan mulut kita, telinga siapakah yang paling dekat dengan mulut kita? Jawapannya adalah telinga kita sendiri. Maka yang pertama perlu respon kepada nasihat itu adalah diri kita. Ingatlah pesanan Allah s.w.t. di dalam Al-Quran dari surah Al-Ghafir ayat 35 yang bermaksud;

"(iaitu) orang-orang yang memperdebatkan ayat-ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka. Sangat besar kemurkaan (bagi mereka) di sisi Allah dan orang-orang beriman. Demikianlah Allah mengunci hati setiap orang yang sombong dan berlaku sewenang-wenangnya."

Usahlah kita mendabik dada kerana tahu sedangkan tahu kita hanya sampai ke kerongkong kita sahaja. Tahu mestilah datang bersamanya amal. Ilmu, iman dan amal. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran surah As-Saff ayat 2 hingga 3 pula bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu melakukannya."

Ingatlah, apabila mulut kita berkata-kata, telinga sendiri paling dekat.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...