Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

KETAHUI PERKARA PENTING DAN SEGERA

Nilai kehidupan ini sudah mula ditentukan oleh kepantasan gajet yang dimiliki. Bahkan sebahagian manusia menilai kebijakan itu berdasarkan gajet apa yang digunakan sama ada 'old fashion' atau 'up to date'. Khususnya buat remaja dalam generasi milenial ini. Gajet merupakan aset dan kebanyakan mereka dilihat 'tidak apa' jika tidak memiliki apa-apa atau tidak berbuat apa-apa selagi mana gajet ada bersama mereka. Adalah sangat tidak selesa apabila mereka terpaksa melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan sehingga terpaksa melupakan gajet mereka seratus peratus. Gajet hari ini memiliki daya tarikan yang tersendiri. Kemajuan teknologi tidak pernah boleh dan patut dihentikan bahkan itu adalah sebahagian dari bukti perkembangan pemikiran manusia dan sehingga hari ini, teknologi terus ke hadapan. Namun, apa yang menyedihkan, secara perlahan dan tidak disedari, teknologi ini telah mematikan peranan-peranan serta mendatangkan salah anggap remaja terhadap tanggungjawab dan nilai kehidupan sebagai insan. Apakah teknologi yang perlu dipersalahkan?

Akhirnya, remaja sudah hilang kemampuan untuk menilai keutamaan-keutamaan dalam kehidupan. Kehilangan kepada kemahiran ini menatijahkan tindakan-tindakan remaja yang dilihat terlalu cepat bertindak, mengikut emosi semata-mata, tiada pertimbangan rasional serta kadangkala dapat dilihat mereka itu terlalu dangkal dan cetek baik dalam perkataan yang digunakan dan begitu juga dalam tindak tanduk yang menjadi pilihan. Oleh sebab itu, remaja harus menyedari dan mengetahui bahawa banyak tindakan itu mesti berlandaskan kepada keutamaan bukan hanya sekadar menyelesaikan. Melalui gajet, remaja belajar untuk membuat pilihan-pilihan segera untuk jangka masa yang pendek tetapi mereka hilang tumpuan serta kurang memikirkan kesan dalam jangka masa panjang. Harus difahami bahawa yang penting itu selalunya akan menjadi segera dan yang segera itu juga selalunya akan menjadi penting. Ambillah tindakan berdasarkan pemahaman asas ini agar setiap tindak tanduk itu menghasilkan kesan yang jauh lebih baik dan mengurangkan kebimbangan.

Menurut sebuah artikel di artofmanliness.com bawah tajuk 'The Eisenhower Decision Matrix: How To Distinguish Between Urgent And Important Tasks And Make Real Progress In Your Life' menjelaskan mengenai penting dan segera. Segera adalah perkara yang memerlukan perhatian dan memberikan gambaran tindakan 'Sekarang!'. Ia menjadikan kita dalam keadaan bersedia, bersegera, berfokus kepada sesuatu sehingga selesai dan sebahagiannya menilai ia menjadi penyebab kepada keadaan kelam kabut atau menggelabah. Namun, nilai kesegeraan ini amat penting dan kebiasaannya ia amat membantu khususnya dalam tugasan-tugasan dengan tarikh tamat serta keadaan-keadaan tekanan seperti kemalangan dan sebagainya. Namun terdapat beberapa kelemahan yang berlaku hari ini apabila seorang penulis, Douglas Rushoff menyatakan bahawa, hari ini kita dalam keadaan "present shock" yang mana kita sentiasa menghidupkan suis 'Sekarang!' pada setiap masa. Secara tidak langsung ia mematikan keupayaan kita untuk menilai sesuatu itu dari sudut berkepentingan jangka masa panjang. Jika kita kenangkan, dapat kita rasakan, apabila kita akan memberikan respon segera itu kepada bunyi telefon bimbit kita. Pada setiap pesanan yang masuk menjadikan kita sangat sensitif, namun apabila kita buka, ia hanya pesanan mengenai rakan kita yang memberitahu kepada semua bahawa dia baru sahaja mendapatkan telefon yang baru. Maka, kesegeraan ini harus diperbaiki semula. Kesegeraan harus dilihat dari sudut kepentingan untuk diselesaikan. Jika ia tidak diselesaikan maka ia akan mendatangkan permasalahan yang lain atau mungkin permasalahan yang berpanjangan sebagai contoh tugasan dari pensyarah yang perlu kita hantar esok, itu jauh lebih segera berbanding dengan tugasan yang perlu dihantar minggu hadapan. Jelas, perkara segera ini kadang-kadang akan dapat kita kurangkan apabila kita tahu untuk menilai sesuatu perkara itu pada nilai kepentingannya.

Perkara penting pula bermaksud perkara yang memberikan kesan kepada kita secara langsung atau tidak langsung dalam jangka masa yang panjang. Ada sebahagian kita merasakan bahawa perkara penting itu semestinya segera, tetapi sebenarnya tidak semestinya. Apabila kita mula memberikan perhatian kepada perkara-perkara penting, tindak tanduk kita akan lebih bertanggungjawab yang akan menjadikan seseorang itu lebih tenang, matang dan terbuka kepada sebarang peluang-peluang yang baru. Oleh yang demikian, apabila kita hari ini kerap berada di dalam kejutan sekarang (present shock), kerap kita merasakan kehidupan yang kelam kabut, keputusan tidak tepat serta dirasakan seperti kurang ruang untuk membuat pilihan yang lebih banyak. Mereka yang memberikan fokus mereka kepada perkara-perkara penting, selalunya akan dapat mengelakkan diri dalam kerap berhadapan dengan perkara-perkara yang perlu disegerakan umpamanya mementingkan nilai keakraban perhubungan yang akhirnya dapat mengelakkan krisis yang mana ia perlu diambil tindakan segera. Orang kata merancang itu satu usaha yang membuang masa, namun sebenarnya ia amat penting kerana itu dapat mengelakkan daripada kerja saat akhir dan membuka banyak pilihan-pilihan jalan untuk mencari penyelesaian kepada masalah-masalah yang timbul. Sama juga dengan tindakan untuk melakukan aktiviti kesihatan dan rekreasi yang sekiranya tidak akan mengundang penyakit dan tekanan yang akhirnya memaksa kita untuk fokus kepada hal kesegeraan iaitu untuk mengubati penyakit dan menghilangkan tekanan.

Secara kesimpulannya, kita khususnya remaja hari ini perlu kembali kepada landasan penilaian yang mengutamakan perkara-perkara penting. Bukan hanya untuk keseronokan yang tentunya kebaikannya hanya sementara. Seronok, sedih, ketawa, menangis itu semuanya adalah asam garam kehidupan yang mesti dilalui dalam satu-satu tempoh sebagai peringatan dan pengajaran. Ia buakan sesuatu yang kita kecap secara kekal dan tidak boleh hilang dari kehidupan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Hadid ayat 20 yang bermaksud;

"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

Oleh yang demikian, amatlah elok sekiranya perhatian kepentingan kita difokuskan kepada hal yang jauh lebih kekal serta tidak terpedaya kita pada perkara-perkara sementara yang pastinya kita akan tempuh juga. Tidak dinafikan, keseronokan amat kita harapkan tetapi ia akan lebih seronok dikecapi apabila ia diperolehi daripada hal penting yang diuruskan dengan jayanya. Utamakannlah yang penting dalam kehidupan, tetapi jangan lupa kepentingan hal yang segera.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...