Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

ILMU SAHAJA BELUM MEMBERI MANFAAT AKAN ENGKAU


Apabila tiba hari kebangkitan, maka akan datang sesalan yang teramat sangat buat kita yang berilmu tetapi tidak mengambil manfaat buatnya. Marilah kita bermuhasabah akan peringatan yang diberikan Allah s.w.t. melalui firman Nya di dalam surah As-Sajdah ayat 12 yang bermaksud;

"Ya Rabb kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami, nescaya kami akan mengerjakan amal saleh. Sungguh kami adalah orang-orang yang yakin."

Bahkan kita diperingatkan juga di dalam surah Al-Mukminun ayat 99 hingga 100 yang bermaksud;

"Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia, "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku."

"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh hingga hari mereka dibangkitkan semula."

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Az-Zumar ayat 58 yang bermaksud;

"Atau berkata semasa ia melihat azab, ` Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!"

Menurut Imam Al-Ghazali, ilmu tanpa amal itu adalah gila dan amal tanpa ilmu itu adalah perbuatan yang sia-sia. Insan yang bergembira dengan pelbagai pengetahuan di dada tanpa pernah memikirkan bagaimana ilmu mereka itu harus memberi manfaat atau dimanfaatkan akan menjadi penyebab kepada penyesalan berpanjangan di akhirat kelak. Sebab itu tahu tidak akan memberikan makna kerana makna itu muncul dari mengamalkan apa yang kita tahu, Tahu akan kemiskinan dan kepayahannya tidak sama dengan orang yang melalui kemiskinan dan kepayahan itu. Tahu mengenai kesenangan kekayaan juga tidak akan sama dengan mereka yang memang berada di dalamnya.

Manusia mendambakan kesenangan tetapi Maha Kaya Allah menghalang kekayaan itu berada pada kita kerana DIA Maha Tahu apa yang tidak kita ketahui. Sebagaimana terdapat kisah 3 orang lelaki yang dianugerahkan kecacatan dalam kehidupan mereka. Ketiga-tiga mereka menggembala kambing. Seorang darinya adalah buta, seorang lagi tempang dan seorang lagi berpenyakit kulit sehingga menyebabkan orang tidak selesa berada dengannya. Kehidupan mereka amat dhaif. Pada suatu hari, mereka berbicara dan setiap tutur itu adalah doa. Mereka mula mengimpikan jika mereka kaya. Lalu pada suatu hari, datang seorang lelaki pengemis mengetuk pintu mereka untuk meminta sesuatu untuk dimakan.

Lelaki pertama adalah si tempang. Dia memberikan sedikit makanan kepada pengemis itu sambil berkata, "Aku cuma sedikit lebih baik darimu, ambillah sedikit bahagian makanan ku ini." Pengemis itu berterima kasih lalu dia bertanya, "Adakah kamu memiliki hajat untuk aku doakan?" Si tempang pun dengan pantas memberikan jawapannya, "Ya! Aku mahu, hidupku senang dengan hasil gembalaan yang sangat banyak untuk aku bantu orang lain juga dengannya serta aku mahu kaki ku ini tidak tempang lagi, kerananya aku selalu diejek orang." Lalu pengemis itu berdoa dan berlalu pergi.

Keesokan harinya, pengemis yang sama datang ke rumah pemuda yang berpenyakit kulit. "Adakah kamu mempunyai sedikit makanan untuk aku alaskan perutku?" tanya pengemis itu. "Ada sedikit dari bahagianku, biarlah ia menjadi nikmat untuk mu hari ini," jawab pemuda itu. Sebagaimana semalamnya, pengemis itu bertanya apakah dia mempunyai sesuatu hajat untuk didoakan. "Ya!" jawab pemuda itu. "Aku mahu penyakit ku ini hilang sebab ramai orang tidak mahu berkawan dengan ku kerananya, dan, baikkanlah gembalaan ku agar hidup ku senang dan dapat aku menolong orang lain nanti," jawab pemuda itu penuh keyakinan.

Hari yang ketiga, pengemis ini sampai ke rumah si buta. Kejadian yang sama miripnya pada hari sebelumnya juga berlaku di rumah si buta. Ketika akhir pertemuan mereka setelah pengemis mendapatkan sedikit makanan dari si buta, lalu dia bertanya akan hajat si buta. "Aku bersyukur dengan segala nikmat yang telah DIA berikan kepada ku, kerana kekayaan mungkin akan melalaikan ku dan celik mataku akan mendorongku untuk bermaksiat," jawab si buta. Maka berlalulah pengemis itu sehingga beberapa hari, ketiga-tiga lelaki itu dengan izin Allah pulih dari penyakit mereka dan dalam jangka masa yang agak sederhana panjang gembalaan mereka telah menghasilkan keuntungan yang berlipat ganda.

Pada suatu petang, si pengemis tadi sampai di rumahnya di tempang, dan dia meminta makanan seperti sebelumnya. "Kamu sudah tidak tempang lagi?" tanya si pengemis. "Ya, siapa dan apa yang kamu mahu?" tanya si tempang. "Aku lapar dan mahukan sedikit makanan," kata si pengemis. "Pergi sana! Senang saja kamu meminta dari aku yang bersusah payah bekerja untuk mencari rezeki yang banyak ini, pergi!" bentak si tempang. Lalu pengemis itu berkata, "Engkau telah diberikan peluang untuk melakukan kebaikan ketika engkau susah dan peluang yang sama ketika engkau senang, tetapi ternyata, engkau adalah dikalangan orang yang rugi."

Lalu pengemis itu berlalu pergi sehingga tiba pula di rumah pemuda yang berpenyakit kulit dahulu. "Kulit kamu sudah tidak berpenyakit lagi?" tanya si pengemis. "Ya, kamu ini siapa, datang ke rumah ku dalam keadaan kotor begini? Bau busuk dan menjijikkan, pergi!" jeritnya. Lalu pengemis itu berkata, "Dahulu engkau tidak mahu didekati orang, kini tidak lagi. Dahulu engkau telah diberikan peluang untuk melakukan kebaikan ketika engkau susah dan kini peluang yang sama ketika engkau senang, tetapi ternyata, engkau adalah dikalangan orang yang rugi."

Berlalulah pengemis tadi ke rumah si buta. Apabila tiba sahaja dihadapan rumahnya, dilihatnya pemuda itu sudah celik. "Mata kamu sudah boleh melihat?" tanya si pengemis. "Ya, syukur kepada Tuhan, kerana dia mengizinkan aku untuk melihat. Jemputlah masuk ke rumah ku saudaraku, boleh aku hidangkan kamu sedikit makanan, kamu nampaknya seperti belum makan." Jawab si buta itu. Lalu masuklah si pengemis ke rumahnya tetapi tidak dijamahnya sedikit pun makanan yang dihidangkan. "Mengapa kamu tidak makan?" tanya si buta. "Adakah kamu mengenali aku sehingga engkau melayani aku begini?" tanya si pengemis. "Aku telah diberikan rezeki yang banyak kerana aku bersyukur dan rezeki ini bukan hanya untukku, tetapi untuk saudaraku juga yang mungkin memerlukan. Dahulu aku buta, tidak dapat melihat, dan hari ini aku dapat melihat, apakah salah jika aku melakukannya kerana bersyukur?" jawab si buta penuh kerendahan. "Dahulu, ketika engkau buta, akulah pengemis yang datang meminta makanan darimu, dan engkau tidak jelaskan hajatmu kepadaku untuk aku doakan. Tetapi aku tetap mendoakan kebaikan untuk engkau sehingga apa yang engkau perolehi hari ini. Aku adalah malaikat yang diutus untuk menguji hamba-hamba Nya dan engkau ternyata dikalangan orang yang berjaya dan beruntung." jawab pengemis itu sambil berlalu pergi.

Maka menangislah si buta kerana terkenangkan betapa besarnya nikmat yang dikurniakan untuknya itu. Si tempang dan yang berpenyakit kulit juga turut menangis kerana secara perlahan-lahan Allah menghilangkan nikmat keuntungan pada gembalaan mereka, dicuri, ditipu dan akhirnya mereka kembali hidup dalam keadaan dhaif sehingga diserang penyakit yang sama seperti sebelumnya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Yaasin ayat 65 yang bermaksud;

"Pada hari ini, Kami menutup mulut mereka rapat-rapat, sehingga mereka menjadi bisu tidak berbicara untuk mengingkari kekufuran dan kemaksiatan yang mereka kerjakan di dunia, dan Kami menjadikan tangan mereka berbicara menyampaikan apa yang dilakukannya di dunia, lalu kaki mereka memberikan kesaksian atas apa yang mereka lakukan berupa kemaksiatan dan ia berjalan kepadanya."

Maka bersiaplah kerana ilmu yang tidak diamalkan itu akan menjadi bebanan untuk kita apabila bertemua dengan Allah s.w.t. nanti. DIA telah berikan kesempatan kepada ketiga-tiga pemuda itu namun, mereka lupa akan pinjaman yang diberikan sehingga mulut mereka begitu lantang berbicara tentang kebaikan yang mereka ada. Jangan lupa, seluruh anggota kita melihatnya dan akan menjadi saksi atas kita ketika di akhirat kelak. Kesimpulannya, beramallah dengan ilmu yang kita ada walaupun sedikit. Jaminan keselamatan kita di sana adalah tergantung kepada amalan kita di sini. Mudah-mudahan kita semua mendapat petunjuk.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...