Thursday, July 2, 2020

MEMBANGUN SIFAT DEDIKASI DALAM DIRI ANAK-ANAK

Dedikasi menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga adalah pengabdian diri, masa dan lain-lain sepenuhnya kepada sesuatu tujuan tertentu. Secara istilahnya, dedikasi di sini memberikan gambaran kepada kita tentang kesungguhan hingga tahap yang terakhir keupayaan diri kita dalam melakukan sesuatu yang dihajati atau diarahkan untuk kita melakukannya atau pada apa-apa sebab yang menjadi pendorong kepada sesuatu itu dilakukan seperti ingin mengeluarkan keluarga dari keadaan kemiskinan dan kelaparan sebagai contohnya.

Proses pembangunan sifat ini sudah tentu amat mencabar ibu bapa khususnya apabila berhadapan dengan anak-anak yang sudah pasti mempunyai pelbagai karenah dan perbezaan antara satu sama lain. Pembangunan dedikasi harus kita mulakan dengan melihat minat anak-anak kita pada apa yang mereka lakukan. Ini cabarannya kerana anak-anak akan mempunyai minat yang berbeza dan sebagai ibu bapa, kita harus melayani segala minat dan kecenderungan mereka itu agar sifat dedikasi ini dapat dibentuk dengan berkesan. Melalui minat, maka anak-anak akan ada keseronokan dan kecenderungan untuk melakukannya sehingga ianya selesai. Merujuk kepada situasi ini, anak-anak tidak memerlukan sebarang tekanan untuk melakukannya dan pasti akan berterusan melakukannya selagi mereka mampu untuk menyelesaikannya. Dedikasi juga boleh terhasil dengan sebab yang diharapkan sebagai contoh balasan dari melakukan sesuatu jika dalam konteks anak-anak, mereka melakukannya disebabkan upah yang menunggu selepas pekerjaan atau tugasan itu selesai. Maka, itu juga boleh kita namakan dedikasi walaupun kerana upah.

Namun, ada sebahagian dari kita yang sifatnya harus diteladani sebagaimana sifat Khalid Al-Walid, seorang panglima perang Islam, pada tika beliau sedang mengetuai peperangan, lalu datang perintah dari Khalifah Umar Al-Khattab minta digantikannya dengan Sa'ad bin Abi Waqas. Tanpa sebarang keluhan, beliau meninggalkan tempatnya dan menyerahkannya kepada sahabatnya bahkan beliau terus turut berperang tanpa menghiraukan kedudukannya. Dedikasi begini hanya timbul pada anak-anak yang pada diri mereka telah tertanam azam serta keinginan yang kuat terhadap sesuatu yang besar yang menjadikan jiwa dan pemikirannya besar. Khalid tidak melihat jawatan itu yang utama, tetami kemenangan Islam pada waktu itu yang lebih utama. Ternyata, dedikasinya beliau terhadap kepimpinan Khalifah Umar menatijahkan seorang lagi panglima perang yang berjaya diketengahkan iaitu Sa'ad bin Abi Waqas. Bagaimana dedikasi seperti ini ingin kita bina dalam diri anak-anak? Pernah kita dengar kalimat cinta, 'kerana cinta, lautan api sanggup aku renangi'. Ini adalah sebahagian daripada makna yang dapat kita gambarkan dari dedikasi ini.

Membangun dedikasi dalam diri anak-anak akhirnya akan berbalik kepada usaha menanam sebab kehidupan anak-anak di dunia. Tanam sebab mestilah disiram dan dibaja bukan hanya dibiar mengharap tumbuh dengan segar dan hidup berjaya. Itu adalah mustahil. Setiap yang ditanam pasti akan ada musuhnya, jika tanaman, maka musuhnya adalah parasit, serangga perosak dan semudah lalang yang tumbuh bersamanya. Bak kata pepatah, menanam padi rumput pun tumbuh. Usaha menanam sebab dalam diri anak-anak, ketika proses pembesaran mereka, mereka akan bersama pelbagai sumber pendidikan yang lain tambahan pula pada zaman milenial ini. Maka, ibu ayah harus meletakkan keutamaan pembinaan itu langkah demi langkah dan ia harus bermula dengan usaha menanam sebab yang sangat besar dalam kehidupan mereka. Jauh dari sebab kesenangan dunia, jauh dari sebab keseronokan hidup dan jauh dari sebab kekayaan dan kemewahan kerana semua itu sifatnya hanya sementara sahaja bahkan, jika itulah yang kita janjikan kepada mereka, kita sendiri pasti tidak mampu mempertahankan apa yang kita kecapi juga sekarang.

Apabila sebab kehidupan anak-anak telah dimulakan dengan yang besar, yang 'ultimate', maka penyesuaian kepada minat, kecenderungan serta balasan yang setimpal akan jadi lebih mudah. Jika kita ingat pepatah 'diam-diam ubi berisi' dan ikutlah resam padi, makin berisi, makin tunduk'. Dua pepatah ini menunjukkan ketinggian akal budi melayu yang harus menjadi pedoman pada kita. Dedikasinya ubi, mendiam diri dalam tanah yang terkenal dengan segala kekotoran dan kesusahan. Kehidupan yang gelap bersama hidupan yang amat menyakitkan. Hidup bersama akar yang menjadi sebab utama kehidupan pokok ubi itu sendiri. Ia dapat dimaknakan, dalam membangun sifat dedikasi anak-anak, harus ada pengetahuan dalam diri mereka bahawa kehidupan ini, akan ada fasa kesusahan, tekanan bahkan perasaan bosan. Jika ubi, ingin keluar dari dalam tanah, maka ia tidak akan memberikan hasil yang baik. Dedikasi adalah pengorbanan untuk melakukan sesuatu sehinggalah mencapai apa yang diharapkan walaupun dalam satu tempoh yang sangat panjang.

Pada masa yang sama, ibu bapa seharusnya tidak melupakan padi yang sentiasa menunduk. Dedikasi harus datang dengan perasaan rendah diri, kembali kepada fitrah manusia ada yang menjadikan dan bukan semua milik kita. Jika padi tumbuh, rumput pun tumbuh, maka itulah petanda bahawa dalam usaha ibu bapa membangunkan dedikasi anak-anak, pesaingan perkara tidak sihat juga ada bersama dengan mereka. Ada sebahagiannya yang akan menggugat daya dedikasi mereka kerana dengannya menghilangkan fokus anak-anak kita kepada sebab yang telah kita tanamkan. Jadi sebab itu harus dibuat kunjung semula, perlu dibugarkan serta diberikan suntikan semangat sedaya upaya kita sehinggalah kita mampu meyakini bahawa mereka mampu untuk menjaga diri mereka sendiri serta mengekalkan sebab itu pada mereka.

Secara kesimpulannya, dedikasi yang hendak kita bangunkan itu ada tiga bentuknya iaitu dedikasi atas minat mereka, dedikasi atas balasan yang diterima dan dedikasi atas sebab atau keutamaan yang ditanamkan dalam diri mereka. Ketiga-tiganya menjurus ke arah membangun dedikasi diri anak-anak namun, yang kita harapkan adalah dedikasi yang datang secara beterusan maka sudah tentulah ia merujuk kepada dedikasi atas sebab atau keutamaan yang perlu ditanamkan dalam diri mereka. Sebagai masyarakat yang kaya dengan bahasa, maka pepatah 'diam-diam ubi berisi' dan 'ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk' menjadi latar pembinaan sifat dedikasi itu sendiri. Kita mahu lahirkan anak-anak yang berjaya bukan setakat dunia bahkan akhirat dan kita mahukan kehidupan mereka juga memiliki jiwa yang merendah tidak meninggi.

No comments: