Perbincangan telah berlangsung berdasaarkan perbincangan panjang kami selaku pengendali kursus dan program latihan motivasi membawa kepada datu bentuk tindakan atau resolusi yang perlu disarankan agar diambil oleh ibu bapa dalam usaha membantu anak-anak untuk mengekalkan tumpuan mereka apabila belajar. Pada peringkat permulaan lagi, ibu bapa perlu sedar dan perlu tahu bahawa tumpuan anak-anak perlu dibentuk dari awal perkembangan dan pembesaran anak-anak sepanjang mereka bersama ibu bapa di rumah. Apabila mereka sudah berada pada umur lebih 10 tahun, jika tidak dibiasakan atau tanap bimbingan dan latihan, mereka akan mudah hilang tumpuan dan ini sedikit sebanyak akan menyukarkan pembelajaran mereka di dalam kelas sewaktu di alam persekolahan tinggi selepas pendidikan awal. Fokus anak-anak dapat kita bahagikan kepada tiga pencirian utama iaitu penumpuan minda, kedudukan mata serta kesediaan tubuh badan.
Penumpuan minda bolah dibimbing dengan cara sentiasa membantu mereka untuk menghabiskan sesuatu tugasan yang diberikan kepada mereka. Ibu bapa dalam mendidik anak-anak perlu sentiasa mengelak dari memberikan lebih dari satu arahan pada satu-satu masa. Ini membolehkan daya penumpuan minda mereka ditingkatkan sebelum mereka sendiri berupaya untuk melakukannya apabila meningkat dewasa. Harus juga kita sedari, melatih mereka menyelesaikan tugasan dalam jangka masa tertentu juga amat berkesan. Namun ia perlu wajar dan tidak membebankan kerana dikhuatiri akan memusnahkan keyakinan dirinya. Kegagalan untuk sesuatu tugasan diselesaikan bukan alasan itu ibu bapa berlaku garang atau bertindak mendenda mereka, sebaliknya memberikan pengajaran agar akan datang tidak akan berlaku lagi keadaan yang sama. Tugasan itu boleh ditangguhkan tetapi jangan sesekali ia diabaikan terus. Anak-anak masih harus menyelesaikannya agar kita memupuk sikap di dalam dirinya, setiap apa yang telah dimulakan mesti dihabiskan. Latihan sebegini kerap kali berhadapan dengan kegagalan apabila ibu bapa sendiri hilang kepercayaan kepada keupayaan anak-anak ketika kali pertama mereka melakukannya. Ingat kita sedang melatih mereka, maka ia mustahil akan berhasil dalam percubaan pertama. Mungkin perlu 10 kali malah tidak mustahil ratusan kali. Natijah dari penumpuan minda ini, anak-anak akan dapat membezakan keutamaan pendengaran mereka ketika di dalam kelas. Bahkan mereka akan mudah untuk memutuskan perhubungan dengan sesuatu yang mengganggu tumpuan mereka dan wujud satu keupayaan untuk menangguhkan apa-apa perilaku kepada satu masa yang akan datang. Maka, secara langsung, mereka mampu menangguhkan apa sahaja bentuk ajakan dari orang lain ketika mereka sudah menentukan apa fokus mereka sepanjang berada di dalam kelas. Penting juga bagi seorang guru yang akan mengajar, untuk mempersiap minda pelajar dengan meletakkan objektif pembelajaran awal kepada pelajar agar dapat membantu mereka lebih fokus.
Mata anak-anak juga amat memainkan peranan dalam fokus mereka. Mata yang terlalu banyak terdedah kepada penggunaan gajet yang tidak terkawal akan melemahkan tahap keupayaan fokus mata mereka. Permainan gajet yang melibatkan terlalu banyak keutamaan antara permainan yang akan melemahkan daya penguasaan mata mereka. Bagi melatih keupayaan mata, berikan mereka permainan yang memerlukan tumpuan khusus seperti memanah. Permainan yang seumpanya berupaya membantu imiginasi mereka juga untuk turut serta dalam memberi fokus kepada apa yang dituju. Mata mereka tidak mudah terganggu dengan pergerakan lain serta lebih mudah memandang kepada apa yang sedang mereka pelajari. Anak-anak yang sukar memberikan fokus kepada guru mengajar di dalam kelas juga adalah disebabkan faktor cepat berasa bosan apabila melakukan sesuatu perkara yang sama dalam tempoh yang lama. Permainan gajet yang terlalu kerap mengubah imiginasi anak-anak, dengan persekitaran yang turut keap berubah menjadikan anak kita juga turut memberikan reaksi yang sama ketika belajar. Pada mereka terlalu lama adalah membosankan. Perasaan itu bagi orang dewasa memberikan kita dorongan untuk berfikir atau melakukan sesuatu atau mengelak dari melakukan sesuatu, tetapi untuk anak-anak, dorongan seperti itu ada pada mereka cuma pertimbangan baik buruk itu yang membezakan antara tindakan orang dewasa dan anak-anak. Pilihan mereka jika di dalam kelas adalah dengan bermain atau bercakap sesama sendiri, berbeza dengan mereka yang dewasa walalupun pada hakikatnya hari ini, ada juga dewasa yang kelakuannya tidak ubah seperti anak-anak juga.
Dua pencirian di atas turut disokong dengan pencirian ketiga iaitu kesediaan tubuh mereka. Kesediaan tubuh termasuk pemakanan anak-anak. Seperti mana yang telah banyak dibincangkan, makanan ringan adalah amat tidak digalakkan untuk anak-anak berbanding sayuran, buah-buahan serta makanan bijiran yang cukup khasiat untuk kesihatan tubuh mereka. Selain makanan, kebersihan tubuh turut perlu diberikan penekanan. Mandi adalah sebahagian perkara penting dan termasuk di dalamnya menggosok gigi. Ramai yang mengambil ringan akan kesan dari menggosok gigi sedangkan ia amat membantu anak-anak untuk memberikan kesegaran kepada mata mereka untuk meneruskan pembelajaran.Perbanyakkan juga pengambilan air kosong selain memastikan segala kelengkapan pembelajaran mencukup. Jika tidak, mereka bukan sahaja akan gagal memberikan fokus bahkan mereka akan mengganggu rakan mereka yang sedang fokus. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh para guru di sekolah adalah dengan memastikan suasana kelas pembelajaran yang amat menenangkan mereka untuk belajar. Kebisingan adalah halangan dan sudah pasti pembelajaran akan turut terganggu apabila kelas terlalu kotor atau bersepah. Menyediakan kemudahan alat tulis untuk mengelakkan anak-anak meminjam adalah inisiatif yang harus dipuji tetapi ia tidak elok dibiasakan. Mereka harus diberi ingat bahawa, menyediakan kelengkapan peralatan belajar adalah salah satu dari pencirian mereka yang benar-benar fokus untuk belajar.
Secara kesimpulannya, bimbingan ibu bapa sangat diperlukan bagi menyokong pembelajaran mereka khususnya apabila mereka mungkin sedikit tertinggal di sekolah. Fokus utama ibu bapa haruslah tertumpu kepada aspek kesediaan tubuh mereka untuk belajar selain membina tumpuan minda mereka dengan memberikan pesanan dan nasihat yang baik untuk mereka fikirkan. Jangan biasakan mereka belajar sambil berbaring atau meniarap kerana penerimaan pembelajaran akan jadi kurang berkesan dan ini menambah satu lagi kebiasaan yang buruk kepada mereka. Sebaliknya, sediakan kerusi atau meja untuk mereka menulis dan membaca ketika belajar di rumah. Sudut aspek penggunaan mata mereka. Minta mereka memandang kepada kita apabila kita sedang memberikan arahan atau mengajar mereka. Pandangan akan menentukan apa yang didengari. Minta mereka pandang tepat ke mata kita agar ia dibiasakan dan ini akan membantu mereka untuk memandang guru mereka ketika mengajar. Kemudian, ibu bapa harus memahami bahawa, telinga mereka hanya akan mendengar apa yang mereka pandang. Ini bermakna, apabila ibu dan ayah menegur anak-anak, adalah menjadi suatu perkara penting untuk mereka memandang wajah kita bagi menggalakkan pendengaran mereka dengan baik. Apabila membantu mereka mengulangkaji di rumah, hadkan sesi pembelajaran tidak melebihi 30 minit. Mulakan dengan rehat setiap 15 minit dengan meminum seteguk air. Ini untuk membantu fokus mereka kerana mereka tidak mampu duduk dalam keadaan yang sama terlalu lama. Berikan galakan dengan hadiah dan peraturan turut tidak dilupakan denda jika melakukan kesalahan. Imbangkan dan lakukanlah dengan adil. Pengorbanan ibu bapa ini penting untuk memastikan anak-anak ini merasakan keseronokan dalam pembelajaran. Peringatan buat ibu bapa semua, setiap anak kita adalah unik, begitu juga pencapaiannya. Pengharapan pencapaian akademik terlalu tinggi tidak salah, tetapi, menyalahkan mereka tidak mencapainya itu adalah salah. Letakkan penilaian mereka pada usaha mereka bukan keputusan peperiksaan semata-mata.

Comments