![]() |
Semua kita mendambakan susuk remaja hari ini yang lagaknya umpama 'super hero' yang tiba-tiba mempunyai segala macam deria untuk membuat kebaikan disamping kemahiran yang tinggi yang entah datang dari mana untuk mereka gunakannya atau memanfaatkannya untuk kebaikan dan kemudahan orang lain khususnya mereka yang berada pada hujung usia iaitu ibu dan ayah mereka sendiri atau ahli keluarga terdekat serta kejiranan mereka. Keupayaan yang mampu mengatasi halangan dengan kegagahan fizikal mereka, menyelesaikan masalah dengan ketajaman akal fikiran mereka sekaligus mengubah sesuatu keadaan dengan meletakkan bahawa remaja itu seolah-olah secara tiba-tiba mempunyai kuasa psikik sehingga mampu mengubah keputusan orang lain sekelip mata. Inilah kesannya apabila masyarakat kita dibina bermula dari asas-asas pembinaan khayalan masyarakat bahkan lebih buruk lagi melalui bayangan dan khayalan yang datangnya dari sumber akal tanpa tuntun ilmu yang pada hemat mereka hanya menjadi tontonan pada layar-layar besar namun hakikatnya ia sudah ditanam dalam benak fikir umat bahawa yang kita harap adalah susuk seperti mana mereka yang kita lihat begitu hebat di dalam panggung, dipukul tidak mati, dihenyak tidak terhapus dan dihentam tidak hancur. Mereka itu orang atau tuhan? Adakah wujud manusia sebegitu hebat?
Cerminan generasi harapan masa hadapan ini ada dalam tangan generasi tua hari ini. Kita sebenarnya yang mencorakkan mereka dan melahirkan mereka sebagaimana yang kita harapkan. Tiada generasi yang hebat lahir hanya kerana 'nasib' melainkan dengan perancangan yang terperinci dengan izin dari Allah s.w.t.. Ini termasuk doa yang dibacakan oleh Nabi Ibrahim alaihissalam di dalam surah As-Saffat ayat 100 yang bermaksud, "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak dari kalangan orang-orang yang soleh.”
Pengharapan Nabi Ibrahim bukan sekadar berdoa bahkan dipersiapkan keturunannya dengan segala bentuk keadaan sehingga anaknya Ismail menjadi anak yang sangat taat sehingga sanggup memenuhi permintaan ayahnya untuk disembelih hanya kerana Nabi Ismail yakin, perintah itu bukan keinginan ayahnya tetapi arahan dari Allah s.w.t.. Perhubungan yang rapat dengan Tuhan yang menciptakan merupakan faktor sokongan yang penting dalam melahirkan wajah remaja harapan masa hadapan. Ia bukan tugas orang lain, tetapi tugas mereka yang hampir dengan remaja itu sendiri membina diri mereka dengan asas-asas yang benar dan mengikut landasan yang sebenar. Wajah remaja harapan ini tidak mungkin lahir kerana kebetulan, sebaliknya ia perlu lahir dengan perancangan yang teliti sehinggakan zuriat yang lahir dari keluarga Nabi Ibrahim itu melahirkan Baginda Rasulullah, Muhammad sallallahu'alaihiwasallam. Oleh sebab itu, usahanya tidak boleh sedikit dan hasilnya tidak mungkin dekat. Mungkin akan berkembang dari generasi ke generasi akan datang, namun sumbernya adalah kita.
Kita mahu melihat hero dikalangan remaja harapan ini bukanlah mereka yang lantang berhujah, nyaring menjerkah, kuat berlawan akan tetapi hero ini adalah mereka yang prihatin terhadap isu persekitaran mereka. Empati kepada apa yang dilihat dan kerap kali berfikir cara untuk membantu mereka yang memerlukan. Kita tidak mahu generasi yang terus-menerusi menimbulkan kontroversi dan sentiasa menagih perhatian melalui sifat buruk dan menyebarkan kebencian. Hari ini, kita tidak memerlukan remaja yang kejantanannya diserlahkan melalui pergaduhan yang secara jelasnya hendak menunjukkan kekuatan dan keluasan pengaruh. Hari ini kita ingin melihat remaja yang menunjukkan kekuatan dirinya yang cekal untuk menghadapi segala rintangan demi untuk membantu orang lain. Remaja yang memiliki keluasan hati untuk menerima siapa sahaja insan sebagai makhluk yang perlu dihormati dan dikasihi serta sentiasa menyebarkan kebaikan. Mereka ini yang mempunyai keberanian serta rupa paras remaja harapan yang sebenar sebagaimana yang pernah dilahirkan oleh generasi yang diperakui Allah s.w.t. sebagai umat yang terbaik. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud, "Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allâh."
Maka dapat kita simpulkan, wajah remaja harapan masa hadapan ini adalah mereka yang sentiasa mengajak manusia lain melakukan kebaikan-kebaikan dan berusaha untuk mencegah segala kemungkaran atau dalam bahasa mudahnya berdakwah. Sukar untuk kita temui remaja yang ingin turut serta dalam ruangan dakwah walaupun dibuka peluang kerana ramai mereka merasakan bukan masanya lagi. Namun hakikatnya, surat yang diutuskan Allah s.w.t. di dalam ayat tadi tidak bermakna kita boleh mengangkat tangan dan mengaku bahawa kita adalah umat yang terbaik, sebaliknya, datang bersama ayat itu satu pengajaran buat kita, siapakah mereka yang Allah s.w.t. ungkapkan sebagai yang terbaik itu? Nama-nama yang tentunya kita kenali bukan setakat nama bahkan peribadi mereka khususnya Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib. Adakah kita sebaik mereka? Adakah anak-anak remaja kita disediakan untuk menjadi sebaik mereka? Atau kita hanya berharap secara tiba-tiba mereka menjadi baik sebagaimana sahabat-sahabat Rasulullah sebagaimana tiba-tiba 'super herao' mendapat kuasa mereka?
Itu adalah mustahil. Tugas kita adalah untuk mempersiapkan mereka dengan asas yang benar, jalan yang lurus. Mari kita bersama-sama mengingati anjuran Allah s.w.t. di dalam Al-Quran dari surah Al-A'raf ayat 176 yang bermaksud; "Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkannya) ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderong kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingan adalah seperti anjing, Jika engkau menghalaunya: ia menhulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir."
Ceritakanlah kepada anak-anak kita mengenai kehidupan mereka yang sementara dan kehidupan akhirat yang kekal. Namun itu tidak bermakna mereka mesti berhenti mencari hal dunia kerana kemakmuran dunia adalah jambatan kepada kelangsungan hidup mewah juga di akhirat. Apa sahaja yang ada di dunia bukan milik kita ia dipinjamkan Allah untuk kita manfaatkan sebahagiannya untuk kita dan sebahagian lain untuk orang lain. Pada hak kita ada juga hak orang lain. Ingatlah pesan Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam bersabda, ‘Ketika amanah tidak dipegang teguh oleh pemimpin, maka tunggulah saat kebinasaan.’ Bertanya Abu Hurairah, 'Bagaimanakah orang yang tidak memegang teguh amanah itu, wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab, ‘Ketika (apabila) sesuatu urusan telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya (yakni, jawatan diberikan kepada mereka yang bukan alim atau pakar atau faqih mengenai urusan tersebut), maka tunggulah saat kehancuran.’
Marilah kita sediakan anak-anak kita dengan nilai kebenaran dan keikhlasan seterusnya berdoa agar mereka menjadi wajah remaja harapan masa hadapan.

Comments