![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh3Db8AEkiIpqxC5SVb8RIlBpzqk1WKiiSbBVdytBu8HCDUSVcC39hyDt598dxaEIfIfuH3ofLAf1w1OtozhyLfPAFLD9v8q18beZ3ySWaX5gto2S28-GzcxS9zvJqCrFOiF6zf6GI2nMxJ/s1600/1592272889040136-0.png)
Ragu-ragu datang dari banyak persoalan yang bermain dalam diri kita. Setiap persoalan itu mendatangkan ketakutan kepada kita apabila kita tidak mengetahui atau bertemu dengan sebarang jawapan. Apatah lagi persoalan ini timbul pula dari orang lain yang juga mendorong untuk kita tidak melakukannya. Bukan soalan itu salah tetapi cara kita menimbulkan persoalan itu yang salah. Mengapa kita bertanyakan soalan yang menarik kita ke belakang? Soalan-soalan ini timbul disebabkan rasa takut kita kepada sesuatu perkara itu. Cuba kita bayangkan semula sekiranya anak kecil kita yang baru merangkak itu mempunyai keupayaan untuk berfikir pada usia yang terlalu awal itu? Nescaya tidak akan berlaku penerokaan ketika anak-anak itu membesar. Keraguan menghalang perkembangan kerana ia secara langsung menghalang usaha penerokaan. Bahkan, keraguan pada ibu bapa itu sendiri kerap kali menghalang anak-anak mereka untuk mencuba sesuatu bukan kerana ibu bapa itu tahu akan kesan buruknya, tetapi hanya kerana mereka takut apa yang akan berlaku kepada anak mereka. Sekali lagi, ketakutan itu berpunca dari segala persoalan yang ditimbulkan dan akhirnya wujudlah segala macam keraguan pada diri mereka.
Antara tanda-tanda yang kita sedang berada dalam keadaan ragu-ragu adalah apabila, pemikiran kita hanya fokus kepada pelbagai alasan untuk tidak mahu melakukannya. Persoalan itu timbul dalam hati kita untuk tidak melakukannya, kemudian kita mula memberikan alasan kepada diri kita mengapa ia tidak mahu kita lakukan. 'Nantilah', 'esok pun boleh', 'orang lain dah buat', 'nanti apa orang kata' adalah antara yang biasa kita dengar dari mereka yang berusaha untuk menyediakan pelbagai alasan untuknya. Ketika perkataan itu diungkapkan, pemikiran mereka masih sibuk menjana pelbagai alasan-alasan lain sehinggakan mereka hanya menumpukan kepada penghasilan alasan. Semakin banyak alasan, sebenarnya semakin jauh ke belakang atau semakin dalam kita terbenam dari keluar untuk mencapai sesuatu kejayaan. Keraguan secara langsung akan membesarkan 'kilang' alasan dalam kehidupan kita. Keraguan akan tambah meningkat apabila persekitaran kita juga adalah mereka yang membantu untuk kita membina alasan-alasan yang kita rasakan munasabah untuk kita. Alasan hanya cara untuk kita melepaskan diri dari keraguan, tetapi ia tidak pernah menghilangkan keraguan tersebut.
Jika kita fikirkan bersama, keraguan adalah perkara yang biasa dalam masyarakat kita. Kenapa dalam masyarakat kita? Adakah tidak wujud dalam masyarakat lain? Keraguan ada di mana-mana pun. Apatah lagi apabila kita berhadapan dengan keadaan yang tidak pernah dilalui atau berhadapan dengan perkara yang kita tidak tahu akan hujung pangkalnya. Kebiasaan yang dilihat dalam masyarakat kita, tidak menggalakkan anak-anak khususnya dalam melakukan pelbagai penerokaan dalam kehidupan. Masyarakat kita lebih gemar untuk melakukan perkara yang biasa dan melihat anak-anak mereka melakukan yang kebiasaannya dilakukan oleh orang lain. Sehinggakan, walaupun yang dilakukan itu suatu kesalahan, ia jadi tidak mengapa hanya kerana orang lain melakukannya. Ia bukan hanya pada masyarakat kita, tetapi banyak masyarakat lain yang juga berada pada situasi yang sama bahkan kebanyakan masyarakat tersebut tidak mampu untuk maju ke hadapan atau lambat dari sudut kemajuan berbanding mereka yang lain. Sekali lagi, keraguan itu bukan hanya menarik kita secara peribadi, bahkan apabila ia berjangkit dalam masyarakat, ia mampu menarik sesebuah kerajaan atau kelompok masyarakat ke belakang. Mengatasi keraguan adalah amat sukar buat kita semua. Apabila kita menongkah arus, maka kita dilihat sedang berusaha untuk membuat kerosakan. Namun dalam membina kejayaan, melawan kebiasaan adalah kebiasaan yang membawa kita ke bawah. Bukan bermakna, melawan kebiasaan itu dengan mengubah sesuatu kebaikan hanya kerana kita ingin mengubahnya. Ubah ia kerana ada pilihan lebih baik dari yang baik atau pilihan yang baik berbanding yang tidak baik.
Maka dapat kita fahami bahawa, keraguan menyekat manusia itu untuk mencari lebih baik dan mengubah yang buruk kepada baik. Tambah parah, apabila keraguan ini mula dicampur adukkan dengan kepercayaan mistik bahkan keyakinan kerohanian. Apabila keraguan bersandar kepada perkara yang tidak dapat diterima oleh akal tetapi yakin di dalam hati, ia jauh lebih sukar untuk diperbaiki kerana keyakinan yang dipegang adalah pada sandaran yang tiada bukti atau hanya pada 'apa orang kata'. Ini adalah perkara yang semua kita dapat fahami dan banyak berlaku dalam kehidupan kita seharian bahkan dalam masyarakat kita. Untuk menghilangkan sekatan ini, harus bermula dari membuang segala kepercayaan yang tiada asas atau bukti jelas padanya. Mula untuk berpegang kepada sesuatu yang terbukti dan elakkan dari bersama mereka yang menyebarkan pelbagai kepercayaan pada 'apa orang kata'.
Yakin adalah lawan kepada ragu-ragu. Yakin yang akan membawa kepada pelbagai kejayaan, tetapi tidak bermakna tidak akan gagal. Jangan pula kita berpandangan, cukup sekadar ada keyakinan maka kita akan berjaya. Keyakinan akan membunuh keraguan. Tanpa keraguan menjadikan kita tidak taku mencuba. Berani mencuba natijahnya akan berkumpul segala pengalaman baik dan buruk yang mana pengalaman adalah guru yang terbaik buat kehidupan kita. Melalui pengalaman tadilah kita membina kejayaan. Sentiasalah berpegang bahawa tiada jalan rentas untuk berjaya, yang ada cuma jalan sukar untuk berjaya. Jika kita bertemu jalan rentas, kita bersama percaya selepas mereka melalui perlbagai jalan kesusahan sebelumnya. Ragu-ragu adalah musuh dan lawannya adalah keyakinan. Melalui keyakinan, kita akan mampu mencipta kejayaan.
Comments