Pengalaman menjadikan kita semakin dewasa semakin menghargai masa yang kita punyai ini. Perasaan sering terlalu cepat berubah mungkin disebabkan faktor usia yang semakin bertambah. Orang yang baru mengenali akan berasa selesa dan menilai diri kita sebagai seorang yang amat tenang dan berfikiran jauh tetapi pada hakikatnya, kita yang hari ini amat berbeza dibandingkan dengan yang dahulu. Suatu ketika dahulu, kita berasa ketawa adalah ubat kepada keadaan duka dan sengsara kehidupan. Melalui ketawa kita dapat menyelesaikan banyak permasalahan dan ketawa itu petanda hati bahagia. Menangis itu tanda tewas, kalah dan lemah. Tangisan itu tanda tamat dan berserah, tidak dapat hendak ke mana melainkan apa yang telah ditakdirkan untuk diterima sahaja. Begitulah lumrah kehidupan bagi sebahagian kita, namun sebenarnya adalah jauh berbeza. Ramai kita hanya menilai pada kedua penghujung tetapi ramai yang tidak menilai dari sudut kesederhanaan dan keseimbangan antara keduanya. Sebab itu, menangis tidak bererti tewas atau kalah boleh jadi menang dan sebaliknya dan yang membezakannya adalah dengan berfikir.
Mari kita bersama amati kehidupan kita. Berapa banyak kita ketawa, berfikir dan menangis? Kesempurnaan kehidupan kita perlu kepada tiga perkara ini. Gembira dengan rezeki yang kita perolehi, tetapi kita harus ingat Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam kerap kali menangis bahkan di dalam catatan sirah, sahabat-sahabat Baginda seperti Abu Bakar As-Siddiq juga adalah antara individu yang kerap menangis khususnya apabila mendengar ayat-ayat Allah s.w.t. dibacakan. Firman Allah s.w.t. di dalam usrah Al-Isra' ayat 107 hingga 109 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan sebelumnya apabila al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud dan mereka berkata: ‘Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi. Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk.” semua itu adalah atas nikmat yang diterimanya. Jauh berbeza dengan kita pada hari ini. Apabila diberikan nikmat maka tersenyum lebar, ceria dan manis muka akan tetapi jika sebaliknya, masam mencuka sehinggakan tidak mahu bertegus sapa. Semua hanya kerana kita berasa layak untuk menerima kebaikan itu sehingga lupa yang memberikannya, yang mengizinkannya hanyalah Allah s.w.t..
Jika kita kenangkan, ketawa kita buat hampir setiap hari. Jika tidak, hidup seolah-olah dirundung malang dan tiada semangat serta keceriaan. Namun pernahkah kita diperingatkan, disebalik ketawa perlu ada rasa syukur kerana keamanan dan ketenangan yang dirasai kerana dalam waktu yang sama mungkin teman kita sedang berduka. Maka disinilah datangnya fikir. Apabila tiba waktu berfikir, bermulalah kita memikirkan jalan penyelesaian, turut merasai kesukaran yang dihadapi teman kita. Peruntukkanlah masa untuk kita berfikir, usah penuhi hidup hanya dengan ketawa yang tiada sudahnya. Berfikir itu punca zikir. Berfikir itu tanda kita ingat dan ingat kepada DIA yang Maha Memberi segala apa yang ada pada kita hari ini. Berfikir hanya akan datang pada orang yang mahu. Mahu mencari kehidupan yang lebih pasti dan mahu mencari kebenaran kehidupan yang sebenarnya hanya sementara dan tidak abadi. Maka, apabila ada tawa, berfikirlah, pada setiap tawa itu pasti ada duka yang diubatkan dan yakinlah pada setiap duka itu akan diberikan penawar tawanya. Semua itu kerja DIA yang Maha Mangaturkan.
Apabila daya fikir ini hidup, maka hati akan mudah rasa bersalah, berdosa dan rasa sedih akan meliputi diri kita. Inilah waktu indah bermuhasabah diri kita. Andai hari ini kita ketawa tetapi saudara kita menderita, apakah kita mengambil peranan dan tanggungjawab kita? Ketawa kita adalah rasa gembira dan di dalamnya perlu ada cakna akan keadaan insan lain disekitar kita. Kita bersama fikirkan hari ini, ketawa hanya untuk membawa bahagia dan kekadang itu ketawa yang mempersenda bahkan menghina orang lain dengan untuk mencederakan hati dan jiwanya. Oleh sebab itulah, ada yang berpendapat, ketawa adalah musuh kepada orang yang beriman. Ketawa senda gurau ahli keluarga menambah kemesraan, itulah ketawa yang kita mahukan. Ketawa yang penuh kasih sayang dan ada pengajaran. Mari kita fikirkan sejenak, bayangkan diri kita jika kita seorang pelajar, dalam sehari, berapa banyak kita ketawa? Berapa lama kita berfikir? Bila kita muhasabah diri kita? Jika kita seorang guru pula, berapa banyak kita buatkan orang ketawa? Berapa ramai yang berfikir dan bermuhasabah diri bila bersama kita? Jika kita orang pejabat pula, berapa ramai yang ketawa kerana kita di pejabat dan berapa ramai pula yang kita berjaya ajak mereka berfikir dan muhasabah diri?
Ketawa bukanlah satu larangan tetapi harus ada sempadan, begitu juga tangisan dan yang mengimbangkan keduanya adalah kemahuan dan keupayaan berfikir. Berfikir pada perkara yang hendak kita ketawakan dan berfikir pada perkara yang hendak kita tangiskan. Berfikir akan menjadikan tindakan kita itu rasional dan diterima ramai orang. Jika kita mampu ketawa, maka ajak orang lain ketawa bersama kita, jika kita mampu berfikir, maka galakkan orang lain berfikir, jika kita selalu menangis, maka ingatkan juga orang lain tentang perkara yang kita tangisi. Mungkin kerana itu, kita digalakkan untuk mengingati mati, jadikan hari ini lebih baik dari semalam. Jom TUNE diri kita semula demi hidup yang lebih bermakna. Ketawa, berfikir dan menangis setiap hari.

Comments