Apabila kami perlkenalkan Belajar Berkumpulan (dahulu dikenali dengan SMART Study Group, hasrat kami bukan sekadar meningkatkan motivasi individu untuk belajar, tetapi melalui Belajar Berkumpulan, mereka dapat membina perhubungan yang mempunyai fokus yang sama dalam pembelajaran mereka. Untuk sampai ke tahap itu, maka antara perkara penting yang perlu diambil perhatian adalah dengan mengenali dan memahami rakan-rakan di dalam kumpulan mereka masing-masing.
Kami memilih untuk memperkenalkan metodologi Belajar Berkumpulan ini agar anak-anak dapat mengekalkan keseronokan mereka bersama rakan-rakan mereka. Pada kami, yang akan membantu mereka belajar itu adalah keseronokan bukan berapa lama tempoh pembelajaran itu berlangsung. Bagi mendapatkan keseronokan itu, antara lainnya adalah dengan melibatkan mereka bersama-sama rakan mereka dan melakukan perkara penting seperti belajar dengan cara mereka yang tersendiri dan dipantau oleh fasilitator yang terlatih kami atau para guru bahkan mungkin ibu bapa mereka sendiri. Oleh sebab yang demikian, melalui cara ini keseronokan akan dapat dibina dan pada masa yang sama akan membuka ruang kepada mereka untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Perkenalan itu akan menyebabkan timbulnya rasa kasih sayang, prihatin, ambil berat serta pertimbangan rasa yang positif kepada anak-anak. Melalui perkenalan juga akan dapat mendidik mereka untuk membezakan mana kaca dan mana permata. Berkawan itu tiada had dengan sesiapa, tetapi meletakkan kepercayaan itu bukan sebarangan tempatnya.
Perkenalan ini akan berhasil untuk anak-anak sendiri menimbang situasi rakan-rakan mereka. Kesukaran mengajak rakan-rakan untuk bersama-sama dalam usaha mencapai kejayaan akan menjadi pelajaran penting buat mereka. Ada rakan yang boleh belajar bersama dan ada rakan yang hanya mahu seronok bersama dan ada rakan yang boleh dijadikan contoh dan ikutan yang baik. Apabila anak-anak berhadapan dengan situasi beginilah, ibu bapa atau para fasilitator yang membimbing perlu memainkan peranan memberikan pesanan dan nasihat yang membangunkan jiwa mereka. Elakkanlah daripada kita menanam benih kebencian atau merendahkan orang lain, sebaliknya tekankan mengenai perbezaan diri manusia tergantung kepada bagaimana kehidupan mereka sebelumnya dan apa yang mereka harapkan pada masa akan datangnya. Sekaligus kita akan dapat menjelaskan kepada anak-anak mengenai kewujudan manusia dalam tiga fasa, sebelum, semasa dan selepas. Peranan menghukum atau merendahkan orang lain itu hanya akan memburukkan keadaan. Sampaikan pesanan, betapa merekalah orang yang terbaik untuk membawa perubahan kepada rakan-rakan mereka sendiri mungkin kerana, ibu bapa rakan-rakan mereka tidak dapat melakukannya atas halangan-halangan yang tidak dapat kita fikirkan.
Pada peringkat awal, sekiranya, anak-anak itu dapat mengawal dan membantu rakan-rakan mereka yang lain, maka itu petanda bahawa, rakan mereka bersedia untuk dibantu. Itu antara kelebihan Belajar Berkumpulan yang meletakkan syarat sekurang-kurangnya 4 orang dalam satu kumpulan agar mereka sentiasa dapat berbincang untuk menyelesaikan sebarang isu yang timbul. Namun tidak pula kita nafikan, ada kemungkinan mereka akan gagal menghasilkan perubahan yang diharapkan, bukan bererti kita perlu berputus asa, tetapi boleh dibincankan tatacara lain untuk membantu dan mungkin dengan memilih untuk tidak meneruskan Belajar Berkumpulan juga adalah sebahagian dari bantuan yang berkesan untuk mereka. Tiada cara lain untuk berhadapan dengan sikap negatif rakan-rakan melainkan dengan menambah nilai positif pada kita. Tidak mungkin bagi seorang yang positif, mengurangkan positif kerana negatif orang lain. Nabi pernah berpesan, jangan kurangkan kebaikan kita hanya kerana keburukan orang lain. Maka, apabila dalam usaha kita mengenali rakan-rakan kita dan berhadapan dengan mereka yang amat negatif, ketika itulah nilai positif kita perlu ditambahkan, peranan fasilitator dimanfaatkan dan oleh sebab itu, ibu bapa juga harus memiliki tenaga positif yang amat kuat untuk memastikan keseimbangan itu kepada anak-anak dapat disesuaikan.
Segala tindak-tanduk kita yang positif itu akan meningkatkan kepercayaan rakan-rakan anak kita kepada mereka. Inilah yang sebenarnya diperlukan oleh anak-anak iaitu perasaan memerlukan dan mereka juga perlu merasai perasaan diperlukan. Antara sebab mengapa anak-anak kita mudah hilang motivasi, hilang peranan serta hilang matlamat dan hala tuju adalah kerana hilangnya rasa kepentingan diri dalam proses kehidupan seharian mereka sendiri. Ia adalah akibat dari terlalu bergantung kepada aktiviti rutinan atau disiplin yang hanya berulang tanpa tahu sebab ia diperlakukan. Kita semua sedar dan tahu bahawa belajar itu perlu dirutinkan, tetapi cara pembelajaran itu boleh dipelbagaikan. Itulah kelebihan apabila kita memperkenalkan Belajar Berkumpulan dengan harapan mereka dapat mengekalkan rutinan yang berbeza pendekatan dan tidak jemu-jemu untuk neneroka kerana banyaknya dorongan dari ibu bapa, fasilitator bahkan dari rakan-rakan mereka sendiri. Aktiviti rutinan yang terlalu rutin akan mematikan deria rasa penting diri kepada sekitar mereka dan akhirnya mereka berasa 'aku bukan siapa-siapa', aku bese-bese aje' dan bukan begitu yang kita mahu. Ungkapan itu kita boleh terima sekiranya ia sebagai perlambangan merendah diri tetapi bukan alasan untuk melakukan lebih baik dalam kehidupan. Jom galakkan anak kita Belajar Berkumpulan.
Comments