Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

MUHASABAH EMOSI



Inilah namanya kehidupan. Setiap perkara yang datang pasti ada sebab dan keperluannya. Namun kita sebagai manusia, mudah lalai apabila senang bahkan cepat lupa pada apa-apa yang pernah dilalui sama ada senang atau susah. Lupa dan lalai ini akhirnya menjadikan kita orang yang suka menyalahkan sehingga kita cepat menyalahkan takdir bila kita susah. Seolah-olah Tuhan itu zalim untuk menjadikan segala yang buruk itu untuk kita. Sebagai manusia beremosi, itulah kelemahan kita dan itu bukti kita masih punya jiwa. Rasa penat, sedih, tertekan, pedih, sakit, marah, tersinggung yang akhirnya emosi ini menjadikan kita mengamuk, menangis dan memerlukan bahu orang lain untuk diletakkan. Itu normal bagi manusia. Cuma dalam kehidupan hari ini, mengawasi diri dari dikuasai emosi itu juga satu kemahiran yang perlu ditekuni. Ramai kita hari ini gagal untuk mengawal emosi mereka tambahan pula ada banyak dinding-dinding media sosial yang boleh dijadikan tempat untuk melepaskan segalanya. Contengan di dinding batu itu vandalisme, tetapi di dinding media sosial, kata mereka, 'apa salahnya? hak aku dan aku ada kebebasan bersuara.' Manusia hari ini sudah hilang nilai kewarasan dengan media sosial mereka. Sudah tidak ada lagi nilai kemanusiaan, nilai kesejagatan yang ada cuma nilai peribadi, individualistik 'yang penting untuk aku dan ia hak aku.'

Sewajarnya kita sebagai manusia yang dianugerahi akal, perlu memaksimumkan penggunaannya. Apa tidaknya, dalam kebanyakan keputusan harian yang kita buat, selalunya emosi yang akan mendahului akal. Natijahnya, keburukan lebih besar daripada kebaikan yang kita terima. Salahkan orang lain atau salahkan Allah? Atau sebenarnya kesalahan dan kesilapan itu ada pada kita? Sudah tentu bagi mereka yang beremosi cerdas, menyalahkan Allah itu satu dosa, menyalahkan orang lain itu hanya alasan yang dibuat-buat dan bukan itu cara yang kita akan pilih. Tentu sekali tidak, kerana setiap kita diberi kuasa untuk memilih, maka gunakan akal kita untuk membuat pilihan jangan hanya menggunakan emosi. Inilah yang dikatakan sebagai kesedaran emosi atau kecerdasan emosi. Melemparkan segala macam cacian atas sifat buruk orang lain di media sosial saling tidak ubah seperti membuka sikap sendiri. ini kebiasaan hari ini. Kononnya untuk jadi pengajaran, tetapi untuk mereka yang mengambil pengajaran, bagaimana jika mereka yang ingin mengambil kesempatan? Kita tidak akan mampu sekat siapa yang membaca dinding media sosial kita. Allah beri ujian kepada manusia untuk menilai sejauh mana hukum Tuhan yang dipegang mengatasi hukum kepentingan diri sendiri. Bagaimana segala hukum Tuhan itu sama ada dihayati atau hanya digunakan untuk raih simpati. Islam ini rahmat kepada keseluruhan alam. Islam yang menjadi rahmat bukan bermakna semua orang perlu menjadi Muslim. Islam hanya dapat dilihat melalui pelakunya, Muslim itu sendiri. Rahmat hanya akan dapat dirasai apabila pelakunya melaksana yang telah diperintah kepadanya. Rupanya, hari ini, Allah jadikan kemudahan ini pula sebagai ujian buat kita. Bagaimana untuk kita kawal dan gunakan sebaiknya.

Kawalan diri perlu dilatih setiap saat dan masa yang ada sementara kita masih hidup. Tamat urusan di dunia, tiada kawalan lagi yang perlu hanya harapan kepada amalan yang dibawa. Latih diri untuk tidak selalu menyalahkan - menyalahkan orang, menyalahkan situasi, menyalahkan perkara atau menyalahkan sesuatu benda. Jangan banyak sangat komen dan jangan banyak sangat songehnya. Apabila berhadapan dengan ujian dalam kehidupan, kesukaran dengan seseorang, tersinggung, marah, terasa hati, cepat-cepatlah kembali kepada Allah s.w.t. dan carilah teman yang boleh menjernihkan keadaan. Meluahkan tanpa menerima maklum balas, sebenarnya seperti ibarat mencurah minyak petrol ke api, ia akan marak dan membesar. Kita harus tempuhinya sahaja dengan kesabaran dan solat, lalu ambil pengajaran. Ini membolehkan kita lebih fokus kepada matlamat asal kita serta kita memastikan laluan ke arah matlamat tadi lebih terang, tiada penghalang dan lancar sahaja. Ingatlah, ujian yang datang adalah untuk memberikan beberapa kebaikan kepada mereka yang percaya kepada Nya. Ada beberapa ciri yang kita perlu bangunkan dalam diri kita bersama.

Pertama, sifat redha dan rendah diri. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Furqan ayat ke 63 bermaksud; "Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhai Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapi kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini."

Maka dari ayat di atas juga dapat kita fahami, ciri yang kedua adalah terpancar wajah ketenangan dalam setiap situasi yang kita hadapi itu, sama ada di balas dengan kata-kata yang baik ataupun menjauhkan diri dari berbuat sesuatu yang buruk terhadap orang lain. Ketiga, kesabaran yang tidak pernah kita jangka dan kelapangan hati menghadapi setiap ranjau dan liku. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Taahaa ayat 132 yang bermaksud, “Dan perintahkan kepada keluarga kamu untuk mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya, kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kami yang memberi rezeki kepadamu dan akibat yang baik itu adalah bagi orang-orang yang takwa."

Keempat, kekentalan jiwa, keteguhan prinsip dan pegangan terhadap kehidupan dan kepercayaan kita. Catatan At-Tirmizi, beliau menjelaskan bahawa Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam banyak berdoa agar teguh pegangan agamanya, antara doanya yang mahsyur adalah, “Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama Mu.” Kelima, tidak leka atau lalai dengan kemudahan, kesenangan dan kemewahan kerana kita telah bersedia. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Muhammad ayat 36 yang bermaksud, “Sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan gurauan. Jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta hartamu.”

Terakhir, yang keenam, sentiasa bermotivasi dan bersemangat dalam menempuh hari-harinya walaupun bagi orang lain, 'sudah tiada esok untuk ku'. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Hadid ayat 22 yang bermaksud, "Tiada suatu bencana yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”

Menurut riwayat hadis dari Ibnu Hibban yang bermaksud, "Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam bersabda, Allah s.w.t. berfirman: “Aku Allah, menurut sangkaan hamba Ku kepada Ku. Jika dia menyangka baik kepada Aku, maka baginya kebaikan sangka baiknya kepada Aku dan jika dia menyangka dengan sangkaan buruk kepada Ku, maka baginya sangkaan buruknya kepada Ku.” Moga dapat menjadi renungan untuk kita.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...