Saturday, July 11, 2020

MOTIVASI MENGEKALKAN FOKUS

Susah sebenarnya bagi seseorang yang digelar motivator itu ingin meemotivasikan orang lain. Ilmu, pengetahuan serta segala persiapan untuk dibawa diri bertemu dengan orang lain amat mudah untuk difahami dan dipersiapkan, tetapi untuk memastikan ia diterima dan meninggalkan kesan, itu sudah pasti sesuatu yang amat tidak dapat dipastikan. Namun, ramai juga yang berpandangan, motivator boleh menyelesaikan masalah mereka yang bermasalah, tetapi apa pula jaminan yang boleh diberikan oleh motivator? Hanyalah dengan keizinan Allah sebagaimana seorang doktor pakar yang merawat kanser juga. Kanser dapat dilihat dan dikenalpasti, apatah lagi yang berkaitan dengan motivasi. Ia tidak fizikal, tetapi ia berkait dengan emosi dan rohani.

Namun, motivator bergerak pada beberapa dasar yang hampir serupa. Melihat dan menilai kepada kejayaan dan kecemerlangan orang lain, maka nilai itu diadaptasikan dan dikongsikan, malah, ia bukan hanya dari sebuah kisah orang lain, tetapi sebenarnya datang dari kisah diri motivator itu sendiri. Orang kata, untuk lebih mujarab, maka kita perlu rasainya dahulu, baru boleh cerita. Seorang motivator juga memerlukan motivasi dirinya sendiri. Tiada siapa dapat lari dari sifat lemah dan lalai kadang kala juga longlai. Maka, wajar untuk anda fikirkan bagaimana motivator ini memberikan motivasi jika dia sendiri dalam keadaan yang tidak bermotivasi?

Keraplah bertanya kepada diri sendiri apa sebenarnya motif kehidupan kita ini? Motif kehidupan sebagai seorang lelaki atau perempuan, anak, isteri atau suami dan ahli keluarga atau ahli dalam masyarakat juga tempat kerja. Jawapan kita mungkin amat berbeza dan itulah asas kepada motivasi diri kita. Ada yang disebabkan rasa tanggungjawab sebagai ketua keluarga, ada yang ingin mengeluarkan diri dari kemiskinan dan tidak kurang juga yang berhasrat untuk hidup kaya dan senang lenang pada hari tua mereka. Oleh kerana itu, tetapkanlah fokus anda itu dan yang lebih penting bukan fokus besar itu, tetapi sebenarnya fokus besar anda setiap hari. Apa yang ingin anda capai hari ini? Pencapaian setiap hari adalah punca kepada pencapaian pengakhiran yang cemerlang. Ingin memiliki sebuah kereta Ferrari tidak mungkin dengan mengharapkan pendapatan tiba-tiba melebihi 2 juta ringgit. Sebaliknya, ia perlu dijana bermula dari hari ini sehinggalah sasaran itu tercapai dengan kerja gigih kita. Tidak semua orang bernasib baik menang loteri apatah lagi bagi seorang muslim, itu adalah haram.

Maka kejayaan itu sebenarnya adalah perkara yang bermula dengan fokus harian kita sahaja. Usahlah kita berangan-angan mat jenin, yang hari ini tiada hasil sudah mengharap sesuatu 10 hari akan datang. Itu amat mustahil. Usaha mesti pada langkah pertama, jatuh dan bangun itu perkara biasa sahaja dalam kehidupan orang yang berusaha. Baru ada kemanisan dalam kejayaannya. Inilah yang telah dijelaskan Islam kepada penganutnya dan inilah yang telah kita imani sejak lama tetapi mungkin gagal dari segi pelaksanaannya. Fokus dalam Islam adalah amat sinonim dengan niat bahkan niat itu kita hadirkan pada setiap waktu ibadah kita bukan? Persoalannya, waktu mana lam kehidupan kita ini yang tidak termasuk dalam ibadah? Ya, itulah kelebihan kita. Setiap saat hidup kita adalah ibadah jika diniatkan untuk kesempurnaan hidup demi Allah s.w.t.. Hebat bukan?

Segala macam niat tidak boleh disusuli dengan perbuatan buruk maka perbuatan orang yang berniat semestinya adalah disusuli dengan kebaikan. Maka dengan niat itulah kita membina fokus kita kepada sesuatu perkara. Lihat sahaja mereka yang merokok, apabila sudah berniat puasa pada malamnya, mereka mampu menahan dirinya dari merokok sepanjang hari. Itulah kuasa niat yang memberikan kesan langsung dalam diri seseorang untuk berfokus. Sebuah hadis yang masyhur, Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam pernah bersabda, dari Amirul mu’minin Abu Hafs yaitu Umar bin Al-khaththab berkata, "Saya mendengar Rasulullah bersabda, 'Sesungguhnya semua amal perbuatan itu dengan disertai niat-niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang telah menjadi niatnya. Maka barangsiapa yang hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itupun kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehinya, ataupun untuk seorang wanita yang hendak dinikahi nya, maka hijrahnya pun kepada sesuatu yang dimaksud dalam hijrahnya itu'.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Motivasi itu puncanya dari fokus manakala fokus itu bertitik tolak dari niat yang dipasang pada awal waktu sesuatu keputusan atau tindakan itu dibuat atau diambil. Ia saling bersangkutan antara satu sama lain dan pastinya tidak dapat dipisahkan. Samalah halnya dalam segala amalan ibadah khusus yang mengejar darjat khususul khusus dalam puasa, mabrur dalam haji serta khusyuk dalam solat. Ia juga pada dasarnya merujuk kepada fokus kita dalam beribadah. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud, “Dan tidaklah mereka itu diperintahkan melainkan supaya sama menyembah Allah, dengan tulus ikhlas menjalankan agama untuk-Nya semata-mata, berdiri lurus dan menegakkan shalat serta menunaikan zakat dan yang sedemikian itulah agama yang benar.”

Kembalikan keikhlasan itu dalam perbuatan kita, nescaya niat akan berhasil, fokus akan tercapai dan motivasi akan sentiasa terhidang dalam kita melayari kehidupan sementara di dunia.

No comments: