Seorang anak muda, mahasiswa, menyertai sebuah kursus yang dianjurkan di sebuah sekolah dan di sana dia menjadi fasilitator kepada anak-anak buah kumpulannya. Kursus berlangsung selama tiga hari dua malam. Anak muda ini menjalankan tanggungjawabnya dengan baik serta tidak putus-putus memberikan pesanan kepada anak buahnya tentang perkara dan baik yang harus dilakukan dan perkara buruk yang perlu ditinggalkan. Dia solat berjemaah awal dan disenangi oleh anak buahnya. Namun, setelah tamat kursus, apabila pulang, ada dikalangan teman sekampusnya berkata, "Tak payah poyo sangatlah pergi jadi fasi sana-sini. Hakikatnya kau sembahyang pun hujung waktu, hipokrit tau tak?" Tersentak anak muda ini apabila dia mendengar pesanan temannya itu lalu mula berfikir adakah dia mahu meneruskan aktiviti yang disukainya ini?
Agaknya, berapa ramai dikalangan yang membaca catatan ini mempunyai kegusaran dan pemikiran yang begini? Bahkan mungkin ada sebahagian dari mereka yang kita kenali sudahpun meninggalkan usaha-usaha baik ini kerana mereka berasa tidak layak untuk bercakap soal kebaikan kerana mereka belum melakukannya. Kita bersama ada keyakinan bahawa masih ada rakan dan teman kita di luar sana yang terus menerus bercakap seumpama itu, tapi mengapa mereka susah hati dengan apa yang kita lakukan? Kenapa mereka ingin mematikan sumbu-sumbu cahaya yang cuba untuk menerangi kegelapan orang lain ini dan betul ke kita yang melakukannya ini hipokrit?
Pertama sekiranya ada dikalangan teman-teman kita yang bertindak sedemikian, maka sebaiknya kita jahuilah mereka agar sumbu keimanan yang menyala itu tidak terpadam kerana hembusan kebencian dan dengki mereka terhadap kebaikan yang sedang kita lakukan. Perasaan hipokrit manusia itu sentiasa menjadi alat oleh iblis untuk menimbulkan rasa ragu-ragu pada perbuatan kita khususnya pada kelemahan kemanusiaan itu sendiri. Kebencian dan dengki inilah yang akhirnya menjadi sebahagian faktor tercampaknya Nabi Adam alaihissalam ke muka bumi Allah s.w.t.. Dihembuskan pada hati manusiaini antara kebaikan dan keburukan itu bagi memastikan kita membuat pilihan yang salah. Musuh kita itu tidak akan menuntun kita melakukan maksiat, tetapi dibisikkan kita agar kita yang melakukan maksiat. Sebab itulah bersama orang-orang yang beriman ini adanya pintu keampunan di sisi Allah s.w.t. yang maha luas tanpa sebarang sempadan. Maka, Nabi Adam alaihissalam pun beristighfar memohon keampunan dan diampunkan allah s.w.t. akan dosa-dosanya.
Dakwah adalah kewajiban setiap individu muslim. Ia bukan satu pilihan. Kita telah dicontohkan oleh Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam bagaimana baginda menonjolkan dirinya sebagai qudwah hasanah ikutan kita manusia sehingga ke akhir zaman. Maka, selagi mana kita kasih dan ingin bersama dengan jalannya, maka tidak sepatutnya persoalan ini timbul. Bagi kita sebagai muslim yang mencontohi baginda, sudah tentulah kita sepatutnya sentiasa berusaha untuk melakukan perubahan yang lebih positif dalam kehidupan kita. Mustahil kita akan membiarkan segala nilai-nilai buruk itu bersarang dan berkembang dalam diri kerana sudah tentu kita sendiri menanam rasa benci terhadap setiap perkara buruk itu walaupun ada hakikatnya kita pernah atau mungkin sedang melakukannya. Perasaan sebegini harus ada dalam diri kita, iaitu membenci keburukan-keburukan yang ada dalam diri kita dan sentiasa datangkan niat untuk melakukan perubahan atau hijrah.
Hipokrit pada dasarnya bermaksud bila di hadapan orang sedang melihat, kita berpura-pura melakukan kebaikan itu tetapi pada masa yang sama, kita amat membenci kebaikan itu, dan ingin lari dari kebaikan itu. Sebaliknya apabila tiada yang melihat kita, kita lakukan kejahatan, dan kita amat sukakan kejahatan yang dilakukan itu. Nauzubillahiminzalik. Kesimpulannya, hipokrit ini terletak kepada tiga perkara utama iaitu;
- Berpura-pura dalam membuat kebaikan;
- Melakukan kebaikan itu dalam keadaan terpaksa dan di sebenarnya benci untuk melakukannya serta;
- Lebih menyukai kejahatan.
Maka, dapatlah kita fahami bersama bahawa, sekiranya, kita melakukan sesuatu perkara kebaikan dan timbul rasa suka melakukannya walaupun dalam keadaan kita masih melakukan dosa, itu belumlah dinilai sebagai hipokrit, sebaliknya kita harus mempunyai niat untuk berubah dan berterusan memohon ampun kepada Allah s.w.t.. Sifat hipokrit yang tidak dibendung akan menatijahkan tiga sikap berikut;
- Bermuka dua - maksudnya, berpura-pura baik di hadapan tetapi di belakang buat perkara sebaliknya;
- Tidak sedar diri sendiri - contohnya dia mengata kepada orang lain, tetapi diri sendiri tidak sedar apa yang berlaku serta;
- Pentingkan diri sendiri - seperti dia sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki apa yang diingini dan tidak menghiraukan orang lain. Ada juga yang sanggup buat sesuatu untuk menunjukkan identiti baiknya kepada orang lain.
Maka, sebagai anak muda, hipokrit ini harus dijauhi bukan hanya dalam soal penglibatan diri sebagai pendakwah bahkan dalam kehidupan seharian. Jika kita sendiri lari dari kerja dakwah hanya kerana kita takut menjadi hipokrit bukankah itu sebenarnya tanda-tanda hipokrit juga? Yakni menyukai kejahatan. Apatah lagi jika kita yang menjadi batu api pada kebaikan orang lain. Hipokrit bukan semudah dikatakan berpura-pura berbuat kebaikan sebaliknya jika kita melakukannya dengan rela hati dan bersungguh-sungguh itu bukanlah hipokrit sebagaimana yang diperkatakan. Apa yang penting, penilaian hipokrit pada pandangan manusia hanya pandangan yang lemah dan tidak seharusnya melemahkan kita. Apa yang paling utama kita perlu cari adalah bagaimana perhatian Allah s.w.t. terhadap setiap perilaku kita yang pastinya akan meninggalkan kesan jangka masa panjang buat kita di sana.

Comments