
Ibn Miskawaih, ahli falsafah Islam yang terkenal mentakrifkan akhlak itu sebagai keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian. Imam Ghazali radiAllahu anhu mengatakan: akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.
Akhlak mestilah didasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang ditinggalkan para Nabi buat manusia. Adakah ia bermakna tidak boleh dimiliki oleh orang bukan Islam? Secara umumnya, akhlak adalah sikap keperibadian mengenai tata nilai, hukum-hukum dan prinsip-prinsip tertentu yang dihayati dan diamalkan bagi memenuhi agenda kehidupan seharian serta berusaha menjauhi sifat-sifat tercela dengan tujuan membersihkan jiwa cuma, bagi Muslim, ia berasaskan wahyu Ilahi bagi mencapai keredhaan Allah s.w.t tetapi bagi yang bukan Islam, definisi ini amat siginifikan untuk diterima secara universal yang mana, tidak ada agama yang melarang kebaikan apatah lagi membenarkan perkara-perkara yang tercela.
Kami meletakkan nilai akhlak sebagai teras adalah kerana seorang fasilitator itu pasti akan mempunyai lingkungan yang melihat dan menilai diri mereka dengan apa yang mereka perkatakan. Bahkan, dalam kelompok fasilitator itu sendiri, akhlak adalah penentu bagaimana kita sebagai manusia akan berhadapan dengan pelbagai situasi masyarakat di luar sana serta menjadi ikon untuk memberikan kesan dengan harapan membawa perubahan kepada masyarakat walaupun hanya kepada segolongan yang kecil. Contoh jelas yang telah diberikan oleh Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam sepertimana yang kita ketahui perjalanan hidup Baginda yang dengan akhlaknya telah melembutkan ramai orang yang membencinya. Oleh sebab itulah harus disedari bahawa berakhlak itu bukan hanya ikut-ikutan, nilainya kosong atau tiada nilai asas yang dipegang. Akhlak adalah perilaku perbuatan dan tindakan manusia yang dilakukan dalam lingkungan dan suasana dengan sedar dan niat. Ikut-ikutan menjadikan perbuatan itu nilai kerana tidak mengetahui sebab apa ia dilakukan. Akhirnya perbuatan itu akan dilupakan dan hanya dijadikan rutinan yang semakin nipis keutamaannya.
Akhlak juga harus dilakukan dengan ikhtiar sendiri. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk memulakan kebaikan melainkan kitalah yang mengambil inisiatif untuk melakukannya. Adalah tidak benar jika sesuatu kebaikan yang kita sampaikan dengan lidah, lalu, orang lain yang melakukan apa yang kita perkatakan, kemudian, kita pula yang mengambil kredit atas perbuatan mereka itu sebagai berakhlak baik. Terkandung di dalam ikhtiar itu erti berusaha dan bersabar. Maka, perbuatan hanya mengambil kredit itulah yang tergolong dalam akhlak kosong. Akhlak juga adalah sesuatu perkara yang kita lakukannya dengan sengaja, tidak dalam keadaan lupa atau bersalah. Sebagaimana niat dalam solat kita dari sudut bahasanya, kerapkali kita ungkapkan 'Sahaja aku solat Zohor' atau yang sebenarnya lebih tepat lagi adalah 'Sengaja aku solat Zohor'. Istilah sengaja itu merujuk kepada keadaan diri yang sedar dan tahu akan perbuatan tersebut bahkan sentiasa memelihara diri dari melakukan perkara yang boleh membatalkan perbuatan tersebut atau kesalahan. Sekiranya berlaku pada seorang fasilitator itu perbuatan yang tidak sepatutnya, contohnya di dalam program atau kursus mereka mencarut, meninggalkan solat lalu, apa lagi yang boleh kita nilaikan kalau bukan akhlak mereka sekadar ikut-ikutan?
Bukanlah niatnya untuk melabel mereka yang menjadi fasilitator, tetapi pada kami ia adalah peringatan penting untuk kita semua berikan perhatian dalam memastikan apa sahaja program atau kursus itu menjadi ejen dalam membangun manusia itu sendiri. Kegagalan seorang fasilitator mengadaptasi apa yang diharapkan oleh pengendali adalah sebenarnya kegagalan pengendali itu sendiri dalam memaksimumkan potensi perubahan pada sasaran mereka. Pada awalnya, seorang fasilitator baru itu mungkin hanya ikut-ikutan, tetapi dia perlu disedarkan bahawa akhlak bukan sekadar ikutan tetapi perlu difahami makna disebaliknya. Usahlah menjadikan akhlak ini sesuatu yang dapat kita kompromikan hanya kerana kita hendak dilihat berjaya dalam melakukan sesuatu perkara. Bagi kami, tiada akhlak bermakna tiada ruang untuk mereka beraksi sebagai fasilitator sehinggalah ada usaha mengembalikan akhlak itu pada tempat di dalam diri mereka. Segala usaha itu pada kami dapat dinilai kepada beberapa prinsip umum seperti nilai ketundukan mereka kepada perintah Allah s.w.t (bagi yang Muslim) serta sentiasa menjadikan Baginda Rasul sebagai teladan yang baik termasuk berusaha berakhlak dengan akhlaknya Al-Quran. Niat mereka yang baik dan benar dalam melaksanakan tingkah laku yang baik itu. Tidak tergambar kepura-puraan walaupun pada hakikatnya kita tidak akan mampu melihat ke dalam hati mereka, tetapi, kita harus yakin, yang batil pasti akan terserlah. Nilaian yang juga pada kami penting adalah sentiasa berusaha mencari ilmu yang dapat memberikan manfaat untuknya dan untuk mereka yang ada bersama mereka.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang bermaksud; “Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia”. Semoga semua insan yang bergelar fasilitator diluar sana memiliki akhlak yang mulia dan yang penting bukan hanya ikut-ikutan dan bukan hanya akhlak yang kosong.
Sumber rujukan;
Comments