Tuesday, July 21, 2020

NAMPAK PELIKLAH DARI ORANG LAIN

Sejak dari pengalaman hidup di sekolah asrama dan kampus, memang dilihat mereka yang melakukan kerja dakwah ini agak berbeza dari orang lain. Tambahan lagi ketika di sekolah dan di kampus universiti, kegiatan berdakwah dilihat seperti amalan orang yang telah meningkat usianya. Mereka dinilai seperti terkeluar dari zamannya, berada di suatu tempat yang tidak sesuai dan tidak kurang yang mula beranggapan bahawa mereka ini ektremis, atau islamis yang hanya menumpukan kehidupan untuk beribadah khusus kepada Allah s.w.t.. Setiap hari, masa dan saat akan berpuasa, solat, membaca Al-quran dan seumpamanya. Maka, pandangan ini sekaligus memberikan tempias kepada anak muda yang ingin berkecimpung di dalam dunia dakwah. Hati mereka seakan berasa tidak bersedia untuk mengubah zaman serta berada di tempat yang tidak ada rakan seusianya. Mana tidaknya, dikala anak muda menghabiskan malamnya bersama rakan-rakan mungkin di kedai mamak, anak muda pendakwah ini menghabiskan masa di meja-meja usrah membincangkan hal-hal berkaitan akhirat. Ketika rakan-rakan mereka berada di 'lane' bowling bergembira, mereka sibuk memikirkan masalah umat, buat program dan anjurkan seminar-seminar. Nampak pelikkan?

Persoalannya yang kita perlu lontarkan semula kepada diri kita wahai anak muda pendakwah, adakah kita patut berasa pelik bila Allah pandukan hati kita untuk ada kecenderungan dan keutamaan yang berbeza berbanding orang lain? Apa sahaja yang kita lakukan adalah kerana berbalik kepada apa yang kita matlamatkan dan apa yang kita fahami dari sebab kehidupan di dunia. Bukan sebab apa orang kata. Apabila seorang anak muda, pada usia awalnya sudah mula memahami peranan dirinya dalam kehidupan ini, pasti yang dikejarnya adalah kesempurnaan kehidupan ini yang bukan dalam bentuk material semata-mata. Pasti anak muda itu fahami bahawa tiada larangan untuk membina kekayaan dan kesenangan hidup, tetapi dek kerana kesedaran yang tinggi maka mereka tahu bahawa, pada setiap apa yang ada pada dirinya ada hak bagi makhluk yang lain. Firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Saba' ayat 39 yang bermaksud; “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya."

Penjelasan mengenai rezeki yang Allah berikan kepada siapa sahaja yang berusaha mendapatkannya, namun, apabila ia dibelanjakan semula untuk kebaikan-kebaikan, maka Allah s.w.t. juga yang akan menggantikannya semula kerana segala yang kita ada itupun, DIA yang berikan untuk kita. Anak muda, mungkin terlalu awal untuk bercerita tentang rezeki dalam bentuk kewangan, tetapi harus kita yakini, rezeki pada manusia yang Allah berikan bukanlah hanya semata-mata wang ringgit. Sebagai anak muda, penilaian rezekinya harus lebih luas seumpamanya ruang masa, kecerdasan akal, kecergasan fizikal, kekuatan hati dan pelbagai lagi termasuk keamanan untuk kita manfaat masa belajar di sekolah atau di IPT. Sekiranya anak muda mengiktiraf ini sebagai rezeki dan setiap rezeki itu dituntut untuk kita menginfakkannya atau dinafkahkan untuk orang lain, maka sudah tentu anak muda tidak akan ketinggalan untuk menafkahkan sebahagian masanya, kecerdasan fikirannya serta kecergasan fizikalnya untuk dakwah apatah lagi dakwah itu ibadah dan ia adalah tuntutan Allah s.w.t.. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud; "Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa."

Sabda Baginda Rasulullah sallaallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dari Imam Muslim, “Islam bermula dalam keadaan asing (gharib), dan akan kembali di anggap asing sebagaimana bermula. Maka beruntunglah orang-orang asing itu(ghuraba).” Ghuraba' dari segi bahasa bermaksud dagang tetapi dalam hadith membawa maksud asing, janggal, pelik. Mari anak muda kita telusuri catatan Imam Tirmidzi yang meriwayatkannya dari Ibnu Mas’ud bahawasanya Baginda memerintahkan, “Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang yang asing.” Dalam riwayat Imam Thabrani dari Sahl r.a, Rasulullah sallallahu‘alaihiwasallam ditanya, “Siapakah Ghuraba' itu wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Iaitu orang-orang yang melakukan perbaikan ketika orang-orang lain rosak.” Oleh yang demikian, mengapa harus kita malu dilihat pelik kerana melakukan kebaikan. Apa yang sepatutnya berlaku adalah, memalukan untuk kita apabila dilihat melakukan keburukan dan seharusnya ia dilihat pelik dalam masyarakat. Malangnya hari ini, keburukan tidak dinilai pelik bahkan lebih parah apabila ia dianggap biasa sahaja. Anak muda yang tidak melakukannya diangap 'malaikat' yang terlindung dari dosa lalu ditertawakan.

Wahai anak muda, dalam riwayat Imam Tirmidzi dan Ibnu Majah dari Ibnu Mas’ud r.a. pula maksud ghuraba adalah orang-orang yang memutuskan diri dari golongannya. Maksudnya tidak fanatik dengan golongannya. Seharusnya anak muda hari ini tidak berasa kecewa apabila tidak melakukan kebiasaan yang dilakukan oleh teman-teman pada waktu hujung minggu atau waktu lapang mereka. Memisahkan diri dengan melakukan lebih banyak kebaikan itu lebih dimuliakan dari hanya memisahkan diri dan menyendiri tanpa memberikan manfaat kepada orang lain. Dalam riwayat Imam Baihaqi dan Imam Tirmidzi yang lain , maksud ghuraba adalah "Orang-orang yang menghidupkan sunnahku dan mengajarkannya kepada manusia.” Pada ketika inilah, apabila anak muda melakukan pelbagai kerja dakwah, maka sebenarnya mereka sedang melakukan sebahagian dari sunnah yang ditinggalkan Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam. Sunnah mengasihi anak yatim, fakir miskin orang tua serta anak-anak kecil denga menganjurkan program, kursus atau kempen yang mendakati mereka sebagai golongan sasar.

Terjemahan yang lain turut dinyatakan dalam riwayat Imam Ahmad dan Imam Thabrani, maksud ghuraba adalah “Manusia soleh yang sedikit di antara manusia yang banyak. Orang yang menentang mereka lebih banyak di banding yang mentaati mereka.” Maka, wahai anak muda, menjadilah kalian sebagai orang-orang yang soleh, sentiasa membuat kebaikan dan sudah tentu tidak ramai yang akan bersama dengan kamu. Akan tetapi, apabila ramai turut serta dengan kalian maka ingatlah firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nasr yang bermaksud, "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat."

Tiada siapa yang mahu diri menjadi pelik di dunia ini tetapi apabila telah datang perintah Nya, tiada siapa yang dapat menolaknya. Lihat sahaja sejarah, bermula dari Nabi Nuh alaihissalam, telah terlihat kepelikannya apabila mengajak manusia melakukan sesuatu yang diluar kebiasaan mereka. Para Nabi dan Rasul dicemuh, dihina, dicaci, difitnah dan pelbagai lagi kata-kata buruk yang dilemparkan hanya kerana mereka pelik dan mengajak kepada perkara-perkara pelik. Anak muda sekalian, kita belum lagi dihina dan dicerca sebagai mana yang pernah dirasai oleh para rasul dan nabi kita, setidak-tidaknya, kita masih ada ahli keluarga yang bersama kita. Kuatkanlah dirimu untuk terus menyebarkan kebaikan. Berbanggalah dengan kebaikan dan malulah dengan hal maksiat dan keburukan. Tidakkah kita pelik melihat masyarakat semakin gelap hatinya? Biar pelik pada mata manusia jangan jelik pada pandangan Allah s.w.t.

No comments: