Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

KERJAYA SEBAGAI SEORANG PENCERAMAH

Satu ketika dahulu penceramah bukanlah satu kerjaya yang menjadi idaman dan cita-cita ramai orang. Bahkan ingin berjumpa dengan seorang dari 100 orang pelajar pun amat sukar. Kerjaya menjadi penceramah bukanlah sesuatu yang sentiasa menjadi idaman dan digemari seperti ahli bomba, polis, tentera, doktor atau peguam bagi kanak-kanak di sekolah rendah. Jika perbualan ini dilanjutkan kepada kelompok pelajar sekolah menengah pula, mereka akan mula menyebut cita-cita seperti pereka hiasan dalaman, akauntan, jurutera, juruterbang atau mungkin pramugari. Walau apapun cita-cita mereka, pasti sesuatu yang mengujakan jika ada di antara mereka yang bercita-cita untuk menjadi penceramah. Gambaran mereka yang ingin menjadi penceramah ini adalah dilihat ia kerja mudah yang penting pandai bercakap, pandai bergurau serta ada humor dalam komunikasi. Pada fikiran mereka, penceramah ini, adalah satu kemahiran yang mudah untuk dibina dan yang paling utama senang buat duit. Hanya dengan bercakap sahaja. Tidak kurang yang merasakan bahawa kerjaya sebagai penceramah adalah kerjaya yang tiada masa hadapan atau ia boleh dijadikan kerjaya kedua atau 'part time'. Pandangan semua ini, ada benarnya dan ada juga yang kurang tepat, namun, ia tetap ada dalam pemikiran di luar sana. Hakikat hari ini amat berbeza. Semakin ramai yang mengaku dan memilih kerjaya sebagai penceramah. Ada yang sepenuh masa dan ada yang sambilan sahaja. Bidang mereka juga pelbagai dan ruang sebagai penceramah ini sudah mula menjadi persaingan antara satu dengan yang lain berdasarkan harga pasaran serta pengalaman yang penceramah itu bawa bersamanya.

Ceramah merupakan salah satu teknik pembelajaran sehala di mana penceramah atau orang yang memberikan ceramah bersyarah manakala audiennya mendengar dan cuba memahami setiap isi yang disampaikan. Jika berkesempatan, satu sesi soal jawab akan dibuka pada akhir sesi ceramah tersebut. Inilah kelaziman yang bermain di dalam pemikiran semua orang apabila dimaklumkan kepada mereka yang mereka akan mendengar ceramah. Namun, kebangkitan dan kelahiran ribuan penceramah hari ini khususnya di Malaysia, menjadikan sesi ceramah ini berinovasi dalam corak ia dipersembahkan. Penceramah lebih kreatif, lebih bersemangat, anggun, gempak dan kadangkala ada juga yang mencemaskan. Ini berlaku disebabkan kelainan yang cuba dibawa oleh setiap penceramah untuk bersaing antara satu sama lain. Secara tidak langsung, ia memberikan kesan kepada corak penerimaan masyarakat terhadap ceramah. Jika dahulu, ceramah sering dikaitkan dengan perkataan bosan, menyampah, syok sendiri dan sebagainya, namun hari ini nyata, ia tidak lagi begitu. Bahkan hari ini dapat kita lihat, ceramah menjadi satu keseronokan pula bagi segelintir kita. Cuma, yang benar-benar menjadi pilihan mereka adalah yang seronok, menggembirakan, kelakar, jenaka dan memberikan semangat yang berkobar. Ia bukanlah sesuatu yang sihat tetapi ia satu perubahan yang menarik dan perlu diberikan perhatian.

Namun apa yang paling utama untuk kita ingatkan kepada para penceramah di luar sana. Setiap kata-kata mereka mempunyai nilai pemberat kepada mereka yang mendengar. Apa sahaja yang disebarkan sama ada mereka akan timbulkan persoalan dan tidak kurangnya menerima dan mengambilnya bulat-bulat. Sekiranya ceramah dijadikan kerjaya, maka yang lebih utama yang harus diketengahkan adalah kejujuran dan keikhlasan dalam apa yang disampaikan bukan hanya menyampaikan apa yang orang suka untuk didengari. Penceramah tidak seharusnya dijadikan kerjaya tetapi sebaliknya dijadikan satu kemahiran pelengkap kepada sesuatu kerjaya yang ada berkaitan dengan komunikasi sehala ini. Maka, ia akan menjadi kemahiran yang perlu dimiliki oleh ramai orang. Ceramah mempunyai seninya yang tersendiri dari segi memahami orang yang menderngar, menyiapkan bahan yang ingin diperdengarkan bahkan untuk mengekalkan momentum penyampaian dari awal hingga akhir. Ceramah tidak wajar dijadikan bahan sindiran, kutukan dan semata-mata gelak ketawa tanpa ada isi kandungan pembelajaran yang mengesankan. Ceramah ini adalah metodologi yang turut digunakan oleh para Nabi Alllah untuk menyampaikan pesanan mereka kepada umat kerana inilah metodologi yang paling signifikan pada zaman mereka.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud, "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk."

Penceramah perlu memenuhi pencirian penyeru ke jalan tuhan ini. Sabda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam, "Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing.” Inilah yang dijelaskan melalui makna kata hikmah kebijaksanaan. Salah satu dari kesenian berceramah ialah untuk mengenali benar dengan siapa kita berbicara dan faham benar keadaan mereka yang menerima bicara kita itu. Meletakkan keutamaan pendengar lebih utama berbanding keutamaan perkataan yang hendak kita sampaikan kerana kedua-duanya ada kesan dan yang kita cari adalah kesan yang paling baik antara dua pilihan yang ada. Perkataan 'mauizah al-hasanah' membawa maksud sebagai jalan untuk menyampaikan dakwah dan uslub berdakwah bertujuan untuk mendekati bukan menjauhkan, memudahkan bukan menyusahkan, mengasihi dan bukan menakutkan. Menurut Imam al-Ghazali, ia adalah beberapa pengajaran dan nasihat yang berdasarkan kepada apa yang terkandung dalam Al-Quran dan aspek perkhabaran yang mengembirakan dan ancaman yang menakutkan kemudian disertai dengan kesabaran dan keikhlasan dalam nasihat yang diberikan. 'Al-mujadalah' bermaksud perbincangan dan perbahasan dengan mengemukakan hujah dan dalil yang dapat menerangkan sesuatu maksud yang tidak jelas. Menurut imam al-Ghazali, ia adalah perdebatan yang berlaku antara pendakwah dengan orang yang didakwah dan hendaklah dilakukan dengan cara berhati-hati dan berlemah-lembut hingga membangkitkan kesedaran kepada hati, pengajaran pada jiwa dan kejernihan pada akal. Matlamatnya adalah untuk membuka pemikiran orang yang diseru serta menghilangkan kekeliruan dan menjelaskan kebenaran.

Maka, pencirian penceramah ini terpakai kepada apa bentuk tajuk ceramah yang disampaikan mahupun kepada siapapun ia disampaikan. Penceramah adalah seorang penyeru, yang menyeru manusia kepada perkara kebaikan. Ia tidak terhad kepada mereka yang beragama, bahkan dalam apa jua bentuk pekerjaan yang pastinya menuju ke arah penghasilan yang lebih baik. Orang yang menyampaikan (yakni tabligh) seharusnya cerdas pemikiran (fathonah) melalui banyaknya pembacaan dan pertambahan ilmu melalui pengajian-pengajian, bahkan mereka seharusnya jujur dan benar dalam menyampaikan (siddiq) agar apabila mereka dipercayai atau mendapat kepercayaan (amanah), mereka adalah insan selayaknya untuk berbicara dihadapan orang lain. Semoga ini dapat membantu menjadi bekal untuk para penceramah di luar sana yang terdiri daripada pelbagai lapisan dan bentuk pekerjaan.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...