Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

ANAK CEPAT BERUBAH

Kesibukan kehidupan hari ini bagai sudah diluar kawalan diri kita. Keperluan-keperluan harian yang amat mendesak memaksa kita untuk menghabiskan lebih dari separuh usia harian kita untuk memberikan perhatian kepada soal kelangsungan kehidupan baik dari segi kewangan, pengurusan keluarga serta pembinan perhubungan yang dapat memberikan nilai tambah dalam kehidupan kita. Selebihnya pula kita peruntukkan untuk pelbagai perkara lain yang masih banyak dan tidak kurang pentingnya. Waktu rehat, makan, beribadah, riadah, menuntut ilmu bahkan waktu bersama anak-anak. Semua dibahagikan sama rata sepatutnya tetapi apakan daya, setelah badan penat bekerja separuh dari masa, ditambah dengan kesesakan lalu lintas dan perkara hiruk pikuk yang terpaksa kita tempuhi, maka pastinya, yang akan mendapat lebih masa adalah rehat kita. Maka, di mana letaknya hak masa kepada yang lainnya? Hak masa pada makanan, jika lapar, kita akan makan juga jika tidak, kita sendiri yang sakit. Begitu juga pada hak tubuh untuk beriadah, jika tidak, lambat laun akan sakit juga dan yang susahnya kita sendiri juga. Katakanlah pada hak mana pun, rehat, menuntut ilmu bahkan beribadah, ramai yang mengharapkan agar ada masa lapang untuknya melakukan semuanya nanti. Persoalannya nanti? Ada masa ke nanti?

Apa yang lebih kita khuatirkan adalah masa dengan anak-anak kita. Sememangnya, kesan kemudian hari juga kepada kita tidak dapat dinafikan, bahkan dengan anak-anak ia akan lebih parah kerana ia bukan sekadar sakit fizikal, bahkan tekanan emosi dan mental. Anak pada hakikatnya cepat berubah. Tambahan pula apabila anak itu masih belum sampai kepada usia kematangan. Ada orang kata kematangan adalah pada usia 40 tahun. Namun ada takrifan yang mengatakan bahawa kematangan adalah bersikap seperti orang dewasa. Apa maknanya? Untuk kanak-kanak yang bersikap begini jelas bagi mereka kematangan tetapi bagi orang dewasa itu memang sepatutnya berlaku kepada mereka. Namun ada juga yang sebaliknya. Orang dewasa tetapi sikapnya seperti keanak-anakan. Ini yang tidak sepatutnya berlaku. Ini berlaku dan biasanya inilah sikap anak-anak kepada ibu bapa yang tidak memberikan perhatian kepada mereka sejak dari kecil. Ia berpunca dari perasaan marah yang bertukar benci dan berakhir dengan dendam. Ini antara ciri anak-anak yang emosi mereka tidak dibentukkan dengan cara yang terbaik. Tempoh usia mereka yang muda, khususnya dikala ke anak-anakan, mereka memerlukan perhatian khusus. Khususnya dari umur mereka 0 hingga 7 tahun. Pepatah melayu mengatakan, 'Bagai menatang minyak yang penuh.' Pada usia ini kalau mereka digigit nyamuk, bukan salahnya, tetapi salah nyamuk. Ibu ayah hari ini, pada usia ini sibuk melihat perkembangan dan perubahan mereka. Dari berbaring, meniarap, merangkak, bertatih hinggalah berjalan dan berlari. Ia suatu pengalaman yang sangat mengujakan buat ibu bapa. Pada waktu ini, kasih sayang dapat mereka rasakan kehangatannya.

Melangkau usia melepasi 7 tahun, anak-anak ini masih cepat berubah. Tetapi ketika ini, perhatian sudah mula pudar tambahan apabila anak-anak kita mempunyai adik selepasnya. Perhatian kita sudah mula longgar dan ketika ini, jika mereka digigit nyamuk, bukan lagi salah nyamuk tetapi salah mereka. Pepatah melayu ada menyebutkan, 'Melentur buluh biarlah dari rebungnya.' Ini waktu untuk dilenturkan. Jika dilepaskan apabila ditarik, maka mereka boleh membidas kita semula. Hari ini mungkin kita dapat mengelaknya, tetapi secekap mana pun kita, pasti akan cedera juga. Perubahan pada tahap ini akan berlaku khususnya apabila mereka berada di sekolah bersama rakan-rakan mereka. Apa yang tidak pernah kita ajarkan di rumah akan ada sahaja perkara baru yang dibawa balik. Jika kita gagal mengenalpasti perubahan ini, maka ia akan menghasilkan sesuatu yang lebih buruk pada masa hadapan sekiranya yang salah tidak dibetulkan dan yang baik tidak diberikan galakan. Ambil tahu itu amat penting pada usia mereka antara 8 hingga 14 tahun. Dunia baru ini mereka sedang teroka dengan pendedahan yang lebih meluas bukan hanya dengan ibu bapa mereka sahaja. Harus kita ingat bersama, bukan juga hanya rakan-rakan mereka yang menjadi pengaruh, rakan kepada rakan mereka, ibu bapa kepada rakan mereka dan ahli keluarga kepada rakan mereka juga boleh menjadi pengaruh. Zaman ini bukan zaman main guli atau gasing, ini zaman main PUBG dan ML. Hidup mereka penuh strategi dan boleh bekerja secara berpasukan apabila ada matlamat yang sama untuk dicapai. Apabila anak-anak sudah berhenti bercerita dengan kita, menyendiri dan banyak luangkan masanya di luar dari rumah, maka pada ketika itulah perhatian haris diberikan agar mereka tidak terus hanyut dengan perubahan itu.

Kelemahan kita akan makin ketara apabila sampai usia anak-anak antara 15 hingga 21 tahun. Ya, mereka sebahagiannya sudah mampu berdikari dan tidak dinafikan banyak hal yang di rumah dapat kita harapkan kepada mereka. Namun, inilah waktu paling kritikal untuk kita ketahui gerak geri anak-anak kita. Memang memenatkan tetapi inilah bahagian terakhir sebelum mereka bergelar dewasa. Waktu ini perubahan akan cepat berlaku dari sudut minat, keperluan, persahabatan serta yang paling utama adalah perubahan emosi mereka. Inilah saatnya anak-anak kita ini akan mula belajar untuk mengenali dunia yang jauh lebih luas dengan pelbagai perkara yang akan membuka matanya dan besinar-sinar kerana ada keinginan untuk memiliki. Perbandingan diri dengan orang lain akan kerap dijadikan sandaran kerana mereka berasa mereka layak untuk merasai apa yang dirasai orang lain tetapi pada ketika itu mereka sebenarnya belum mampu kerana masih bergantung kepada ibu dan ayahnya. Pasa usia ini, ramai yang menyarankan agar kita menjadi kawan rapat mereka. Persoalannya, kita suka ke apa yang mereka suka? Cara pakaian mereka, cara bercakap mereka, bahkan cara mereka menghabiskan masa mereka amat tidak bertepatan dengan apa yang kita mahukan. Jadi bagaimana? Layanan itu satu perkara, didikan itu satu perkara. Sepatutnya tiada larangan untuk apa sahaja yang mereka ingin cuba, yang ada cuma larangan dari berbuat perkara yang jelas dilarang oleh agama. Tidak melarang itu bukan bermaksud biarkan, tetapi benarkan dengan dorongan dan jika mampu bimbingan.

Perubahan-perubahan pada diri anak-anak ini memang sangat mengujakan jika kita benar-benar berikan perhatian kerana setiap anak itu akan memberikan pengalaman yang berbeza kepada ibu bapa mereka. Kematangan anak-anak akan dapat dibentuk dengan baik jika ibu bapa mereka juga ada kematangan yang baik untuk diberikan contoh. Takut kepada perkara yang kita tidak tahu sepatutnya dielakkan oleh ibu bapa, Anak-anak perlukan penerokaan dengan bimbingan dan nasihat yang baik. Itu lambang kematangan kita yang akan dicontohi anak-anak kita. Memarahi mereka tanpa usul periksa itu nampaknya terlalu kebudak-budakan dan melarang mereka melakukan apa yang mereka mahu juga untuk akan menunjukkan yang kita ketinggalan zaman dan tidak mengikut perkembangan. Oleh yang demikian, ibu bapa harus lebih banyak membaca dan memahami konsep perkembangan anak-anak yang sering berubah ini. Bahkan Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah Al-Ahqaf ayat 15 yang bermaksud; “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya akutetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; danjadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu/berserah diri).”

Maka, proses kematangan itu akan berlaku sehingga 40 tahun. Sepanjang tempoh itu, waktu untuk kita dan anak-anak kita pelajari dan tekuni sehingga membina diri mereka. Apabila masuk ke usia 40 tahun, apa yang dipelajari itu akan menjadi kekal untuk dirinya dan menjadi dirinya. Moga kita dapat memahami diri anak-anak kita dengan segala perubahan yang mungkin berlaku kepada mereka. Anak cepat berubah dan ibu ayah perlu sentiasa perhati dan menerima perubahan sesuai dengan apa yang dikehendaki Tuhan kemudian masyarakat disekitarnya.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...