Saturday, September 5, 2020

NIAT MEMANDU SIKAP HARIAN KITA

Niatkan kebaikan setiap hari kerana ia akan memandu sikap kita pada hari tersebut. Kegagalan untuk kita mengungkapkan niat perbuatan kita seharian boleh menjadikan segala apa yang kita lakukan itu hanyalah perbuatan yang sia-sia. Niat sebenarnya kunci kepada perilaku kita. Ia penguat yang membantu kita dalam melayari kehidupan seharian sibuk. Kenang saja apabila kita niat berpuasa. Niat yang kita lafazkan pada malam hari itu menjadi tenaga membantu kita untuk bangun sahur serta menahan diri dari melakukan sesuatu yang boleh membatalkannya. Namun, harus kita ingat, niat itu tidak menjadi dasarnya kerana perlu ada faktor-faktor lain yang turut menyokong panduan hati yang diniatkan tadi.

Sokongan paling utama adalah kepercayaan. Konteks puasa itu sudah tentulah keimanan kepada perintah dari Allah s.w.t. Maka daya kekuatan itu muncul hasil dari kepercayaan itu yang akhirnya bertukar menjadi tenaga dalam tubuh kita yang membolehkan kita menahan diri walau dalam keadaan lapar dan dahaga yang amat sangat. Mari kita kenangkan kisah Bilal Bin Rabah yang dihempap dadanya dengan batu besar di tengah panas terik padang pasir. Daya tahan dirinya amat luar biasa dan kita semua tahu, yang mendasari kedegilan jiwanya itu adalah kepercayaan kepada khabar gembira yang dibawakan Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam. Kepercayaan terbentuk hasil dari pemerhatian, maklumat serta informasi dan keyakinan pada janji yang diberikan kepada kita.

Niat tadi juga perlu datang bersamanya persekitaran yang turut membantu untuk membina apa yang dihajatkan. Persekitaran akan membantu menguatkan apa yang ingin kita capai. Oleh sebab yang demikian, permulaan niat kita untuk melakukan kebaikan perlulah diwujudkan bersamanya persekitaran yang akan menggalakkan kita untuk melakukannya. Persekitaran yang tidak membantu, tidak semestinya akan menggagalkan, tetapi kebarangkalian untuk gagal sangat tinggi melainkan kita mempunyai pegangan kepercayaan yang sangat kuat dan jitu terhadap apa yang telah kita niatkan. Kita bersama dapat fahami di sini mengapa perubahan seseorang amat sukat tatkala mereka berada di dalam persekitaran yang sangat tidak membantu. Inilah proses hijrah yang diperintahkan Allah s.w.t. kepada baginda Rasulullah sallallahu'alaiwasallam dari Mekah ke Yathrib kerana atas perencanaan Yang Maha Agung itu, persekitaran di Yathrib lebih menggalakkan perubahan dan membina kekuatan serta cahaya terang masa depan sehingga diperkenalkan sebagai Madinah al-Munawwarah.

Persekitaran ini bukan hanya perkara material tetapi termasuk juga dengan rakan-rakan dan saudara sekeluarga kita. Hijrah baginda meninggalkan harta dan keluarga tetapi digantikan dengan persaudaraan baru yang amat luar biasa antara muhajirin dan ansar. Panduan dan sokongan mereka yang berada bersama kita juga penting ditambah dengan satu lagi perkara iaitu perancangan. Tanpa perancangan, kita sedang merancang untuk gagal. Sebab itu, biasakan diri dengan disiplin dan peraturan untuk memenuhkan agenda harian kita. Usahlah kita hanya menjalani kehidupan dengan begitu sahaja. Tanpa menafikan perlunya ada sikap tawakal kepada Allah s.w.t kerana pastinya setiap kita rancangkan itu belum tentu tercapai. Maka akhirilah setiap usaha itu dengan insyaAllah.

No comments: