Sunday, September 20, 2026

Kejayaan Bermula Daripada Konsistensi, Bukan Sekadar Motivasi



Ramai orang mempunyai impian. Ramai juga mempunyai semangat untuk berubah. Pada awalnya, kita begitu bersemangat untuk belajar, bersenam, membaca buku, mengurus masa atau mencapai sesuatu matlamat. Namun, selepas beberapa hari atau minggu, semangat itu mula menurun. Di sinilah kita belajar bahawa motivasi mungkin membantu kita bermula, tetapi konsistensi membantu kita terus berjalan.

Konsistensi bermaksud melakukan sesuatu yang baik secara berterusan, walaupun dalam keadaan biasa, sibuk, penat atau tidak begitu bersemangat. Ia bukan bermaksud kita perlu melakukan sesuatu dalam jumlah yang besar setiap hari. Sebaliknya, konsistensi mengajar kita untuk melakukan langkah kecil secara berulang-ulang sehingga menjadi kebiasaan.

Motivasi memang penting. Motivasi membuat kita bermula. Apabila kita mendengar kata-kata yang membangkitkan semangat, menonton kisah kejayaan atau melihat seseorang mencapai impiannya, kita mungkin berasa terdorong untuk berubah. "Mulai esok aku akan belajar lebih rajin.", "Mulai minggu ini aku mahu membaca setiap hari.", "Aku mahu menjadi lebih berdisiplin.". Semangat seperti ini sangat baik. Tetapi persoalannya, berapa lama semangat itu akan bertahan?

Motivasi boleh berubah mengikut keadaan. Ada hari kita bersemangat. Ada hari kita letih. Ada hari kita mempunyai banyak masalah. Ada hari kita langsung tidak mempunyai mood untuk melakukan apa yang telah dirancang. Sebab itu kita tidak boleh bergantung kepada motivasi semata-mata. Motivasi membuat kita bermula. Konsistensi membuat kita terus berjalan. Langkah kecil lebih baik daripada impian besar tanpa tindakan.

Kadangkala kita terlalu fokus kepada matlamat besar sehingga tidak tahu bagaimana hendak bermula. Kita mahu mendapat keputusan yang cemerlang, tetapi tidak tahu apa yang perlu dilakukan hari ini. Kita mahu membaca 50 buku setahun, tetapi tidak pernah membuka buku. Kita mahu menjadi seorang yang berdisiplin, tetapi tidak mempunyai rutin harian. Sebenarnya, perubahan besar tidak perlu dimulakan dengan tindakan yang besar. Mulakan dengan sesuatu yang kecil. Baca 5–10 halaman sehari. Ulang kaji satu topik setiap hari. Bangun pada waktu yang ditetapkan. Kurangkan penggunaan telefon sedikit demi sedikit. Luangkan beberapa minit untuk bersenam dan yang penting ialah terus melakukannya.

Lima halaman yang dibaca hari ini mungkin kelihatan kecil. Tetapi jika dilakukan setiap hari, ia akan menjadi puluhan halaman dalam seminggu dan ratusan halaman dalam beberapa bulan.Begitulah kuasa konsistensi kerana ia membina tabiat. Apabila sesuatu dilakukan berulang kali, ia mula menjadi kebiasaan. Pada awalnya, kita mungkin perlu memaksa diri untuk membaca.

Kemudian kita mula terbiasa membaca. Akhirnya, kita rasa ada sesuatu yang kurang apabila tidak membaca. Begitu juga dengan disiplin belajar. Pada awalnya, kita mungkin perlu menggunakan jadual dan peringatan. Lama-kelamaan, belajar pada waktu tertentu menjadi sebahagian daripada rutin harian.

Konsistensi mengubah, tindakan kepada tabiat, tabiat kepada disiplin dan disiplin kepada perubahan. Inilah sebabnya kita tidak sepatutnya terlalu mencari hasil yang segera. Berikan masa kepada diri sendiri untuk membina tabiat yang baik. Konsistensi lebih penting daripada kesempurnaan. Satu lagi perkara penting ialah kita tidak perlu menunggu sehingga semuanya sempurna. Ada pelajar yang berhenti belajar kerana suatu hari mereka tidak dapat mengikuti jadual, berhenti membaca kerana terlepas beberapa hari atau meninggalkan azam kerana pernah gagal.

Hakikatnya, tergelincir bukan bermaksud kita perlu berhenti berjalan. Jika hari ini kita gagal mengikut jadual, sambung semula esok. Jika kita terlepas satu hari, jangan biarkan satu hari berubah menjadi satu minggu. Jika kita melakukan kesilapan, belajar daripadanya dan cuba lagi. Konsistensi bukan bermaksud tidak pernah gagal. Konsistensi bermaksud kita sentiasa kembali kepada usaha selepas gagal.

Mengapa konsistensi penting? Konsistensi memberikan banyak manfaat kepada perkembangan diri. Antaranya adalah untuk membina tabiat positif dengan perkara yang dilakukan berulang kali akan menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan. Kedua untuk membawa kemajuan walaupun perubahan kecil, ia tetap membawa kita ke hadapan. Ketiga berupaya melatih disiplin diri. Kita belajar melakukan sesuatu kerana ia penting, bukan hanya kerana kita sedang bersemangat.

Keempat pula untuk membina keyakinan apabila melihat diri sendiri mampu melakukan sesuatu secara konsisten, keyakinan terhadap kemampuan diri akan meningkat. Kelima untuk menghasilkan perubahan jangka panjang. Perubahan yang dibina sedikit demi sedikit biasanya lebih mudah dipertahankan berbanding perubahan yang terlalu drastik. Bagi seorang pelajar, konsistensi sangat penting. Jangan tunggu peperiksaan baru hendak belajar, ditegur guru baru hendak menyiapkan tugasan atau keputusan peperiksaan merosot baru hendak berubah.

Belajar sedikit setiap hari, buat latihan secara berkala, baca buku secara konsisten, bertanya apabila tidak faham. Jaga waktu tidur. Urus penggunaan gajet. Jaga hubungan dengan guru dan ibu bapa. Perkara-perkara kecil ini mungkin kelihatan biasa, tetapi apabila dilakukan secara konsisten, ia akan membentuk seorang pelajar yang lebih bersedia menghadapi masa depan. Konsistensi juga memerlukan matlamat. Kita lebih mudah konsisten apabila mengetahui mengapa kita melakukannya.

Jika seorang pelajar hanya belajar kerana disuruh, dia mungkin mudah berhenti apabila tiada siapa yang memerhati. Tetapi jika dia mempunyai matlamat yang jelas, dia akan lebih terdorong untuk meneruskan usaha. Tanyakan kepada diri sendiri apa yang saya mahu capai? Mengapa saya mahu mencapainya? Apakah satu tindakan yang boleh saya lakukan hari ini? Kemudian lakukan. Jangan terlalu sibuk memikirkan keseluruhan perjalanan sehingga lupa mengambil langkah pertama.

Konsistensi dalam perspektif Islam mengajar kita tentang nilai istiqamah.  Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan." (Surah al-Nahl: 128)

Dalam perjalanan menuju kebaikan, kita perlu terus berusaha walaupun langkah kita kecil. Rasulullah SAW juga mengajar tentang nilai amalan yang dilakukan secara berterusan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Baginda SAW bersabda bahawa amalan yang paling dicintai Allah ialah amalan yang paling berterusan walaupun sedikit.

Ini memberikan satu pelajaran yang sangat besar: kita tidak semestinya perlu melakukan sesuatu yang luar biasa setiap hari. Yang penting ialah kita terus melakukan kebaikan dengan istiqamah. Kita boleh melihat perjalanan konsistensi melalui satu formula mudah iaitu diawali dengan  niat disusuli tindakan kemudian konsistensi menghailkan kemajuan dan akhirnya kejayaan.

Niat memberikan arah. Tindakan memulakan perjalanan. Konsistensi memastikan kita terus bergerak. Kemajuan menunjukkan perubahan dan akhirnya, usaha yang berterusan membawa kita semakin dekat kepada matlamat. Jangan melangkau proses. Kita tidak boleh mengharapkan kejayaan tanpa tindakan. Kita juga tidak boleh mengharapkan perubahan besar jika tindakan hanya dilakukan sekali-sekala.

Jangan bandingkan perjalanan anda. Setiap orang mempunyai kadar perkembangan yang berbeza. Ada orang berubah dengan cepat. Ada yang memerlukan lebih banyak masa. Ada yang bermula dengan kelebihan tertentu. Ada yang perlu bermula dari bawah. Jangan terlalu sibuk membandingkan langkah kita dengan orang lain sehingga kita lupa menghargai kemajuan sendiri. Bandingkan diri kita dengan diri kita semalam. Adakah hari ini kita lebih berdisiplin? Adakah hari ini kita lebih rajin? Adakah hari ini kita lebih banyak membaca? Adakah hari ini kita lebih mampu mengawal diri? Jika jawapannya ya, walaupun sedikit, kita sedang bergerak ke arah yang betul.

Teruskan walaupun perlahan. Kejayaan bukan semestinya milik mereka yang bermula paling laju. Kadangkala kejayaan datang kepada mereka yang terus berjalan walaupun perlahan. Jangan kecewa jika perubahan belum kelihatan. Jangan berhenti hanya kerana hasil belum muncul. Jangan menganggap langkah kecil tidak bermakna. Gunung yang tinggi juga didaki satu langkah pada satu masa. Begitu juga kehidupan. Motivasi membuat kita bermula, tetapi konsistensi membawa kita sampai. Mulakan dengan kecil. Lakukan secara konsisten. Pantau kemajuan. Perbaiki diri dan teruskan perjalanan kerana konsistensi hari ini mungkin menjadi kejayaan yang kita syukuri pada masa hadapan.

"Bukan semua orang mampu melakukan perkara yang besar, tetapi semua orang mampu melakukan perkara kecil secara konsisten."

NIAT → TINDAKAN → KONSISTENSI → KEMAJUAN → KEJAYAAN

Itulah sebahagian daripada perjalanan I-T.U.N.E.: Ilmu → Teroka Diri → Ubah Sikap → Nilai Peribadi.

Thursday, September 17, 2026

Apabila Kebenaran Diuji; Tadabbur Surah al-Ma’idah Ayat 41–45



Ada ketika kita membaca Al-Quran lalu kita merasakan seolah-olah Allah sedang bercakap terus kepada keadaan yang sedang kita lalui. Bukan kerana kita memiliki ilmu tafsir yang tinggi. Bukan juga kerana kita mampu memahami seluruh rahsia ayat Allah. Tetapi kerana Al-Quran memang mempunyai kemampuan untuk menjadi cermin, memperlihatkan kepada kita penyakit hati, kelemahan diri dan jalan untuk kembali. Surah al-Ma’idah ayat 41 hingga 45 adalah antara rangkaian ayat yang membuatkan saya banyak berfikir tentang kebenaran, amanah ilmu, kepimpinan, keadilan dan rahmah.

Semakin direnungi, semakin terasa bahawa ayat-ayat ini bukan sekadar menceritakan tentang umat terdahulu. Ia juga bertanya kepada kita, apa yang kita lakukan apabila kebenaran bertembung dengan kepentingan kita? Adakah kebenaran yang hanya diterima apabila ia menguntungkan kita? Ayat 41, Allah menggambarkan sebahagian manusia yang sangat suka mendengar berita yang tidak benar dan mereka yang suka mencari sesuatu yang boleh memenuhi kehendak mereka. Kemudian Allah menyebut tentang mereka yang “mengubah perkataan-perkataan daripada tempat-tempatnya.”

Ayat ini membuatkan saya terfikir tentang satu penyakit yang sangat halus. Kadang-kadang kita bukan tidak tahu kebenaran. Kita cuma mahu kebenaran yang sesuai dengan kita, memilih berita berdasarkan siapa yang menyampaikannya. Kalau datang daripada kelompok kita, kita mudah percaya tapi kalau datang daripada kelompok yang kita tidak suka, kita segera curiga. Kita membaca hujah bukan untuk mencari kebenaran, tetapi untuk mencari kelemahan pihak yang berbeza dengan kita. Akhirnya kita tidak lagi bertanya, “Apa yang benar?” Sebaliknya kita bertanya, “Bagaimana aku boleh membuktikan bahawa kelompok aku betul?”

Pada tahap inilah identiti boleh menjadi lebih besar daripada kebenaran. Bangsa boleh menjadi lebih besar daripada keadilan. Jemaah boleh menjadi lebih besar daripada kebenaran. Parti boleh menjadi lebih besar daripada amanah. Bahkan kecenderungan politik boleh menjadi lebih besar daripada prinsip agama. Sedangkan seorang Muslim sepatutnya mempunyai keberanian untuk mengatakan, “Jika orang yang aku sokong benar, aku sokong kerana kebenarannya. Jika dia salah, aku menolak kesalahannya walaupun dia orang yang aku sokong.”. Inilah ukuran yang lebih dekat dengan ruh Al-Quran.

Apabila kebenaran diuji dengan kuasa, ini timbul kemudiannya dalam ayat 42 yang membawa kita kepada persoalan yang lebih berat. Allah memerintahkan;

فَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ

“Jika engkau menghukum, maka hukumlah antara mereka dengan adil.”

Saya melihat ayat ini sebagai satu ujian besar kepada kepimpinan. Bercakap tentang keadilan ketika kita tidak mempunyai kuasa adalah mudah. Tetapi apabila kita diberikan kuasa, ketika keputusan kita memberi kesan kepada orang yang kita suka dan orang yang kita tidak suka, ketika keputusan kita boleh mengundang cemuhan daripada pelbagai pihak, ketika itulah keadilan benar-benar diuji. Pemimpin tidak boleh bertanya, “Siapa yang akan mendapat manfaat daripada keputusan ini?” semata-mata.

Dia perlu bertanya, “Apakah keputusan yang paling adil dan paling dekat dengan amanah?” Keadilan tidak boleh berubah mengikut siapa yang berada di hadapan kita. Jika orang kita melakukan kesalahan, tetap salah. Jika orang yang kita tidak suka melakukan kebaikan, tetap baik. Jika seseorang yang pernah kita lawan melakukan perkara yang benar, kita mesti mempunyai jiwa yang cukup besar untuk mengakuinya. Itulah keadilan.

Jangan mencari hukum yang sesuai dengan kehendak kita. Ayat 43 pula membawa satu teguran yang lebih tajam. Allah bertanya bagaimana mereka mahu menjadikan Rasulullah SAW sebagai hakim sedangkan mereka mempunyai Taurat yang di dalamnya terdapat hukum Allah, kemudian selepas itu mereka berpaling. Seolah-olah mereka bukan benar-benar mencari keputusan yang benar. Mereka mencari keputusan yang mereka mahu. Ini membuatkan saya teringat satu perbezaan yang sangat penting dalam kehidupan beragama. Ada orang berkata, “Aku belum tahu. Tunjukkan kepadaku apa yang benar.” Ada pula yang berkata, “Aku sudah tahu apa yang aku mahu. Sekarang tolong carikan hujah untuk menyokongnya.”

Kedua-duanya mungkin sama-sama membaca kitab dan mempunyai dalil. Tetapi yang pertama sedang mencari hidayah dan yang kedua sedang mencari pembenaran. Inilah bahaya ilmu apabila hati tidak tunduk kepada kebenaran. Ilmu yang sepatutnya menjadi cahaya boleh berubah menjadi alat untuk mempertahankan hawa nafsu. Ilmu bukan milik kita, ia adalah amanah. Ayat 44 kemudian membawa kita kepada satu konsep yang sangat besar;

بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِن كِتَابِ اللَّهِ

“Disebabkan mereka diperintahkan memelihara Kitab Allah.”

Mereka yang diberikan ilmu tentang Kitab Allah sebenarnya sedang memegang amanah. Ini mengingatkan saya bahawa semakin banyak ilmu yang kita miliki, semakin besar sebenarnya tanggungjawab kita. Ilmu bukan sekadar untuk menjadikan kita nampak bijak, menjadikan kita menang dalam perdebatan, mendapatkan pengikut atau mendapatkan jawatan. Ilmu adalah amanah dan amanah ilmu menuntut keberanian. Sebab itu Allah menyambung;

فَلَا تَخْشَوُا النَّاسَ وَاخْشَوْنِ

“Janganlah kamu takut kepada manusia, tetapi takutlah kepada-Ku.”

Betapa relevannya ayat ini kepada para pendakwah. Ada waktunya kebenaran yang kita mahu sampaikan tidak popular. Ada waktunya teguran yang perlu dibuat boleh menyebabkan seseorang tidak suka. Ada waktunya kita perlu mengakui bahawa pendirian kita sendiri perlu diperbetulkan dan ada waktunya kita terpaksa berdiri di tempat yang sunyi kerana tidak semua orang mahu mendengar kebenaran. Tetapi seorang yang membawa amanah ilmu perlu bertanya, “Aku takut siapa sebenarnya?”. Takut kehilangan sokongan manusia? Takut kehilangan populariti? Takut kehilangan jawatan? Atau takut kehilangan keredaan Allah?

Jangan jual ayat Allah dengan harga yang sedikit. Allah memberikan satu lagi peringatan;

وَلَا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلًا

“Janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit.”

Harga itu mungkin wang. Tetapi mungkin juga lebih halus daripada wang. Ia boleh berupa jawatan, pengaruh, populariti, sokongan, pujian, kepentingan kelompok atau penerimaan manusia. Kadang-kadang kita tidak menjual agama kerana wang. Kita menjual prinsip kerana tepukan manusia, kita diam ketika sepatutnya bersuara kerana takut kehilangan sokongan. Kita membesarkan kesalahan lawan tetapi mengecilkan kesalahan orang sendiri. Kita memilih ayat yang menguntungkan naratif kita dan mengabaikan ayat yang menegur kita. Akhirnya agama bukan lagi menjadi cermin untuk membetulkan kita. Agama menjadi cermin yang kita gunakan untuk menunjukkan bahawa kita sentiasa betul. Ini sangat berbahaya kerana tugas Al-Quran bukan sekadar untuk membenarkan kita. Al-Quran datang untuk membetulkan kita.

Kepimpinan bukan peluang untuk membalas dendam, tetapi menunaikan amanah. Apabila kita membaca ayat-ayat ini dalam konteks kepimpinan semasa, kita boleh melihat satu cabaran yang sangat nyata. Kepimpinan dalam sebuah masyarakat yang berbeza pandangan, kelompok dan kepentingan bukan sesuatu yang mudah. Setiap keputusan boleh mendapat sokongan daripada satu pihak dan cemuhan daripada pihak yang lain. Jika pemimpin tidak bertindak, dia boleh dituduh melindungi kesalahan. Jika dia mengambil tindakan, dia pula boleh dituduh berdendam. Sebab itu ukuran yang paling penting bukanlah, “Siapa yang terkena tindakan?”, tetapi “Adakah tindakan itu dibuat berdasarkan bukti, proses yang adil dan amanah?”.

Kita lihat bersama dalam konteks semasa, perkembangan berkaitan RCI Tabung Haji juga boleh menjadi satu contoh untuk kita memahami cabaran ini. Isu yang melibatkan amanah jutaan pendeposit tidak sepatutnya dilihat hanya melalui kaca mata siapa yang berkuasa atau siapa yang pernah berkuasa. Ia perlu dilihat melalui persoalan yang lebih besar, bagaimana amanah rakyat dipelihara? Jika ada kesalahan, siasat. Jika ada bukti, ambil tindakan melalui proses undang-undang. Jika tiada kesalahan, jangan menghukum dan jika ada kelemahan sistem, perbaiki sistem. Inilah perbezaan antara keadilan dengan dendam politik.

Kita mungkin tidak bersetuju dengan semua tindakan seseorang pemimpin. Itu hak kita. Tetapi kita juga perlu mempunyai kejujuran moral untuk mengiktiraf sesuatu tindakan yang benar apabila ia memang bertepatan dengan prinsip keadilan. Begitu juga, kita tidak boleh menganggap semua tindakan seseorang pemimpin benar hanya kerana kita menyokongnya. Kebenaran tidak menjadi benar kerana siapa yang melakukannya. Ayat 45 menjelaskan tentang Qisas dan itupun satu contoh bagaimana keadilan yang masih memberi ruang kepada rahmah. Nyawa dengan nyawa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka dengan luka. Prinsipnya ialah keadilan yang setimpal. Tetapi yang sangat indah ialah Allah tidak berhenti di situ. Allah berfirman;

فَمَن تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَّهُ

“Sesiapa yang melepaskan hak qisasnya sebagai sedekah, maka itu menjadi penebus dosa baginya.”

Inilah bukti yang dapat kita lihat mengenai keseimbangan Islam. Keadilan tidak dihapuskan demi rahmah. Tetapi rahmah juga tidak dihapuskan demi keadilan. Seseorang yang dizalimi mempunyai hak. Tetapi apabila dia memilih untuk memaafkan kerana Allah, ia menjadi satu bentuk sedekah. Maka memaafkan bukan bermaksud mengatakan bahawa kesalahan itu tidak berlaku. Memaafkan bermaksud, “Aku mempunyai hak untuk menuntut, tetapi aku memilih untuk melepaskannya kerana Allah.”. Itulah kekuatan jiwa.

Apabila kita berada dalam dunia dakwah, kita juga perlu belajar perkara ini. Kadang-kadang kita terlalu mudah menghukum orang yang melakukan kesalahan. Kita lupa bahawa tugas dakwah bukan sekadar menunjukkan siapa yang salah. Dakwah juga adalah usaha membantu manusia kembali kepada Allah. Sebab itu kita perlu belajar membezakan antara menegur kesalahan dengan membenci manusia, menegakkan keadilan dengan memuaskan dendam dan memaafkan seseorang dengan membiarkan kezaliman berulang. Dakwah memerlukan ketegasan. Tetapi dakwah juga memerlukan rahmah. Pemimpin memerlukan keberanian. Tetapi pemimpin juga memerlukan kebijaksanaan. Orang berilmu perlu berkata benar. Tetapi dia juga perlu menjaga adab ketika menyampaikan kebenaran.

Apakah penyakit yang sebenarnya sedang disembuhkan? Jika kita melihat ayat 41 hingga 45 sebagai satu rangkaian, saya merasakan Allah sedang menunjukkan beberapa penyakit hati. Ayat 41, suka mendengar apa yang sesuai dengan kehendak. Ayat 42, tidak berlaku adil apabila mempunyai kuasa. Ayat 43, mencari hukum untuk membenarkan kehendak. Ayat 44, takut kepada manusia dan menjual prinsip demi kepentingan dan ayat 45, membalas kejahatan tanpa batas sehingga keadilan berubah menjadi kezaliman. Al-Quran memberikan penawarnya. Kebenaran, amanah, keberanian, keadilan, rahmah

Muhasabah untuk diri sendiri selepas membaca ayat-ayat ini, saya rasa kita tidak sepatutnya terlalu cepat bertanya, “Siapa yang dimaksudkan oleh ayat ini?”. Sebaliknya tanyalah, adakah aku termasuk dalam penyakit yang sedang ditegur oleh ayat ini? Adakah aku hanya suka mendengar berita yang menyebelahi pandanganku? Adakah aku mencari dalil untuk membenarkan apa yang sudah aku putuskan? Adakah aku berani mengakui kesilapan apabila berhadapan dengan kebenaran? Adakah aku takut kehilangan sokongan manusia sehingga mengorbankan prinsip? Adakah aku berlaku adil kepada orang yang aku tidak suka? Apabila aku mempunyai kuasa untuk membalas kesalahan seseorang, adakah aku masih mampu memberikan ruang kepada rahmah? Soalan-soalan ini lebih berat daripada sekadar mengetahui maksud ayat kerana Al-Quran bukan sekadar mahu kita faham ayat. Al-Quran mahu ayat itu mengubah kita.

Wednesday, September 16, 2026

Kepimpinan Yang Dipandu Allah (Memahami Surah al-Anbiya’, Ayat 73–81)



Apabila kita bercakap tentang kepimpinan, kita sering membayangkan seseorang yang mempunyai jawatan, kuasa, pengaruh atau kemampuan menggerakkan orang lain. Namun al-Quran membawa kita melihat kepimpinan dari sudut yang jauh lebih mendalam seperti yang dijelaskan dalam Surah al-Anbiya’, ayat 73 hingga 81, Allah memperlihatkan kepada kita beberapa kisah para nabi. Ada yang memimpin masyarakat, ada yang berhadapan dengan kerosakan, ada yang diuji dengan penolakan, ada yang membuat keputusan dalam pertikaian, dan ada yang diberikan kekuasaan serta kemahiran yang luar biasa.

Menariknya, Allah tidak menggambarkan mereka hanya sebagai orang yang berkuasa. Allah berfirman;

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا

“Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami.” (Surah al-Anbiya’: 73)

Perkataan أَئِمَّةً — a’immah membawa maksud pemimpin atau orang yang menjadi ikutan. Tetapi Allah tidak berhenti pada perkataan “pemimpin”. Allah menyambung;

يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا

“yang memberi petunjuk dengan perintah Kami.”

Inilah asas yang sangat penting. Kepimpinan menurut al-Quran bukan sekadar memimpin manusia. Tetapi memimpin manusia dengan petunjuk Allah. Amat penting juag seorang pemimpin yang memimpin dirinya terlebih dahulu. Perhatikan apa yang Allah sebut selepas itu;

وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءَ الزَّكَاةِ

“Dan Kami wahyukan kepada mereka untuk melakukan berbagai-bagai kebaikan, mendirikan solat dan menunaikan zakat...” (Surah al-Anbiya’: 73)

Sebelum seseorang menjadi pemimpin kepada orang lain, dia perlu menjadi manusia yang baik terlebih dahulu. Allah menyebut melakukan kebaikan, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Seolah-olah al-Quran sedang mengingatkan kita bahawa kepimpinan bukan bermula dengan orang yang kita pimpin. Ia bermula dengan diri kita sendiri. Bagaimana mungkin seseorang mahu membimbing orang lain menuju Allah jika kehidupannya sendiri tidak dipandu oleh Allah? Sebab itu kepimpinan para nabi tidak hanya dibina melalui kemahiran mempengaruhi manusia. Ia dibina melalui ketaatan kepada Tuhan.

Ilmu sahaja tidak mencukupi, kepimpinan juga perlukan hikmah. Kemudian Allah membawa kita kepada Nabi Lut عليه السلام;

وَلُوطًا آتَيْنَاهُ حُكْمًا وَعِلْمًا

“Dan kepada Lut, Kami telah memberikan hikmah dan ilmu.” (Surah al-Anbiya’: 74)

Dua perkara disebut;

حُكْمًا — hikmah

وَعِلْمًا — ilmu

Nabi Lut berhadapan dengan masyarakat yang telah tenggelam dalam kerosakan moral. Baginda bukan berhadapan dengan satu kesalahan kecil yang dilakukan oleh beberapa individu, tetapi dengan masyarakat yang telah menormalisasikan kemungkaran. Maka dalam keadaan seperti itu, seseorang tidak boleh hanya bergantung kepada semangat. Dia memerlukan ilmu untuk mengetahui kebenaran dan hikmah untuk berhadapan dengan manusia. Ilmu menjawab, “Apa yang benar?” manakala hikmah membantu menjawab, “Bagaimana kebenaran itu perlu disampaikan?”. Inilah sebabnya kepimpinan yang baik memerlukan kedua-duanya. Ilmu tanpa hikmah boleh menjadi keras. Hikmah tanpa ilmu pula boleh tersasar.

Nabi Nuh adalah pemimpin yang tahu kepada siapa dia perlu bergantung. Allah menyebut Nabi Nuh عليه السلام;

فَاسْتَجَبْنَا لَهُ

“Maka Kami memperkenankan doanya.” (Surah al-Anbiya’: 76)

Nabi Nuh berhadapan dengan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah. Perjuangannya panjang dan penuh ujian. Namun ketika berhadapan dengan kesukaran, baginda menyeru Allah. Allah menyelamatkan Nuh dan keluarganya daripada الْكَرْبِ الْعَظِيمِ; kesusahan yang besar dan di sinilah kita belajar sesuatu yang sangat penting. Pemimpin yang hebat bukan pemimpin yang merasakan dirinya mampu melakukan segala-galanya. Pemimpin yang hebat tahu bahawa di sebalik segala usaha, strategi dan perancangannya, dia tetap seorang hamba. Dia bekerja dengan manusia. Tetapi dia bergantung kepada Allah. Dia menyusun strategi. Tetapi dia berdoa. Dia berusaha. Tetapi dia tidak menyandarkan kejayaan kepada dirinya sendiri.

Daud dan Sulaiman pula kepimpinan yang diuji ketika membuat keputusan. Ini adalah satu kisah yang sangat menarik;

وَدَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ إِذْ يَحْكُمَانِ فِي الْحَرْثِ

“Dan (ingatlah) Daud dan Sulaiman ketika mereka memberikan keputusan mengenai tanaman...” (Surah al-Anbiya’: 78)

Kambing-kambing suatu kaum telah merosakkan tanaman pada waktu malam. Kes itu dibawa kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman untuk diputuskan. Menurut riwayat tafsir yang masyhur, Nabi Daud memberikan keputusan agar kambing-kambing tersebut diberikan kepada pemilik tanaman sebagai ganti rugi. Namun Nabi Sulaiman melihat satu penyelesaian yang lebih memulihkan kedua-dua pihak: pemilik kambing mengambil tanggungjawab memulihkan tanaman, sementara pemilik tanaman mengambil manfaat daripada kambing tersebut sehingga tanaman kembali seperti asal. Kemudian Allah berfirman;

فَفَهَّمْنَاهَا سُلَيْمَانَ

“Maka Kami memberikan kefahaman tentang perkara itu kepada Sulaiman.” (Surah al-Anbiya’: 79)

Tetapi jangan terlepas sambungan ayat;

وَكُلًّا آتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا

“Dan kepada kedua-duanya Kami berikan hikmah dan ilmu.”

Ini sangat penting. Al-Quran tidak menggambarkan Nabi Daud sebagai seorang yang tidak tahu atau tidak bijaksana. Kedua-duanya diberikan hikmah dan ilmu. Namun dalam kes tersebut, Allah memberikan Sulaiman kefahaman tertentu yang lebih tepat. Ini mengajar kita bahawa kepimpinan memerlukan kemampuan memahami masalah secara mendalam. Kadangkala kita terlalu cepat bertanya, “Siapa yang salah?” sedangkan seorang pemimpin yang matang mungkin bertanya, “Apa yang telah rosak?”, “Siapa yang terkesan?”, “Bagaimana kerosakan ini boleh dipulihkan?” dan “Bagaimana hak semua pihak dapat dijaga?”. Keadilan bukan semata-mata tentang menghukum. Kadangkala keadilan adalah tentang memulihkan.

Kepimpinan juga memerlukan kemahiran. Kemudian Allah menyebut sesuatu yang sangat menarik tentang Nabi Daud;

وَعَلَّمْنَاهُ صَنْعَةَ لَبُوسٍ لَّكُمْ

“Dan Kami ajarkan kepadanya cara membuat baju besi untuk kamu...” (Surah al-Anbiya’: 80)

Allah mengajar Daud suatu kemahiran yang mempunyai manfaat besar kepada manusia iaitu dengan keupayaan untuk menghasilkan baju besi untuk perlindungan dalam peperangan. Ini menunjukkan bahawa dalam al-Quran, kemahiran dan kompetensi juga mempunyai tempat dalam kepimpinan. Menjadi orang yang baik sahaja belum tentu menjadikan kita pemimpin yang berkesan. Kita juga perlu mempunyai ilmu, kemahiran, tahu bagaimana melaksanakan amanah dengan baik dan akhirnya Allah bertanya;

فَهَلْ أَنتُمْ شَاكِرُونَ

“Maka adakah kamu bersyukur?”

Ilmu ialah nikmat. Kemahiran ialah nikmat. Kebijaksanaan ialah nikmat dan semuanya bukan sekadar untuk dibanggakan. Semuanya mesti disyukuri dan digunakan untuk manfaat. Allah berikan Sulaiman semakin besar kuasa, maka semakin besar amanahlah amanahnya. Allah menyebutkan tentang Nabi Sulaiman;

وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ عَاصِفَةً

“Dan bagi Sulaiman, (Kami tundukkan) angin yang kencang...” (Surah al-Anbiya’: 81)

Sulaiman diberikan kekuasaan yang luar biasa. Angin ditundukkan untuk bergerak menurut perintahnya ke negeri yang diberkati Allah. Namun semua itu bukan bermaksud Sulaiman memiliki kuasa mutlak. Ia adalah nikmat yang Allah berikan dan tundukkan untuknya. Ini membawa kita kepada satu prinsip besar iaitu kuasa dalam Islam bukan hak mutlak. Ia adalah amanah daripada Allah. Semakin besar kemampuan seseorang, semakin besar tanggungjawabnya. Semakin besar pengaruhnya, semakin besar amanahnya. Semakin banyak sumber yang Allah berikan, semakin banyak yang perlu dipertanggungjawabkan.

Lalu apakah yang sedang Allah ajarkan kepada kita? Apabila kita membaca ayat 73–81 secara keseluruhan, kita melihat beberapa wajah kepimpinan iaitu Ibrahim, Ishaq dan Ya'qub mengajar kita tentang kepimpinan yang berpandu wahyu dan amal soleh. Lut mengajar kita bahawa ilmu perlu disertai hikmah. Nuh mengajar kita tentang keteguhan dan pergantungan kepada Allah. Daud mengajar kita tentang ilmu, keputusan dan kompetensi. Sulaiman mengajar kita tentang kefahaman dan pengurusan kekuasaan. Mereka mempunyai kemampuan yang berbeza. Tetapi ada satu perkara yang menyatukan mereka iaitu;

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا

Mereka memimpin dengan petunjuk Allah.

Kepimpinan bukan tentang menjadi paling berkuasa. Mungkin inilah perkara yang paling perlu kita renungkan. Dunia sering mengajar kita: Pemimpin ialah orang yang berada di hadapan. Al-Quran mengajar kita memimpin ialah orang yang mampu menunjukkan jalan. Dunia bertanya, “Berapa ramai yang mengikut kamu?” tetapi Al-Quran mengajar kita bertanya, “Ke mana kamu membawa mereka?”. Dunia melihat jawatan. Al-Quran melihat amanah.

Dunia melihat kuasa. Al-Quran melihat bagaimana kuasa itu digunakan. Dunia melihat pengaruh. Al-Quran melihat sama ada pengaruh itu membawa manusia kepada kebaikan atau sebaliknya. Maka mungkin persoalan sebenar tentang kepimpinan bukan, “Adakah aku seorang pemimpin?” tetapi, “Dengan apa aku memimpin?”. Adakah dengan ego, kepentingan diri atau populariti? Atau dengan petunjuk Allah?

Surah al-Anbiya’ ayat 73–81 seakan-akan membuka sebuah jendela kepada kita untuk melihat kepimpinan melalui kehidupan para nabi. Kita melihat bahawa kepimpinan boleh hadir dalam bentuk yang berbeza seperti berani mempertahankan kebenaran, berilmu dan berhikmah, sabar dalam perjuangan, bijak membuat keputusan, mempunyai kemahiran, dan mampu mengurus kuasa sebagai amanah. Namun kesemuanya bermula daripada satu asas;

هَدْيُ اللَّهِ — petunjuk Allah.

Ini kerana pemimpin yang hebat bukan sekadar mampu membuat manusia mengikutinya. Pemimpin yang hebat ialah orang yang mampu membawa dirinya dan orang yang dipimpinnya semakin dekat kepada jalan Allah dan mungkin selepas ini, kita boleh bertanya, apakah “DNA Kepimpinan Para Nabi” yang Allah sedang tunjukkan melalui rangkaian ayat ini? Bukan DNA yang kita reka sendiri.Tetapi DNA yang kita temui daripada al-Quran.

Tuesday, September 15, 2026

Ilmu Bukan Untuk Disimpan, Tetapi Diamalkan



Apakah gunanya kita mengetahui sesuatu perkara yang baik jika pengetahuan itu tidak pernah mengubah cara kita berfikir, bersikap dan bertindak? Kita boleh membaca banyak buku, menghafal pelbagai fakta dan mengumpul pelbagai sijil, tetapi nilai ilmu yang sebenar bukan terletak pada berapa banyak yang kita tahu. Nilainya terletak pada sejauh mana ilmu itu diamalkan dan memberikan manfaat dalam kehidupan.

Ilmu sepatutnya membawa perubahan. Jika kita belajar tentang disiplin, kita menjadi lebih berdisiplin. Jika kita belajar tentang kejujuran, kita berusaha menjadi manusia yang lebih jujur. Jika kita belajar tentang menghormati orang lain, kita menunjukkan rasa hormat melalui percakapan dan perbuatan. Inilah perbezaan antara ilmu yang hanya berada di kepala dengan ilmu yang hidup dalam diri.

Ilmu adalah daripada tahu kepada amal dan kalau kita merujuk kepada siri penulisan saya sebelum ini, kita telah melihat bahawa terdapat perbezaan antara tahu dan faham. Mengetahui sesuatu memberikan kita maklumat, manakala memahami memberikan kita makna. Tetapi perjalanan pembelajaran tidak sepatutnya berhenti di situ. Kita perlu bergerak daripada:

TAHU → FAHAM → AMAL → MANFAAT

Kita tahu bahawa membaca itu penting. Kemudian kita memahaminya. Tetapi langkah seterusnya ialah membuka buku dan membaca. Kita tahu bahawa menjaga masa itu penting. Kita memahaminya. Tetapi langkah seterusnya ialah belajar mengurus masa. Kita tahu bahawa menghormati ibu bapa dan guru itu baik. Tetapi ilmu itu hanya benar-benar hidup apabila kita menterjemahkannya melalui tutur kata dan tingkah laku. Ilmu yang tidak diamalkan ibarat benih yang tidak pernah ditanam. Potensinya ada, tetapi manfaatnya tidak berkembang.

Ilmu mengubah cara kita melihat kehidupan. Ilmu yang benar bukan sekadar menambahkan maklumat, tetapi mengubah cara kita melihat kehidupan. Apabila kita belajar tentang kesihatan, kita mula lebih menghargai tubuh badan. Apabila kita belajar tentang alam sekitar, kita mula memahami tanggungjawab menjaga bumi. Apabila kita belajar tentang sejarah, kita mula mengambil pengajaran daripada pengalaman manusia terdahulu. Apabila kita belajar tentang agama, kita sepatutnya menjadi lebih dekat kepada Allah dan lebih baik hubungan kita dengan manusia.

Jadi, semakin banyak kita belajar, semakin banyak perubahan yang sepatutnya berlaku dalam diri. Jika ilmu semakin bertambah tetapi kesombongan juga semakin bertambah, kita perlu bertanya semula tentang bagaimana ilmu itu digunakan. Jika ilmu semakin banyak tetapi kita semakin malas beramal, kita perlu melakukan muhasabah kerana tujuan ilmu bukan untuk menjadikan kita sekadar lebih tahu, tetapi menjadi lebih baik. Mari kita mulakan dengan diri sendiri.

Kadangkala kita terlalu sibuk memikirkan bagaimana orang lain perlu berubah. Kita tahu apa yang salah pada rakan. Kita tahu apa yang perlu dilakukan oleh masyarakat. Kita tahu bagaimana orang lain patut bertindak. Tetapi sebelum kita meminta orang lain berubah, kita perlu bertanya, “Apa yang ilmu ini perlu ubah dalam diri aku?” Jika kita belajar tentang disiplin, mulakan dengan diri sendiri. Jika kita belajar tentang adab, tunjukkan melalui diri sendiri. Jika kita belajar tentang kepimpinan, jadilah orang yang bertanggungjawab. Jika kita belajar tentang membantu orang lain, carilah peluang untuk membantu.

Perubahan yang paling kuat bukan bermula dengan kata-kata, tetapi dengan teladan. Amalan yang kecil lebih baik daripada niat besar tanpa tindakan. Ramai orang mempunyai niat yang baik. Mereka mahu membaca lebih banyak, belajar lebih rajin, menjadi lebih berdisiplin dan memperbaiki diri. Namun, niat sahaja tidak mencukupi. Mulakanlah dengan perkara kecil. Baca beberapa halaman setiap hari. Urus masa dengan lebih baik. Catat perkara yang dipelajari. Bantu rakan yang memerlukan. Hormati ibu bapa dan guru. Kurangkan perkara yang melalaikan. Berdoa agar ilmu yang diperoleh memberikan manfaat.

Perubahan besar selalunya bermula daripada amalan kecil yang dilakukan secara konsisten. Ilmu juga menjadi lebih bermakna apabila dikongsi. Ilmu bukan milik kita seorang. Jika kita mengetahui sesuatu yang bermanfaat, kongsikan dengan orang lain. Jika ada rakan yang tidak memahami sesuatu pelajaran, bantulah. Jika kita mempunyai kemahiran tertentu, gunakan kemahiran itu untuk memberikan manfaat. Apabila ilmu dikongsi dengan cara yang baik, manfaatnya boleh berkembang jauh melebihi diri kita sendiri.

Seorang guru berkongsi ilmu kepada murid. Murid itu pula menggunakan ilmunya untuk membantu orang lain. Orang yang dibantu kemudiannya melakukan perkara yang sama. Akhirnya, satu ilmu yang kecil boleh menghasilkan rangkaian manfaat yang besar. Sebab itu, jangan kedekut dengan ilmu. Ilmu yang dikongsi boleh menjadi manfaat yang terus hidup.

Ilmu dalam perspektif Islam sangat menekankan kepentingan ilmu, tetapi ilmu dalam Islam bukan sekadar pengetahuan yang disimpan. Ilmu sepatutnya membawa manusia kepada pengenalan yang lebih baik terhadap Allah SWT dan diterjemahkan melalui amal yang baik.

Allah SWT mengajar kita untuk berdoa:

وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا

“Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu.” (Surah Taha: 114)

Doa ini mengingatkan kita bahawa mencari ilmu merupakan perjalanan yang tidak pernah selesai. Namun, apabila Allah memberikan kita ilmu, ia datang bersama amanah. Semakin banyak kita tahu, semakin besar tanggungjawab kita untuk menggunakan pengetahuan tersebut dengan cara yang baik. Ilmu bukan sekadar kelebihan. Ilmu adalah amanah. Jangan belajar hanya untuk mendapat markah. Peperiksaan memang penting bagi kebanyakan pelajar. Keputusan akademik boleh membuka peluang pendidikan dan kerjaya.

Namun, jangan jadikan markah sebagai satu-satunya ukuran kejayaan belajar. Jika kita belajar Matematik, jadilah seseorang yang mampu menggunakan pemikiran logik untuk menyelesaikan masalah. Jika kita belajar Bahasa, jadilah seseorang yang mampu berkomunikasi dengan baik. Jika kita belajar Sains, gunakan pengetahuan itu untuk memahami dan menghargai alam. Jika kita belajar Pendidikan Islam, biarkan ilmu itu membentuk akhlak dan kehidupan. Belajar untuk peperiksaan memberikan kita keputusan. Belajar untuk kehidupan memberikan kita kebijaksanaan.

Tiga soalan yang penting untuk ditanyakan selepas belajar. Mulai hari ini, setiap kali selesai mempelajari sesuatu, cuba tanyakan tiga soalan kepada diri sendiri. Apa yang saya tahu? Kenal pastilah ilmu atau maklumat baharu yang diperoleh. Apa yang saya faham? Cuba fikirkan maksud, sebab dan kaitannya dengan kehidupan. Apa yang saya akan lakukan? Cari satu tindakan yang boleh dilakukan berdasarkan ilmu tersebut. Soalan ketiga inilah yang sering kita lupakan. Kita tahu, faham tetapi kita tidak bertindak. Jangan biarkan proses pembelajaran berhenti di situ.

Kita harus pastikan daripada ilmu kepada perubahan. Matlamat pendidikan yang sebenar ialah melahirkan manusia yang berubah menjadi lebih baik hasil daripada apa yang dipelajarinya. Ilmu membimbing kita. Amal membuktikan kita memahami. Manfaat membuktikan ilmu itu memberi nilai. Maka, perjalanan kita bukan sekadar:

ILMU → TAHU

Tetapi:

ILMU → FAHAM → AMAL → MANFAAT

Inilah ilmu yang hidup, memberi makna serta mampu mengubah diri, keluarga dan masyarakat. Jangan berbangga hanya kerana kita mengetahui banyak perkara. Tanyakan kepada diri sendiri, “Apakah yang telah berubah dalam diri aku setelah aku mengetahui semua ini?”

Jika ilmu membuat kita lebih sabar, teruskan. Jika ilmu membuat kita lebih berdisiplin, teruskan. Jika ilmu membuat kita lebih beradab, teruskan. Jika ilmu membuat kita lebih dekat kepada Allah dan lebih bermanfaat kepada manusia, teruskan kerana akhirnya, manusia tidak dinilai hanya berdasarkan berapa banyak yang diketahuinya, tetapi juga bagaimana pengetahuan itu digunakan. Ilmu bukan untuk disimpan, tetapi untuk diamalkan, dikongsikan untuk memberi manfaat dan apabila ilmu diterjemahkan menjadi amal, di situlah bermulanya perubahan.

Monday, September 14, 2026

Masa Bersama Anak-Anak Juga Adalah Rezeki



“Wahai anak Adam, sesungguhnya engkau hanyalah kumpulan hari-hari. Apabila berlalu satu hari, maka telah berlalu sebahagian daripada dirimu.” (Hasan al-Basri)

Seorang ayah sering menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk membina masa depan keluarga. Bangun pagi, pergi bekerja, mencari rezeki, membayar keperluan rumah, memikirkan pendidikan anak-anak dan memastikan keluarga mempunyai kehidupan yang lebih baik. Semua itu adalah tanggungjawab yang mulia. Namun dalam kesibukan mengejar masa depan, ada satu perkara yang kadangkala kita terlupa untuk hargai, masa yang sedang kita miliki hari ini.

Anak-anak tidak akan kekal kecil selamanya. Hari ini mereka mungkin berlari mendapatkan ayah sambil meminta untuk bermain. Mereka mungkin memanggil, “Ayah, tengok!” berkali-kali hanya kerana mahu menunjukkan sesuatu yang kecil kepada kita. Hari ini mereka mungkin mahu duduk di sebelah kita. Mahu makan bersama, bercerita tentang apa yang berlaku di sekolah, mahu kita menemani mereka sebelum tidur. Tetapi masa bergerak tanpa menunggu sesiapa.

Esok mereka akan membesar. Mereka akan mempunyai dunia sendiri. Mereka akan mempunyai rakan-rakan, pendidikan, pekerjaan, cita-cita dan akhirnya keluarga mereka sendiri. Apa yang hari ini kelihatan seperti perkara kecil mungkin suatu hari nanti menjadi kenangan yang paling kita rindukan. Sebab itu, seorang ayah perlu memahami bahawa masa bersama anak-anak juga adalah rezeki. Rezeki bukan hanya wang

Apabila kita menyebut tentang rezeki, perkara pertama yang biasanya terlintas dalam fikiran ialah wang. Gaji, perniagaan, rumah, kenderaan, makanan. Semua itu memang rezeki. Tetapi rezeki Allah jauh lebih luas daripada apa yang boleh dimasukkan ke dalam akaun bank. Kesihatan adalah rezeki. Ketenangan, pasangan hidup dan anak-anak yang masih mahu duduk di sisi kita juga adalah rezeki. Masa yang Allah berikan untuk kita bersama mereka adalah rezeki yang sangat berharga kerana ia mempunyai satu sifat yang tidak dimiliki oleh harta iaitu ia tidak boleh disimpan untuk digunakan kemudian.

Jika hari ini berlalu, hari ini tidak akan kembali. Kita boleh mencari semula wang yang telah hilang. Kita boleh membeli semula barang yang rosak. Tetapi kita tidak boleh membeli kembali zaman kanak-kanak anak-anak kita. Jangan terlalu sibuk membina masa depan Seorang ayah memang perlu memikirkan masa depan. Dia perlu bekerja, menabung, merancang pendidikan anak-anak dan memastikan keluarga mempunyai tempat tinggal dan kehidupan yang baik. Semua itu penting. Tetapi jangan sampai kita terlalu sibuk membina masa depan sehingga terlupa menikmati masa yang sedang ada.

Ada ayah yang berkata, “Bila kewangan sudah stabil, ayah akan luangkan lebih banyak masa dengan anak-anak.” “Bila kerja sudah kurang sibuk, ayah akan bawa mereka berjalan.” “Bila projek ini selesai, ayah akan lebih banyak bersama keluarga.”

Masalahnya, projek akan sentiasa ada. Kerja akan sentiasa menunggu. Tanggungjawab tidak pernah benar-benar selesai. Tetapi zaman kanak-kanak mereka terus berjalan dan tanpa kita sedari, satu hari nanti kita mungkin mempunyai lebih banyak masa, tetapi anak-anak sudah tidak lagi berada pada usia yang sama. Sebab itu, jangan tunggu kehidupan menjadi sempurna untuk hadir dalam kehidupan anak-anak. Hadir sekarang.

Anak-anak tidak semestinya memerlukan perkara yang mahal. Kadangkala seorang ayah beranggapan bahawa untuk menggembirakan anak-anak, dia perlu membawa mereka bercuti, membeli hadiah mahal atau menyediakan aktiviti yang luar biasa. Sebenarnya tidak semestinya begitu. Anak-anak mungkin lebih menghargai perkara yang sederhana. Makan malam bersama, berjalan di taman, membaca buku sebelum tidur, bermain bola, membantu mereka membuat kerja sekolah, mendengar cerita mereka tanpa melihat telefon. Bertanya, “Macam mana hari kamu hari ini?” dan apabila mereka bercakap, kita benar-benar mendengar.

Perkara-perkara kecil seperti ini mungkin kelihatan biasa bagi seorang ayah. Tetapi bagi seorang anak, ia boleh menjadi kenangan yang kekal sepanjang hayat kerana yang mereka cari bukan semata-mata kemewahan. Mereka mahu merasakan bahawa ayah ada untuk mereka. Masa yang diberikan adalah bahasa kasih sayang Setiap keluarga mempunyai cara yang berbeza dalam menunjukkan kasih sayang. Ada yang memberi hadiah, menyediakan makanan, bekerja keras mencari nafkah, melindungi dan menjaga keluarga. Namun bagi anak-anak, salah satu bentuk kasih sayang yang paling mudah mereka fahami ialah kehadiran.

Apabila ayah meluangkan masa, anak belajar bahawa dirinya penting. Apabila ayah mendengar, anak belajar bahawa suaranya mempunyai nilai. Apabila ayah bermain bersama, anak belajar bahawa dirinya disayangi. Apabila ayah hadir ketika mereka menghadapi kesukaran, anak belajar bahawa mereka tidak bersendirian. Kehadiran seorang ayah membina rasa selamat dalam jiwa seorang anak dan rasa selamat itu menjadi salah satu asas penting dalam pembentukan dirinya. Ayah, carilah rezeki. Tetapi jangan kehilangan rezeki yang lain.

Wahai ayah, Teruskan bekerja. Teruskan mencari rezeki yang halal. Teruskan membina masa depan keluarga. Itu semua adalah amanah. Tetapi dalam perjalanan mengejar rezeki dunia, jangan lupa menghargai rezeki yang sedang duduk di sebelahmu. Apabila anak memanggil, cuba berhenti seketika. Apabila mereka mahu bercerita, dengarlah. Apabila mereka mengajak bermain, jika keadaan mengizinkan, bermainlah. Apabila mereka mahu dipeluk, peluklah kerana kita tidak tahu berapa lama lagi mereka akan meminta semua itu.

Hari ini mereka masih mencari tangan ayah. Esok mungkin mereka sudah mampu berjalan sendiri. Hari ini mereka masih mahu ayah membaca cerita sebelum tidur. Esok mungkin mereka sudah sibuk mengejar impian sendiri. Hari ini mereka masih mahu perhatianmu. Esok mungkin perhatian mereka sudah tertumpu kepada kehidupan yang mereka bina sendiri. Masa tidak pernah berhenti. Maka jangan biarkan masa berlalu tanpa meninggalkan kenangan yang indah. Bina masa depan, tetapi bina juga kenangan

Seorang ayah yang baik bukan hanya menyediakan masa depan untuk anak-anaknya. Dia juga membantu anak-anak mempunyai kenangan indah untuk dibawa ke masa depan. Mungkin suatu hari nanti mereka tidak lagi mengingati berapa banyak wang yang ayah belanjakan untuk mereka. Tetapi mereka akan mengingati ayah yang duduk di sebelah mereka ketika mereka sedih. Mereka akan mengingati suara ayah yang memberi semangat ketika mereka gagal. Mereka akan mengingati tangan ayah yang memimpin mereka ketika kecil dan mereka akan mengingati masa-masa sederhana ketika keluarga berkumpul dan ketawa bersama.

Itulah sebabnya, ayah, carilah rezeki, ya. Bina masa depan, ya. Tetapi jangan lupa bahawa masa bersama mereka juga adalah rezeki. Rezeki yang tidak boleh disimpan. Rezeki yang tidak boleh dibeli semula. Rezeki yang hanya hadir untuk satu ketika, kemudian pergi bersama masa. Maka selagi anak-anak masih kecil, selagi mereka masih memanggil namamu, selagi mereka masih mahu berjalan di sebelahmu, hadirlah derana suatu hari nanti, mereka akan membesar dan pada ketika itu, apa yang tinggal bukanlah peluang untuk mengulang masa, yang tinggal hanyalah kenangan.

Semoga kenangan yang mereka simpan tentang seorang ayah ialah kenangan tentang seorang lelaki yang bukan sahaja bekerja keras untuk masa depan mereka, tetapi juga hadir sepenuh hati dalam kehidupan mereka hari ini kerana akhirnya, salah satu bentuk kekayaan terbesar seorang ayah bukanlah berapa banyak yang mampu diberikannya kepada anak-anak. Tetapi berapa banyak kenangan indah yang sempat dibinanya bersama mereka.

Friday, September 11, 2026

Integriti Bermula Dengan Takwa



Hikmah Jumaat Siri 32 | Mizan al-‘Amal

Kita sering bercakap tentang integrity tidak kira sama ada dalam organisasi, kita bercakap tentang integriti dalam kepimpinan, dalam pekerjaan, kita bercakap tentang integriti dalam melaksanakan tanggungjawab bahkan dalam pentadbiran, kita bercakap tentang integriti sebagai benteng daripada penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Namun, satu persoalan yang lebih asas perlu kita tanyakan, apakah yang menjaga seseorang daripada melakukan kesalahan apabila tiada siapa melihat? Undang-undang boleh mengawal manusia. Peraturan boleh menetapkan batas. Kamera boleh memantau pergerakan. Audit boleh memeriksa rekod. Tetapi semuanya mempunyai batas. Ada satu pengawasan yang tidak pernah terhenti iaitu pengawasan Allah SWT. Sebab itu Islam meletakkan takwa sebagai asas kepada pembentukan insan yang berintegriti.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah takwa. Dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal.” (Surah al-Baqarah: 197)

Ayat ini asalnya berbicara tentang perjalanan menunaikan ibadah haji. Namun, pengajaran yang terkandung di dalamnya melampaui perjalanan fizikal menuju Baitullah. Kehidupan manusia sendiri adalah sebuah perjalanan menuju Allah. Dalam perjalanan itu, manusia memerlukan bekalan dan Allah mengingatkan, “Sebaik-baik bekalan ialah takwa.”

Takwa adalah kompas dari dalam. Takwa bukan sekadar rasa takut kepada Allah. Takwa ialah kesedaran yang membimbing seseorang untuk sentiasa menjaga batas Allah, melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Orang yang bertakwa mungkin tidak sentiasa diperhatikan manusia, tetapi dia sentiasa merasakan dirinya diperhatikan Allah. Dia tetap jujur ketika boleh menipu, tetap amanah ketika boleh mengambil kesempatan, tetap menjaga maruah orang lain ketika tiada siapa akan mengetahui dan tetap melakukan perkara yang benar walaupun tidak mendapat pujian.

Inilah yang membezakan integriti yang lahir daripada takwa dengan integriti yang hanya bergantung kepada pengawasan luaran. Sebagaimana hikmah yang kita bawakan dalam Siri 32 ini, “Takwa ialah pengawal hati sebelum undang-undang mengawal manusia.” Apabila hati telah mempunyai pengawal, manusia tidak perlu menunggu undang-undang untuk membezakan antara yang benar dan yang salah.

Mizan al-‘Amal adalah neraca yang bermulanya dari hati. Konsep Mizan al-‘Amal yang menjadi asas siri Hikmah Jumaat WADAH Selangor mengajak kita melihat amal secara lebih menyeluruh. Mizan bermaksud neraca, manakala ‘amal merujuk kepada perbuatan. Apabila dirujuk dalam kerangka ucapan dasar WADAH Selangor, Mizan al-‘Amal menimbang amal bukan hanya dari sisi luaran, tetapi turut mengambil kira niat, maqasid, kesan sosial serta integrasi antara ilmu dan amal.

Ini membawa kita kepada satu kesimpulan penting bahawa integriti bukan sekadar apa yang manusia nampak pada diri kita. Integriti ialah siapa kita ketika tiada manusia yang melihat. Seseorang boleh kelihatan sangat baik di hadapan masyarakat, tetapi ukuran sebenar dirinya terserlah ketika dia berhadapan dengan peluang untuk melakukan sesuatu yang salah tanpa diketahui sesiapa maka di situlah mizan berfungsi. Apakah niat kita? Apakah tujuan kita? Apakah kesannya kepada orang lain? Adakah tindakan kita benar-benar selari dengan nilai yang kita perjuangkan? Soalan-soalan ini menjadikan Mizan al-‘Amal bukan sekadar konsep teori, tetapi sebuah kompas kehidupan.

Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Rasulullah SAW bersabda dalam Riwayat al-Tirmizi, “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada.” Perkataan “di mana sahaja” mempunyai makna yang sangat besar. Takwa bukan hanya di masjid, bukan hanya ketika membaca al-Quran, bukan hanya ketika menghadiri majlis ilmu. Takwa mesti hadir di pejabat, di rumah, di jalan raya, dalam mesyuarat, ketika berurus niaga dan juga ketika menggunakan media sosial.

Takwa mesti bersama kita ketika membuat keputusan, ketika memegang Amanah, ketika memiliki kuasa dan takwa mesti bersama kita ketika tiada seorang pun manusia mengetahui apa yang kita lakukan. Inilah integriti yang sebenar. Apabila pengawasan manusia menjadi ukuran, kita menjaga imej kerana manusia melihat, berhati-hati kerana ada kamera dan mematuhi peraturan kerana takut dikenakan tindakan. Inilah antara masalah masyarakat moden iaitu kecenderungan manusia melakukan sesuatu kerana mahu dilihat.

Namun apabila pengawasan hilang, sebahagian manusia kembali kepada hawa nafsu. Ini menunjukkan bahawa kawalan luaran sahaja tidak mencukupi. Ucapan dasar WADAH Selangor, Mizan al-‘Amal dikaitkan dengan pembinaan insan seimbang dan matang yang memiliki “kompas dalaman” untuk menilai setiap tindakan berdasarkan neraca Allah. Insan seperti ini tidak mudah hanyut, tidak cepat menghukum dan sentiasa mempertimbangkan antara kepentingan diri dengan maslahat bersama.

Maka, tugas pembinaan masyarakat bukan sekadar menghasilkan manusia yang patuh kepada peraturan, tetapi manusia yang mempunyai kesedaran moral walaupun tiada peraturan yang mengawasinya. Kita telah membincangkan amanah dalam Hikmah Jumaat Siri 30. Kali ini kita melihat persoalan yang lebih mendasar, apakah yang menyebabkan seseorang mampu menjaga amanah?

Jawapannya ialah takwa. Seseorang mungkin memegang wang yang bukan miliknya, mempunyai akses kepada maklumat sulit, mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, mempunyai peluang untuk menggunakan kedudukannya bagi kepentingan peribadi. Apa yang menghalangnya? Jika hanya undang-undang, dia mungkin mencari ruang untuk melepasi undang-undang. Kalau hanya takut kepada manusia, dia mungkin melakukan kesalahan apabila manusia tidak melihat. Tetapi apabila takwa hidup dalam hati, dia sedar bahawa Allah sentiasa melihat. Itulah sebabnya integriti yang kukuh mesti dibina dari dalam.

Persoalan ini menjadi lebih penting apabila kita berbicara tentang kepimpinan. Kuasa tanpa takwa boleh menjadi alat untuk memenuhi kepentingan diri. Ilmu tanpa takwa boleh menjadi alat untuk memanipulasi manusia. Kekayaan tanpa takwa boleh menjadi jalan kepada ketamakan. Pengaruh tanpa takwa boleh membawa kepada kesombongan. Tetapi kuasa yang dipandu takwa akan dilihat sebagai amanah.

Pembinaan kerangka WADAH Selangor, Mizan al-‘Amal menuntut agar keputusan dan tindakan tidak diukur hanya berdasarkan keuntungan atau kepentingan semasa. Sebaliknya, ia perlu ditimbang berdasarkan wahyu, akhlak, keadilan dan kemaslahatan manusia. Sebab itu masyarakat yang baik memerlukan pemimpin yang bukan sekadar cekap, tetapi juga amanah; bukan sekadar berani, tetapi juga bertakwa.

Integriti tidak boleh dipisahkan daripada akhlak seperti dalam ucapan dasar tersebut, Imam al-Ghazali turut dikaitkan dengan kerangka Ummahat al-Fadhail, iaitu empat sifat utama yang menjadi asas kepada pembentukan akhlak: al-Hikmah, al-Syaja‘ah, al-‘Iffah dan al-‘Adalah. Daripada asas ini berkembang sifat-sifat seperti sabar, tawaduk, amanah dan ihsan. Ini menunjukkan bahawa integriti tidak berdiri sendirian. Ia memerlukan hikmah untuk membuat keputusan yang tepat, keberanian untuk berkata benar,‘iffah untuk mengawal hawa nafsu dan keadilan untuk tidak menyalahgunakan kuasa. Semuanya memerlukan kesedaran kepada Allah. Lebih mudah kita fahami, takwa menjadi jiwa kepada integriti, manakala akhlak menjadi manifestasinya.

WADAH Selangor melalui konteks kemasyarakatan mempunyai peranan yang lebih besar daripada sekadar menyeru kepada integriti. Integriti perlu ditarbiah. Ia perlu dibina dalam keluarga. Ia perlu dipupuk dalam pendidikan. Ia perlu dibudayakan dalam organisasi. Ia perlu diterjemahkan dalam kepimpinan dan ia perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat.

WADAH Selangor sendiri digagaskan dalam ucapan dasar sebagai “neraca moral dan intelektual” iaitu berperanan untuk menimbang, membimbing dan memperbetulkan arah masyarakat berdasarkan prinsip Mizan al-‘Amal. Dalam mendukung pembangunan masyarakat MADANI, WADAH bukan sekadar menyokong sesuatu gagasan, tetapi perlu memastikan kemajuan sentiasa berpaksikan nilai, keadilan, adab dan kemaslahatan.

Maka, pembinaan integriti perlu bermula dengan pembinaan manusia. Kita tidak boleh berharap melahirkan organisasi yang amanah jika manusianya tidak ditarbiah dengan amanah. Kita tidak boleh berharap melahirkan kepimpinan yang bersih jika jiwa pemimpinnya tidak dibina dengan takwa. Kita tidak boleh membina masyarakat MADANI hanya melalui sistem dan dasar jika manusia yang menggerakkannya tidak mempunyai kompas moral.

Muhasabah untuk kita pada hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita bertanya kepada diri sendiri, adakah kita jujur hanya kerana orang lain melihat? Adakah kita amanah hanya kerana ada audit? Adakah kita menjaga adab hanya kerana takut dikritik? Atau kita melakukan semuanya kerana yakin bahawa Allah sentiasa melihat? Jika jawapannya yang terakhir, maka kita sedang membina integriti yang sebenar kerana integriti tidak bermula dengan kamera, audit atau hukuman tetapi bermula dengan hati yang bertakwa.

Allah SWT mengingatkan bahawa dalam perjalanan kehidupan, manusia memerlukan bekalan dan sebaik-baik bekalan ialah takwa. Takwa menjadikan ilmu mempunyai arah, kuasa mempunyai batas, harta mempunyai tujuan, amanah dipelihara dan menjadikan manusia tetap jujur walaupun tiada siapa melihat. Inilah roh Mizan al-‘Amal yang ingin membina manusia yang mempunyai neraca dalaman untuk membezakan antara yang benar dan yang salah, antara kepentingan diri dan maslahat bersama, antara kejayaan dunia dan keselamatan akhirat.

Maka, marilah kita membangunkan integriti yang lahir daripada kesedaran kepada Allah, bukan semata-mata pengawasan manusia kerana undang-undang mungkin mampu mengawal tangan kita, tetapi takwa mengawal hati kita. Apabila hati manusia telah mempunyai neraca, lahirlah insan yang Amanah. Apabila insan yang amanah membina organisasi, lahirlah institusi yang dipercayai dan apabila institusi yang dipercayai membentuk masyarakat, terbinalah masyarakat MADANI yang adil, beradab dan sejahtera.

Wednesday, September 9, 2026

Apabila Umat Kehilangan Mizan, Mereka Akan Kehilangan Arah


Pesanan Mizan 01 — Neraca Wasatiyah dalam Pembinaan Malaysia M.A.D.A.N.I.

Hidup memerlukan kita sentiasa membuat pilihan. Kita memilih apa yang mahu dipercayai, apa yang mahu dipelajari, apa yang mahu dilakukan, siapa yang mahu diikuti dan ke mana kita mahu membawa diri. Kehidupan bermasyarakat pula memerlukan kita membuat keputusan yang lebih besar. Ia berkaitan tentang pembangunan, pendidikan, ekonomi, teknologi, hubungan sesama manusia dan masa depan generasi.

Namun, satu persoalan sering terlepas daripada perhatian kita iaitu dengan neraca apakah kita membuat semua keputusan itu? Inilah antara persoalan penting yang diketengahkan dalam Ucapan Dasar Pengerusi WADAH Selangor, Ustaz Dr. Ahmad Zaki Abdul Latiff melalui gagasan Mizan al-‘Amal. Mizan bukanlah sekadar timbangan. Mizan secara asasnya membawa makna neraca atau timbangan.

Al-Quran sendiri mengangkat konsep mizan sebagai prinsip kehidupan. Surah al-Rahman ayat 7–9, Allah SWT menyebut tentang neraca dan menegaskan supaya manusia tidak melampaui batas dalam neraca serta menegakkan timbangan dengan adil. Maka, mizan bukan sekadar gambaran tentang sebuah alat untuk menimbang sesuatu secara fizikal. Ia membawa makna yang lebih luas seperti ketertiban, keadilan dan keseimbangan.

Penilaian dalam konteks kehidupan manusia, Ucapan Dasar ini mengembangkan Mizan al-‘Amal sebagai satu kerangka untuk menilai sama ada sesuatu pemikiran, keputusan dan tindakan berada pada tempatnya, menepati nilai yang benar serta membawa maslahat. Ia bukan hanya digunakan untuk menilai amal individu, tetapi turut menjadi neraca bagi arah perjuangan, gerak kerja organisasi dan pembinaan masyarakat maka, di sinilah pentingnya mizan kerana manusia bukan hanya memerlukan kebenaran, tetapi juga memerlukan kebijaksanaan untuk menentukan bagaimana kebenaran itu diterjemahkan dalam kehidupan.

Masalah utama kita bukanlah semata-mata tidak tahu. Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan maklumat. Kita boleh mendapatkan ilmu dalam beberapa saat. Kita boleh membaca pelbagai pandangan. Kita boleh mengikuti pelbagai tokoh. Kita boleh mengetahui apa yang berlaku di seluruh dunia hampir secara langsung. Tetapi banyak maklumat tidak semestinya menghasilkan pertimbangan yang baik.

Ucapan Dasar mengingatkan bahawa masyarakat hari ini berhadapan dengan perubahan nilai yang pantas akibat globalisasi, teknologi dan budaya digital. Ukuran kejayaan pula semakin mudah disempitkan kepada pencapaian material, status, populariti dan kedudukan, sedangkan amanah, akhlak, ilmu dan khidmat kepada masyarakat boleh terpinggir. Sebab itu kita perlu bertanya, apakah ukuran kejayaan kita? Adakah kita hanya melihat apa yang besar? Apa yang popular? Apa yang mendapat banyak perhatian? Apa yang menghasilkan keuntungan? Atau kita turut bertanya, Adakah ia benar? Adakah ia adil? Adakah ia membawa manfaat? Adakah ia membina manusia? Adakah ia mendapat keberkatan Allah? Inilah fungsi mizan.

Kehilangan mizan akan melahirkan ketidakseimbangan. Apabila neraca hilang, sesuatu yang berlebihan boleh dianggap baik. Sesuatu yang kurang boleh dianggap mencukupi. Sesuatu yang popular boleh dianggap benar. Sesuatu yang baharu boleh dianggap lebih baik. Sedangkan tidak semua yang baharu adalah kemajuan, tidak semua yang popular adalah benar dan tidak semua yang kelihatan berjaya membawa keberkatan. Ucapan Dasar secara jelas mengajak kita bertanya, dengan neraca apakah kita menentukan arah perubahan?

Inilah yang menjadikan gagasan mizan sangat relevan dalam kehidupan hari ini. Kita tidak menolak kemajuan, teknologi atau perubahan. Tetapi kita perlu bertanya, kemajuan ini membawa kita ke mana? Teknologi boleh menjadi alat ilmu, tetapi boleh juga menjadi alat kelalaian. Kebebasan boleh menjadi ruang kemuliaan manusia, tetapi tanpa tanggungjawab ia boleh membawa kerosakan. Pembangunan boleh meningkatkan kesejahteraan, tetapi tanpa keadilan ia boleh memperbesar jurang.

Ilmu boleh mencerdaskan manusia, tetapi tanpa amal ia tidak semestinya menghasilkan perubahan. Semuanya memerlukan mizan dan ia mesti bermula daripada diri sendiri. Menariknya, Mizan al-‘Amal tidak bermula dengan usaha mengubah orang lain. Ia bermula dengan membina manusia yang memiliki jiwa yang seimbang. Ucapan Dasar menjelaskan bahawa Mizan al-‘Amal bukan hanya neraca untuk menilai hasil kerja, tetapi juga neraca untuk menilai manusia yang melakukan kerja tersebut. Kebangkitan umat tidak boleh hanya dimulakan dengan menambah program, memperbesar organisasi atau memperbanyak aktiviti. 

Ia perlu bermula dengan manusia yang memiliki jiwa seimbang, akhlak luhur dan kemampuan menimbang setiap tindakan dengan neraca Allah SWT. Ini membawa satu teguran yang cukup besar kepada kita. Kadang-kadang kita terlalu sibuk bertanya, “Apa lagi yang perlu kita buat?” Sedangkan mungkin soalan yang lebih asas ialah, “Manusia seperti apakah yang sedang kita bina?” Ini adalah kerana program yang banyak belum tentu menghasilkan perubahan. Organisasi yang besar belum tentu menghasilkan masyarakat yang lebih baik. Aktiviti yang meriah belum tentu menghasilkan manusia yang lebih dekat kepada Allah. Bahkan yang lebih penting ialah apakah kesan amal itu terhadap manusia?

Inilah yang membawa kepada mizan bertemu dengan konsep wasatiyah. Wasatiyah bukan bermaksud mengambil jalan tengah secara mudah antara semua perkara. Ia adalah kemampuan untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya, memberikan hak kepada yang berhak dan menjaga keseimbangan antara tuntutan yang perlu diseimbangkan. Hidup kita perlu menyeimbangkan antara iman dan kehidupan, ilmu dan amal, kebebasan dan tanggungjawab, kemajuan dan nilai, kepelbagaian dan perpaduan.

Ucapan Dasar mengemukakan Fiqh al-Mizan sebagai pendekatan untuk membuat pertimbangan antara perkara-perkara tersebut. Daripada diagnosis masalah, kita perlu bergerak kepada agenda perubahan, mengubah prasangka kepada ta‘ayush, tindakan melulu kepada mizan dan pengetahuan pasif kepada amal yang nyata. Mizan akhirnya bukan sekadar cara berfikir. Ia mesti menjadi cara hidup.

Jadi, apakah neraca kita? Mungkin ini persoalan paling penting untuk kita bawa pulang daripada Pesanan Mizan yang pertama. Apabila kita membuat keputusan, apakah yang kita timbang? Apabila kita memilih pemimpin, apakah yang kita timbang? Apabila kita menggunakan teknologi, apakah yang kita timbang? Apabila kita mengkritik orang lain, apakah yang kita timbang? Apabila kita menjalankan program, apakah yang kita timbang? Apabila kita membina organisasi, apakah yang kita timbang? Dan apabila kita bercakap tentang Malaysia MADANI, apakah yang sebenarnya kita mahu bina?

Adakah sebuah negara yang maju? Jawapannya pasti ya. Tetapi bukan kemajuan yang kehilangan nilai. Sebuah masyarakat yang berilmu, tetapi bukan ilmu yang terpisah daripada amal. Sebuah masyarakat yang bebas, tetapi bukan kebebasan tanpa tanggungjawab. Sebuah masyarakat yang berdaya saing, tetapi bukan persaingan yang mengorbankan manusia. Kita mahu kemajuan yang mempunyai neraca, kebebasan yang mempunyai tanggungjawab, ilmu yang melahirkan amal, perubahan yang membawa maslahat dan akhirnya, kita mahu sebuah masyarakat yang mampu berdiri sebagai ummatan wasatan atau umat yang seimbang, adil dan menjadi saksi kepada manusia.

Pesanan Mizan 01, “Apabila umat kehilangan mizan, mereka akan kehilangan arah” menjelaskan bahawa mungkin kita tidak kekurangan kemampuan, tidak kekurangan ilmu, tidak kekurangan aktiviti, tetapi persoalan yang lebih besar ialah adakah kita masih mempunyai neraca untuk menentukan arah? Itu adalah Kerana perubahan tanpa neraca boleh menjadi kekeliruan, kemajuan tanpa neraca boleh menjadi kerakusan. Ilmu tanpa neraca boleh menjadi kesombongan. Kuasa tanpa neraca boleh menjadi kezaliman dan amal tanpa neraca boleh membawa kita jauh daripada tujuan sebenar perjuangan. Mizan mengajar kita untuk berhenti sejenak, menimbang dengan adil, melihat dengan hikmah dan kemudian bertindak dengan penuh tanggungjawab kerana pada akhirnya, bukan sekadar berapa banyak yang kita lakukan yang akan dinilai. Tetapi ke mana amal itu membawa kita, manusia dan masyarakat.

Monday, September 7, 2026

Ayah: Ketua Keluarga Bukan Sekadar Berkuasa, Tetapi Memikul Amanah



“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya.” (Nabi Muhammad SAW, Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apabila seorang lelaki bergelar suami dan ayah, hidupnya tidak lagi hanya berkisar tentang dirinya sendiri. Ada sebuah keluarga yang berada di bawah tanggungjawabnya. Ada seorang isteri yang mengharapkan kepimpinan dan perlindungan. Ada anak-anak yang sedang membesar dan mencari arah untuk memahami kehidupan. Sebab itu, menjadi ketua keluarga bukanlah sebuah keistimewaan untuk dibanggakan. Ia adalah amanah yang perlu dipikul.

Ramai mungkin memahami kepimpinan dalam keluarga sebagai hak untuk membuat keputusan, memberi arahan atau menentukan apa yang perlu dilakukan oleh ahli keluarga. Namun kepimpinan yang sebenar bukanlah tentang berapa banyak kuasa yang dimiliki seorang ayah. Kepimpinan adalah tentang berapa besar tanggungjawab yang sanggup dipikulnya.

Ketua keluarga bukan pemerintah keluarga. Seorang ayah tidak sepatutnya melihat kedudukannya sebagai alasan untuk sentiasa menang dalam setiap perbincangan. Menjadi ketua keluarga tidak bermaksud semua orang mesti takut kepadanya. Sebaliknya, seorang ayah seharusnya menjadi insan yang membuat keluarganya berasa selamat untuk pulang, berbicara dan mendapatkan bimbingan namun, ketegasan tetap diperlukan.

Ketegasan tanpa kasih sayang boleh melahirkan ketakutan. Kasih sayang tanpa ketegasan pula boleh menyebabkan anak-anak kehilangan arah. Kepimpinan seorang ayah memerlukan kedua-duanya, tegas apabila perlu dan lembut apabila keadaan memerlukan kelembutan. Inilah cabaran sebenar seorang ayah. Bukan sekadar memastikan keluarga mengikut kehendaknya, tetapi memastikan keluarga bergerak menuju arah yang benar.

Anak-anak bukan sekadar tanggungjawab. Seorang ayah mungkin melihat anak sebagai amanah yang perlu diberi makan, pakaian, pendidikan dan tempat tinggal. Semua itu memang penting. Tetapi anak-anak adalah lebih daripada sekadar tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Mereka adalah jiwa yang sedang dibentuk. Setiap perkataan yang keluar daripada mulut seorang ayah boleh meninggalkan kesan. Setiap tindakan yang dilakukan boleh menjadi contoh. Setiap cara seorang ayah mengurus kemarahan sedang mengajar anak tentang cara mengurus emosi. Setiap cara seorang ayah melayan ibunya sedang mengajar anak tentang bagaimana seorang lelaki sepatutnya menghormati wanita. Setiap kali seorang ayah menunaikan solat, menjaga amanah dan memilih rezeki yang halal, dia sebenarnya sedang memberikan pendidikan yang mungkin lebih kuat daripada seribu nasihat kerana anak-anak tidak hanya belajar melalui apa yang kita katakan. Mereka belajar melalui apa yang kita lakukan.

Pimpinlah dengan contoh. Seorang ayah boleh berkata kepada anaknya, “Jangan berbohong.” Tetapi jika anak melihat ayahnya mudah berbohong, nasihat itu kehilangan kekuatannya. Seorang ayah boleh meminta anaknya menjaga solat. Tetapi jika anak tidak pernah melihat ayahnya bersungguh-sungguh menjaga solat, mesej itu mungkin tidak sampai ke dalam hati. Seorang ayah boleh meminta anaknya menghormati orang lain. Tetapi jika dia sendiri sering memaki, merendahkan atau memperlekehkan orang lain, anak akan belajar daripada tindakan, bukan kata-kata. Sebab itu, sebelum bertanya apakah yang sudah diajarkan kepada anak-anak, seorang ayah perlu bertanya, “Apakah yang sedang anak-anak lihat dalam diriku?”

Soalan itu mungkin tidak mudah dijawab. Tetapi ia sangat penting kerana anak-anak sedang membaca kehidupan ayah mereka setiap hari. Tegur dengan kasih. Mendidik anak bukan bermaksud membiarkan semua kesalahan mereka. Seorang ayah perlu menegur, perlu menetapkan batas, perlu mengajar tentang betul dan salah. Namun teguran yang baik bukan bertujuan untuk menjatuhkan harga diri seorang anak. Teguran sepatutnya membantu anak memahami kesalahan dan belajar menjadi lebih baik.

Ada perbezaan antara mengatakan, “Kamu memang tidak berguna.” dengan mengatakan, “Apa yang kamu lakukan itu salah. Ayah tahu kamu boleh buat lebih baik.” Kedua-duanya mungkin lahir daripada kemarahan, tetapi kesannya kepada jiwa seorang anak sangat berbeza. Anak perlu tahu bahawa apabila ayah menegur, ayah bukan membenci dirinya. Ayah sedang membetulkan perbuatannya kerana ayah menyayanginya. Itulah tegas dengan kasih.

Didiklah dengan sabar. Anak-anak tidak membesar dalam sehari. Mereka akan melakukan kesilapan. Mereka akan mengulangi kesalahan yang sama. Mereka akan bertanya soalan yang sama berkali-kali. Kadangkala mereka akan membuat ayah kecewa dan ketika dalam keadaan seperti ini, kesabaran seorang ayah menjadi sangat penting. Didik anak adalah satu proses yang panjang. Kita tidak boleh mengharapkan anak terus menjadi seperti yang kita mahukan hanya selepas beberapa kali dinasihati. Bukankah kita sendiri memerlukan bertahun-tahun untuk belajar menjadi manusia yang lebih baik? Maka berikan anak-anak ruang untuk belajar. Tegur mereka apabila salah. Bimbing mereka apabila tersasar. Peluk mereka apabila mereka jatuh dan sentiasa berikan mereka peluang untuk mencuba semula kerana tugas seorang ayah bukan sekadar menghasilkan anak yang patuh.

Tugas seorang ayah adalah membentuk manusia yang mampu memilih kebaikan walaupun ayahnya sudah tiada di sisi. Suatu hari nanti, ayah akan ditanya, inilah bahagian paling berat dalam amanah seorang ketua keluarga. Kepimpinan bukan berakhir apabila anak-anak meninggalkan rumah. Seorang ayah akan membawa amanah itu sehingga dia bertemu Allah. Apakah yang telah kita ajarkan kepada anak-anak? Apakah nilai yang kita tanamkan dalam jiwa mereka? Adakah rumah kita menjadi tempat mereka mengenal kasih sayang? Adakah mereka mengenal Allah melalui kehidupan yang kita tunjukkan? Adakah mereka belajar tentang tanggungjawab daripada diri kita? Adakah mereka melihat seorang lelaki yang berusaha memperbaiki dirinya walaupun tidak sempurna?

Persoalan-persoalan ini sepatutnya membuatkan seorang ayah lebih berhati-hati dalam menjalankan peranannya. Bukan untuk membuat kita takut sehingga tidak berani menjadi ayah. Tetapi untuk mengingatkan bahawa setiap hari adalah peluang untuk memperbaiki kepimpinan kita. Tidak perlu menunggu menjadi ayah yang sempurna kerana tiada ayah yang sempurna sebaliknya yang diperlukan ialah seorang ayah yang sedar bahawa dirinya sedang menjadi contoh, lalu terus berusaha memperbaiki diri.

Hari ini mungkin dia kurang sabar. Esok dia belajar mengawal marah. Hari ini mungkin dia terlalu sibuk. Esok dia belajar meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak. Hari ini mungkin dia tersilap dalam mendidik. Esok dia berani meminta maaf dan mencuba pendekatan yang lebih baik. Itulah juga kepimpinan. Ayah, pimpinlah dengan hati. Wahai ayah. Jangan melihat kedudukanmu sebagai ketua keluarga sebagai sebuah kuasa. Lihatlah ia sebagai sebuah amanah. Anak-anakmu bukan sekadar orang yang perlu kau jaga. Mereka adalah generasi yang sedang kau bentuk. Mereka mungkin akan membawa sebahagian daripada dirimu ke dalam kehidupan mereka. Cara mereka bercakap. Cara mereka menyelesaikan masalah. Cara mereka mencintai. Cara mereka menjadi ibu atau ayah suatu hari nanti. Semuanya mungkin bermula daripada apa yang mereka lihat di rumah. Maka pimpinlah mereka dengan contoh. Tegurlah dengan kasih. Didiklah dengan sabar. Lindungilah dengan amanah dan jangan pernah berhenti memperbaiki dirimu sendiri kerana seorang ayah yang baik bukanlah ayah yang sentiasa betul. Seorang ayah yang baik ialah ayah yang sentiasa mahu menjadi lebih baik demi keluarganya.

Ingatlah, kepimpinan seorang ayah bukan diukur daripada berapa banyak orang yang tunduk kepadanya, tetapi daripada berapa banyak jiwa yang menjadi lebih baik kerana kepimpinannya. Suatu hari nanti, kita akan ditanya tentang amanah ini. Semoga apabila tiba waktunya, kita mampu menjawab bahawa kita telah berusaha sebaik mungkin. Bukan menjadi ayah yang sempurna. Tetapi menjadi ayah yang amanah.

Jangan Sekadar Tahu, Fahami!



Ramai pelajar menganggap bahawa belajar bermaksud mengingati sebanyak mungkin fakta, formula, definisi dan maklumat. Semakin banyak yang dapat dihafal, semakin dianggap pandai. Tidak salah untuk mengingat fakta kerana ingatan memang merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Namun, mengetahui sesuatu tidak semestinya bermaksud kita benar-benar memahaminya.

Ada perbezaan besar antara tahu dan faham. Kita mungkin tahu sesuatu fakta, tetapi apabila ditanya mengapa ia berlaku, bagaimana ia digunakan atau apa kaitannya dengan kehidupan sebenar, kita mungkin tidak mampu menjelaskannya. Inilah sebabnya pelajar perlu bergerak daripada sekadar “tahu” kepada “faham”.

Apa yang kita maksudkan “tahu dan “faham”? Tahu bermaksud kita mempunyai maklumat tentang sesuatu perkara. Contohnya, kita tahu bahawa air mendidih pada suhu 100°C dalam keadaan tertentu. Kita tahu formula Matematik, tarikh sesuatu peristiwa dalam Sejarah atau definisi sesuatu istilah dalam Sains.

Tetapi faham membawa kita lebih jauh. Apabila kita faham, kita bukan sahaja tahu apa, tetapi kita mula memahami mengapa, bagaimana, bila dan untuk apa sesuatu ilmu itu digunakan. Misalan, seorang pelajar mungkin tahu bahawa disiplin penting untuk mencapai kejayaan. Tetapi apabila dia benar-benar memahami disiplin, dia akan mula melihat bagaimana pengurusan masa, kawalan diri, konsistensi dan kemampuan menangguhkan keseronokan boleh mempengaruhi pencapaiannya.

Tahu memberikan maklumat. Faham memberikan makna. Jadi, mengapa pemahaman lebih penting? Ilmu yang difahami lebih mudah digunakan dalam kehidupan. Bayangkan kita diberikan sebuah peta. Kita boleh menghafal semua nama jalan yang terdapat dalam peta tersebut, tetapi jika kita tidak memahami bagaimana membaca arah dan menentukan laluan, hafalan itu tidak banyak membantu.

Begitu juga dengan ilmu. Pelajar mungkin mampu menghafal banyak fakta untuk peperiksaan, tetapi jika tidak memahami konsep di sebalik fakta tersebut, ilmu itu mudah hilang selepas peperiksaan tamat. Sebaliknya, apabila sesuatu ilmu benar-benar difahami, kita boleh menggunakannya dalam situasi yang berbeza. Kita mampu membuat hubungan antara satu perkara dengan perkara yang lain, menganalisis masalah dan mencari penyelesaian. Oleh sebab itulah, tujuan sebenar belajar bukan sekadar untuk mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat, tetapi membina kemampuan untuk memahami dan menggunakan ilmu tersebut.

Salah satu cara terbaik untuk meningkatkan pemahaman ialah dengan bertanya. Jangan takut bertanya. Malangnya, masih ada pelajar yang takut bertanya kerana bimbang dianggap tidak pandai. Ada yang memilih untuk diam walaupun sebenarnya tidak memahami apa yang diajar. Hakikatnya, bertanya bukan tanda kelemahan bahkan bertanya menunjukkan kita mahu belajar dan sedang berfikir.

Soalan seperti “Mengapa perkara ini berlaku?”, “Bagaimana perkara ini boleh terjadi?”, “Apa kaitannya dengan kehidupan kita?”, “Boleh berikan contoh?” atau “Bagaimana saya boleh menggunakan ilmu ini?” adalah soalan yang membantu otak bergerak daripada sekadar menghafal kepada memahami. Kadangkala satu soalan yang baik boleh membuka pemahaman yang lebih besar daripada berpuluh-puluh halaman yang kita baca.

Bacalah dengan ditetapkan tujuan. Membaca juga perlu dilakukan dengan tujuan. Jangan membaca sekadar untuk menghabiskan satu bab atau menyelesaikan tugasan. Ketika membaca, cuba tanyakan kepada diri sendiri, apakah perkara utama yang cuba disampaikan? Apakah yang saya sudah faham? Apakah yang masih mengelirukan? Bagaimana ilmu ini boleh digunakan?

Cara ini menjadikan aktiviti membaca lebih aktif. Kita bukan sekadar menerima maklumat, tetapi berinteraksi dengan maklumat tersebut. Pelajar yang membaca dengan tujuan akan lebih mudah memahami dan mengingati apa yang dipelajarinya. Kemudian, berusaha kaitkan ilmu dengan kehidupan. Ini adalah salah satu cara untuk memahami ilmu apatah lagi berkait dengan pengalaman sebenar.

Matematik bukan sekadar nombor di dalam buku. Ia digunakan ketika mengurus wang, mengira diskaun, mengukur sesuatu dan merancang perbelanjaan. Sains bukan sekadar eksperimen di makmal. Ia membantu kita memahami tubuh badan, alam sekitar, teknologi dan dunia yang kita diami. Bahasa bukan sekadar tatabahasa dan karangan. Ia membantu kita berkomunikasi, menyampaikan idea dan membina hubungan dengan manusia lain. Sejarah pula bukan sekadar tarikh dan nama tokoh. Sejarah membantu kita memahami bagaimana sesuatu masyarakat dan negara terbentuk serta mengambil pengajaran daripada pengalaman masa lalu. Apabila pelajar mampu melihat kaitan antara apa yang dipelajari dengan kehidupan sebenar, ilmu itu menjadi lebih bermakna.

Satu cara mudah untuk menguji sama ada kita benar-benar faham ialah dengan cuba menerangkan sesuatu menggunakan kata-kata sendiri. Selepas belajar satu topik, tutup buku dan cuba terangkan “Apakah yang saya baru belajar?” Jika kita mampu menerangkannya dengan bahasa yang mudah, memberikan contoh dan menjawab soalan berkaitan, kemungkinan besar kita sudah memahaminya. Tetapi jika kita hanya mampu mengulang ayat yang terdapat dalam buku tanpa mengetahui maksudnya, mungkin kita masih berada pada tahap menghafal.

Sebab itu, jangan hanya bertanya “Boleh saya hafal?” Tanya juga “Boleh saya terangkan?” Ilmu yang difahami lebih mudah diamalkan. Pemahaman juga menjadi jambatan antara ilmu dengan tindakan. Kita mungkin tahu bahawa menjaga kesihatan itu penting. Tetapi apabila kita benar-benar memahami kesan kurang tidur, pemakanan yang tidak baik dan gaya hidup tidak sihat, kita akan lebih terdorong untuk mengubah tabiat.

Kita mungkin tahu bahawa menghormati ibu bapa dan guru ialah perkara yang baik. Tetapi apabila kita memahami pengorbanan, peranan dan nilai hubungan tersebut, rasa hormat itu akan lahir daripada kesedaran, bukan sekadar arahan. Inilah perbezaan antara tahu tentang kebaikan dengan memahami mengapa kita perlu melakukan kebaikan. Ilmu yang hanya berada dalam kepala mungkin tidak mengubah kehidupan. Tetapi ilmu yang difahami akan mempengaruhi cara kita berfikir, membuat keputusan dan bertindak.

Seringkali kita memohon ditambah ilmu dan itulah yang diajarkan dalam agama Islam. Islam sangat menghargai ilmu. Allah SWT mengajar Rasulullah SAW satu doa yang sangat indah

وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا

“Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu.” (Surah Taha: 114)

Doa ini mengingatkan kita bahawa perjalanan mencari ilmu tidak pernah berakhir. Semakin banyak kita belajar, semakin kita sedar betapa luasnya ilmu yang masih belum kita ketahui. Namun, ilmu yang dicari bukan sekadar ilmu untuk memenuhi ingatan. Kita mahu ilmu yang memberi kefahaman, membina kebijaksanaan dan membawa perubahan dalam kehidupan. Itulah kepentingan sebenar daripada tahu kepada faham, daripada faham kepada amal.

Inilah perjalanan pembelajaran yang sepatutnya dibina oleh setiap pelajar. Saya susunkan seperti berikut;

TAHU → FAHAM → AMAL → MANFAAT

Kita bermula dengan mengetahui sesuatu. Kemudian kita berusaha memahami maksud dan sebabnya. Selepas itu kita mengamalkannya dalam kehidupan. Akhirnya, ilmu tersebut memberikan manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Inilah pendidikan yang sebenar. Bukan sekadar menghasilkan pelajar yang boleh menjawab soalan peperiksaan, tetapi melahirkan insan yang mampu menggunakan ilmu untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan yang baik dan memberikan manfaat kepada masyarakat. Jadi, janganlah sekadar tahu, fahami!

Harapan saya kepada semua pelajar, jangan terlalu cepat berpuas hati apabila sudah mampu menghafal sesuatu. Cabar diri untuk pergi satu langkah lebih jauh. Jangan hanya tanya “Apa?” Tanya “Mengapa?” Jangan hanya tanya “Bagaimana?” Tanya juga “Untuk apa?” Jangan hanya menghafal jawapan. Fahami konsepnya. Jangan hanya belajar untuk peperiksaan. Belajarlah untuk kehidupan kerana ilmu yang kita tahu mungkin membantu kita menjawab satu soalan, tetapi ilmu yang kita fahami mampu membantu kita menghadapi pelbagai persoalan dalam kehidupan.

Akhirnya, ilmu yang difahami melahirkan kebijaksanaan, manakala ilmu yang diamalkan melahirkan perubahan. Maka, jangan sekadar tahu. Fahami, amalkan dan manfaatkan kerana pelajar yang benar-benar belajar bukan sekadar mengumpulkan ilmu dalam kepala, tetapi membiarkan ilmu tersebut membentuk cara dia berfikir, bersikap dan menjalani kehidupan. “Jangan sekadar tahu tetapi fahami kerana ilmu yang difahami lebih mudah diamalkan dan digunakan dalam kehidupan."

Monday, August 17, 2026

Teruskan Melangkah, Ayah



“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.” Al-Quran, Surah Al-‘Ankabut: 69

Ada pagi-pagi tertentu seorang ayah keluar dari rumah dengan langkah yang berat. Bukan kerana dia tidak mahu bekerja. Tetapi kerana dia tahu, di hadapannya ada satu lagi hari yang penuh dengan tanggungjawab. Kerja yang perlu diselesaikan, bil yang perlu dibayar, keluarga yang perlu dijaga dan masa depan anak-anak yang perlu difikirkan.

Kadangkala dia sendiri tidak tahu ke mana arah perjuangan ini akan membawanya. Namun dia tetap keluar. Tetap melangkah. Tetap berusaha kerana seorang ayah tahu bahawa hidup tidak boleh hanya menunggu keadaan menjadi mudah. Ayat Allah dalam Surah Al-‘Ankabut ayat 69 memberikan satu janji yang sangat besar kepada orang-orang yang bersungguh-sungguh berusaha mencari keredaan-Nya. Allah menjanjikan bahawa Dia akan menunjukkan jalan-jalan-Nya kepada mereka.

Perhatikan susunan yang indah itu. Berusaha dahulu. Petunjuk datang bersama perjalanan. Kadangkala kita mahu mengetahui seluruh jalan sebelum kita mula berjalan. Kita mahu kepastian tentang hasil sebelum kita mengambil langkah pertama. Kita mahu tahu bahawa keputusan kita pasti berjaya sebelum kita berani mencuba.

Tetapi kehidupan tidak begitu. Ada perkara yang hanya akan kita fahami selepas kita melangkah. Ada pintu yang hanya terbuka selepas kita mengetuk. Ada jalan yang hanya kelihatan apabila kita sudah meninggalkan tempat kita berdiri. Begitu juga perjalanan seorang ayah. Mungkin hari ini kau belum tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalah kewanganmu. Mungkin pekerjaanmu belum seperti yang diimpikan. Mungkin usaha yang kau bina masih belum memberikan hasil yang besar.

Tetapi jangan berhenti hanya kerana jalan itu belum jelas. Teruskan berusaha. Jika niatmu adalah mencari rezeki yang halal, menjaga keluarga dan mendapatkan reda Allah, yakinlah bahawa setiap usaha itu berada dalam pengetahuan-Nya. Allah tidak menjanjikan bahawa jalan itu sentiasa mudah. Tetapi Allah menjanjikan bahawa orang yang bersungguh-sungguh mencari jalan-Nya akan dibimbing kepada jalan-jalan-Nya.

Mungkin petunjuk itu datang dalam bentuk peluang yang tidak pernah kau sangka. Mungkin melalui seseorang yang hadir memberikan nasihat. Mungkin melalui kegagalan yang mengajar sesuatu yang sangat berharga. Mungkin juga melalui kekuatan hati untuk membuat keputusan yang selama ini kau takut lakukan. Sebab itu, ayah, jangan terlalu takut dengan jalan yang sukar. Kesukaran tidak semestinya tanda bahawa kau berada di jalan yang salah. Kadangkala kesukaran itulah yang sedang membentukmu menjadi lelaki yang lebih sabar, lebih matang dan lebih bergantung kepada Allah dan ingatlah, perjuangan seorang ayah bukan hanya tentang dirinya.

Ada anak-anak yang sedang belajar daripada ketabahannya. Ada keluarga yang sedang bergantung kepada kepimpinannya. Ada generasi yang sedang dibentuk melalui cara dia menghadapi kehidupan. Apabila seorang ayah terus berusaha walaupun sukar, anak-anak belajar bahawa kehidupan memerlukan ketabahan.

Apabila seorang ayah terus berdoa ketika belum melihat hasil, anak-anak belajar tentang tawakal. Apabila seorang ayah memilih jalan yang halal walaupun hasilnya sederhana, anak-anak belajar tentang maruah dan keberkatan. Maka jangan pernah menganggap langkahmu kecil. Setiap pagi kau bangun untuk bekerja adalah sebahagian daripada perjuangan. Setiap kali kau menolak jalan yang haram demi rezeki yang halal adalah sebahagian daripada perjuangan. Setiap kali kau memilih untuk bersabar demi keluarga adalah sebahagian daripada perjuangan dan setiap kali kau kembali kepada Allah ketika hati terasa lemah, itu juga sebahagian daripada perjuangan.

Wahai ayah, mungkin jalan di hadapanmu belum jelas. Tidak mengapa. Teruskan melangkah kerana tugasmu bukan mengetahui seluruh perjalanan. Tugasmu adalah melakukan yang terbaik pada langkah yang sedang berada di hadapanmu. Berusaha dengan amanah. Berdoa dengan penuh harapan. Bertawakal kepada Allah kemudian teruskan berjalan kerana boleh jadi, di sebalik jalan yang sukar itu sedang menunggu pintu yang tidak pernah kau sangka akan terbuka dan boleh jadi, langkah yang kau fikir terlalu kecil hari ini sedang membawa keluargamu menuju masa depan yang jauh lebih besar. Usaha ayah, cahaya keluarga. Teruslah melangkah, ayah. Allah bersama orang-orang yang bersungguh-sungguh mencari reda-Nya.