Tuesday, February 24, 2026

Apabila Allah Memulakan Segalanya Dengan Rahmah


Hari ini sekali lagi saya dan teman-teman AYG bersama mendengar, membaca dan memahami makna Al-Quran sebagai rutin harian. Ada sesuatu yang sangat menyentuh hati apabila membaca awal surah Ar-Rahman ini.

Allah tidak memulakan dengan ancaman. Tidak juga dengan kebesaran kuasa-Nya. Allah memulakan dengan satu nama, Ar-Rahman.

Seolah-olah sebelum kita memahami hukum, sebelum kita berbicara tentang dosa dan pahala, sebelum kita sibuk memperbetulkan orang lain, DIA mahu kita tahu satu perkara terlebih dahulu bahawa hubungan ini dibina atas Rahmah dan rahmah itu bukan kecil. Ia luas, menyeluruh, mendahului kemurkaan.

Ayat seterusnya lebih mengejutkan apabila Allah berfirman yang maksudnya,  “Dia mengajarkan al-Quran. Dia menciptakan manusia.” Mengapa pengajaran al-Quran disebut sebelum penciptaan manusia? Seolah-olah Allah sedang memberi mesej halus kepada kita bahawa manusia tidak dicipta untuk sekadar hidup. Manusia dicipta untuk hidup dengan wahyu.

Identiti kita bukan bermula dengan jasad. Identiti kita bermula dengan petunjuk. Hari ini ramai manusia mencari makna diri melalui kerjaya, pencapaian, jawatan dan pengaruh. Tetapi surah ini mengingatkan kita semua bahawa tanpa al-Quran sebagai asas, manusia mudah tersasar walau setinggi mana pun kedudukannya.

Kemudian Allah berfirman, “Dia mengajarkan manusia kemampuan berbicara.” Bayan bukan sekadar bercakap. Ia kemampuan menyusun makna, berhujah, mempengaruhi. Dengan bayan, manusia membina tamadun. Dengan bayan juga manusia mencetus fitnah. Berapa banyak konflik bermula daripada lidah yang tidak dikawal? Berapa banyak hati yang retak kerana komunikasi tanpa rahmah? Jika Allah memperkenalkan diri-Nya sebagai Ar-Rahman, maka bayan kita juga sepatutnya lahir daripada rahmah.

Matahari dan bulan beredar dengan perhitungan. Tumbuhan dan pepohon tunduk patuh. Seluruh alam bergerak dalam disiplin yang sempurna. Tidak melampaui batas. Tidak memberontak terhadap sistem.

Namun manusia yang diberikan wahyu dan bayan sering kali menjadi makhluk paling tidak seimbang. Kita melampaui batas dalam emosi. Melampaui batas dalam kuasa. Melampaui batas dalam menghukum. Sedangkan Allah telah meletakkan mizan (keseimbangan).

Allah tegaskan, “Jangan melampaui batas dalam timbangan. Dirikan timbangan dengan adil.” Mizan bukan sekadar neraca jual beli. Ia adalah prinsip hidup. Seimbang antara tegas dan lembut. Seimbang antara hak diri dan hak orang lain. Seimbang antara dunia dan akhirat. Apabila mizan rosak, hubungan rosak. Apabila mizan rosak, organisasi retak. Apabila mizan rosak, masyarakat runtuh. Keadilan bukan hanya tidak menzalimi. Keadilan ialah usaha aktif memastikan keseimbangan terpelihara.

Dan Allah menutup rangkaian ini dengan ayat yang sangat luas maknanya, “Bumi ini disediakan untuk semua makhluk.” Bukan untuk satu kelompok. Bukan untuk satu kaum. Bukan untuk yang kuat sahaja. Ayat ini mengajar kita tentang amanah bersama. Tentang hidup berperanan, bukan mendominasi.

Surah ini membuat saya bertanya kepada diri sendiri, adakah saya memimpin dengan rahmah? Adakah al-Quran benar-benar menjadi asas keputusan saya? Adakah komunikasi saya membina atau melukai? Adakah saya menjaga mizan dalam keluarga, dalam organisasi, dalam masyarakat? Kadang-kadang kita terlalu sibuk mahu menjadi betul, hingga lupa untuk menjadi seimbang. Ini membimbangkan.

Ar-Rahman mengajar kita satu struktur kehidupan iaitu rahmah kepada wahyu, wahyu kepada manusia, manusia kepada komunikasi, komunikasi kepada keseimbangan, keseimbangan kepada keadilan dan keadilan kepada tanggungjawab bersama. Jika rahmah hilang, mizan akan runtuh dan apabila mizan runtuh, manusia yang sepatutnya menjadi khalifah akan menjadi perosak. Mungkin sebab itu Allah memulakan semuanya dengan satu nama. Ar-Rahman. Kerana tanpa rahmah, segala yang lain akan hilang maknanya.

No comments: