"Yakin pada diri kita. Kita boleh buat. Jangan dengar apa orang lain kata. Kita adalah siapa yang kita fikirkan."
Kata-kata motivasi seperti ini memang selalu kita dengar bahkan hampir pada setiap ucapan semangat akan memilih ayat ini sebagai sandaran usaha untuk terus berjaya. Ramai kita memang telah berpegang kepada pandangan ini sejak dibangku sekolah lagi. Para guru, motivator bahkan fasilitator kerap kali mengungkapnya. Ya, ungkapan itu mudah tetapi tidak semudah tindakannya. Ada yang salah ke pada nasihat itu? Ayat itu nasihat yang baik, tiada masalah apa-apakan?
Sepanjang umur saya menjadi fasilitator, saya sempat perhatikan tingkah manusia sini sana. Manusia ini amat tidak serupa. Saya simpulkan manusia ini kepada lima jenis. Jenis yang pertama kita pertama geng 'hidup dunia hanya celaka'. Mereka ini kerap kali menyatakan bahawa hidup mereka ini celaka dan mereka percaya sepenuhnya, kehidupan ini, jika kita sudah terpilih untuk hidup susah, maka sampai bila-bilalah akan susah. Mata pandang mereka menilai kehidupan ini bermula dari negatif seratus (-100). Setiap kebaikan tidak nampak positif, cuma mengurangkan yang negatif sahaja.
Kedua, geng 'baik hanya untuk orang lain'. Geng ini, apa-apa yang mereka ingin lakukan, adalah kerana apa yang orang lain lakukan. Bila orang lain berjaya, dikatanya, "Engkau boleh la, ada...", "Engkau ada bantuan...", "Engkau ada...". Bila banding dengan diri sendiri, rasa tidak upaya dan rendah kemahuan usahanya. Belum cuba sudah rasa tidak berdaya. Belum cuba sudah kata tidak boleh atau tidak dapat. Bagaimana kita? Saya fikir, ramai orang Malaysia begini sehingga timbul label 'guna kabel' walau tidak dinafikan memang itu berlaku cuma saya percaya, pasti tidak semuanya. Ketiga geng 'cukuplah, oklah'. Geng ketiga ini memang sangat ramai. Terlalu ramai. Mereka inilah yang selalunya tidak bersuara, sebab? Nothing to loose. Kalau buat pun banyak manalah sangat dapat, kalau tak buat pun tak jejas apa-apakan? Geng ketiga ini masih paksinya adalah dirinya sendiri. Cuma, positifnya ada dan selagi mana tidak menyusahkan atau mengurangkan haknya, "I ok je".
Keempat ini geng yang sama-samalah kita idamkan. Mereka sudah berada dalam fasa hidup ini bukan kita sahaja, hidup ini perlu memberi. Tidaklah banyak yang diberi, tetapi bila berpeluang, mereka akan cuba terlibat dan usahakan. Mereka inginkan sebahagian dari kebaikan itu datang semula kepadanya, mungkin bukan sekarang, harapnya satu hari nanti.Orang Malaysia memang suka membantu dan memberi. Mereka akan bantu bukan setakat material sahaja, bahkan usia mereka.
Geng 'kayangan' adalah geng kelima. Mereka bukan baru turun, tetapi hidup mereka ini selayaknya hidup di kayangan. Mereka ini bukan sekadar suka memberi, bahkan tercari-cari apa lagi yang nak diberi. Mereka tidak didatangi kebaikan, mereka berlumba-lumba membuat kebaikan. Bahkan mereka habiskan usia mereka hanya untuk melihat orang lain kesenangan melalui kepayahan kehidupannya. Padanya itu suatu kepuasan dan itu adalah perjuangan. Ya, perjuangan memang perlukan pengorbanan, kerana berjuang ertinya berkorban, berkorban ertinya terkorban, terkorban ertinya menderita, derita asam garam perjuangan.
Jadi ungkapan di atas, untuk geng pertama, kena baiki sistem nilai dalam diri mereka. Mereka sendiri sudah hilang harapan pada diri mereka bagaimana nak harapkan mereka perbaiki diri mereka? Hal ini mengingatkan kita bersama, doalah senjata paling ampuh mengharapkan setiap pesan kita sampai ke hatinya, kerana ia milik yang Maha Tinggi. Begitu jugalah pada geng yang kedua, teruskan meminta pada yang memiliki hati-hati, bahasa teguran kena jaga, dan sudah tentu kena banyakkan bersabar. Mereka dengar, cuma lambat sikit nak sampai ke hatinya. Mulut mereka lebih cepat dari akalnya.
Geng ketiga jangan putus-putus juga meminta, dan berterusanlah dengan ingatan-ingatan yang baik.Sebab itulah media komunikasi amat memainkan peranan. Mereka ini ramai. Mereka cenderung kepada mana berat media membawa mereka. Berhibur, berbaur atau berfikir? Berterusanlah sampaikan pesanan kepada mereka. Geng keempat adalah yang paling cepat termotivasi dengan kata-kata di atas. Reaksinya positif sentiasa. Maka akan lebih banyaklah kebaikan akan dilaksana. Geng kelima senyum sahaja. Pada mereka ada pertimbangan lainnya. Norman Vincent Peale pernah menyatakan, "Believe in yourself! Have faith in your abilities! Without a humble but reasonable confidence in you own powers you cannot be successful or happy."
Pertimbangan untuk bina keyakinan diri itu tetap perlu ada bukan buta-buta sahaja. Geng kelima ada kesedaran yang tinggi tentang peranan yang Maha Tinggi. Secara kesimpulannya, ayat itu tidak pernah salah dilontarkan cuma selalunya dilempiaskan kepada orang yang kita tidak kenal mereka dari geng mana. Sebab itu keberkesanan kurang kadang kala tidak langsung berkesan. Pesan biar dengan faham benar kita yang utama. Pada tahap ini, barulah saya sedar faham lebih baik mengapa Allah pilih IQRA' sebagai kalimah pertama Al-Quran itu diwahyukan.

No comments:
Post a Comment