Kehidupan tidak
bersendirian. Kehidupan adalah aktiviti bersosial yang pasti akan memerlukan
nilai fizikal, emosi serta intelektual pada seseorang manusia. Fizikal
terbangun dengan makanan dan sena man, intelektual membangun dengan perkara
seperti sifir dan fikir. Namun, bagaimana dengan pembangunan emosi? Bagaimana
emosi seseorang itu berada pada nilaian sihat dan kuat? Emosi ini duduk di
mana? Fizikal nampak pada mata, intelektual pada akal yang semua orang secara
umumnya tahu ia berada di otak manusia, bagaimana dengan emosi? Adalah ianya
terletak dihati?
Letak emosi tidak
penting, apa yang penting, kita ada merasa atau terasa. Itulah yang dinamakan
emosi. Menurut Wikipedia, emosi adalah apa-apa pengalaman sedar yang dicirikan
oleh aktiviti mental yang sengit dan tahap keseronokan atau ketidakselesaan tertentu.
Maka sebab itu, emosi kerapkali dikaitkan dengan perasaan, perangai,
keperibadian juga motivasi. Emosi juga didefinisikan sebagai suatu ekspresi
perasaan seperti gembira, malu, sedih, takut dan sebagainya. Jelas
sekali, menurut definisi Kamus Bahasa Melayu (1994), menjelaskan bahawa emosi
bermaksud perasaan pada jiwa yang kuat.
Kestabilan emosi
digambarkan melalui nilai diri seseorang individu yang amat berkesan. Mereka
pro-aktif dalam kegiatan fizikal harian mereka. Emosi stabil juga tergambar
melalui kematangan dalam diri. Tindakan disandarkan pada apa yang difikirkan
dan disahkan sebelum melakukannya. Kehidupan yang tersusun juga salah satu
gambaran kestabilan emosi. Segala dalam kehidupannya mempunyai disiplin dan
perancangan. Lebih ketara apabila sikap yang ditonjolkan individu itu sangat
memudahkan, tidak memberatkan atau merunsingkan orang lain. Segera memaafkan
dan tidak ambil hati yang terlalu lama atau terlalu dalam pada setiap kelakuan jahat
orang lain kepada dirinya. Kestabilan emosi akan semakin diperkukuh melalui
hubungan intim yang pertama dengan yang Maha Kuasa seterusnya bersama mereka
yang kita kasihi.
Maka, apakah makanan
yang terbaik untuk menghasilkan kestabilan emosi ini? Jawapannya nasihat dan
teguran. Adalah amat dihargai pada diri manusia yang sering meminta nasihat
dari orang lain dalam apa situasi sekalipun. Para sahabat Baginda Rasul s.a.w
sentiasa meminta nasihat darinya agar sentiasa berada dalam keadaan terbaik
ketika melakukan sesuatu perkara. Malahan, kebanyakan hadith berkaitannya
menjelaskan kepada kita secara tidak langsung bahawa, untuk meminta nasihat,
biarlah dari mereka yang jauh lebih baik pengetahuannya dari kita.
Namun, menegur ada
perbezaan. Jika menegur ada adab-adabnya namun jika ditegur, yang utama adalah
untuk berlapang dada menerimanya. Usahlah kita menilai siapa yang menegur
tetapi nilailah apa yang ditegur kerana asas teguran itu semuanya datang dari
yang Maha Tahu dan Maha Melihat. Terdapat sebuah kisah yang diceritakan,
peristiwa yang berlaku disebuah kampung dilanda banjir. Ketika gelombang
pertama datang, air telah naik sehingga ke paras buku lali. Seorang pemuda
duduk di atas sofanya sambil berdoa kepada Tuhan. Lalu datang sebuah lori
pick-up dan mengajaknya untuk naik bersama. Pemuda itu berkata, "tidak
mengapa, Tuhan akan selamatkan saya, saya kuat berdoa dan saya yakin doa saya
akan didengarinya."
Berlalulah lori
pick-up itu. Gelombang kedua pula datang dan kali ini, pemuda itu terpaksa
duduk di atas almarinya. Beberapa ketika kemudian datang sebuah bot penyelamat
dan mengajaknya untuk naik, kerana mereka akan berhadapan dengan gelombang banjir
yang ketiga. Pemuda itu menolak sekali lagi dengan alasan yang sama. Dia yakin
akan diselamatkan kerana dia amat kuat beribadah sehingga ke saat itu, dia
maaih dalam keadaan solat dan berdoa.
Gelombang ketiga
datang dan kali ini, dia telah berada di bumbung rumahnya. Lalu datang
helikopter yang mahu menyelamatkannya. Namun, pemuda itu amat yakin dan tidak
mahu menaiki helikopter itu kerana menurutnya, Tuhannya akan memberikan jalan
keluar untuknya. Akhirnya pemuda itu meninggal dunia kelemasan. Apabila pemuda
itu dibangkitkan semula, dia mula mempersoalkan mengapa Tuhan tidak
menyelamatkannya? Melalui nada yang sinis, malaikat memberitahunya, sudah tiga
kali Tuhan menghantarkan pertolongan, tetapi dia telah abaikan.
Begitulah juga
yang berlaku kepada kita pada setiap teguran yang diberikan kepada kita.
Tujuannya tentu sahaja sama iaitu untuk menyelamatkan kita. Meskipun yang
menegur kita itu lebih muda, berlainan agama, berbeza ras, lebih miskin mahupun
teguran itu datang melalui makhluk yang bukan bernama manusia.
Namun, selalunya
teguran manusia itu amat sukar untuk diterima. Apatah lagi apabila teguran itu
datang dari mereka yang tidak sedarjat bahkan sebulu dengan kita. Oleh sebab
demikian, untuk kita jadikan teguran itu berkesan, betulkanlah niat kita itu.
Mengapa kita menegur? Pengaruh? Glamor? Menunjukkan kuasa? Atau ikhlas memperbaiki apa yang kurang? Gunakanlah bahasa yang lembut dan bersesuaian
dengan mereka yang mendengar. Pilihlah tempat yang sesuai untuk menegur,
usahlah sehingga memalukan orang yang ditegur. Teguran biarlah yang memberikan
manfaat dan sesuatu yang praktikal yang boleh menggantikan sesuatu yang ditegur
itu serta keraplah memohon maaf selepas memberikan teguran agar teguran itu
benar-benar ikhlas untuk insan yang ditegur itu. Selepas itu, bersangka baiklah
kepada mereka yang ditegur. Jaga aib mereka. Suburkanlah budaya meminta dan
memberi nasihat serta menegur dengan berakhlak.
"Serulah ke
jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan
berdebatlah dengan cara yang sebaik-baiknya." (An-Nahl: 125)

No comments:
Post a Comment