Sunday, April 26, 2020

MEMBACA ADALAH KEPERLUAN PENTING DALAM PEMBENTANGAN


Bacaan merupakan keutamaan dalam pembelajaran. Tidak ada nilai sesebuah pembelajaran tanpa bacaan. Pembelajaran khususnya di alam persekolahan dan universiti, apabila peperiksaan menjadi orientasinya, maka teknik 3R mesti digunapakai iaitu baca (read), simpan atau rakam (record) dan ulang (repeat). Walaubagaimanapun, dalam apa jua situasi membaca harus dijadikan disiplin dan amalan seharian. Baca akan mendorong kita untuk memperkaya maklumat serta menajamkan corak berfikir.

Anak-anak yang terlibat dalam tugasan pembentangan, khususnya dalam SMART Study Group, ataupun melalui tugasan-tugasan tertentu, seharusnya menjadikan pembacaan sebagai elemen penting untuk membuat persiapan tersebut. Kita boleh menjadi pembaca seperti burung kakak tua, baca tanpa memahaminya atau menjadi sebaliknya. Namun, untuk memastikan keberkesanan sesuatu pembentangan itu, penting untuk pembentang memahami serta menguasai sebaiknya tajuk yang akan dibentangkan.

Maka, bacaan yang dilakukan seharusnya berfokus serta telah ditentukan hala tujunya. Sebab itulah, pada setiap tajuk pembelajaran di dalam buku teks atau rujukan, diawali dengan fokus atau objektif tajuk tersebut yang akan membantu pelajar untuk menetapkan hala tuju mereka terhadap apa yang dipelajarinya. Pembacaan akan menjadi lebih menarik sekiranya ia tidak dilakukan secara paksaan. Kerelaan hati dan memahami serta meyakini kepentingan membaca adalah faktor untuk mereka yang membaca lebih cepat memahami dan menguasai apa yang dibaca.

Tidak pernah wujud larangan untuk pembacaan berulang apatah lagi apabila kita menghadapi kesukaran untuk memahaminya. Pembacaan berulang tidak pernah membuang masa sekiranya kita percaya bahawa setiap ulangan itu memberikan maksud dan faham yang berlainan. Sebab itu, untuk memahami sesuatu tajuk yang dipelajari, digalakkan untuk kita membacanya secara berulang antara 2 hingga 7 kali atau mungkin lebih lagi bergantung kepada keperluan. Namun sudah tentu, mengulang bacaan ini akan memakan masa yang lama disebabkan panjangnya perbincangan di dalam buku teks atau rujukan. Pada tahap ini catatan awal atau kasar akan banyak membantu kita membuat ulangan namun dalam jangka masa yang lebih singkat.

Catatan awal atau kasar ini bukanlah seperti nota, tetapi ia sekadar contengan sebagai rujukan segera kepada apa yang kita baca. Ia dalam bentuk ayat yang diringkaskan, penekanan kepada contoh untuk mudah diingati atau mungkin dengan hanya garisan atau penggunaan highlighter dalam buku yang sedang dibaca. Apabila proses pembacaan yang dilakukan ini berjalan dengan baik dan berkesan, maka kita akan perlahan-lahan menguasai subjek yang sedang diberikan perhatian dan bersedia untuk menyediakan nota rujukan sebagai hasil pemahaman yang telah kita perolehi. Jangan lupa, ada pelbagai teknik pembacaan yang diperkenalkan diluar sana yang semuanya amat baik jika dapat dikuasai, namun kemahuan serta memahami kepentingan membaca itu jauh lebih utama yang perlu ada dalam jiwa manusia.

No comments: