Tuesday, July 9, 2019

ADIL KERANA ILMU; ILMU TAKKAN BUAT KEROSAKAN


Minat saya bila berkait dengan bidang pilihan kerjaya saya adalah memberi bimbingan kepimpinan. Pada mulanya, saya ingatkan kepimpinan ini sekadar kemahiran insaniah untuk organisasi, rupanya, hampir setiap sudut kehidupan mendambakan kemahiran ini. Bahkan banyak perkara yang kita lakukan secara tahu atau tidak sengaja itu adalah bahagian dari kepimpinan. Hebat sungguh. Patutlah Allah jelaskan pada kita Dia ciptakan khalifah di muka bumi untuk mengurus tadbir bumi sebaik mungkin. Berlaku adil dan tidak melakukan kerosakan. Bunyi macam 'simple' tetapi sarat dengan peringatan dan pesanan.

Adil adalah sifat Allah yang Maha Agung. Manusia tidak akan mampu menyamai sifat-Nya. Oleh sebab kita manusia tidak akan mampu berlaku adil seadil-adilnya maka, Allah telah berikan syarat kekhalifahan itu bermula dengan kebergantungannya kepada ilmu pengetahuan yang harus dicapai atau menjadi keutamaan agar setiap tindakan kita itu bukan berdasarkan kecenderungan jantina, warna kulit, kelompok, bangsa mahupun agama. Saya faham kepimpinan ini adalah upaya seseorang membina pengaruh dalam lingkungan dirinya sendiri. Maka, membina pengaruh diri dengan sifat adil kerana ilmu pengetahuan yang diperlukan amat membantu mengangkat martabat diri. Jangan sekali-kali ada kepimpinan yang cuba menidakkan keperluan berlaku adil serta kepentingan ilmu untuk berlaku adil.

Orang yang paling mudah melakukan kerosakan adalah orang yang pada dia ada pelbagai kelebihan seperti kuasa, kekayaan atau mungkin pengetahuan. Sekali lagi, ia amat berkait rapat dengan kepimpinan. Hari ini kita sama-sama nilaikan. Adakah boleh kita kaitkan kepimpinan dengan kekuasaan dan kekayaan? Jangan boraklah kalau kita kata pemimpin hari ini hidupnya 'bese-bese je'. Kita nampak, pemimpin kita ni, keretanya besar, rumahnya gadang, jawatannya keliling pinggang. Maka, juak-juaknya bukan main miang nak berkepit dengan pemimpin tu. Kalah belangkas. Saya tidak juga menafikan yang hidup sederhana, tetapi, kerana sederhananya mereka, ramai orang tak kenal pun mereka kan?

Hari ini, pemimpin yang 'low profile' ini hanya dapat kita hargai apabila mereka pergi meninggalkan kita. Mereka itu teguh dengan pendirian mereka untuk terus berlaku adil serta tidak mahu melakukan kerosakan, khususnya kerosakan akhlak yang secara tidak langsung menjadi contoh kepada orang lain mungkin dalam ruang lingkup yang kecil sebab mereka ni sederhana dan tidak berapa dikenali. Persoalan yang saya menarik minat saya, bagaimana mereka boleh jadi sehebat dan sebaik itu? Tidak langsung termakan dek hebatnya kuasa, indahnya kekayaan serta besarnya pengaruh?
Pada saya, jawapannya ada pada ilmu yang mereka kutip, tapis, kembangkan bahkan ilmu yang sentiasa menjadi dasar dalam apa jua usaha keputusan yang ingin dibuat. Kita masih menunggu pemimpin-pemimpin ini. Mungkin mereka telah ada sekarang (pandangan peribadi saya, tak nampak lagi) atau mereka sedang kita bina dan akan lahirkan akan datang.

No comments: