Minggu ke 31 dalam tahun 2010 menjadikan saya semakin sibuk dan mula merasakan inilah tugas-tugas yang perlu aku laksanakan. Setiap hari saya sentiasa berfikir, bagaimana harus saya perbaiki diri ini? Orang lain semakin melihat saya sebagai contoh atau tempat rujuk pada masa yang sama, adakah saya hanya perlu duduk di takuk yang lama? Pencarian perlu diteruskan, ilmu perlu diperdalamkan, pengalaman menjadi iktibar dan pengajaran.
26 Julai 2010 menjadi hari utama memulakan minggu yang penuh ranjau dan kesibukan. Persiapan untuk program-program IQCM dilaksana dan pengisian untuk minggu ini menjadi objektif utama.
27 Julai 2010 saya bergerak bersama Zaki ke SK Dusun Tua. Jo tidak dapat bersama kerana diserang sakit mata. Apalah natijahnya? Mungkin lebih seronok jika ada Jo bersama. Tetapi ini hakikat hidup, tidak semua perkara sempurna untuk kita. Pasti ada ruang di mana Allah akan 'mengajar' kita, maka belajarlah. Fasilitator yang bersama pada hari ini ialah Mus, Rizal dan Bidin. Semuanya baru bersama IQCM. Namun ia bukan penghalang bahkan pencetus semangat untuk melihat lebih ramai belia dan remaja yang bersama saya dalam kerja-kerja dakwah ini. Hari ditamatkan dengan sesi program bersama PRS Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor. Tajuk kali ini ialah, 'Tidak Mudah Untuk Menjadi Contoh'. Pengalaman saya sendiri, harap mereka faham dan dapat apa yang saya cuba sampaikan.
28 Julai 2010 pula saya bersama Jo kali ini ke SK Kepong. Jo baru baik sedikit dari sakit matanya dah memulakan kerja. Semuanya pinjaman, kalau hilang usah diratap, jika ada manfaatkan sebaiknya. Kali ini, fasilitator masih orang yang sama macam semalam. Program berlangsung dengan baik dan memuaskan hati guru, Cikgu Rodze. Alhamdulillah dalam hatiku. Sebelah malam, saya tamatkan dengan usrah SISMA. Kehadiran tidak memberangsangkan tetapi saya perlu istiqamah. Cuma kali ini, alhamdulillah, kami bersama dengan pelajar UITM yang sedang mencari idea untuk program Mentor mentee mereka. Jadi kehadiran pertama usrah SISMA adalah seramai 15 orang.
29 Julai 2010 hari perjalanan ku ke Bandar Baru Bangi. Bertemu Dino di Akademi Al-Quran-Medic Malaysia (AQM) yang pengasasnya adalah (Profesor Dr.) Ustaz Razali Nawawi. Mengkagumkan apabila melihat suasana kerja serta keadaan pejabat mereka. Dalam rumah. Sempat saya bertemu dengan ustaz secara tidak disengajakan. Antara soalan yang saya takkan lupa adalah 'Berapa lama anta nak terlibat dalam ABIM ni?' Macam perli pulak. Tapi saya rasa, ini tekad saya , selagi daya saya untuk memberikan apa sahaja keupayaan yang ada untuk Ad-Din ini, ABIM akan jadi wadahnya. Kemudian saya terus ke Taman Shamelin untuk ceramah yang tertangguh lebih setahun. Asrama Komplek Sri Bintang. Bayaran ceramah ini kami dah terima sejak awal tahun 2009, sekarang dan separuh 2010 dah. Tapi alhamdulillah, akhirnya langsai hutang kami.
30 Julai 2010 saya habiskan masa di rumah menyiapkan modul PeACe untuk MSN. Berlangsung dengan baik dan moga perlaksanaannya akan lebih baik untuk kali kedua. Malam tu kami bermalam (saya, jo, zaki dan anam) di MSN. Dalam hati berkata, duduk hotel 5 star dah, hari tempat atlet pulak. Inilah pengalaman, inilah amanah, bukan untuk dibanggakan tetapi menjadi pengajaran.
31 Julai 2010 program PeACe untuk anak-anak kakitangan MSN. Berjalan lancar dengan fasilitator yang datang tu Alin, Pika, Bidin dan 2 orang kawannya (penampilan dan kehadiran mereka kurang memberangsangkan), Ayep, Anam dan Mokhtar. Alhamdulillah semua lancar dan apa yang lebih menyeronokkan apabila Halim datang menjenguk kami. Kawan lama. Tapi lepas jumpa Halim, kepala aku rasa nak meletup, kenapa? Kerisauan yang berpanjangan...
1 Ogos 2010 sejarah baru dilakar apabila kami sempat berjumpa dengan 26 orang fasilitator baru yang dilatih dibawah YATIM di UITM. Generasi baru, tetapi bersediakan saya untuk bimbing mereka lagi selepas saya rasa gagal dalam membimbing rakan-rakan mereka? Kawan-kawan dan adik-adik dalam PEPIAS? Saya rasa itu satu dosa yang masih belum terampun dan itu yang sentiasa menjadi kerisauan setiap hari... Kenapa PEPIAS jadi macam ni sekarang? Pagi Ahad tu, saya sempat juga mengisi program ceramah adik-adik PEPIAS ini, tak tahulah kenapa Allah sentiasa nampakkan yang buruk dari yang baik. Allah nak uji pandangan mata da'i saya ni agaknya. Saya yang buat pilihan, nak marah ke atau nak sabar ke?
Moga hari-hari yang berlalu, berada dalam keberkatan dan rahmat Allah s.w.t.
3 Ogos 2010
Kuala Selangor
Comments