Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

MENUJU PUNCAK KECEMERLANGAN


Percaya atau tidak, kegembiraan manusia amat bergantung dan berkait rapat dengan kecemerlangan yang mereka kecapi. Setiap kejayaan yang dicapai adakah akan membuahkan kegembiraan juga? Bagaimana pula kalau berjaya tetapi tidak cemerlang? Mari kita bayangkan, seorang pelajar A yang berusaha keras untuk mendapat keputusan 9A di dalam peperiksaan PMR manakala seorang lagi pelajar B berusaha keras untuk mendapat keputusan lulus sahaja dalam kertas Matematiknya. Apabila keluar sahaja keputusan PMR, pelajar A hanya mendapat 8A 1B dan B itu adalah Matematik, manakala pelajar B mendapat keputusan Matematiknya B. Antara pelajar A dan pelajar B yang mana berjaya dan yang mana cemerlang?

Bagi pelajar A, baginya tiada istilah kecemerlangan walaupun berjaya mendapat 8A 1B jauh lebih baik dari pelajar B. Manakala bagi pelajar B, itu adalah pencapai Matematiknya paling cemerlang sedangkan dia tidak pernah lulus kertas Matematik. Berbeza bukan? Maka, jelas pada pandangan kita terdapat sedikit perbezaan dari sudut kata berjaya dan cemerlang itu sendiri. Berjaya bermaksud, dapat mencapai sesuatu, manakala cemerlang membawa maksud yang terbaik dalam mencapai sesuatu. Ramai manusia hari ini secara umumnya mengejar kejayaan bukan kecemerlangan. Apabila kita meletakkan kejayaan sebagai kata penamat, maka apa yang kita lakukan pasti ada tanda aras untuk menentukannya.

KEJAYAAN lawan KECEMERLANGAN

Bagi mereka yang memilih kecemerlangan sebagai kata-kata akhirnya, maka ia tiada sukatan atau sebarang tanda aras. Ini kerana, kecemerlangan sentiasa diperbaiki dan dipertingkatkan. Ia tidak akan berada di satu aras yang tidak berubah. Namun keduanya adalah dituntut oleh agama Islam. Firman Allah di dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 201 yang bermaksud;

“Di antara mereka ada yang mengucapkan doa: Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia ini dan kebaikan pula diakhirat dan hindarkanlah kami dari siksaan neraka”.

Seruan ‘hayya ‘alal falah’ di dalam seruan azan itu sendiri membuktikan ayat Allah ini bahawa, mencari kejayaan itu adalah suatu tuntutan yang disyariatkan buat Muslim. Ia selari dengan pesanan Rasulullah s.a.w. bawasanya, bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selamanya dan beribadahlah (sembahlah Allah) kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari. Maka kejayaan di dalam urusan dunia dan akhirat adalah keutamaan bagi setiap manusia. Firman Allah lagi di dalam surah Asy Shura ayat 20 yang bermaksud:

“Barangsiapa yang ingin memperoleh keuntungan akhirat, akan Kami berikan tambahan pada keuntungannya. Dan barangsiapa yang ingin kepada keuntungan dunia, akan Kami berikan itu kepadanya, tetapi dia tiada memperoleh bahagian lagi di akhirat.”

Ini bermakna, Allah janjikan kejayaan yang dicari di dunia dan akhirat akan memperoleh ganjarannya, tetapi antara keduanya, keutamaan diberikan kepada usaha akhirat yang mana inilah kecemerlangan sebenar buat umat Islam di dunia.

DEFINISI KECEMERLANGAN DALAM ISLAM

Firman Allah s.w.t di dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud;

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, mengajak kepada yang ma’aruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah s.w.t.”

Allah menggariskan 3 ciri utama sebagai melahirkan umat terbaik yang cemerlang dikalangan manusia iaitu; (1) mengajak kepada yang ma’aruf, (2) mencegah dari yang mungkar dan (3) beriman kepada Allah s.w.t. Allah menggambarkan kepada manusia bahawasanya, kecemerlangan dan kejayaan ini bukanlah semata-mata tertumpu kepada peribadi kita sahaja, tetapi ia amat berkait rapat dengan apa yang ada dipersekitaran kita.

Cuba kita bayangkan, sekiranya, tiada dikalangan kita (manusia) ini yang menyuruh berbuat amalan kebaikan. Tiada orang yang mengingatkan untuk membawar zakat, tiada orang yang menggalakkan sedekah, tiada orang yang mengajak pergi ke masjid, tiada orang yang mengingatkan tentang keperluan bersilaturrahim. Secara kasarnya dapat kita bayangkan bagaimana kepincangan dan tidak ada kejayaan yang akan dicapai melaluinya.

Walaupun kehidupan mereka baik belaka, tetapi kesudahannya, manusia akan mula hidup dengan mementingkan diri sendiri dan kejayaan dikecapi dengan menindas atau menolak orang lain dari laluannya. Ini jelas dapat kita lihat sebagaimana suasana hari ini, apabila masing-masing berfikir bahawa kebaikan dirinya hanya untuk dirinya sahaja, hidup untuk sendiri bukan untuk orang lain.

Begitu juga jika berlaku sebaliknya, jika manusia tidak langsung mencegah sebarang kerosakan berlaku, apabila orang mencuri tiada penguasa yang menahan mereka, orang dirogol, diragut dan menyalahgunakan kuasa, tiada siapa yang berusaha untuk memberhentikannya, ia pastinya tidak akan berhenti dengan sendirinya bahkan, akan bertambah kekusutannya.

Apatah lagi apabila manusia tidak beriman kepada Allah, pokok pangkal segala kejadian adalah dari Allah yang Maha Pencipta. Jika tidak timbul kepercayaan dan kebergantungan kepada-NYA maka, segala urusan tidak bertunjang lagi kepada Yang Maha Esa tetapi, manusia itu sudah bertuhankan diri mereka sendiri.

TUNTUTAN MEMBUAT PERUBAHAN

Oleh yang demikian, jelas kita bahawa untuk menjadi yang cemerlang memerlukan komitmen yang tinggi dan jitu dalam merealisasikannya. Apa kata, kita bersama mulakan dengan diri kita sendiri dahulu. Firman Allah s.w.t dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”.

Maka, untuk mencapai kecemerlangan yang sebenar, perubahan harus kita lakukan sekarang. Bermula dengan siapa? DIRI KITA.

BERUBAH KE ARAH MENGAJAK KEPADA YANG MA’ARUF

Perubahan pertama yang perlu kita lakukan adalah mengajak diri kita untuk melakukan perkara yang ma’aruf. Untuk menuju puncak kecemerlangan, seorang Muslim yang Mukmin tadi seharusnya berusaha untuk sentiasa dirinya menjadi terbaik. Bahkan yang terbaik adalah yang paling hampir dan paling dikasihi oleh Allah s.w.t sebagaimana Baginda Rasulullah s.a.w sendiri.

Maka, untuk sentiasa menjadikan diri lebih ma’aruf atau lebih baik, seorang yang cemerlang seharusnya sentiasa berusaha untuk menghidupkan amalan kebaikan di dalam dirinya. Antara perubahan yang baik yang perlu dijadikan keutamaan dalam usaha kita untuk mencapai kecemerlangan adalah;

1. Sentiasa merendah diri
2. Sentiasa bermurah hati
3. Selalu mendirikan solat malam
4. Bertauhid
5. Sentiasa bertaubat
6. Menyelami ayat-ayat Allah

BERUBAH KE ARAH MENCEGAH DARI YANG MUNGKAR

Perubahan kedua yang menjadi sasaran orang yang cemerlang adalah untuk mengelakkan diri dari melakukan perbuatan yang buruk atau keji. Apabila kita berusaha untuk meningkatkan iman kita, apa sahaja peluang untuk menambahkan dosa ini perlu dijauhkan dan dijadikan sempadan di dalam kehidupan harian kita. Syaitan sentiasa menghasut manusia dengan pelbagai cara atas keutamaan untuk menyesatkan keturunan Adam di muka bumi Allah ini. Oleh yang demikian, terdapat beberapa keutamaan dalam perkara mungkar yang perlu di atas sebagai usaha untuk memperbaiki diri kita iaitu;

1. Sentiasa takutkan neraka Allah
2. Tidak membazir (bersederhana)
3. Menjauhi perbuatan membunuh (Hormati kehidupan)
4. Menjauhi Zina
5. Tidak bersumpah palsu
6. Meninggalkan perbuatan yang tidak bermanfaat

BERUBAH KE ARAH MENINGKATKAN KEIMANAN KEPADA ALLAH

Telah disebutkan dengan jelas di dalam surah Al-Mukminun ayat 1 hingga 11 tentang ciri-ciri seorang Mukmin yang berjaya. Ini bermakna, dengan mempertingkatkan darjat kita di sisi Allah s.w.t, kemudahan dan keberkatan akan mengiringi setiap usaha dalam melakukan urusan dunia dan bantuan Allah adalah amat luas tanpa had terhad fikiran manusia. Pra-syarat untuk menjadi seorang Mukmin yang berjaya adalah;

1. Khusyuk di dalam solatnya;
2. Menjauhkan diri dari perbuatan atau perkataan yang sia-sia;
3. Menunaikan zakat;
4. Menjaga kemaluannya;
5. Menjaga amanah yang dipikulnya serta;
6. Memelihara solatnya.

RENUNGI DAN INSAFILAH

Nah, dimanakah kedudukan kita sekarang? Adakah kita berupaya untuk menjadi orang yang cemerlang? Apakah kecemerlangan ini hanya perkara-perkara yang berbentuk kebendaan atau lebih besar dan lebih utama dari itu? Jawapannya adalah pada diri anda. Kenangilah dan muhasabahlah diri kita sejauhmana kita berusaha membina kecemerlangan hidup kita. Semoga artikel ini dapat memberikan gambaran bagaimana untuk diri kita menuju ke arah kecemerlangan dalam segala segi dan bentuk.

Shah Alam
20 Julai 2010M / 8 Syaaban 1431H
untuk
Program Menuju Puncak Kecemerlangan (PMPK 2010)

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...