Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 26 yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: 'Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?' (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;" (Al-Baqarah 2:26)
Ya, itulah kadangkala manusia tidak dapat menerima hakikat bahawa yang menegur mereka adalah Allah s.w.t. Allah memilih cara teguran dan perbandingan antara makhluk Nya sesuai dengan keadaan manusia itu sendiri. Oleh sebab itu, bagi diri Mukmin yang sering meninjau hubungannya dengan Allah s.w.t seringkali terasa ditegur atau diingatkan pada apa sahaja yang dilaluinya.
Banyak kisah-kisah Al-Quran yang boleh dijadikan contoh dan tauladan ini. Buat kita hari ini, kadangkala, seorang tua diutus anak kecil menegur mereka dengan tatacara yang penuh keanak-anakan, manja tetapi bermakna. Kadangkala pemuda menyampaikan pesan kepada si tua. Kadangkala si comel kucing menunjukkan kasih sayangnya pada si anak mengatasi kasih sayang ibu manusia kepada anaknya.
Ada juga manusia yang jiwanya begitu besar terhadap dunia yang dikejarnya, bekerja profesional, lalu Allah s.w.t datangkan seorang pengawal keselamatan sahaja untuk menunjukkan bahawa, dunia ini hanyalah tipu daya yang tidak akan membawa banyak keuntungannya. Maka, tatkala kita menerima teguran ini, berlapang dadalah. Peganglah keyakinan bahawa Allah membandingkan kita sebagai manusia, maka ambillah pengajarannya.
Comments