Perniagaan? Tergambar dalam benak fikir
manusia tentang kejujuran, penipuan, kealpaan, keuntungan, kerugian, tiada
pembeli, barang tidak laku dan sebagainya. Ada yang berfikiran positif,
negatif, tidak kurang juga yang optimistik. Namun pastinya tidaklah Allah jadikan
sesuatu itu dengan sia-sia. Apa yang biasa kita semua bincangkan apabila
terkait soal perniagaan, maka terkeluarlah dari fikiran kita soal modal dan
keuntungan dan kerapkali juga kerugian.
Inilah yang menjadi kegusaran dan
perbincangan banyak pihak apabila ia terkait dengan perniagaan. Orang kata,
jika besar modalnya maka banyaklah untungnya dan jika kecil modalnya maka
kecilllah untungnya. Sebahagian dari pengalaman saya secara peribadi ada juga
betulnya kata-kata ini tetapi, ada juga kurangnya. Tetapi itu semua asam garam
perniagaan, mana betul dan mana tidak itu bukan perkara yang perlu difikirkan
tetapi yang penting sekali, untung.
Jika beginilah pemikiran manusia terhadap
kehidupannya, pasti ramai yang akan berusaha untuk mengubah cara hidup mereka.
Sedar atau tidak, kita sedang berjuang dalam satu perniagaan yang amat besar
dan ia amat menentukan kebahagiaan kita di akhirat kelak. Perniagaan perlukan
modal dan bagi kehidupan ini Allah s.w.t. telah sediakan modal untuk kita
sebagai manusia. Paling besar adalah masa. Masa kita hidup, masa berfikir, masa
merenung dan sebagainya. Allah tambahkan lagi dengan modal anggota tubuh yang
sihat dan bertenaga. Allah telah sebutkan di dalam kitab Al-Quran bahawa tidak
akan terhitung nikmat Allah ini dan ia adalah amat banyak.
Modal ini kita telah gunakan dan adakah
kita akan mendapat untung. Apabila kita menjalankan perniagaan secara
hakikatnya, kita pasti mahukan keuntungan yang menyebabkan kita akan berusaha
sedaya upaya menggunakan segala modal yang ada untuk mengaut keuntungan yang
berlipat kali ganda. Tapi jika hidup ini adalah perniagaan, di mana kita akan
merasa keuntungannya? Ya, tentulah di syurga Allah s.w.t. nanti. Itulah
keuntungan yang agung.
Atas dunia, kita perlu melakukan tugas
dengan modal yang diberikan sebaik mungkin untuk memastikan keuntungan yang
maksimum di akhirat kelak. Usahlah terpedaya dengan keuntungan dunia yang
sedikit ini kerana setiap kebaikan atas dunia yang dilakukan Muslim akan
mendapat balasan keuntungan di syurga. Maka hidup kita ini adalah jual beli
perniagaan yang paling menguntungkan dan beruntunglah jika mereka berjual beli
dengan Allah s.w.t. dengan jalan jihad di jalan Nya.
Ayuh jangan berlengah lagi, ilmu
perniagaan telah kita perolehi, kefahamannya perlu kita gali dan kehidupan di
dunia perlu kita depani dengan tabah dan penuh kesyukuran kepada Ilahi.
Comments