Wahai sahabat-sahabatku yang dikasihi. Sesungguhnya, di dalam bulan Ramadhan yang amat dirindui dan dinanti ini, telah Allah sediakan ruang dan masa yang sebaik-baiknya untuk kita mengembalikan jiwa dan diri kita kepada Allah s.w.t. Inilah bulan yang dipanggil madrasah tarbiyah terbaik bagi melatih dan membentuk semula diri kita sebagai manusia selepas berhadapan dengan 11 bulan yang lain yang penuh dengan pelbagai ujian dan halangan serta kesibukan dunia.
Allah s.w.t telah berfirman dan bersumpah di dalam surah Al-Fajr ayat 1 – 3 yang bermaksud;
(1) Demi waktu fajar; (2) dan malam Yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); (3) dan bilangan Yang genap serta Yang ganjil;
Pada malam-malam inilah kerapkali dibicarakan akan hadirnya malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari 1000 bulan, di mana Alah s.w.t juga berfirman di dalam surah Al-Qadr yang ibadah dimalamnya menyamai dengan ganjaran selama 84 tahun sepertimana firmannya yang bermaksud;
(3) malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan; (4) pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); (5) sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Di kalangan ummat manusia yang mencintai dan merindui Allah dengan sesungguhnya, inilah malam yang dinanti-nantikan oleh mereka selama bertahun-tahun lamanya. Ia terlalu lama sehinggakan dikira setiap saat dan waktu untuk mereka tempuhi dan mencarinya. Apa yang mereka akan lakukan sekiranya mereka bertemu dengannya?
Saiyidatina Aishah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim berkata: “Rasulullah s.a.w apabila tiba akhir 10 Ramadhan, Baginda (s.a.w) akan mengahbiskan malamnya dengan berjaga dan Baginda (s.a.w) akan mengejutkan semua ahli keluarganya dan Baginda (s.a.w) akan lebih bersungguh-sungguh dalam ibadahnya.”
Walaupun telah kita ketahui bahawa Baginda (s.a.w) sentiasa bersungguh-sungguh dalam segala amal dan ibadahnya, tetapi Baginda (s.a.w) menghabiskan masanya sepanjang malam beribadah sebagaimana diriwayatkan di dalam hadith yang lain yang bermaksud: “Di dalam 20 malam pertama Ramadhan, Rasulullah s.a.w sentiasa melakukan solat malam dan tidur, tetapi di akhir 10 malam Ramadhan, Rasulullah s.a.w tidak tidur dan sentiasa mengahabiskan sepanjang malam beribadah kepada Allah dengan pelbagai bentuk ibadah, samaada beribadah kepada Allah dengan berdiri di dalam solatnya atau beribadah kepada Allah dengan membaca Al-Quran atau beribadah kepada Allah dengan derdoa dan mengharap daripada-Nya.”
Semua bentuk ibadah yang dilakukan Rasulullah s.a.w untuk mengangati Allah s.w.t adalah bentuk-bentuk ibadah yang terbaik yang mana kita sebagai ummat Islam pada hari sepatutnya mengamalkannya. Dan Dia (‘Aishah r.a.h juga berkata: “Baginda (s.a.w) sentiasa menambahkan ibadahnya pada 10 malam terakhir ini berbanding pada malam-malam yang lainnya dalam setahun.”
Oleh yang demikian, Ibn Hajr menyatakan sebahagian dari pengajaran hadith ini bahawa, terdapat satu nilai motivasi untuk terus-menerus beribadah kepada Allah s.w.t pada 10 malam terakhir Ramadhan dan terdapat tanda-tanda atau petunjuk bagaimana kita harus menamatkan Ramadhan kita dengan cara yang terbaik.
Wallahu ‘alam.
Comments