Sombong mengikut kamus dewan bermaksud menghargai diri sendiri dengan berlebih-lebihan, tinggi hati atau bongkak. Sudah tentulah, tidak ada insan yang suka kepada sifat sombong ini kecuali hanya diri mereka sendiri sahaja. Kesombongan adalah penyebab mengapa insan lain tidak menyukai kita dan secara tidak langsung ia akan mengganggu usaha-usaha kita untuk membina sukses dalam kehidupan. Ini adalah kerana, kebanyakan kejayaan adalah bergantung kepada bagaimana bantuan yang kita terima daripada orang lain dan selalunya kejayaan itu sebenarnya bersama dengan orang lain lalu kita mendapat manfaat darinya. Sombong adalah salah satu sifat tercela atau mazmumah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
“Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba Ku, mereka akan masuk Jahannam sebagai makhluk yang hina dina.” (Al Mukmin: 60)
Sombong yang dimaksudkan adalah kesombongan diri sendiri yang merasa tidak memerlukan bantuan Allah dalam meraih apa yang kita inginkan. Berasa bahawa segala kejayaan itu terbina kerana semata-mata usaha beterusan diri kita tanpa henti dengan banyaknya menyertai pelbagai bengkel untuk mengembangkan diri sendiri dan kononnya, kerana itulah kita mengetahui bagaimana selok-belok untuk mencipta kejayaan mereka sehingga akhirnya mereka lupa akan kewujudan Tuhan yang memiliki segalanya serta Maha Tahu akan apa yang tidak mereka ketahui. Cukuplah sebagai contoh, bagaimana seorang lelaki yang dewasa sudah lupa menghargai keupayaan diri mereka untuk berjalan yang pada awalnya hanya meniarap dan merangkak. Mereka lupa asalnya tiada perkataan yang dapat keluar dari mulut mereka, makan bersuap, membuang najis dibasuhkan dan banyak lagi. Semua perubahan itu, adalah kisah sukses kita semasa kecil apabila mampu berdiri, berjalan dan berlari. Namun hari ini apabila dewasa, semuanya kita lupakan bahawa Dia telah izinkan.
Saat kita lupa melibatkan Allah, ini adalah bentuk kesombongan kita. Kita merasa tidak memerlukan Allah, padahal tidak ada yang mungkin terjadi jika Allah tidak membenarkannyaa. Semua yang terjadi di alam ini, termasuk jatuhnya selembar daun dari sebuah pohon adalah kehendak Allah. Sabda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam yang bermaksud; “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat walau seberat zarrah dari perasaan takabbur atau sombong.” Imam Al-Ghazali pernah berkata, “Orang yang sombong atau takabbur itu ialah orang yang apabila ditegur, ia marah dan benci, sedangkan kalau ia menegur orang lain ditegurnya dengan keras dan kasar.” Mudahnya mereka menghina dan memandang rendah orang lain tetapi mereka harus ingat bahawa Allah s.w.t. juga memandang mereka dengan pandangan yang tidak bernilai.
Malangnya, masih ramai yang lupa. Mereka hanya ingat Allah saat mereka gagal atau merasa lemah atau ketinggalan diwaktu berusaha untuk meraih cita-citanya. Mengapa tidak dari awal meminta pertolongan Allah? Kita lupa, kerana kita berasa tidak memerlukan Allah. Kita berasa bahawa hanya dengan perencanaan yang matang dan tindakan yang bersungguh-sungguh, kita akan meraih apa yang dicita-citakan. Anggapan ini, sama sekali salah, namun seringkali kita tidak menyedari anggapan keliru ini. Inilah yang dikatakan sombong terhadap Tuhannya yang termasuk dalam kelompok sombong secara batin. Apabila telah sombong dengan Tuhannya maka akan sombonglah mereka dengan rasul Nya dan sesama manusia sehingga mereka berasa lebih mulia berbanding orang lain. Mulia kerana harta, pangkat, latar keluarga atau apa sahaja yang dilihat melebihi orang lain dan kadang kala hanya dengan 'title' tertentu sahaja.
Kesombongan secara batin akan mencipta kesombongn secara zahir sebagaimana yang dipesan oleh Imam Al-Ghazali. Maka beliau mengingatkan satu pesanan, untuk mengelakkan diri dari sifat ini maka;
- Apabila kita berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia dari kita. Kerana kanak-kanak itu belum diberati dengan dosa, sedangkan kita sudah berlarut-larut hampir setiap langkah berbuat dosa.
- Apabila kita berhadapan dengan orang tua, anggaplah orang tua itu lebih mulia, kerana ia lebih lama beribadah daripada kita.
- Ketika kita berjumpa dengan orang alim, anggaplah beliau lebih mulia dari kita kerana banyak ilmu-ilmu yang tidak kita ketahui tetapi beliau mengetahuinya.
- Kalau kita melihat orang yang jahil, anggaplah dia lebih mulia dari kita , kerana dia berbuat sesuatu kesalahan atau dosa kerana kejahilannya sedang kita berbuat dosa dalam keadaan kita mengetahuinya.
- Kalau kita berjumpa dengan orang jahat, janganlah anggap kita mulia atau lebih baik daripadanya, tetapi katakanlah bahawa orang jahat itu mungkin di masa tuanya ia bertaubat, memohon ampun dari perbuatannya. Sedangkan kita sendiri belum tahu lagi bagaimana kita akhirnya.
- Apabila berjumpa dengan orang kafir, katakanlah dalam hati, bahawa si kafir itu belum tentu kafir selamanya, mungkin di suatu hari datang keinsafan padanya, dia memeluk Islam dan semua dosanya di dalam kekafiran dulu diampuni Tuhan, sedangkan kita ini sejak lahir sudah Islam, tetapi dosa terus dikerjakan juga dan balasan pahala belum tentu lagi.
Maka jadikanlah pesanan ini sebagai cara untuk kita berusaha melepaskan diri dari kesombongan, kemudian kejayaan akan menunggu kita. Kejayaan akan bersama mereka yang banyaknya rendah diri di dalam hati. Kejayaan yang dijanjikan di akhirat serta kebaikannya juga akan dirasai di dunia.
Dari Ibnu Abbas, bersabda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam, “Tidak seorang pun kecuali di kepalanya terdapat dua rantai, satu rantai sampai ke langit ke tujuh dan satu rantai yang lain sampai ke bumi yang ketujuh. Apabila seseorang itu merendahkan hati, Allah mengangkatnya dengan rantai yang di langit ketujuh dan apabila ia sombong, Allah merendahkannya dengan rantai yang di bumi ke tujuh.”
Urwah bin Azzubair berkata, “Tawadhuk ialah alat untuk mencapai kemuliaan. Lantaran itu Rasulullah, para Nabi, para Sahabat , para aulia’ dan orang-orang soleh suka merendahkan hati dan memiliki sifat tawadhuk.”
Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam bersabda, “Aku diberi kunci kekayaan bumi, lalu disuruh pilih di antara menjadi hamba dan Nabi atau menjadi Nabi dan Raja, maka Jibril memberi isyarat kepadaku supaya bertawadhuk dan menjadi Nabi dan hamba, maka ku pilih Nabi dan hamba, maka diberikan kepadaku itu dan aku manusia pertama yang keluar dari bumi kelak dan aku yang pertama memberi syafaat kelak.” Kerendahan hari adalah suatu mujahadah panjang yang perlu dimulakan dan perlu berusaha untuk mendapatkannya. Mulailah dengan memohon ampun atas semua kesombongan kita dimasa lalu. Mungkin kita banyak melakukan perkara meminta pertolongan, bantuan, dan petunjuk dari Allah. Marilah kita memohon ampun kepada Allah. Beristigfarlah. Setelah itu, usahakanlah setiap langkah kita selalu diiringi dengan doa dan tawakal. Doa dan tawakal bukan hanya terletak di akhir sesuatu usaha, tetapi juga diletakkan seawal memilih untuk memulakan agar Allah memberi petunjuk dan diletakkan dalam perjalanan kita itu bimbingan.Tinggalkanlah kesombongan kita, maka kita akan berjaya.
Comments
Memang, kebesaran dalam diri kita mampu menyekat diri kita untuk lebih berjaya. Ia terbukti apabila manusia merasakan dirinya itu cukup dan lebih besar dari segala-galanya.
Apabila dalam jiwanya punya Tuhan yang lebih besar dari yang Maha Esa, maka, kehendak allah itu diketepikan dan kehendak duniawinya didahulukan. Teman saya sering mengingatkan bahawa; kehidupan seorang Muslim ini ialah sebagai menyembah, menurut perintah termasuk lah kehendak hati kita semuanya adalah atas kehendak dan kuasa Allah. Adakah kita mampu mengubahnya? Jawapannya tidak, melainkan dengan usaha dan tawakal kepada Allah, pasti Allah akan perkenankannya.
Pesanan Ibnu Mas'ud; 2 ciri manusia yang akan gagal ialah mereka yang cepat berputus asa dan mereka yang bangga diri.