Sunday, May 31, 2020

BAGAIMANA INGIN MENJADI REMAJA YANG TERATUR?

Bagaimana ingin menjadi remaja yang teratur? Manusia yang teratur adalah mereka yang pada asasnya mempunyai misi yang jelas mengenai masa yang ada pada mereka. Kita lihat sahaja mereka yang telah dijatuhkan hukuman untuk ke tali gantung, bagaimana mereka menghabiskan masa mereka? Adakah kita menyangka mereka akan berharap segala kekayaan yang ada akan kekal bersamanya? Adakah mereka akan menyalahkan orang lain jika berlaku apa-apa kepadanya. Pada saat itu, mereka akan menjadi insan yang pemaaf, penyabar dan amat tenang sekali. Mereka tahu, itu semua adalah persiapan yang perlu dibuat untuk berada aman di sana. Bagaimana pula dengan mereka yang membeli tiket bas apatah lagi kapal terbang. Mereka akan sanggup sampai awal di terminal, merancang waktu perjalanan, elakkan kesesakan hanya untuk memastikan mereka sampai tepat pada masanya bahkan ramai juga yang sanggup datang awal.

Maka, apabila seorang remaja memiliki jelas apa yang mereka ingin miliki, lakukan atau capai di dalam kehidupan mereka, maka mereka secara langsung akan mengatur kehidupan mereka untuk mencapai apa yang mereka harapkan. Oleh kerana itulah, pemikiran remaja harus ditanamkan dengan pelbagai harapan dan misi yang besar bukan hanya perkara-perkara kecil yang akhirnya menjadikan mereka insan yang hanya mementingkan diri sendiri. "Yang penting aku ok, orang lain, lantaklah". Pemikiran begini harus kita atasi dan diubah di dalam minda remaja. Mereka perlu disedarkan mengenai peranan mereka yang besar untuk mengepalai masyarakat pada suatu hari nanti. Mereka tidak boleh merasakan bahawa harapan mereka hanya tergantung kepada cita-cita ibu ayahnya, tergantung kepada jenis bidang pelajarannya atau tergantung pada tempat belajar mereka. Sebaliknya mereka harus bergantung kepada impian dan disiplin diri. Mereka perlu melakukan eksplorasi dalam pelbagai perkara untuk berkembang. Mereka harus ada kemahuan untuk belajar dan di ajar kerana pada usia remaja, mereka bukan hanya penerima bahkan adalah pemberi yang bukan pada harta tetapi, masa, keringat dan pengetahuan mereka. Kuat berusaha untuk memperbaiki diri dan tidak hanya bergantung kepada nasib semata-mata.

Remaja harus sedar mengenai masa yang sifatnya dipinjamkan. Ia akan diambil semula dan persiapan untuk itu perlu ada. Masa adalah kehidupan dan kehidupan itu sangat singkat. Sekiranya pilihan mereka untuk bersuka ria, maka pembaziran besar-besaran akan berlaku kerana mereka tidak akan tahu menilai harga sebuah kehidupan itu dengan berpesta sana sini. Nilai kehidupan terserlah apabila berhadapan dengan pelbagai konflik dan kesukaran untuk meneruskan apa yang kita hajatkan. Kehidupan adalah cabaran dan rintangan yang tidak akan pernah luput sehinggalah kematian menjengah.Sabda Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam di dalam sebuah hadis yang bermaksud, daripada Abu Ya'la Syaddad bin Aus r.a. daripada Nabi sallallahu'alaihiwasallam, baginda bersabda: "Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya)."

Remaja yang teratur akan tahu apa itu perkara penting dan segera, akan kenal perkara segera tetapi tidak penting, perkara penting tetapi tidak segera serta mereka akan kenal perkara-perkara yang tidak penting dan tidak segera yang mana ini yang paling banyak menghabiskan usia kebanyakan remaja hari ini. Remaja yang teratur juga akan mampu menilai antara kaca dan permata di dalam persahabatan kerana mereka mempunyai ramai penasihat-penasihat yang bersedia memberikan bimbingan kepada mereka kerana kerapnya masa mereka dihabiskan untuk bersama orang-orang yang dapat memberikan manfaat terbanyak buat mereka. Semua sikap ini juga amat bergantung bagaimana ibu bapa mereka berperanan dalam memberikan kesan yang positif itu. Harapan utama terletak atas bahu ibu bapa kemudian para guru hang seharusnya turut menjadi pendorong kepada diri mereka.

Pemilihan kawan yang sesuai, yang benar-benar ikhlas adalah cabaran sebenar kehidupan remaja. Sekiranya mereka tidak mendapat nasihat dan bimbingan yang betul dari orang dewasa mereka, maka amat mudah mereka akan terjebak dengan pelbagai perkara yang negatif disebabkan pengaruh dari kanawan-kawannya. Fokus remaja adalah untuk memastikan diri mereka adalah yang terbaik untuk ibu bapa mereka, guru-guru, kawan-kawan serta masyarakat yang ada disekitar mereka. Jika mereka berjaya untuk menjadikan diri mereka sebagaimana yang kita bayangkan, berjasa kepada ibu bapa, membanggakan guru di sekolah serta hidup harmoni dan positif di dalam masyarakat, nescaya kita akan mampu melihat remaja yang pasti akan teratur dalam kehidupannya.

Saturday, May 30, 2020

SIAPA ANAK MUDA?

Mereka ini harapan kita semua. Harapan untuk menggantikan siapa orang dewasa mereka hari ini. Harapan untuk mengemudi segala ikhtiar yang dijalankan terhadap keperluan-keperluan kehidupan yang sentiasa berubah-ubah. Tambahan apabila kita melalui zaman yang amat luas, dunia tanpa sempadan, dunia yang perlu dikuasai dengan keupayaan yang tinggi berdasarkan keperluannya. Anak mudalah yang memiliki kemampuan khusus mendepani zaman mereka ini. Hari ini, anak muda ini mungkin masih berada dibangku-bangku sekolah lagi. Anak-anak yang dinilai sebagai 'budak' yang hanya tahu berusaha untuk mencari kepuasan diri dan amat rendah dari sudut kesedaran emosi mereka. Anak muda sering dinilai sebagai 'tidak tahu' dek kerana sedikitnya usia mereka berbanding orang dewasa. Mana tidaknya, orang dewasa lebih banyak makan garam, maka pengalaman mereka sudah tentu jauh jika hendak dibandingkan dengan anak muda. Anak muda juga disinonimkan dengan setahun jagung atau menggunakan istilah anak muda sekarang 'BBNU', 'budak baru nak up'.

Anak muda juga terkenal dengan sikap tidak sabar mereka. Berbuat tanpa berfikir panjang dan selalunya dilihat seperti tiada kematangan. Orang dewasa sering meletakkan keraguan sebelum diberikan peluang. Sukar untuk dipercayai dan amat sukar sekali untuk menghasilkan sesuatu yang benar-benar membanggakan. Anak muda gemar untuk mencuba perkara-perkara baharu. Mahu diri mereka sentiasa berbeza dan dipandang oleh orang lain. Mereka juga cenderung untuk mengikut budaya-budaya baharu yang pada pandangan mereka 'cool' tetapi tentu sekali tidak pada pandangan orang dewasa. Anak muda akan membiarkan diri mereka meneroka dan mencuba. Ingin rasakan pengalaman baharu bahkan berbeza dari orang lain. Mereka sepertinya amat bebas, tiada halangan dalam pemikiran kadangkala tindakan juga. Kebebasan ini membawa mereka kepada satu dimensi pemikiran bahawa 'orang lain tidak tahu apa yang aku rasa' sehingga menyebabkan mereka tidak dapat mendengar apatah lagi menerima nasihat. Dimensi yang memaksa mereka hidup selesa dengan apa yang mereka rasa sahaja walaupun hakikatnya mereka tahu itu salah.

Kaca mata orang dewasa amat berbeza dari kaca mata anak muda. Muda itu umpama satu tiket untuk mereka melakukan pelbagai perkara tidak kira sama ada baik atau buruk. Anak mudalah yang selalu dimasukkan dalam kategori berisiko. Ada juga dikalangan orang dewasa yang seolah-olah membenarkan sahaja keadaan ini. 'Biasalah, anak muda,' 'Biarlah dia buat silap, orang muda memang selalu buat silap'. Adakah benar begitu? Mereka buat silap kerana mereka muda atau orang dewasanya yang meninggalkan tanggungjawab membimbing dan mendidik anak muda mereka? Atau adakah perlu kita benarkan sedikit kesilapan sebagai pengajaran? Anak muda takut untuk mencuba dan takut untuk buat salah. Sebab itu mereka lebih selesa untuk ikut apa yang dilakukan orang lain, dan apabila bersalah, mudah untuk mereka menuding jari kepada orang yang memulakan. Sikap ini, juga terdapat pada orang dewasa yang pada waktu mereka sebagai anak muda, mendapat didikan yang sama. Seharusnya kita ambil iktibar dari kesilapan anak muda dahulu yang menjadi orang dewasa hari ini.

Jika kita bersama merungkai sirah ketamadunan Islam, anak muda tidak dibiarkan bersendirian oleh orang dewasa mereka. Banyak nama yang boleh disenaraikan, tetapi biarlah itu dibincangkan kemudian. Mereka diberikan peranan, kepercayaan bersama nasihat-nasihat yang mampu membangunkan jiwa-jiwa mereka. Seawal usia muda mereka, telah diingatkan tentang amanah kemanusiaan serta kewujudan Tuhan yang wajib menjadi sembahan. Hari ini kita melihat, layanan kepada anak muda ini sudah mula lari dari landasan bahkan sebahagiannya songsang dari fitrah kehidupan. Kenangkan sahaja bagaimana anak-anak muda diingatkan untuk belajar sungguh-sungguh agar nanti dapat kerja elok dan hidup jadi senang. Sebahagian dari kita juga mungkin pernah dipesan supaya belajar pandai-pandai, peperiksaan biar A, nanti dapat masuk universiti, senang dapat kerja. Pemikiran sebegini akhirnya menterjemahkan bentuk pendidikan bertaraf bermula dari yang taraf tinggi atau kelas depan, kelas tengah, pelajar biasa-biasa sahaja dan kelas hujung.

Maka, secara tidak langsung, anak muda ini telah belajar hidup dengan perbezaan darjat. Anak muda telah hilang nilai diri sehingga mereka gagal berperanan walaupun untuk kelompok mereka sendiri. Maka, siapakah anak muda kita hari ini? Anak muda bagaimanakah yang ingin kita lahirkan yang akan menjadi orang dewasa akan datang? Mampukan anak muda kita hari ini menjadi orang dewasa yang memenangkan Islam? Oleh sebab itu, fokus perbincangan catatan ini adalah untuk mengembalikan semangat insan yang bernama anak muda ini dengan memusatkan mereka semula kepada peranan penting yang asas. Mereka sepatutnya tidak dikecualikan dari memainkan peranan menjadi ejen-ejen perubahan yang berkesan dalam masyarakat atau mudahnya dikenali sebagai ejen dakwah. Catatan ini ingin mengajak anak-anak muda yang punyai anasir baik dalam dirinya agar menonjolkan diri dengan segala bentuk keberanian demi untuk melihat dunia mereka lebih baik dari sebelumnya. Sejarah telah membuktikan, sifat fitrah anak muda bersama dengan dorongan orang dewasa yang baik akan menghasilkan suatu kesan yang amat positif bahkan berimpak tinggi buat ummat. Maka, keberanian orang dewasa pula sudah tentu adalah untuk memberikan kepercayaan kepada anak muda melakukan apa yang terbaik.

Orang dewasa perlu disedarkan, bahawa, pada umur anak muda ini 8 hingga 12 tahun, merupakan waktu penting pendidikan adab, tata susila serta akhlak. Tunjang penting untuk dakwah anak muda ini adalah akhlaknya sebagaimana yang dicontohkan oleh Baginda Rasul sallallahu'alaihiwasallam. Ketika umur mereka menginjak ke 12 hingga 15 tahun, perlulah diteruskan pendidikan adab dan pada masa yang sama, dimulai dengan menanamkan semangat serta nilai keilmuan dalam diri mereka. Cintakan majlis ilmu, rajin membaca dan menelaah, serta terlibat dalam perbincangan yang membina pemikiran mereka. Proses yang sangat penting kerana, pada usia mereka 15 hingga 17, disamping pendidikan adab serta semangat keilmuan, mereka seharusnya telah mula diperkenalkan dengan semangat menyumbang, nilai keprihatinan serta jiwa besar untuk ummat. Mustahil seseorang insan itu dapat melakukannya tanpa nilai keilmuan yang hendak dipraktikkan bahkan akan menjadi terlalu buruk jika ianya dipraktikkan tanpa ada ilmu bersamanya. Kita mengharapkan, apabila usia mereka melangkaui umur 18 tahun, jiwa mereka cukup besar dan bersedia untuk berterusan menyumbang, memberikan idea-idea bernas untuk kebaikan masyarakat khususnya dipersekitaran mereka sendiri.

Itulah gambaran anak muda yang kita dambakan yakni orang dewasanya. Nilaikanlah sendiri, bagaimana anda sebagai anak muda? Adakah anda telah bersedia untuk menjadi dewasa dengan jiwa yang besar? Atau anda hanya seperti anak muda lain yang pada umur belasan tahun mereka masih mencari identiti serta banyak menghabiskan masa hanya dengan liburan semata-mata? Anak muda harus punya penasihat yang baik dari kalangan orang dewasa yang hampir dengan mereka supaya anak muda ini mendapat peluang untuk membuktikan bahawa mereka boleh dipercayai dan mampu memikul amanah dengan baik. Anak muda harus sedar peranan mereka sebagai hamba dan khalifah dan sekaligus tahu bagaimana untuk berfungsi hampir dengan masyarakat mereka. Kita tidak boleh lagi melakukan kesilapan dalam membina anak muda kita jika kita ingin melihat kemenangan Islam itu. Anak muda dahulu telah melalui pengalaman, yang pastinya mereka tidak mahu ia berlaku lagi kepada anak muda hari ini.

Friday, May 29, 2020

CADANG SEKOLAH TAHFIZ TUTUP?

Kecoh pula pagi-pagi ini saya membaca beberapa pandangan yang mengecam Siti Kasim atas kenyataan yang ditulis di Facebooknya. Pelik benar saya kepada mereka yang berkawan dengan orang seperti Siti Kasim di Facebook. Saya memilih untuk tidaklah berkawan dengannya kerana saya takut akan kerap tersinggung mungkin. Apapun Siti Kasim telah memberikan pandangannya mengenai isu tuntutan pengharaman arak disamakan pula dengan isu pengharaman maahad tahfiz. Saya pun tersinggung membacanya. Siti Kasim menaip, "Alcohol is not the problem. The irresponsible drinkers are the problem. Just like the Tahfiz schools are not the problem. It is the management that managed the schools are the problem. You want to ban alcohol just because it suits you? Then ban Tahfiz schools too for causing much damage to our innocent children.” (FB Siti Kasim)

Panas hati juga bila saya baca sekali lalu pandangan dia ini. Tapi bila dibaca berkali-kali lalu, ada benar juga, tidaklah segalanya itu nampak negatif melainkan buat mereka yang memenuhkan pandangan mereka dengan perasaan mahu pertahankan Islam dengan apa cara sekalipun. Sehinggakan mereka menutup sebelah mata mereka dan tidak mahu terbuka menerima kelemahan yang sememangnya sedang ditanggung oleh umat Islam khususnya di Malaysia hari ini. Sememangnya tidak wajar arak itu disamakan dengan maahad tahfiz, tetapi dalam konteks Siti Kasim ini, dia samakannya dari sudut arahan mengharamkannya dari segi pelaksanaan undang-undang. Saya pun pelik kenapa dia melenting benar soal mengharamkan arak. Siapa yang dia nak pertahankan? Apa kepentingan yang dia ada sampai nak melenting begitu, dan apa yang dimusuhinya sangat dengan institusi Islam ini? Pada saya, dia cuma nak dapatkan 'highlight' saja, bila dapat, ada ruang dan peluang untuk dia sebarkan lagi idea-idea dia, tarik lebih ramai orang yang simpati pada perkara yang sama fahamkan dengannya. Kenapa pulaklah yang kita pun layankan dia? Sebab itulah sebenarnya saya pelik, kenapa orang macam dia, yang kita buat kawan di Facebook tu. Tapi iyalah, kita duduk di negara yang bebas, bebas pilih kawan maka sepatutnya juga kita layankan lah juga bebasnya untuk dia bersuara. Berbicaralah dengan ayat bahasa indah ala-ala percintaan begitu. Jangan api dibalas dengan api. Tapi jika anda berkawan dengan dia la.

Apa yang disuarakan amatlah pahit untuk kita telan. Arak dah lama haram. Jadi tiada isu tentang keharamannya kerana umat Islam yang perlu patuh undang-undang tertinggi itu. Jadi, kena diingatkan kepada semua Muslim, jangan hampiri arak. Tapi hari ini pelbagai budaya dikembangkan dikalangan masyarakat kita. Mereka beradaptasi dengan budaya-budaya luar, tidak lagi budaya ketimuran yang penuh dengan adab kesopanan yang tinggi. Tengok sahaja mereka dengan pemikiran dan apa yang ditulisnya tu, lagak yangyang ditampilkan, fahamkan maksud saya? Tentunya adat ketimuran tidaklah sempurna dan kita bersedia untuk tambah baik, tetapi kesesuaian adat itu perlu selari dengan masyarakat. Begitulah yang berlaku pada arak, cuma ianya adaptasi yang tidak sihat. Sejak zaman berzaman arak ini wujud di Tanah Melayu ini, orang Melayu Islam memandangnya dengan amat jijik sekali. Namun, adaptasi budaya telah berlaku kepada umat yang pada asalnya memandang jijik arak itu yang tanpa sedar ia cuba diresapkan sebagai norma biasa ke dalam masyarakat Melayu. Pemimpin sibuk nak haram atau tidak kilang arak, sampai sekarang belum ada keputusan pun, dalam tempoh sibuk nak mengharamkan, anak bangsa ini juga yang terus menerus terjebak dengan arak. Peranan masyarakat, jangan benarkan arak ini menjadi norma kehidupan, yang Muslim berpegang pada perintah haramnya, yang bukan Islam berpeganglah kepada kajian kesihatan yang arak itu banyak mudharat dari manfaat.

Pemimpin, berhentilah sebar janji nak tutup kilang arak. Syor saya, setiap ahli parlimen dan dun yang Muslim, juga kepada yang bukan Islam dan ingin mendapat sokongan dan dokongan orang Islam, sila kenalpasti mana-mana kampung atau taman yang penuh dengan orang Islam, bila komposisi Muslim lebih 60%, maka kempenlah, ambillah tindakan untuk jangan benarkan mana-mana premis yang berada di dalam kampung atau taman itu serta yang berada dalam radius mungkin 5 kilometer dari kampung dan taman itu menjual arak walaupun mereka punyai lesen. Alasannya sangat mudah, majoriti Muslim, Muslim tidak minum arak. Sedar atau tidak, isu arak ini apabila dimarakkan, tak lama kemudian, diam. Entah apa hantu yang ada seolah-olah penjaga kepada arak tu. Tapi, bila ada sahaja perkara buruk yang berlaku di maahad tahfiz, arah tutup, terus tutup. Tiada pihak yang pertahankan kenapa? Ternyata kerana mereka yang tutup itu memang salah dan tidak ikut prosedur. Maka, nak bising macam manakan? Maahad tahfiz ni menjulang nama Islam, jika arak korbankan masyarakat yang banyaknya dalam akhbar melibatkan orang dewasa, lebih teruk lagi, maahad tahfiz benamkan harapan anak muda yang menjadi harapan negara. Maka tindakn lebih agresif telahpun diambil kerajaan. Bacalah akhbar. Sebenarnya banyak dah maahad tahfiz yang ditutup jika nak dibandingkan dengan kedai-kedai jual arak khususnya di Selangor ini. Sebab mereka telah langgar prosedur, jadi untuk itu harus kita beri pertimbangan yang adil. Sudah sampai masanya kerajaan perlu kuatkuasakan peraturannya yang saya percaya telah ada. Kerajaan tidak boleh halang mereka untuk melanggar peraturan sebab negara kita belum pun ada teknologi seperti dalam filem lakonan Tom Cruise, Minority Report. Tangkap sebelum buat dan saya percaya takde negara pun yang boleh. Jadi, peranan terbesar adalah masyarakat yang bersama calon pesalah itu tidak kira peminum arak atau pentadbir maahad tahfiz. Ambillah tindakan, tegur, halang atau laporkan sebarang bentuk keraguan yang kita fikirkan. Kerajaan akan ambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang selepas kesalahan dijatuhkan, tapi, agak melulu juga jika kita mencadangkan pengharaman penjualan arak atas kesalahan yang disebabkan oleh kesalahan individu. Tidak wajarlah kerana satu maahad tahfiz langgar prosedur, semua diarahkan tutup. Maksud saya pukul rata.

Saya tidak sokong kilang arak, penjualan arak atau apa sahaja yang terkait dengan arak. Saya tuliskan begini atas dasar kewajaran dan menilai keupayaan semasa kerajaan dan undang-undang. Buat mereka yang mewakili institusi agama Islam. Kerajaan ambil berat, ambil tindakan yang pada pandangan kita itu berat adalah kerana kerajaan mengambil tanggungjawab untuk memelihara kesucian agama Islam itu di negara ini. Mereka berikan kebenaran, namun, kita sendiri sebagai orang Islam, khianat dengan kepercayaan yang diberikan. Kita hanya mahu ambil kesempatan atas agama kerana ia agama rasmi negara tetapi bukan kerana ia amanah dari Allah s.w.t.. Berhati-hatilah, kalian punya bebanan agama yang berat. Begitulah sukarnya untuk mendidik umat. Para nabi dan rasul ribuan tahun berdakwah, yang ikutnya amat sedikit. Paling ramai umat Nabi Muhammad sallallahu'alaihiwasallam. Itupun Allah dah pesan, sikit dari kalangan yang akhir ini akan masuk syurga. Moga kita jadi insan dari golongan yang sedikit itu.

KENALI DAN BIMBING MINAT ANAK-ANAK

Kitalah pencorak anak-anak kita. Setia[ kali kita memarahi mereka atas apa kesalahan sekalipun, sedarlah bahawa kesalahan mereka itu mungkin atas kelalaian dan kelemahan diri kita. Mustahil anak-anak kecil kita mampu berfikir sebaik orang yang telah dewasa. Mereka hanya melakukan perkara yang pada hemat mereka tiada apa-apa. Pemikiran anak-anak kita penuh dengan angan-angan. Apa yang mereka lihat, mereka dengar dan mereka rasa akan menghasilkan bayangan dan impian mereka. Kita tidak langsung terkejut apabila kita melihat anak kecil kita sibuk ingin menjadi Ultraman, Spiderman dan pelbagai lagi watak adiwira animasi yang dipaparkan di televisyen. Bayangan mereka dari apa yang dipaparkan kepada mereka. Oleh sebab itulah, menjadi keutamaan untuk ayah ibu menjadi tauladan atau hero kepada anak-anak kecil kita sendiri.

Perhatian mesti diberikan kepada mereka, bukan hanya sekadar mahu membesarkannya sahaja. Nafkah bukan hanya makan, pakai bahkan yang memenuhi keperluan 5 yang asas iaitu pemeliharaan nyawa, akal, keturunan, harta benda dan agama. Mohon untuk dijadikan perhatian kita bersama, salah satunya adalah akal mereka. Pemeliharaan akal anak-anak juga sebahagian dari tugas penting ayah ibu. Mereka harus menjadi contoh terbaik buat anak-anak yang sentiasa menagih didikan yang holistik dalam kehidupan. Kehidupan ayah ibu yang disibukkan dengan pencarian harta benda sehingga mengabaikan mereka adalah satu kesalahan yang tidak dapat kita bertolak ansur. Anak-anak bukan bukti kejayaan kita, tetapi saham akhirat kita. Pendidikan mereka harus sesuai dan memenuhi keperluan buat diri mereka yang mampu membantu mereka membina rangkaian asas keperluan lain iaitu pemeliharaan nyawa, keturunan, harta benda dan agama. Gagal kita memberikan tumpuan kepada pembinaan akal mereka akan memungkinkan mereka akan gagal memelihara keperluan yang lain.

Ayah ibu harus memberikan perhatian untuk mula mengenali anak dengan pelbagai keunikan mereka. Anak, walaupun lahir dari rahim yang sama, tetap akan memiliki perbezaan antara satu dengan yang lain. Pada peringkat awal anak-anak, kecenderungan perlu dilihat dari sudut keupayaan mereka terhadap penggunaan deria dan kawalan tubuh mereka. Keupayaan mereka untuk memahami sesuatu, memberikan tumpuan serta bagaimana mereka memproses maklumat yang diberikan kepada mereka. Antara kegagalan utama ayah ibu dalam mendidik anak pada awal usia mereka hari ini adalah dengan memberikan pendedahan gajet pada usia yang terlalu awal. Secara tidak langsung anak-anak akan kurang peka terhadap penggunaan deria mereka, kawalan tubuh yang lemah serta malas berfikir apabila diberikan sesuatu tugasan atau masalah.

Aspek lain adalah dari sudut minat dan kecenderungan anak-anak. Sudah tentu mereka amat suka bermain dengan pelbagai bentuk permainan, tetapi akan tiba pada satu tahap di mana mereka akan mula menunjukkan minat kepada sesuatu dan bersungguh-sungguh dengannya. Perhatikan dan berilah dorongan untuk mereka mencipta hasil dari minat mereka tersebut. Ini sekaligus akan menambah motivasi dalam diri mereka untuk terus melakukan yang terbaik dengan apa yang mereka minati. Namun, harus kita bersama ingati, ke mana sekalipun hala tuju anak-anak kita, ilmu perlu menjadi dasar kepada perkembangan mereka. Apabila mereka sudah mula boleh membaca, pupuklah minat mereka untuk mula membaca dan menambah pengetahuan mereka. Persekolahan tetap penting untuk mereka menguasai asas utama pembelajaran sebelum mereka boleh melakukan apa yang mereka minati.

Dorongan mesti berterusan. Mereka menjadikan  ayah ibu mereka sebagai alasan dalam melakukan sesuatu perkara. Usahlah hampakan harapan mereka hanya kerana kita tidak sependapat denan mereka. Zaman ayah ibu dengan anak-anak amat berbeza. Benarlah pesanan didiklah anak mengikut zamannya. Sebab itulah, ibu bapa juga tidak boleh menafikan betapa pentingnya ilmu untuk mereka. Zaman ini telah berubah dan kita perlu miliki ilmu zaman ini jika kita ingin benar-benar berkesan kepada anak-anak kita. Bimbinglah anak-anak pada setiap peluang yang tersedia. Sekatan, akan merencatkan pertumbuhannya, kawalan berlebihan akan menjadikan mereka takut untuk menghadapi realiti yang ada. Kebebasan yang melampau akan menjadikan mereka liar, kelonggaran yang tiada undang-undang akan menjadikan mereka insan yang tidak tahu menilai perkara-perkara terkait kehidupan. Kenalilah anak-anak kita dan bimbinglah mereka ke arah apa yang mereka impikan dan apa yang kita harapkan akan tercapai.

Thursday, May 28, 2020

10 PERKARA YANG KITA KERAP KALI BAZIRKAN

Pembaziran dalam masyarakat kita amat sinonim dengan pembaziran harta, tenaga dan masa. Apa yang jelasnya, pembaziran merupajn sesuatu yang amat negati dan memberikan kesan yang buruk dalam kehidupan manusia. Bahkan Allah s.w.t. telah pun berfirman dalam surah yang masyhur di dalam masyarakat kita yakni surah Al-'Asr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud;

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

Bahkan Baginda Rasul sallallahu'alaihiwasallam juga pernah menegur sahabatnya, Saad bin bin Abi Waqas ketika beliau berwuduk yang sabdanya berbunyi, "Daripada Abdullah bin Amru bin Al-'As bahawa Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam lalu berdekatan Saad yang sedang berwuduk. Baginda bersabda, 'Pembaziran jenis apakah ini, wahai Saad?' Maka Saad berkata, 'Dalam wuduk pun ada pembaziran?' Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam menjawab, 'Walaupun kamu berwuduk dalam sungai yang sedang mengalir.'"

Jelas sekali, pembaziran banyak berlaku walalupun ketika kita melakukan kebaikan. Sebab itu haruslah kita muhasabah bersama apakah kemungkinan-kemungkinan pembaziran yang kita lakukan tanpa kita sedari dan menjadi penyebab kepada kurangnya kita bersyukur atas pemberian dari Nya. Al-Quran juga telah merakamkan perihal manusiawi yang suka membazir dengan istilah boros dan saudara kepada syaitan sebagaimana firman Nya di dalam surah Al-Isra' ayat 27 yang bermaksud;

"Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Mari kita fokuskan perbincangan kita kepada 10 bentuk pembaziran yang termasuk soal harta, tenaga atau masa. Jika kita fikirkan, terlalu banyak sebenarnya yang telah kita sia-siakan hanya kerana salah keutamaan yang kita letakkan dalam kehidupan kita.

Pembaziran Ilmu Pengetahuan
Hari ini ramai dikalangan kita yang terjebak dengan pembaziran ini. Mereka bukan tidak tahu, cuma mereka tidak peduli kepada apa yang mereka tahu. Mereka tidak mengamalkan bahkan juga tidak disampaikan. Tahu mereka hanya habis untuk berhujah tetapi sedikit sekali amalan. Ingatlah, kita akan dipersoalkan nanti tentang perkara yang kita tahu tapi kita tidak berbuat. Allah s.w.t. telah menempelak kaum Yahudi dahulu dengan firman Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 44 yang bermaksud;

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?"

Pembaziran Pada Tindakan
Bagaimana pembaziran pada tindakan? Setiap kita diberikan tanggungjawab untuk dilaksanakan. Semua kita tahu bahawa tanggungjawab itu satu amanah yang perlu kita tanggung dan jawab kemudian hari. Namun, ramai dari kita mengabaikannya. Kita sambil lewa dalam menjalankan amanah sehingga setiap pekerjaan yang kita lakukan, hilang keikhlasan dan hilang kesungguhannya. Kita hanya melakukannya untuk mendapatkan ganjaran kecil yang sementara sedangkan, Allah s.w.t. telah beri kita peluang untuk raih ganjaran dunia dan akhirat dari amanah yang diberikan kepada kita. Kita tidak perasan. Kerana itulah Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud;

“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”

Pembaziran Harta Benda
Kita kerap membazirkan harta kita untuk perkara yang tidak mendatangkan ganjaran dalam kehidupan kita di akhirat. Kita buangkan duit kita, kedudukan kita dan kekuasaan kita pada perkara yang tiada langsung meninggalkan manfaat untuk kehidupan ini dan kehidupan akhirat kita.

Pembaziran Hati
Kosongnya hati kita tidak diisikan dengan kasih sayang dari Allah s.w.t.. Diri berasa amat berjauhan dari Nya dan akhirnya menghilangkan rasa nyaman dan aman dalam kehidupan. Nyaman dan aman itu diisi dengan perkara dunia yang melalaikan sehingga hati kita gelap dan tertutup dari hidayahnya.

Pembaziran Tubuh Badan
Apabila hati telah menjauh dari Allah s.w.t., maka tubuh juga akan mula berasa berat untuk beribadah kepada Nya sekaligus kita telah membazirkan tubuh yang dipinjamkan ini untuk mengabdikan diri kepada Nya.

Pembaziran Kasih Sayang
DIA yang mendatangkan rasa kasih dan sayang kita sesama makhluk maka kepada DIAlah sebenarnya yang paling layak untuk kita tanamkan kasih sayang kita ini. Bukan bermaksud menidakkan kasih sayang sesama makhluk tetapi, asas kasih sayang itu adalah kepada Nya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud;

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Pembaziran Masa
Tidak syak lagi dan semua kita ketahui sebagaimana yang Allah s.w.t. telah sumpahkan di dalam surah Al-'Asr di atas. Selalu kita gagal menggunakannya dengan baik. Kerapkali kita menyesal pada perkara yang telah lalu sedangkan kita punya peluang untuk buat perkara yang lebih baik pada masa akan datang, tetapi akhirnya sesal itu datang lagi. Masa itu hidup dan hidup ini dipinjamkan. Jika tidak dimanfaatkan, besar kerugian untuk kita nanti.

Pembaziran Intelektual
Kita biarkan keupayaan berfikir kita ini digunakan untuk perkara yang kurang atau tidak dapat memberikan manfaat untuk kita bahkan untuk sesiapa pun. Allah s.w.t. berkali-kalai telah memperingatkan, adakah kamu tidak berfikir? Adakah kamu tidak melihat? Adakah kamu tidak mendengar? Adakah kita tidak faham lagi? Maka dibiarkan masyarakat ini terus hanyut dengan kerosakan tanpa ada manusia yang berusaha untuk merubahnya hanya kerana 'malaslah nak fikir'.

Pembaziran Khidmat
Kurangnya mahu berfikir akhirnya kita disibukkan dengan memberikan khidmat kita kepada mereka yang sedikit manfaatnya untuk ummat dan untuk Allah s.w.t.. Kita berdamping dengan mereka yang hanya menyibukkan kita dengan hal-hal keduniaan sehingga kita sendiri leka dalam kealpaan dek kerana seronoknya dan bayangan keindahan yang hakikatnya amat sementara.

Pembaziran Dalam Mengingati Allah (Zikrullah)
Oleh sebab semua pembaziran di atas secara berterusan kita lakukan, zikir kita akan mula menjadi pembaziran kerana zikir-zikir itu hanya tamat hingga hujung lidah dan tidak sedikit pun berjaya menyentuh ke hati-hati manusia khususnya diri kita sendiri. Zikir yang kita baca seharian baik selepas solat, dalam kenderaan dan dalam apa jua waktu lapang, hanya bacaan yang memenatkan lidah tetapi tidak menundukkan hati.

Wahai saudaraku sekalian, muhasabahlah diri kita tambahan lagi kita baru sahaja keluar dari madrasah Ramadhan yang padanya adalah tempoh muhasabah dan taubat yang panjang. Semoga segala pendidikan di dalam bulan Ramadhan akan memberikan kesan kepada kita untuk berhadapan dengan 11 bulan yang akan datang.




Rujukan:
http://idznsh.blogspot.com

Wednesday, May 27, 2020

KEGUNAAN ANALISA SWOT

Analisa SWOT diperkenalkan oleh S Humphrey pada sekitar tahun 1960-an Ketika beliau sedang memimpin sebuah projek di Institut Kajian Stanford dengan menggunakan data-data dari syarikat-syarikat Fortune 500. Metod ini diperkenalkan dengan tujuan untuk mengenalpasti kekuatan (strength), kelemahan (weakness), peluang (opportunity) dan ancaman (threat) kepada sesuatu perancangan, projek tidak kira dalam bidang pembangunan mahupun perniagaan bahkan hari ini ia semakin dikembangkan dalam pelbagai bidang termasuklah pembangunan insan serta pemberdayaan manusia dalam ekonomi itu sendiri. Hari ini, analisa ini juga mampu memberikan kepada pelajar dan mahasiswa dalam membina kejayaan dan kecemerlangan diri masing-masing. Ia seharusnya menjadi alat muhasabah terpenting yang mampu memandu seseorang untuk lebih cemerlang dengan apa yang mereka miliki saat ini. Oleh yang demikian, mengetahui cara menggunakannya adalah satu kelebihan yang akan meningkatkan kemahiran diri yang terbaik. 

Kita pasti akan dapat menilai diri menggunakan analisa ini melalui 4 tingkap utama iaitu; 

Bagaimana kekuatan kita mampu untuk memanfaatkan peluang yang terbuka 
Apabila seorang pelajar atau mahasiswa menyedari akan peluang yang sememangnya sentiasa terbuka buat mereka, peluang itu akan dapat dimanfaatkan dengan lebih baik sekiranya mereka mengetahui juga kekuatan dan menggunakan kekuatan mereka dengan baik. Contohnya, bagi seorang pelajar yang mengetahui kekuatan dirinya pada apa yang mereka dengari, maka mengambil peluang untuk sentiasa hadir dalam pelbagai kelas yang dijalankan oleh guru mereka yang rajin itu adalah cara terbaik memanfaatkan peluang dengan kekuatan yang ada. Mungkin dengan merakamkannya juga akan turut membantu. 

Bagaimana kekuatan kita dapat mengatasi segala ancaman 
Kita juga harus tahu tatacara bagaimana kekuatan kita mampu diperalatkan untuk mengatasi segala ancaman yang ada. Ia tidak akan berlaku secara langsung sebaliknya, haruslah melakukan eksplorasi tentang bagaimana ia dapat membantu diri secara tidak langsung. Ancaman yang mungkin datang pada kita adalah teman-teman yang selalu memperlekehkan diri kita apabila kita menunjukkan usaha untuk mencipta kejayaan. Kekuatan kita yang suka mendengar mungkin boleh dimanfaatkan untuk mendengar apa sebenarnya masalah mereka itu. Mendengar dengan baik masalah mereka dan berusaha dengan niat yang baik untuk memperbaiki diri mereka akan menatijahkan kesan secara langsung sikap mereka kepada diri kita yang pada mulanya suka diperlekehkan mereka. 

Bagaimana mengatasi kelemahan dari perkara yang tidak memberikan manfaat 
Kita berpeluang untuk mengurangkan apa sahaja perkara yang boleh membawa kita kepada kurangnya manfaat kepada diri sendiri. Apabila seorang pelajar mengetahui keupayaan mereka lebih melalui pendengaran terhadap apa yang dipelajari, maka mereka seharusnya mengurangkan usaha membaca sebaliknya mula melebihkan usaha terhadap menghadiri kelas serta kelas-kelas bimbingan Bersama guru. Bukan bermakna, mereka tidak perlu membaca, Cuma memberikan tumpuan kepada perkara yang lebih berkesan itu jauh lebih baik berbanding melakukan perkara yang akhirnya menyebabkan kita berhenti melakukannya hanya kerana kebosanan. 

Bagaimana cara mengatasi kelemahan yang mampu menjadikan ancaman itu suatu kenyataan 
Namun, cabaran terbesar adalah apabila kita gagal mengatasi kelemahan, makai a dikhuatiri akan dapat dimanfaatkan oleh ancaman yang mempunyai persamaan dengan kelemahan tadi. Oleh yang demikian, harus kita teliti segala kelemahan yang boleh membantu ancaman pada kita. Awasi ia daripada semakin membesar dan menguasai diri kita. Mengatasi kelemahan tidak seharusnya dihadapi secara besendirian. Ia perlu dilakukan dengan nasihat dari orang-orang yang berpengalaman, berpengetahuan dan mampu membimbing kita untuk memperbaikinya. 

Keempat-empat komponen SWOT ini mewakili 2 faktor pokok iaitu dalaman (SW) dan luaran (OT). Segala pemfaktoran tadi pula boleh diatasi melalui beberapa strategi kombinasi bermula dari; 
  1. SO – strength-opportunity 
  2. WT – wekness-threat 
  3. ST – strength-threat 
  4. WO – weakness-opportunity 
Ini adalah sebahagian dari asas pengetahuan analisa SWOT ini yang mungkin dapat membantu kita untuk memperbaiki diri kita atau untuk meningkatkan keupayaan diri kita sendiri. Mulakanlah penilaian diri segera kerana yang utama yang dapat membantu diri kita adalah diri kita sendiri.

Tuesday, May 26, 2020

TINGGIKAN HEMAHMU DAN LAWANLAH NAFSUMU DAN BUATLAH BEKALAN AKHIRAT


Sebuah kisah diceritakan, seorang ayah telah dikurniakan 3 orang anak. Anak yang sulung diberikan nama Harbe, anak tengah dinamakan sebagai Kaker dan anak yang bongsu dinamakan sebagai Amsol. Keempat-empat merekan menjalani kehidupan yang harus menjadi pedoman buat kita semua. Si ayah merupakan seorang saudagar yang banyak mengembara dalam usaha untuk menyediakan segala yang terbaik untuk ahli keluarganya. Apabila usia anak-anaknya meningkat remaja, si ayah merasakan sudah sampai masa anak-anaknya dipersiapkan untuk mengambil alih semua urusan perdagangannya. Maka, dibawalah Harbe dalam setiap urusan dagangannya mungkin kepercayaannya lebih kepada Harbe disebabkan dia merupakan anak pertama harapan di dalam keluarganya. Maka, semakin hari, Harbe semakin kerap bersama ayahnya berdagang sana sini dan semakin keraplah pula si ayah dan Harbe tiada di rumah atas urusan dagangan.

Lalu si ayah pun berpesan kepada Kaker, "Anakku Kaker, oleh kerana ayah dan abangmu sibuk membuat pelbagai urusan perdagangan, jadi ayah tinggalkan kamu untuk menjadi wakil keluarga sepanjang pemergian ayah dan abangmu berdagang. Kamu binalah hubungan yang akrab dengan ahli keluarga dan jangan lupa juga dengan jiran-jiran kamu kerana mereka juga suatu hari nanti boleh menjadi pelanggan kepada perniagaan kita ini." Kaker senyum dan menganggukkan kepalanya tanda setuju.

"Saya nak buat apa ayah?" tanya Amsol bersuara secara tiba-tiba. "Kamu jaga diri kamu sendirilah. Dah besar panjang, gunalah akal kamu itu sikit. Jangan hanya nak menghabiskan harta ayah sahaja. Mentang-mentanglah kamu anak bongsu, asyik nak bermanja." bentang Harbe kepada adiknya. Ayahnya berlalu tanpa menoleh ke belakang meninggalkan Harbe dan Kaker yang berterusan membebel kepada adik mereka itu. Masa, terus berlalu, Harbe semakin sibuk menguruskan perniagaannya, Kaker pula semakin bijak mengatur semua kenalannya dan melakukan perlbagai perkara bersama ahli keluarganya yang lain dalam memperluas empayar perniagaan bapanya. Amsol walaubagaimanapun, berasa diri seperti terbuang dan tidak diberikan perhatian. Kadang-kadang dia ditertawakan oleh ahli keluarganya kerana hidup dalam keadaan yang serba tidak kena.

Pada suatu pagi yang hening, mereka dikejutkan dengan kematian ayah mereka. Lalu datanglah semua kenalan si ayah dan keluarganya ke rumah. Jenazah diuruskan sehingga siap untuk dibawa ke kuburan. Ketika mayat diusung keluar dari pagar rumah, Harbe berhenti tidak meneruskan langkahnya. "Mengapa abang?" tanya Amsol. "Engkau hantarlah ayah ke kuburan, aku tidak mahu mengikutinya." Jawab Harbe yang tampaknya agak sugul. Lalu diteruskanlah pengusungan keranda sehingga tiba di tepi liang lahad sebelum mayat itu di tanam. "Kita minta anak-anak si mati untuk masuk ke dalam dan sambut jenazah ini," kata si penggali kubur. Amsol tanpa berfikir panjang terus masuk ke dalam dan bersedia, tetapi Kaker hanya kaku di atas dan tidak mahu turut serta. Selesai sahaja pengkebumian itu, bersurailah semua orang ramai termasuk Kaker yang dari tadi hanya berada di tepian kubur itu. Tinggallah Amsol, pemuda kurus kering, pakaian seperti tidak terurus bersendirian dikuburan menemani ayahnya. Dialah yang ditertawakan, dialah yang diabaikan, tetapi dialah yang paling berasa kehilangan.

Ya, apabila meninggal sahaja anak Adam maka, harta bendanya (Harbe) hanya tersekat sehingga pagar rumahnya, kaum kerabatnya (Kaker) hanya mengiringinya hingga ke kubur, tetapi yang akan kekal bersamanya adalah amal soleh (Amsol) yang akan sibuk membantu berhadapan dengan segala persoalan Munkar dan Nakir. Oleh sebab itu, usahlah kita hanya mengutamakan kemewahan yang panduannya adalah hawa nafsu, sebaliknya bimbinglah amal soleh kita yang bertitik tolak dari ketinggian budi pekerti diri kita terhadap yang Maha Tinggi. Kematian hanyalah pada tubuh, tetapi roh memerlukan pembantu yang sasa tubuhnya untuk memberikan perlindungan ketika kita berhadapan dengan ujian di alam sana nanti.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq pernah berkata, "Badan kita itu tidak ubahnya laksana sangkar burung ataupun kandang binatang maka, fikirlah baik-baik untuk dirimu. Dan tentukanlah bagi dirimu, yang mana satu di antara dua perumpamaan ini. Jikalau engkau laksana burung yang terbang tinggi maka ia akan terbang dengan riang gembira apabila mendengar seruan,

"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !" (Al-Fajr: 28)

Mudah-mudahan Allah melindungi engkau daripada menjadi laksana binatang ternak seperti firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-A'raf ayat 179 yang bermaksud;

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai."

Terbang tinggilah sehingga engkau akan hinggap di puncak pohon-pohonan syurga yang tinggi. Ini sepertimana sabda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam ketika Saad bin Muaz meninggal dunia, 'Telah bergegar 'arasy Allah (kerana kegembiraan) ketika kematian Saad bin Muaz.'"

Menurut sebahagian riwayat juga menceritakan bahawa Imam Hassan Al-Basri pernah pengsan selepas beliau diberikan segelas air sejuk. Beliau pengsan disebabkan teringat nanti ketika di alam akhirat, ahli-ahli neraka akan berangan-angan sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-A'raf ayat 50 yang bermaksud;

"Limphkan kepada kami sebahagian daripada air yang ada pada kamu atau apa sahaja makanan dari rezeki yang telah diberi oleh Allah kepada kamu."

Kenangkanlah diri, muhasabahlah segala kelemahan yang ditonjolkan kita selama hari ini yang kerap memberikan keutamaan kepada hawa nafsu sehingga mengabaikan hemah diri yang sebenarnya hanya memalukan diri kita sendiri. Dahulu penilaian akhlak kita hanya tergantung pada cakap orang yang pernah mengenali kita, namun hari ini, akhlak kita boleh diakses secara terus melalui atas talian tanpa perlu diminta keizinan dan tidak perlu berselindung lagi. Maka, hati-hatilah pada setiap yang kita like, share atau subscibe juga pada setiap yang kita baca dan tulis. Moga kita mampu meninggikan hemah diri kita.

Monday, May 25, 2020

ILMU SAHAJA BELUM MEMBERI MANFAAT AKAN ENGKAU


Apabila tiba hari kebangkitan, maka akan datang sesalan yang teramat sangat buat kita yang berilmu tetapi tidak mengambil manfaat buatnya. Marilah kita bermuhasabah akan peringatan yang diberikan Allah s.w.t. melalui firman Nya di dalam surah As-Sajdah ayat 12 yang bermaksud;

"Ya Rabb kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami, nescaya kami akan mengerjakan amal saleh. Sungguh kami adalah orang-orang yang yakin."

Bahkan kita diperingatkan juga di dalam surah Al-Mukminun ayat 99 hingga 100 yang bermaksud;

"Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia, "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku."

"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh hingga hari mereka dibangkitkan semula."

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Az-Zumar ayat 58 yang bermaksud;

"Atau berkata semasa ia melihat azab, ` Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!"

Menurut Imam Al-Ghazali, ilmu tanpa amal itu adalah gila dan amal tanpa ilmu itu adalah perbuatan yang sia-sia. Insan yang bergembira dengan pelbagai pengetahuan di dada tanpa pernah memikirkan bagaimana ilmu mereka itu harus memberi manfaat atau dimanfaatkan akan menjadi penyebab kepada penyesalan berpanjangan di akhirat kelak. Sebab itu tahu tidak akan memberikan makna kerana makna itu muncul dari mengamalkan apa yang kita tahu, Tahu akan kemiskinan dan kepayahannya tidak sama dengan orang yang melalui kemiskinan dan kepayahan itu. Tahu mengenai kesenangan kekayaan juga tidak akan sama dengan mereka yang memang berada di dalamnya.

Manusia mendambakan kesenangan tetapi Maha Kaya Allah menghalang kekayaan itu berada pada kita kerana DIA Maha Tahu apa yang tidak kita ketahui. Sebagaimana terdapat kisah 3 orang lelaki yang dianugerahkan kecacatan dalam kehidupan mereka. Ketiga-tiga mereka menggembala kambing. Seorang darinya adalah buta, seorang lagi tempang dan seorang lagi berpenyakit kulit sehingga menyebabkan orang tidak selesa berada dengannya. Kehidupan mereka amat dhaif. Pada suatu hari, mereka berbicara dan setiap tutur itu adalah doa. Mereka mula mengimpikan jika mereka kaya. Lalu pada suatu hari, datang seorang lelaki pengemis mengetuk pintu mereka untuk meminta sesuatu untuk dimakan.

Lelaki pertama adalah si tempang. Dia memberikan sedikit makanan kepada pengemis itu sambil berkata, "Aku cuma sedikit lebih baik darimu, ambillah sedikit bahagian makanan ku ini." Pengemis itu berterima kasih lalu dia bertanya, "Adakah kamu memiliki hajat untuk aku doakan?" Si tempang pun dengan pantas memberikan jawapannya, "Ya! Aku mahu, hidupku senang dengan hasil gembalaan yang sangat banyak untuk aku bantu orang lain juga dengannya serta aku mahu kaki ku ini tidak tempang lagi, kerananya aku selalu diejek orang." Lalu pengemis itu berdoa dan berlalu pergi.

Keesokan harinya, pengemis yang sama datang ke rumah pemuda yang berpenyakit kulit. "Adakah kamu mempunyai sedikit makanan untuk aku alaskan perutku?" tanya pengemis itu. "Ada sedikit dari bahagianku, biarlah ia menjadi nikmat untuk mu hari ini," jawab pemuda itu. Sebagaimana semalamnya, pengemis itu bertanya apakah dia mempunyai sesuatu hajat untuk didoakan. "Ya!" jawab pemuda itu. "Aku mahu penyakit ku ini hilang sebab ramai orang tidak mahu berkawan dengan ku kerananya, dan, baikkanlah gembalaan ku agar hidup ku senang dan dapat aku menolong orang lain nanti," jawab pemuda itu penuh keyakinan.

Hari yang ketiga, pengemis ini sampai ke rumah si buta. Kejadian yang sama miripnya pada hari sebelumnya juga berlaku di rumah si buta. Ketika akhir pertemuan mereka setelah pengemis mendapatkan sedikit makanan dari si buta, lalu dia bertanya akan hajat si buta. "Aku bersyukur dengan segala nikmat yang telah DIA berikan kepada ku, kerana kekayaan mungkin akan melalaikan ku dan celik mataku akan mendorongku untuk bermaksiat," jawab si buta. Maka berlalulah pengemis itu sehingga beberapa hari, ketiga-tiga lelaki itu dengan izin Allah pulih dari penyakit mereka dan dalam jangka masa yang agak sederhana panjang gembalaan mereka telah menghasilkan keuntungan yang berlipat ganda.

Pada suatu petang, si pengemis tadi sampai di rumahnya di tempang, dan dia meminta makanan seperti sebelumnya. "Kamu sudah tidak tempang lagi?" tanya si pengemis. "Ya, siapa dan apa yang kamu mahu?" tanya si tempang. "Aku lapar dan mahukan sedikit makanan," kata si pengemis. "Pergi sana! Senang saja kamu meminta dari aku yang bersusah payah bekerja untuk mencari rezeki yang banyak ini, pergi!" bentak si tempang. Lalu pengemis itu berkata, "Engkau telah diberikan peluang untuk melakukan kebaikan ketika engkau susah dan peluang yang sama ketika engkau senang, tetapi ternyata, engkau adalah dikalangan orang yang rugi."

Lalu pengemis itu berlalu pergi sehingga tiba pula di rumah pemuda yang berpenyakit kulit dahulu. "Kulit kamu sudah tidak berpenyakit lagi?" tanya si pengemis. "Ya, kamu ini siapa, datang ke rumah ku dalam keadaan kotor begini? Bau busuk dan menjijikkan, pergi!" jeritnya. Lalu pengemis itu berkata, "Dahulu engkau tidak mahu didekati orang, kini tidak lagi. Dahulu engkau telah diberikan peluang untuk melakukan kebaikan ketika engkau susah dan kini peluang yang sama ketika engkau senang, tetapi ternyata, engkau adalah dikalangan orang yang rugi."

Berlalulah pengemis tadi ke rumah si buta. Apabila tiba sahaja dihadapan rumahnya, dilihatnya pemuda itu sudah celik. "Mata kamu sudah boleh melihat?" tanya si pengemis. "Ya, syukur kepada Tuhan, kerana dia mengizinkan aku untuk melihat. Jemputlah masuk ke rumah ku saudaraku, boleh aku hidangkan kamu sedikit makanan, kamu nampaknya seperti belum makan." Jawab si buta itu. Lalu masuklah si pengemis ke rumahnya tetapi tidak dijamahnya sedikit pun makanan yang dihidangkan. "Mengapa kamu tidak makan?" tanya si buta. "Adakah kamu mengenali aku sehingga engkau melayani aku begini?" tanya si pengemis. "Aku telah diberikan rezeki yang banyak kerana aku bersyukur dan rezeki ini bukan hanya untukku, tetapi untuk saudaraku juga yang mungkin memerlukan. Dahulu aku buta, tidak dapat melihat, dan hari ini aku dapat melihat, apakah salah jika aku melakukannya kerana bersyukur?" jawab si buta penuh kerendahan. "Dahulu, ketika engkau buta, akulah pengemis yang datang meminta makanan darimu, dan engkau tidak jelaskan hajatmu kepadaku untuk aku doakan. Tetapi aku tetap mendoakan kebaikan untuk engkau sehingga apa yang engkau perolehi hari ini. Aku adalah malaikat yang diutus untuk menguji hamba-hamba Nya dan engkau ternyata dikalangan orang yang berjaya dan beruntung." jawab pengemis itu sambil berlalu pergi.

Maka menangislah si buta kerana terkenangkan betapa besarnya nikmat yang dikurniakan untuknya itu. Si tempang dan yang berpenyakit kulit juga turut menangis kerana secara perlahan-lahan Allah menghilangkan nikmat keuntungan pada gembalaan mereka, dicuri, ditipu dan akhirnya mereka kembali hidup dalam keadaan dhaif sehingga diserang penyakit yang sama seperti sebelumnya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Yaasin ayat 65 yang bermaksud;

"Pada hari ini, Kami menutup mulut mereka rapat-rapat, sehingga mereka menjadi bisu tidak berbicara untuk mengingkari kekufuran dan kemaksiatan yang mereka kerjakan di dunia, dan Kami menjadikan tangan mereka berbicara menyampaikan apa yang dilakukannya di dunia, lalu kaki mereka memberikan kesaksian atas apa yang mereka lakukan berupa kemaksiatan dan ia berjalan kepadanya."

Maka bersiaplah kerana ilmu yang tidak diamalkan itu akan menjadi bebanan untuk kita apabila bertemua dengan Allah s.w.t. nanti. DIA telah berikan kesempatan kepada ketiga-tiga pemuda itu namun, mereka lupa akan pinjaman yang diberikan sehingga mulut mereka begitu lantang berbicara tentang kebaikan yang mereka ada. Jangan lupa, seluruh anggota kita melihatnya dan akan menjadi saksi atas kita ketika di akhirat kelak. Kesimpulannya, beramallah dengan ilmu yang kita ada walaupun sedikit. Jaminan keselamatan kita di sana adalah tergantung kepada amalan kita di sini. Mudah-mudahan kita semua mendapat petunjuk.

Sunday, May 24, 2020

DAHULUKAN BELAJAR ILMU YANG FARDHU AIN


Menurut Imam Al-Ghazali di dalam Injil Nabi Isa a.s. ada disebutkan, "Mulai seorang mayat diletakkan di atas keranda sampai mayat itu diletakkan di tepi kubur, Allah s.w.t. telah bertanya kepadanya empat puluh soalan. Yang pertama sekali ialah, 'Wahai hambaKu! Kenapa engkau sentiasa sepanjang tahun memperhatikan kebersihan tempat pandangan manusia kepadamu (iaitu anggota badanmu) tetapi engkau tidak peduli kepada tempat pandanganKu (hati engkau) walaupun hanya satu saat.'"

Tidak dapat kita nafikan bagaimana obses insan hari ini terhadap cantik dan segak diri mereka sehingga mereka melupakan yang utama akan ditanya Allah s.w.t. ketika akhirat kelak. Tubuh badan atau fizikal kita, sekiranya sakit atau sihat, penamatnya hanyalah sehingga ditanamkan di liang lahad, namun sihat atau sakit hati kita itulah yang akan menentukan bagaimana balasan yang akan kita terima ketika dihisab dihadapan Allah s.w.t.. Hati inilah yang akan menjadi timbangan penentu amal sepanjang kehidupan yang sementara ini. Hati milik Allah s.w.t. yang tidak akan pernah siapapun ketahui apakah isi dalamnya. Oleh sebab itulah, keutamaan ilmu-ilmu fardhu ain adalah untuk mendidik hati untuk sentiasa taat kepada Allah s.w.t.. Ia seharusnya mendekatkan kita dengan yang Maha Mencipta kerana ilmu fardhu ain ialah ilmu-ilmu tentang kebenaran. Ia merupakan objektif untuk pedoman manusia dan merupakan ilmu abadi yang menjadi inti dasar kepada ajaran Islam sebagai contoh ilmu mengenai akidah, syariat dan akhlak dan lain-lain yang berkaitan dengan selok belok agama Islam.

Sebab itulah ia amat dititikberatkan dalam kehidupan seorang Muslim. Tanpa menginsafi dan mempelajari ilmu fardhu ain, hati manusia itu akan menjadi keras kerana kurangnya mengingati serta bermuhasabah kepada Allah s.w.t.. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 74 yang bermaksud;

“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedangkan Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.”

Bagaimana hati yang keras bahkan lebih keras dari batu? Jika batuan boleh berlekuk disebabkan titisan air, dari batuan boleh memancut air mata air, tetapi hati manusia yang keras tidak akan dapat ditembusi oleh apapun melainkan hidayah dari Allah s.w.t.. Hati adalah tempat yang lembut dan sering disebutkan sebagai 'soft spot' bagi manusia. Maka, sifat-sifat kelembutan ini cenderung kepada rahmah dan kasih sayang. Oleh yang demikian, hati kita ini perlu disuburkan dengan berzikir kepada Allah s.w.t. sepertimana yang disyariatkan dalam rukun Islam kita sendiri serta pelbagai lagi ibadah khusus yang pada dasarnya menjadi ilmu fardhu ain buat manusia.

Telah Allah s.w.t. tegaskan bahawa terdapat beberapa ciri hati-hati yang lembut seperti firman Nya di dalam surah Az-Zumar ayat 23 yang bermaksud;

“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik iaitu al-Quran yang serupa (nilai ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka pada waktu mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjukkan siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.”

Begitu juga di dalam hadis Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam yang begitu banyak di dengari sebagaimana sabdanya yang bermaksud, “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya, tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotorlah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan itu ialah hati”.

Syeikh an-Nasafi menurut tafsirannya (Madarik at-Tanzil) dalam menerangkan ayat ini berkata: “Bahawa ia merupakan penerangan betapa kerasnya hati mereka berbanding batu. Kerana batu yang pejal tersebut boleh mengeluarkan air yang banyak, sedangkan hati akan menjadi gersang dan kering. Di samping itu, sebahagian batu gugur dari puncak gunung semata-mata kerana berasa takut dan gerun kepada Allah. Ia sentiasa mengikut fitrah Allah, sedangkan hati tidak tunduk dan patuh kepada segala yang diperintahkan. Dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; ada yang jatuh dari gunung-ganang kerana takut kepada Allah, sedangkan kamu wahai Yahudi tidak memberi kesan dan tidak takut kepada Allah.”

Sayid Qutub berkata, "Apabila hati mereka dibandingkan dengan batu, tiba-tiba hati mereka lebih kering dan lebih keras lagi daripada batu. (Batu yang dibandingkan dalam ayat ini) ialah batu yang pernah diketahui mereka sebelum ini kerana mereka telah melihat batu yang mengalirkan dua belas mata air, dan mereka juga melihat batu-batu bukit bergegar apabila Allah ber-tajalli di bukit itu dan Musa AS rebah pengsan, tetapi hati mereka tidak juga lembut dan tidak juga melahirkan degup takut dan takwa. Hati mereka terus keras, pejal, kering dan kafir. Oleh sebab itulah (al-Quran menyebut) ancaman ini kepada mereka."

Secara kesimpulannya, mendahulukan mempelajari ilmu fardhu ain amat terkait dengan pengurusan hati manusia yang perlukan bimbingan dari Allah s.w.t.. Mana mungkin kita berupaya untuk melestarikan kehidupan mengikut kehendak Nya jika hati ini terjauh dari DIA yang Maha Menciptakan. Kita perlu berusaha mengelakkan diri kita dari melakukan keburukan yang boleh mendatangkan titik hitam di dalam hati yang akhirnya menjauhkan kita dari cahaya Allah s.w.t. itu sendiri. Usahlah kita membuang masa atau terlalu fokus kepada perkara-perkara cabang yang lain, perbaikilah kita pada amalan fardhu ain kita. Ini bukanlah bermakna menafikan keperluan mempelajari ilmu lain, bahkan belajar itu sendiri adalah fardhu ain, namun, letakkanlah hasrat kita biar ilmu fardhu ain itu sempurna dan dapat dicontohkan kepada orang lain juga.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam, baginda bersabda, "Sesungguhnya seorang hamba, ketika berbuat dosa, ada titik hitam di hatinya. Ketika dia meninggalkan dosanya, memohon ampun, dan bertaubat, hatinya kembali bersih. Dan jika dia kembali (berbuat dosa), titik hitam terus bertambah di hatinya sampai menggunung, dan itulah yang menyelubungi hati (dari cahaya) seperti yang Allah firmankan, “Sama sekali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka."

Saturday, May 23, 2020

SYAWAL 1441H DAN COVID-19 (PUISI: SYAWAL 1441)


Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar
Lailahaillallahuwallahuakbar
Allahu akbar walillahilhamd.

Terdengar sorakan kegembiraan anak-anak dengan sibuk di pagi hari raya membuat persiapan juadah sebelum keluar dari rumah untuk menunaikan solat Aidilfitri di masjid dan surau. Suasana yang amat mengharukan apabila sanak saudara saling bersalaman dan bermaafan sebagaimana kebiasaannya adat kemelayuan dalam menyambut kemenangan peperangan melawan hawa nafsu di dalam diri setiap insan sepanjang Ramadhan. Takbir pun bergema disetiap corong pembesar suara masjid dan surau meraikan kemenangan yang indah sebagaimana kebahagiaan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. untuk umat Islam yang berpuasa. Ada juga dikalangan kita yang akan terkenang kepada sanak saudara yang sudah tidak dapat bersama kerana lebih dahulu dijemput Ilahi atas kasih dan sayang Nya. Berbondong-bondonglah umat pergi ke kuburan menziarahi sanak saudara yang hanya tinggal kenangan dan batu nisan. Al-Fatihah dan tahlil dibacakan dan mendoakan agar mereka sejahtera berada di sana.

Takbir bergema seronok tak terkata
Anak-anak riang gembira
Puasa sudah tiada
Ibu ayah ceria melihat anak-anak bersuka ria
Pakaian baru, rumah aturan baru
Azam baru baiki diri yang selalu keliru
Menandakan perjuangan melawan nafsu
Tidak terhenti hanya 4 minggu

Tapi itu cerita dulu-dulu
Berbeza amat sudahlah tentu
Takbir bergema tapi lebih syahdu
Ada yang menyambut tanpa ayah ibu
Tiada lagi ke masjid berpusu
Kuburan sunyi tiada yang menumpu
Rumah tiada lagi yang datang bertamu
Syawal Covid-19 yang mendapat tumpu

Tapi insan bukan ini yang kita sayu
Kerana Aidilfitri masih bertamu
Walau tersekat tiada tetamu
Doa insan tidak pernah tepu
Mohonlah keampunan atas dosa lalu
Penyebab Covid-19 datang meluru
Memberi ingat jangan tertipu
Ia peringatan buat insan beriman dan berilmu

Iya, kali ini tiada lagi kesesakan di jalan raya kerana insan yang saling kunjung-mengunjung kerana kita diarahkan untuk kekal merayakan aidilfitri hanya di rumah. Mungkin kita tidak dapat bersua muka dengan sanak saudara kita, tetapi bersamalah kita menilai semua ini dari sudut pandangan hikmah dan kebijaksanaan. Masa untuk kita muhasabah, apabila tiba syawal dahulu, mungkin syawal inilah titik noktah dari melakukan perkara yang mungkin penyebab kepada musibah ini. Duduklah di rumah, patuhilah arahan jika kita mahu meraikan Aidiladha seperti tahun-tahun sebelum ini. Jika tidak, kita akan terus berada di rumah sehingga tiada peluang mungkin untuk kita melakukan kerja-kerja korban apabila tiba waktunya. Janganlah sekali-kali kita mencabar tentera Allah ini kerana DIA sedang memberitahu kita, ikutlah arahan, taatilah perintah.

Hidupkanlah syawal sebagai bulan kemenangan melawan hawa nafsu dan harapnya tahun ini sambutan kita benar-benar berjaya kerana tiada rumah terbuka, tiada kenduri-kendara yang mengundang nafsu semula sehingga terlupa puasa enam di dalamnya. Pupuklah budaya berjimat cermat, tidak membazir, tidak menunjuk-nunjuk, tidak berbangga dengan keluarga sendiri, tidak mengata dan menghina sanak saudara yang kurang bernasib baik dan banyak lagi perkara tidak yang mungkin semua kita boleh fikirkan sendiri. Satu perkara yang paling kita perlu perhati dan awasi, adalah hiburan di kaca TV yang tentunya tidak henti-henti. Awasi anak kita dari gajet mereka dan berlebihan dalam hiburan ini. Lambat laun, kita akan menyesal nanti kerana, hawa nafsu pada makanan mungkin dapat diatasi, tetapi hawa nafsu kepada hiburan tidak dapat diawasi lagi.

Taqabbalallahuminna waminkum.

Friday, May 22, 2020

MENGAJAR UNTUK LEBIH FAHAM

Bagaimana kita ingin segera menguasai apa yang dipelajari? Bagaimana kita ingin pastikan yang kita faham dengan apa yang kita pelajari? Persoalan yang kerap bermain dalam pemikiran orang yang sedang belajar tambahan apabila pembelajaran itu berfokus kepada peperiksaan. Persoalan ini punya jawapan namun seperti keadaan yang lainnya, ia memerlukan sedikit usaha bagi memastikan kita melakukannya dengan cara yang betul dan terbaik.

Antara cadangan yang boleh kita usahakan untuk anak-anak kita cuba adalah dengan belajar melalui mengajar orang lain. Secara umumnya, untuk mengajar, mereka perlulah melakukan persiapan dengan apa yang ingin diajarkan. Pertama, mereka yang akan mengajar sendiri perlu memahami bahan yang akan diajarkan. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan usaha pembacaan mereka kerana tanggungjawab orang yang mengajar ialah untuk memastikan apa yang diajarkan dapat disampaikan dengan cara yang termudah dan terbaik. Maka, tidak cukup sekadar memahaminya, bahkan mereka perlu menguasainya dengan sebaik mungkin ditambah dengan pelbagai contoh yang akan memudahkan penerangan mereka. Apabila proses menerangkan bahan-bahan ini kepada rakan-rakan mereka berlaku, komunikasi yang aktif antara yang mengajar dan yang diajar akan menggalakkan cara berfikir mereka yang mengajar untuk memudahkan apa yang disampaikan. Kreativiti turut bertambah melalui kepelbagaian contoh yang mungkin terlintas di dalam fikiran semasa membentang serta ketika menjawab soalan rakan-rakan mereka. Oleh yang demikian, untuk lebih baik lagi, orang yang mengajar seharusnya menambah maklumat dengan cara menambah bahan bacaan dan bukan sekadar bergantung kepada satu atau dua buku rujukan sedia ada.

Usaha memberi ilmu kepada orang lain akan membantu menambah faham buat diri kita sendiri. Namun tidak dinafikan, ada sebahagian anak-anak kita yang hilang keyakinan atau berasa ragu-ragu untuk melakukannya. Saat inilah, sokongan dan dokongan rakan-rakan amat membantu. Maka, proses mengajar dalam belajar akan berlaku di mana, orang yang membentang secara terbuka juga boleh menerima pandangan dan sedia untuk dibetulkan tanpa malu. Belajar dalam kumpulan menjadikan proses ini lebih selesa kerana mereka saling mengenali antara satu sama lain. Pandangan rakan-rakan yang mendengar akan menambah faham yang mengajar sekaligus turut membantu rakan lain untuk memahaminya. Orang yang mengajar juga amat digalakkan menyediakan nota rujukan bagi memastikan pengajaran berjalan lancar mengikut susun atur yang sesuai kepada keperluan kefahaman. Nota adalah sebagai bahan rujuk atau petunjuk kepada orang yang mengajar supaya semua yang diajarkan sampai dan tidak ada yang ketinggalan.

Pesanan buat rakan-rakan juga dalam sesebuah kumpulan belajar, seharusnya saling lengkap melangkapi, usah merendah-rendahkan atau menilai apa yang dibentangkan dengan banding membanding antara satu dengan yang lain. Kekalkan kebersamaan melalui penerimaan keunikan antara satu dengan yang lain. Sebarang kelemahan ditutupi dengan cara yang terbaik. Apabila pembentangan dari orang yang mengajar bermula, tumpukan perhatian, sediakan soalan serta berikan pandangan yang membina bukan menjatuhkan. Inilah antara kekuatan SMART Study Group yang cuba kami ketengahkan dan diamalkan oleh anak-anak atau pelajar-pelajar. Ia tidak sekali-kali menggantikan peranan guru, tetapi secara psikologi, mereka akan lebig gembira belajar bersama dengan keadaan yang lebih santai dan bersahaja. Secara tidak langsung, kita akan menggalakkan anak-anak kita untuk berkongsi ilmu yang mereka ada dan mereka juga dapat menguji sejauhmana mereka memahami sesuatu subjek itu berdasarkan kefahaman yang diperolehi oleh rakan-rakan mereka. Begitulah caranya yang dapat kita mengajar dalam belajar dan belajar dalam mengajar.

Thursday, May 21, 2020

HAKIKAT HIDUP, CINTA DAN AMAL


Pesan Imam Al-Ghazali, "Hiduplah engkau sesuka hatimu kerana engkau pasti akan mati dan cintailah apa sahaja yang engkau kehendaki kerana engkau pasti akan berpisah dengannya dan buatlah apa sahaja yang engkau kehendaki kerana engkau akan dibalas mengikut amal perbuatanmu." Setiap perbuatan kita di dunia akan mendapat balasan sebagaimana kadar yang telah kita lakukan sama ada ianya baik atau buruk. Semuanya ada dalam pengetahuan Allah s.w.t. yang tidak pernah tidur. Semua manusia pada hakikatnya mempunyai perjanjian dengan Allah s.w.t. sebagaimana firman Nya di dalam surah Al-A'raf ayat 172 yang bermaksud;

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, 'Bukankah Aku Tuhan kamu?' Mereka semua menjawab, 'Benar, kami menjadi saksi!' Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak; "Sesungguhnya kami adalah lalai tentang ini."

Namun selepas perjanjian ini, manusia dibenarkan hidup di dunia mengikut jalan masing-masing walaupun pada hakikatnya ia ditakdirkan Allah s.w.t.. DIA telah menetapkan keimanan buat kita, DIA tahu hala tuju kehidupan kita dan DIA tahu bagaimana pengakhiran hidup kita. Namun, tugas manusia ialah untuk berusaha sedaya upaya untuk menjadikan diri yang terbaik khususnya dalam amalan dan perhubungan antara diri dengan Maha Pencipta dan antara diri dengan makhluk yang diciptakan. Seba itulah, adalah rahmat yag terbesar buat kita apabila dilahirkan dalam keadaan Islam. Ini bukanlah bermakna, kita akan selamat pada hari akhirat kelak kerana tiada jaminan keselamatan untuk mereka yang Islam melainkan yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t.. Pelbagai perintah dijelaskan dalam ayat-ayat 'wahai orang yang beriman' di dalam Al-Quran sebagai panduan untuk keselamatan ketika hari perhitungan nanti. Islam tanpa memahami kitab rujukan ini, hanya akan mengundang padah. Begitu juga dengan seruan ketaqwaan yang diawali dengan suruhan dan perintah yang seharusnya menjadi perhatian orang-orang beriman.

KeIslaman adalah kita adalah tiket yang memudahkan sahaja, tetapi ia bukan jaminan, kerana jaminan itu hanya ada dalam pengetahuan Allah s.w.t. dan untuk kita mendapatkan pengesahan itu, hanyalah bergantung kepada usaha untuk kita menjadi yang terbaik sebagai hamba dan sekaligus sebagai khalifah di muka bumi Allah s.w.t. ini. Ia umpama kita membeli tiket untuk menonton konsert. Harga tiketnya berbeza berdasarkan kelebihan-kelebihan yang diperolehi si pembeli. Jika yang paling murah, ia umpama sekadar dapat masuk, berasak-asak, duduk bercampur, tiada hak persendirian dan perlu berhadapan dengan pelbagai karenah yang mungkin menyakitkan. Agaknya, Islam kita akan memasukkan kita ke syurga tetapi terpaksa berhadapan dengan berbagai rintangan sehingga benar-benar mencukupi syarat ke syurga. Amat berbeza untuk pemegang tiket yang paling mahal, pintu masuknya berasingan dari orang lain, dipenuhi para pengawal untuk mengelakkan dari gangguan persendirian, bilik yang selesa, tidak bercampur dengan orang yang menyakitkan bahkan mungkin disediakan minuman sebagai tanda penghargaan pada harga tiket yang mahal. Jika kita berkesempatan untuk mendapat tiket terbaik ini untuk syurga kita, maka pastilah ada pintu khusus buat kita ke syurga kerana maqam diri dikalangan orang beriman dan bertaqwa.

Pasti berbeza nasib mereka yang bukan Islam. Mereka masih belum memegang kunci untuk masuk ke syurga. Sewaktu di dunia, apabila kita sebagai orang yang memasuki pintu khas, pasti memandang mereka ini sebagai golongan yang hina atau setidak-tidaknya kita merasakan bahawa kita berada dpada nasib yang lebih baik. Namun hakikatnya, pada pandangan Allah s.w.t., tidak sama sekali. Mereka yang benar-benar beriman dan bertaqwa, adalah mereka yang beramal dengan apa yang diperintahkan sebaik mungkin. Maka, apabila memandang mereka yang bukan Islam, pandangan mereka akan jatuh pandangan kasih dan sayang. Pandangan yang mencintai setiap makhluk ciptaan Tuhan itu sebagai peluang amal yang luas untuk mendapatkan tiket lebih mahal untuk masuk ke syurga. Oleh sebab yang demikianlah, orang yang beriman akan mengambil kesempatan untuk mengajak mereka yang bukan Islam, bahkan yang telah Islam untuk terus memahami tentang konsep keimanan serta memilih untuk berdakwah mengajak mereka kepada jalan kebenaran. Benarlah firman Allah s.w.t. di dalam surah Fussilat ayat 33 yang bermaksud;

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘Sesungguhnya aku adalah daripada kalangan orang Muslim (yang berserah diri)?

Wednesday, May 20, 2020

BERGELAR NLP PRACTITIONER


20 Mei 2020 tarikh yang cukup cantik. 20.05.20. Saya menamatkan seminar secara online melalui fasa norma baru Malaysia. 3 hari bermula pada 18 Mei yang lalu, saya bersama lebih 45 orang peserta yang lain bersiaran secara live melalui aplikasi zoom menelaah ilmu Neuro Linguistic Programming ini. Saya telah lama mengetahuinya bahkan guru saya dalam seminar kali ini juga seorang kenalan yang sangat lama. Sudah berkali-kali beliau mempelawa untuk saya mendalami ilmu ini, tetapi tidak dapat saya penuhi tetapi hikmah PKP ini dan dengan ajakan kenalan dari UNISEL (Izwan Suhadak), akhirnya saya penuhi niat untuk mempelajari ilmu ini dengan lebih mendalam. Selama hari ini saya hanya membacanya dan mengikuti kelas-kelas pengenalan biasa sahaja, itupun sudah amat menarik hati saya, apatah lagi apabila dapat bersama dalam seminar ini.

Guru kami, Mr. Kay atau Khaeril Anuar Darus dan dibantu oleh Cikgu Zamzuri Abdullah membawa kami memahami ilmu ini dengan amat baik serta amat menekankan agar ia diaplikasi khusus untuk diri sendiri sebelum boleh dibawa kepada orang lain. NLP ini pada nilaian saya adalah ilmu kehidupan cuma telah disikapi dengan teliti dan penuh disiplin sehingga terhidang dihadapan para penuntutnya segala kerukunan serta proses-proses perlaksanaannya. Jelas sekali, banyak yang diperkatakan guru kami itu telahpun dilakukan atau menjadi kebiasaan dalam pekerjaan dan kehidupan saya secara peribadi sebagai seorang motivator, fasilitator dan penceramah juga sebagai seorang aktivis masyarakat. Mungkin, oleh kerana ramai dari kalangan guru-guru yang membimbing saya ke dunia latihan dan kesukarelaan ini memiliki latar belakang pengetahuan yang hampir sama.

NLP ini adalah ilmu memahami manusia berdasarkan beberapa sumber pemerhatian serta petunjuk yang telah disusunkan menjadikan seseorang NLPer itu dapat segera berkomunikasi dengan berkesan dan memberikan impak lebih besar kepada orang yang mereka temui. Terpulang kepada kita untuk melihat kemahiran-kemahiran yang dihidangkan melalui NLP dimana kegunaannya. Sepanjang seminar kami, oleh kerana penyertaan ramainya dari kalangan warga pendidik, maka fokus perbincangan guru-guru kami juga tertumpu kepada bagaimana untuk membantu para pendidik memahami dan memanfaatkan potensi yang sememanngnya terbaik yang ada pada manusia. Saya amat gemar bercerita tentang pembangunan generasi khususnya di sekolah kerana mereka ini kerap kali diberikan penilaian secara buta sehingga dinafikan ruang perkembangan mereka serta tidak menjurus kepada pembangunan EQ tetapi lebih tertumpu kepada IQ. Ya, di awal perbincangan seminar ini juga dijelaskan tentang EQ yang jauh lebih berperanan besar berbanding IQ dalam kehidupan seseorang manusia. Kehidupan orang yang berjaya adalah ditentukan berdasarkan bagaimana mereka memberikan reaksi kepada sesuatu perkara yang berlaku.

Kami juga melalui ujian VAKOG, Skor saya menunjukkan yang saya seorang auditori. Saya telah tahu hakikat ini lama. Tandanya juga jelas. Saya lebih senang mendengar berbanding melihat, membaca atau berbuat sesuatu. Selain auditori adalah visual dan kinestatik. Pernah saya diperingatkan oleh seseorang pada firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Mulk ayat 23 yang bermaksud;

"Katakanlah, 'Dia lah yang menciptakan kamu, dan menjadikan pendengaran, penglhatan dan hati nurani bagi kamu. Sedikit antara kamu yang bersyukur.”

Penjelasan Allah s.w.t. ini adalah suatu amaran bahawa tidak ramai dikalangan manusia yang benar-benar memanfaatkan sumber hidayah yang utama ini. Mata, telinga dan hati adalah sumber hidayah yang sentiasa menjadikan manusia itu lebih baik dari yang sebelumnya. Melihat jadi pengalaman, mendengar jadi pengajaran dan hati belajar dari kesalahan dan kesilapan. Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Al-A'raf ayat 79 yang bermaksud;

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami dan mereka mempunyai mata tidak dipergunakan untuk melihat dan mereka mempunyai telinga tidak dipergunakan untuk mendengar. Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Hati untuk memahami, mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar hidayah dari Nya. Jelas sekali dalam ujian VAKOG, dapat diperhatikan ketika markah dikumpulkan, tiada seorangpun dikalangan peserta yang mendapat skor 0 pada salah satu dari tiga sumber itu. Maka, saya ambil pengajaran bahawa, sememangnya, ketiga-tiga itu adalah sumber dan ia mesti dimanfaatkan pada waktu dan ketika yang bersesuaian. Hanya kita yang akan mengetahui bilakah waktunya itu. Seorang NLPer perlu menghidupkan hatinya dengan tidak dirosakkan oleh penyakit hati, sama ada sakit hati, kecil hati atau ambil hati. Mata perlu dibuka luas melihat setiap insan itu adalah mereka yang perlu dibantu atau dapat diambil contoh darinya. NLPer hanya melihat yang baik dan mendengar yang baik. Jauhkan diri dari berada dikalangan manusia yang sentiasa bercakap tentang orang lain, menghina atau memperkecilkan mereka. Itu akan menjejaskan hati kita untuk menjadi manusia yang seimbang. Saya amat teruja didedahkan dengan pelbagai ilmu dalam NLP ini ditambah dengan perkongsian yang sangat bermanfaat oleh rakan-rakan peserta yang lain. Pengalaman, pengetahuan serta perkongsian yang pastinya akan memberikan 1001 macam pemahaman kepada kami yang mendengar. Apapun, Allah telah mendahuluinya dengan peringatan dan itulah sumber yang terbaik. Jika ilmu itu tidak menyanggahinya, maka ilmu itu baiklah untuk kita tekuninya.

NLP juga adalah sebuah kemahiran komunikasi yang amat berkesan. Semua kita telah pun berkomunikasi sangat lama. Tetapi kerap kali kita berhadapan dengan kegagalan dalam komunikasi hanya kerana kita gagal melihat satu sudut pandangan yang dibawa oleh pendidikan NLP ini iaitu, semua insan punya peluang untuk melakukan yang terbaik. Kegagalan untuk jadi yang terbaik adalah kerana kegagalan kita untuk memahami proses pemikiran serta tata cara memberikan maklum balas yang terbaik. Kita juga kerap kali menghadapi sesuatu masalah bukan dengan minda ingin membantu tetapi lebih mengutamakan masalah itu sendiri.

Saya ucapkan setinggi penghargaan buat guru-guru NLP kami, rakan peserta kursus serta mereka yang terlibat dalam menganjurkan seminar ini. Kata Imam Al-Ghazali, ilmu tanpa amal adalah gila. Amal tanpa ilmu adalah perbuatan sia-sia. Maka bila dah belajar, perlulah amal, baru melekat dalam kepala kita. Saya masih baru dan secara peribadi, terlalu banya juga yang saya perlu betulkan sebelum benar-benar boleh angkat diri sebagai NLPer. Apapun, gelar itu bukan yang utama, tetapi ilmu untuk diamal itu yang pasti akan ditanya nanti.

Syukur! Alhamdulillah.