Ada satu persoalan yang sangat jujur untuk kita renungkan bersama. Adakah kita hanya menjaga iman ketika keadaan tenang atau kita mampu mempertahankannya ketika keadaan sukar? Ayat 102 hingga 105 Surah An-Nisa’ membawa kita ke satu realiti yang sangat praktikal tentang bagaimana iman itu hidup dalam dua situasi paling mencabar iaitu ketika kita sibuk dan terancam dan pada ketika kita perlu membuat keputusan yang melibatkan keadilan. Ini bukan ayat teori. Ini ayat yang mengajar cara hidup dan amat dekat dengan situasi kita hari ini.
Solat tidak digugurkan walau dalam keadaan berbahaya. Ini mesej yang sangat jelas dalam ayat 102 yang turut memperkenalkan konsep solat khauf yakni solat dalam keadaan takut atau peperangan. Sebahagian sahabat solat bersama Nabi SAW, sementara sebahagian lagi berjaga. Kemudian mereka berganti. Apabila dirujuk tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir, ini menunjukkan bahawa solat tetap diwajibkan walaupun dalam keadaan paling genting. Jika dalam peperangan pun solat tidak ditinggalkan, apa alasan kita meninggalkannya kerana kesibukan?
Inilah yang dinamakan sebagai keseimbangan antara dunia dan akhirat. Ayat ini juga mengajar satu keseimbangan yang indah. Tidak lalai dalam ibadah serta tidak lalai dalam tanggungjawab dunia. Islam tidak mengajar kita memilih salah satu sebaliknya aa mengajar kita untuk mengurus kedua-duanya dengan bijaksana.
Ayat 103 menyebutkan, “Ingatlah Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring…”
Ini membawa kita kepada satu tahap iman yang lebih tinggi, zikir yang tidak terhenti. Hubungan dengan Allah tidak terhad kepada waktu tertentu. Kemudian Allah tegaskan bahawa solat itu diwajibkan pada waktu-waktu tertentu. Iman bukan sekadar ritual malahan ia adalah kesedaran yang berterusan.
Pesan saya untuk diri saya terutamanya, jangan lemah dalam perjuangan. Ayat 104 mengingatkan, jangan merasa lemah, jangan merasa berat kerana jika kita merasa sakit, orang lain juga merasa sakit cuma perbezaannya, orang beriman mempunyai harapan dari Allah. Inilah kekuatan sebenar bukan pada tubuh, tetapi pada hati yang yakin.
Keadilan tidak pernah berpihak melainkan kepada kebenaran. Ayat 105 adalah antara ayat paling penting dalam soal keadilan, “Janganlah kamu menjadi pembela bagi orang yang khianat…”
Asbabun nuzul ayat ini menjelaskan tnetang kebenaran lebih tinggi dari identiti. Tafsir Ibn Kathir dan Al-Tabari menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan apabila seorang Muslim mencuri dan cuba menuduh seorang Yahudi sebagai pelaku. Sebahagian masyarakat cuba mempertahankan lelaki Muslim itu kerana “dia dari kalangan kita”. Namun Allah menurunkan ayat ini untuk menegaskan bahawa kebenaran tidak bergantung kepada siapa tetapi kebenaran bergantung kepada apa yang benar. Keadilan sebenar bukan memihak kepada orang kita tetapi memihak kepada kebenaran.
Mari kita mengambil pengajaran bahawa pentingnya hubungan antara ibadah dan integriti dalam dunia hari ini. Hari ini kita hidup dalam dunia yang sibuk tanpa henti, penuh tekanan serta dipenuhi kepentingan dan dalam keadaan ini solat kita sering ditangguhkan, kebenaran sering dikompromi. Ayat 102–105 datang sebagai peringatan bahawa iman mesti kekal dalam tekanan dan keadilan mesti kekal dalam konflik.
Kritikan untuk diri saya sendiri mungkin. Kita mungkin rajin beribadah, tetapi tidak adil atau adil dalam kata, tetapi lemah dalam ibadah. Ayat ini mengajar bahawa kedua-duanya mesti berjalan bersama. Hubungan dengan Allah dan kejujuran dengan manusia.
Saya sarankan diri saya dan teman-teman beberapa langkah perubahan praktikal sebagai muhasabah diri kita. Jagalah solat walau sibuk. Jadikan ia keutamaan, bukan pilihan. Latihlah diri untuk berlaku adil walaupun terhadap orang yang kita sayang. Kurangkan kompromi terhadap kebenaran walaupun ia tidak popular dan hidupkan zikir harian supaya hati sentiasa terhubung dengan Allah.
Kesimpulannya, ayat 102 hingga 105 Surah An-Nisa’ mengajar satu prinsip yang sangat kuat, iman bukan hanya tentang ibadah tetapi juga tentang integrity dan mungkin inilah muhasabah yang paling penting, adakah kita menjaga hubungan dengan Allah? Pada masa yang sama, adakah kita berlaku adil kepada manusia? Pengakhirannya, iman yang sebenar adalah teguh dalam ibadah dan jujur dalam keadilan.
