Monday, August 31, 2020

MALAYSIA PRIHATIN

63 tahun kemerdekaan yang kemudiannya, perkataan kemerdekaan mula digantikan dengan kebangsaan bagi menghormati agar sambutan ini turut sama dirasai oleh saudara senegara kita di Sabah dan Sarawak telah melalui pelbagai cabaran dan onak duri yang amat mencabar buat rakyat dan kepimpinan negara khususnya. Malaysia bangkit sebagai sebuah negara merdeka yang aman dengan kelebihan kemajmukan bangsa yang amat jarang ditemui dalam banyak negara di dalam peta dunia. Keunikan yang ada pada negara kita ini menjadikan ia sebagai salah satu tarikan utama sekaligus menjadi perhatian oleh banyak pihak. Ada yang menilai ia sebagai suatu kejayaan dan kekuatan dan tidak kurang juga yang cuba mengambil kesempatan atas perbezaan itu untuk menambah jurang perbezaan dan menimbulkan pelbagai syak yang boleh menggugat keamanan. Sejarah 63 tahun sambutan ini telah melakar pelbagai episod peristiwa yang harus dijadikan pelajaran dan panduan buat kita semua. Pelbagai tema yang telah dilaungkan bersempena hari bersejarah Malaysia ini dan secara khususnya ia memberikan gambaran kepada situasi dalaman kita sebagai rakyat Malaysia.

Terkesan Kerana Covid-19
Serangan Covid-19 secara langsung telah meninggalkan kesan yang sangat besar dalam sanubari masyarakat negara kita. Sehingga ke sambutan ini, Malaysia masih diumumkan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Perdana menteri Malaysia. Perintah ini adalah disebabkan usaha menangani wabak yang masih wujud di dalam negara dan dikebanyakan negara lain sehingga hari ini, masih belum dapat dikenalpasti sebarang vaksin yang mampu mengatasinya. Sambutan kali ini pasti amat sederhana dan ini akan memberikan pembuktian kepada rakyat Malaysia khususnya para pemimpin negara bahawa, sambutan-sambutan besar ini tidak semestinya dianjurkan dengan kemegahan dan kemewahan serta pada waktu yang sama berlakunya pelbagai pembaziran disebabkan perkara-perkara yang tidak menjadi keutamaan. Apa yang utama adalah untuk memastikan, rakyat Malaysia menghargai pertumpahan darah para pejuang negara dengan pengisian dan penghayatan yang dapat menghidupkan rasa kasih dan sayang kita terhadap negara ini. Sambutan secara berpestaan adalah sambutan yang hanya memenuhkan jiwa rakyat Malaysia dengan hiburan dan budaya liburan yang berlebihan. Hakikatnya, ia tidak langsung mendatangkan perasaan syukur terhadap kemerdekaan ini dan akhirnya membawa rakyat hanyut dalam keamanan yang palsu.

31 Ogos Bukan Cuti Biasa
Anak muda negara ini, hanya menunggu hari kebangsaan disebabkan oleh cuti dan menghabiskan kiraan malam 30 Ogos sebagai satu rutinan tahunan dan disusuli dengan berpestaan tanpa hala tuju serta nilai yang sepatutnya mereka kutip dan simpan sebagai kenangan. Saat 31 Ogos yang disambut seharusnya mendatangkan rasa terharu rakyat terhadap kesusahan dan kesukaran orang-orang terdahulu sehingga hari ini kita bersama dapat merasai kemanisan keamanan ini walaupun bagaimana pincang keadaan politik negara khususnya yang berlaku dalam tempoh masa yang terdekat ini. Satu kebanggaan yang seharusnya kita bersama titipkan apabila situasi tegang dikalangan orang politik langsung tidak menjejaskan perjalanan kerajaan serta menimbulkan ketegangan dikalangan rakyat yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan dan pemberontakan. Rupanya, visi Wawasan 2020 untuk dicapai itu, secara umumnya gagal dicapai namun disebalik itu, ada bukti yang tersendiri menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sudah punya kematangan dalam menentukan hala tuju negara bukan hanya bergantung kepada ahli politik mereka semata-mata. Yakinlah rakyat Malaysia hari ini bahawa, negara aman amat bergantung kepada nilai kepercayaan serta kemasyarakatan sejagat bukan bergantung kepada nilai kepercayaan yang dipegang oleh segelintir kepimpinan politik yang mewakili diri mereka. Tetapi, ini bukan bermakna, politik dan ahli politik itu tidak penting, bahkan yang menjadi kepentingan adalah untuk membentuk minda politik masyarakat yang melahirkan ahli politik yang mengutamakan nilai kepercayaan masyarakat sejagat bukan nilai dan kepercayaan diri sendiri.

Tema Hari Kebangsaan
Tema Malaysia Prihatin jelas menggambarkan Malaysia itu mewakili pelbagai kaum, bangsa dan agama bersatu hati dalam menghadapi pelbagai ancaman tidak kira dalam apa bentuk sekalipun. Negara yang tidak besar ini, harus terus mampu untuk membuktikan bahawa rakyatnya mempunyai jiwa yang besar melebihi kepentingan-kepentingan individu dan keutamaan-keutamaan disebabkan kerakusan dan ketamakan. Kita sebagai rakyat Malaysia, seharusnya mencorakkan watak-watak kepimpinan negara kita sendiri yang membenci segala amalan buruk dan busuk dalam kepimpinan tidak kira dari setinggi-tinggi kepimpinan negara yang diterajui oleh Perdana Menteri sehingga kepada kepimpinan muda dan kecil dipelbagai peringkat lain termasuk di sekolah-sekolah rendah. Rakyat Malaysia mesti prihatin terhadap segala perkara yang melanda masyarakat kita sebagaimana yang telah dibuktikan ketika kita bergelut dalam menghadapi awal serangan Covid-19. Bahkan jangan sekali lupa, masyarakat bukan hanya orang awam, bahkan mereka yang berjawatan, berkereta besar, rumah besar dan berjawatan besar. Mereka juga masyarakat dan mereka seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab yang sama dengan orang lain. Malaysia Prihatin lambang besarnya jiwa kita.

Selamat Hari Kebangsaan Ke 63, Malaysia.

Sunday, August 30, 2020

KEUTAMAAN PEMBINAAN SIKAP BAGI SEORANG FASILITATOR

Selama mengendalikan program latihan dan bimbingan fasilitator baru ataupun lanjutan dipelbagai peringkat sasaran, didapati terdapat satu permasalahan utama yang mengundang rasa kurang senang para fasilitator terhadap potensi dan keupayaan sebenar setiap mereka dalam mendepani pelbagai kelompok dalam dunia latihan yang bakal mereka terjun ke dalamnya. Jika merujuk kepada Konsep ABCDE Fasilitator yang ketiga, ia merupakan isi penting di dalam salah satu senarai Ciri Fasilitator itu sendiri. Ciri tersebut adalah untuk mereka memiliki keupayaan memotivasikan diri sendiri yang diterjemahkan melalui Teori Motivasi S.M.A.R.T.. Teori ini menekankan lima ciri penting dan yang menjadi jantungnya adalah huruf 'A' dan sekiranya huruf itu digantikan kepada huruf vokal yang lain, pasti akan menghasilkan bunyi sebutan yang berbeza dari perkataan asalnya. Huruf 'A' disitu ditakrifkan sebagai 'attitude' atau sikap. Tidak dapat kita nafikan, sikap ialah sesuatu yang sukar untuk diukur (konstruk hipotetikal). Kebanyakan skala mengandaikan bahawa sikap boleh diukur melalui pendapat atau kepercayaan seseorang terhadap sesuatu objek sikap. Sikap adalah konsep abstrak yang merujuk kepada proses-proses dan kejadian-kejadian yang dijangkakan berlaku di dalam diri seseorang tetapi tidak boleh dilihat atau diukur secara langsung.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, terdapat beberapa kelompok fasilitator yang mahu memakai gelaran ini tetapi tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab atas peranan sebenar mereka. Keutamaan pembinaan sikap bagi seorang fasilitator adalah untuk memastikan mereka mempunyai sikap yang baik dan tepat sepanjang penglibatan dalam dunia fasilitator khususnya apabila mereka berhadapan dengan peserta yang sentiasa melihat diri mereka sebagai ejen perubahan yang boleh dijadikan contoh dan iktibar. Fasilitator terlibat secara langsung dalam pelbagai program yang memerlukan perubahan sikap dalam kelompok bimbingan. Oleh sebab yang demikian, pembentukan sikap yang dibentuk sejak kanak-kanak melalui proses sosialisasi yang akhirnya menghasilkan seorang individu fasilitator itu seharusnya baik dan positif. Namun, ini tidak bermakna, tiada harapan bagi mereka yang melalui proses sebaliknya, bahkan kelompok inilah yang harus memberi perhatian terhadap pembinaan sikap baru buat diri mereka yang lebih baik pada masa akan datang. Secara umum, sikap terbentuk melalui ilmu pengetahuan dan pengalaman hidup.

Sebab itulah di dalam Konsep ABCDE Fasilitator yang kedua, pertama sekali akan ditekankan tentang budaya ilmu dalam I-T.U.N.E.. Huruf 'I' itu merujuk secara khusus kepada ilmu kerana secara hakikatnya, pembinaan sikap atau perubahan padanya adalah sesuatu yang mustahil akibat dari pengaruh persekitaran, agama, budaya dan adat resam yang tebal di dalam diri seseorang. Secara logika, tidak mungkin seseorang yang telah hidup dengan sikap itu melebihi dari 20 tahun akan berubah hanya dalam masa kurang dari 48 jam (3 hari 2 malam). Namun, dengan penambahan ilmu pada diri seseorang beserta dengan kepercayaan kepada kepentingan perubahan itu akan membawa lebih banyak kebaikan, akan mewujudkan kecenderungan untuk mengurangkan nilai negatif itu dengan cara mengubah sikap negatif itu sedikit demi sedikit sehingga sesuai dengan harapan ditetapkan. Akhirnya ia akan menjadi satu sikap baru buat diri kita untuk masa hadapan. Ini yang disebut sebagai Disonans Kognitif oleh Leon Festingerm seorang ahli psikologi sosial Amerika. Keutamaan pembinaan sikap ini akan membantu beberapa kelompok sasaran bimbingan fasilitator khususnya bagi mereka yang suka meniru atau mengikuti perbuatan orang lain.

Segala usaha untuk membina sikap seorang fasilitator perlu dilihat dari 3 komponen bermula dengan afektif atau perasaan terhadap objek atau sesuatu berkenaan. Kemudian lagi adalah kognitif iaitu kepercayaan terhadap keadaan sebenar objek atau sesuatu berkenaan secara objektif berdasarkan kepada maklumat yang ada serta yang terakhir adalah tingkah laku atau cara seseorang itu sebenarnya bertindak atau bercadang untuk bertindak terhadap objek atau sesuatu berkenaan berdasarkan komponen-komponen afektif dan kognitif tadi. Sebab itu, jika dilihat dari segi definisi sikap adalah suatu kecenderungan untuk bertindakbalas kepada sesuatu rangsangan melalui cara-cara tertentu. Maknanya, komponen terakhir itu yang biasanya akan mendominasi 2 komponen lain dalam melahirkan sikap kita terhadap sesuatu perkara. Fasilitator mempunyai peranan menjadi contoh dan memberikan bimbingan kepada kelompok mereka, maka seharusnya sikap mereka akan berfungsi untuk;
  1. memberi makna dan arah bagi sesuatu pengalaman dengan menyediakan suatu struktur rujukan (frame of reference) untuk menilai sesuatu keadaan, objek atau seseorang;
  2. membantu seseorang untuk menyesuaikan diri di dalam sesuatu kelompok pelajar bimbingan supaya dapat diterima;
  3. membolehkan seorang fasilitator menonjolkan keterampilan diri yang positif serta;
  4. melindungi kita daripada mengaku secara terbuka sebarang kekurangan peribadi yang ada (ego-defensive).

Secara kesimpulannya, keutamaan pembinaan sikap fasilitator ini bukan sahaja khusus untuk diri mereka sendiri, bahkan lebih banyak kepada sesiapa yang akan mereka bimbing pada masa hadapan. Fasilitator yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan orang lain akan membiarkan sikap negatif terus bersarang dalam diri serta membenarkan segala keburukan ditonton bahkan dicontohi oleh kelompok bimbingan mereka sendiri. Maka menjadilah kita insan yang bukan mewariskan kebaikan tetapi keburukan yang menjadi bekalan berpanjangan untuk diri kita sendiri. Bercakap tentang perubahan memang mudah tetapi, yang lebih utama adalah untuk berusaha melakukan perubahan. Tambahkan ilmu pengetahuan dan lakukan perubahan sekarang.

Saturday, August 29, 2020

RAHSIA KEJAYAAN BAHAGIAN 2

Kejayaan telah kita bincangkan sebelum ini, bermula dengan kehendak yang kuat untuk berjaya dan ia haruslah bermula dengan diri sendiri. Maka diri kita perlu jelas dengan kehendak dan keupayaan akal kita. Kadangkala kita tertipu dengan diri kita sendiri. Inginkan kejayaan, tetapi maklumat kejayaan itu tidak sampai kepada seluruh tubuh badan kita yang menyebabkan tindakan kita tidak mengarah kepada kejayaan tadi. Begitu juga dan prinsip membantu membangunkan, sama ada untuk diri atau untuk orang di sekeliling kita, selalu kita terkhilaf antara membantu hidup atau membunuh orang lain. Kekhilafan ini bukan sekadar boleh menyebabkan diri kita tidak berjaya bahkan kita juga akan mengakibatkan orang yang berada disekeliling kita juga akan turut tidak berjaya dalam kehidupan mereka.

Maka, selain dari kehendak, perlulah pula kita datangkan usahanya. Orang yang berkehendak mesti berusaha untuk menanam kehendak yang sama kepada mereka yang bersamanya. Perkongsian yang kita mahukan berikan bukan hanya perkongsian hasilnya tetapi turut sama perkongsian rasa dan cara untuk mendapatkan hasil itu. Sebab itulah, apabila berkehendak, perlu adakan usahanya. Antara usaha awal yang perlu kita lakukan adalah dengan mengenalpasti serta mendatangkan minat dan melahirkan keseronokan dalam perkara yang kita lakukan khususnya yangterkait dengan proses pembelajaran. Sebagai individu tidak kiralah sama ada kita pelajar atau pekerja, sangat penting untuk menghormati guru yang mengajar, membimbing dan membangunkan kita. Adalah menjadi satu kesalahan yang besar jika ada dalam benak fikir kita bahawa setiap usaha yang kita lakukan dan berhasil hanya semata-mata datang dari usaha kita tanpa henti tanpa mengambil kira pendidikan yang datang kepada kita oleh Tuhan melalui pengalaman, cakap orang, tingkah laku orang, pesanan atau teguran orang. Tiada kejayaan yang akan terhasil buat mereka yang tidak mahu belajar dan belajar pastinya akan ada guru sama ada secara formal atau tidak formal.

Usaha kita akan menjadi lebih mudah apabila mempunyai disiplin, peraturan dan adab-adab dan semuanya kita patuhi dengan baik. Disiplin adalah petanda konsisten kita terhadap apa yang diusahakan. Konsisten pada tindakan, cara berfikir, perkataan dan percakapan serta usaha-usaha yang dijalankan. Kadangkala ia dinilai sebagai satu tindakan yang konservatif, menghalang kreativiti serta kesenian dalam mencorak kehidupan. Namun, walaubagaimana kompleks sekali kehidupan mahu pun benda hidup yang Tuhan ciptakan, semuanya memiliki disiplin tertentu sehingga mereka dengan mudah dapat difahami dan dikenali oleh manusia yang mengkajinya. Segalanya ada peraturan yang wajar dipatuhi. Begitulah juga dengan segala bentuk usaha yang hendak kita jayakan misinya.

Kita perlu membuat pelbagai persiapan dan persediaan. Ini adalah sebahagian dari usaha yang penting. Persediaan sebelum melakukan apa kerja sekalipun serta menyusun bagaimana strategi mencipta kejayaan. Namun, kadangkala kita juga perlu tahu bagaiamana untuk berhadapan dengan cabaran dan tekanan untuk menghadapi kejayaan itu. Sejarah telah membuktikan, setiap kejayaan yang besar bermula dari perancangan yang tersusun, kemas dan berlapang dada dengan apa sahaja kemungkinan yang perlu dihadapi. Sebagaimana seorang individu yang merancang untuk pergi bekerja pada keesokan harinya. Pasti, hari ini persiapan dilakukan bermula dari apa yang akan dipakai, kenderaan yang dinaiki sehinggalah pada jam berapa perlu meninggalkan rumah untuk sampai ke destinasi seperti yang diidamkan. Semua ini akan mengukur sejauhmana kita berusaha dan kejayaan hanya akan dirasai oleh orang yang berusaha. Usaha adalah tangga kepada kejayaan.

Kesimpulannya, untuk berjaya tidak mudah. Perlu bermula dengan kehendak dan kehendak itu biarlah juga memberi manfaat kepada persekitaran kita. Jika kehendak yang hanya memenuhi kemahuan peribadi, akan berubah kehidupan kepada insan yang tamak dan individualistik. Susuli kehendak dengan usaha melalui kehidupan yang berdisiplin dan mengikut peraturan. Jika tidak, masakan ada pepatah, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Pesanan ini fokus kepada kerja yang berdisiplin dan berterusan. Jangan lupa pada setiap perjalanan itu perlu ada persediaan yang rapi. Pernah ada yang berjaya tanpa persediaan, tetapi kejayaannya amat singkat dan amat sementara. Berhati-hatilah.

Friday, August 28, 2020

MENGATASI DINDING PERHUBUNGAN DENGAN PERKONGSIAN MATLAMAT

Setiap perhubungan manusia pasti perlu dimulai dengan proses komunikasi dan interaksi yang berkesan dan mampu untuk menghilangkan kegugupan mahu pun rasa malu yang amat sangat. Mengatasi dinding iaitu penghalang diantara kita dengan orang kedua yang baru kita kenali adalah penting dalam usaha untuk mengikat perhubungan, membina kepercayaan serta mengenali diantara satu sama lain dengan lebih rapat lagi. Proses ini mestilah dilakukan dengan cara berkomunikasi dan berinteraksi dengan aktif, terbuka serta kerap. Kadangkala, ada dikalangan kita mampu dan mudah untuk memulakan komunikasi dan interaksi. Dan terdapat juga dikalangan kita yang mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi yang tinggi, jadi adalah mudah untuk mereka ini memulakan perhubungan dan mengatasi dinding yang menghalang mereka.

Perbincangan kita adalah dikhususkan kepada mereka yang biasa, tidak mempunyai kekuatan sebagaimana mereka yang luar biasa. Adalah normal, jika seorang manusia berasa malu dalam memulakan komunikasi. Ini adalah kerana, terdapat pelbagai andaian dalam fikiran kita sebelum memulakan sesuatu perhubungan komunikasi. Antaranya ialah;
  1. Niat untuk memulakan perhubungan atau pergaulan yang salah.
  2. Mengandaikan pemikiran orang lain.
  3. Beranggapan apa yang hendak dilakukan itu adalah salah.
  4. Berasa rendah diri.
  5. Tidak yakin dengan kemampuan dan matlamat berkomunikasi.
  6. Tidak merasakan kepentingan dalam komunikasi.

Semua perkara diatas adalah sesuatu yang perlu diatasi oleh sesiapa sahaja khususnya ahli Pembimbing Rakan Sebaya. Oleh yang demikian, proses perkenalan atau suaikenal pada peringkat awal perhubungan adalah sangat penting dan sebahagiannya mengatakan wajib untuk mereka. Proses ini juga merupakan proses yang dituntut oleh agama Islam bahawasanya Allah menciptakan manusia ini berpuak-puak adalah untuk mereka saling kenal-mengenali. Sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud, “Hai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku li ta‘ârafû (supaya kamu saling kenal). …. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Proses perhubungan atau perkenalan ini terdapat 4 peringkat atau fasa yang berakhir dengan hubungan rapat dan berkesan.

Fasa Satu: Mengenali (Ta'aruf)
Ia proses untuk mengenali orang lain melalui nama, tempat belajar, tempat tinggal atau sebagainya. Ia lebih bermatlamat untuk memulakan komunikasi dan proses ini hanya untuk dijadikan subjek perbincangan pada peringkat awal perkenalan.

Fasa Dua: Memahami (Tafahum)
Ia proses peringkat kedua. Apabila komunikasi pertama berjaya, kebiasaannya ia akan menimbulkan persepsi di dalam pemikiran kita tentang orang yang kita bersama dan akhirnya persepsi ini membawa kepada proses memahami orang lain. Persepsi ini tidak harus diluahkan tetapi haruslah mencari kebenaran disebaliknya. Dalam proses ini, kita akan mula mengetahui tentang sikap dan perangainya, suka dan tidak suka mereka dan sebagainya.

Fasa Tiga: Menolong (Ta'awun)
Ia semakin baik! Perhubungan yang bermula dengan komunikasi, kita memahami, dan hasilnya kita akan terdorong untuk membantu sekiranya proses memahami tadi benar-benar dalam dan berjaya membina kepercayaan dan keterbukaan. Maka, sedialah kita untuk membantu jika ada masalah dan kita mampu untuk membantu.

Fasa Empar: Menjaga Kebajikan (Takaful)
Inilah peringkat terakhir dan tertinggi. Perhubungan yang terjalin atas persahabatan kerana Allah. Meletakkan kesusahan orang lain pada diri dan merasainya. Rakan ketawa dan tangis bersama. Sebagaimana sebuah kisah 3 orang sahabat yang keluar berperang untuk menegakkan kalimah Allah. Disaat peperangan berada dikemuncak, ketiga-tiga sahabat ini telah mengalami kecederaan yang parah dan dihantarkan mereka dikhemah rawatan untuk diberikan perhatian. Ketika di dalam khemah, terkejut ketiga-tiga mereka kerana bertemu di dalam sebuah khemah yang sama. Lalu datang perawat membawa ari untuk sahabat yang pertama. "Kau berikanlah air ini kepada sahabatku disebelah, aku amat yakin, dia lebih memerlukannya lebih dari aku" kata sahabat yang pertama tadi.

Berlalulan perawat tadi kepada orang yang kedua dan sahabat yang kedua pula berkata, "Aku belum amat memerlukan air ini berbanding sahabat ku di sana (sambil menunjukkan kepada orang yang ketiga)" kata sahabat yang kedua. Perawat pun bersegera bergerak kepada sahabat yang ketiga tadi. Setibanya si perawat, alangkah terkejutnya si perawat apabila mendapati sahabat yang ketiga telah pun meninggal dunia. Jadi kembalilah si perawat kepada 2 sahabat yang dipermulaannya tadi dan sungguh terharulah si perawat kerana kedua-duanya juga meninggal dunia kerana mementingkan rakan mereka yang lain. Inilah apa yang dikatakan sebagai takaful dalam perhubungan kita. Moga-moga kita berusaha sehingga sampai ke tahap ini.

Oleh yang demikian, proses ini haruslah berterusan agar ia mencapai pada tahap yang baik. Bahkan, di dalam setiap perhubungan, mestilah kita mempunyai matlamat yang jelas yang dapat kita fahami serta rakan kita juga memahaminya. Matlamat ini juga antara faktor yang menjadikan kita lebih dipercayai, dilihat jujur serta mampu mengawal diri dari apa-apa agenda yang tersembunyi. Antara agenda atau matlamat yang harus dikongsikan dalam perhubungan sesama kita adalah;
  1. Tetapkan dalam diri bahawa, tuntutan untuk mencari ilmu itu adalah keutamaan. Iaitu kemahuan untuk belajar, mengajar dan mencintai ilmu. Ini membantu kita membicarakan perkara yang bermanfaat berbanding perkataan yang sia-sia.
  2. Menimba pengalaman dari orang lain kepada orang yang pandai akan belajar dari pengalaman sendiri, tetapi orang yang bijaksana akan belajar dari pengalaman orang lain. Kerana itulah Allah mensyariatkan kita belajar dari penciptaan makhluk-Nya.
  3. Memenuhi tuntutan tanggungjawab di dalam masyarakat; iaitu saling berkenalan dan berukhuwah. Islam amat melarang kita bermusuhan dan bertelagah khususnya di antara ummat Islam itu sendiri.
  4. Menjadi sebaik-baik manusia seperti mana hadith Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud;

"Sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada orang lain." Perbaiki dan TUNE diri kita semua bersama.

Thursday, August 27, 2020

KENALI ANAK KITA

Adakah kita benar-benar mengenali siapa anak kita? Kerapkali dalam urusan untuk kita membesarkan anak-anak, kita menganggap mereka serupa sahaja baik anak yang pertama kedua atau ketiga. Hakikatnya, itu adalah tidak benar. Kita tidak melihat perkembangan mereka dari aspek yang pelbagai. Jom kenali anak-anak kita. Pertama, dari aspek fizikalnya. Adakah mereka sihat atau sakit? Kuat atau lemah atau mereka berasa rendah diri kerana badan yang gemuk atau terlalu kurus? Fizikal adalah penampilan diri mereka. Ia tidak ubah seperti kulit mereka, jika ia berkurap, maka itu amat memalukan. Fizikal anak terbangun dari bahan makanan yang dibekalkan kepada mereka. Seharusnya seimbang dan memberikan manfaat terbaik pada seluruh tubuh baik luaran dan juga dalaman.

Kedua, dari aspek kognitif mereka. Ada anak, akademiknya maju sedikit berbanding yang lain dan mungkin ramai yang kognitifnya hebat tetapi seorang atau 2 orang anak kita lebih kepada amali dalam pendidikan mereka. Pernah kita tahu adakah anak kita itu minat membaca atau membaca kerana terpaksa? Pembelajaran itu amat penting maka memberikan mereka kefahaman mengenai kepentingan itu adalah sebahagian dari usaha pembangunan kognitif mereka. Belajar bukan untuk peperiksaan tetapi belajarlah untuk ilmu pengetahuan. Sebab itu, galakkan membaca harus lebih banyak berbanding melakukan latihan untuk menjawab soalan-soalan akademik sekolah. Pastikan mereka ada jadual membaca yang baik.

Ketiga, soal aspek emosi mereka. Seringkali dimarahi tanpa tahu mengapa mereka dimarahi. Bahkan ada yang ibu atau bapanya sombong sampaikan kadangkala anak yang bertanya juga dimarah. Luangkan masa kualiti dengan mereka. Masa paling kualiti adalah semasa makan bersama. Sembang, tinggalkan pesanan bahkan sentiasa bertanya keadaan diri mereka. Gembira, sediah atau keliru.  Keempat, aspek tingkahlaku. Ia merujuk kepada contoh ibu bapa mereka sendiri. Bak kata Saiyidina Ali, mendidik anak ada 3 fasa, fasa pertama bermula dari hari pertama lahir hingga berumur 7 tahun. Tatanglah mereka umpama minyak yang penuh. 7 tahun hingga 14 tahun, didiklah tingkahlaku mereka. 

Kelima, aspek sosial. Bebaskan mereka berkawan, tetapi dalam kebebasan perlu ada pantauan dan pemerhatian. Ramai kawan itu baik tetapi perlu diajarkan kepada mereka baik buruk dalam berkawan. Ada boleh dan tidaknya dalam melakukan sesuatu dengan kawan-kawan. Keenam, aspek kerohanian mereka. Ini aspek yang kerapkali kita lupakan. Kerana ia seolah tidak penting sedangkan inilah tunjang anak-anak apabila mereka masuk ke fasa ke tiga iaitu selepas berumur 14 tahun. Pastikan yang paling utama dapat ditegakkan iaitu solat bagi yang Muslim. Ketaatan pada Tuhan adalah perlambangan mereka mempunyai nurani yang bersih dan jauh dari sifat tercela.

Wednesday, August 26, 2020

LEBIH UTAMA DIPERCAYAI BERBANDING DIKASIHI

Kehidupan bersosial dan berorganisasi merupakan suatu keperluan dan tuntutan dalam melalui kehidupan sebagai seorang Muslim di muka bumi Allah s.w.t. ini. Firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Saf ayat 4, “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”

Jelas di sini yang dapat kita lihatkan betapa keadaan ummat Islam itu amat perlu bersama sebagai satu binaan yang kukuh. Islam juga memperlihatkan bahawa hidup seorang Muslim itu umpama anggota tubuh, apabila satu merasa sakit, maka yang lainnya juga tidak dapat berehat dan merasakan kesakitannya bersama. Namun di dalam kehidupan sosial, tidak dapat tidak, pastinya kita akan berhadapan dengan dunia politik sosial secara umumnya. Masing-masing berusaha untuk mendahului yang lain dalam usaha untuk mendatangkan perasaan kasih orang lain terhadap diri kita. Bahkan di dalam kelompok sosial yang sifatnya tiada sebarang keuntungan material sekalipun, keadaan ini berlaku. Ini menjadikan pada hari ini amat sukar untuk kita mencari kepimpinan yang boleh dipercayai. Jika kita bersama berusaha menyenaraikan apakah sifat utama diri seorang pemimpin itu, pastinya yang menjadi keutamaan dalam perbincangan tersebut adalah mereka yang boleh dan dapat dipercayai. Amerika Syarikat negara yang dikatakan memiliki kuasa besar dunia, ada dikalangan mereka yang mengungkapkan kata-kata sindiran, “We thought we could trust the military, but then came Vietnam; we thought we could trust the politicians, but then came Watergate; we thought we could trust the engineers, but then came the Challenger disaster...” Kata-kata ini mengungkapkan tentang makna dan keutamaannya kepercayaan. Faktor kepercayaan amat penting dalam memastikan kesinambungan sesuatu hubungan samaada berbentuk peribadi mahupun berorganisasi. Apabila kuasa kepercayaan ini berjaya dibentuk, sebarang anasir sifat mazmumah yang datang mengganggu hubungan dan bisikan-bisikan buruk dan busuk itu akan berjaya diatasi bahkan dijauhkan dari sesuatu perhubungan. Tetapi, apabila sistem kepercayaan ini tercabar, lihat sahaja kesannya, hubungan kepercayaan yang dibina hampir 10 tahun boleh berubah dalam sekelip mata.

Kepercayaan hadir melalui pengikut yang percayakan pemimpinnya dan pemimpin mesti meletakkan kepercayaan kepada orang yang dipimpin. Dari sinilah akan mewujudkan pengaruh dan pengaruh itulah yang menjayakan kepimpinan. Bagaimana kita hendak membina kepercayaan? Mudah tetapi sukar dilaksana. Cakap mesti serupa bikin. Cakap dan perbuatan mesti selari. Kata-kata mesti dikota. Inilah yang sering diungkapkan sebagai integriti. Integriti ini adalah sikap amanah, jujur dan tulus dalam setiap perhubungan dan dipraktikkan dimana sahaja dalam kehidupan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Saf ayat 2 dan 3, “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”

Kata bijak pandai, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Inilah yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dalam kehidupannya yang mendorong masyarakat untuk mengangkat darjatnya serta memberikan gelaran Al-Amin. Kadangkala, kita lebih suka perasaan dikasihi berbanding dipercayai. Percayalah dan fikirlah, bahawasanya setiap pekara yang dikasihi hadir dari permulaannya dipercayai. Begitu juga dengan kasih sayang dibentuk di rumah, tempat kerja dan di mana sahaja. Apabila kepercayaan ini merosot, maka kasih sayang juga mula hilang dan pudar dari kehidupan kita. Bila hilang kepercayaan, rasa cinta, hormat, kasih dan taat akan musnah. Sampai bila pun manusia lebih mempercayai matanya berbanding telinganya. ‘Action louder than words'.

Maka ingatlah sahabatku sekalian, apabila kita mengetuai atau berada di dalam organisasi, dan di situ semakin sukar untuk mendapatkan ketaatan, kerjasama dan kesetiaan, itu tandanya pengaruh kepimpinan telah hilang. Apabila hilang pengaruh, itu adalah disebabkan hilangnya kepercayaan dan disitulah tiadanya integriti. Kita tidak akan mampu menjayakan organisasi hanya sekadar dengan cinta tetapi, kepercayaan adalah yang lebih utama. ‘TUNE’lah diri kita.

Tuesday, August 25, 2020

SATU KALI TUJUH KALI SERATUS

Ketika perjalan Rasulullah s.a.w. dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa pada tika berlakunya Israk yang mana dinafikan oleh golongan munafiqin dan musyrikin, Rasulullah s.a.w. telah bertemu dengan satu kaum yang sedang bercucuk-tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila mereka habis menuai, hasil yang baru keluar semula seolah-olah ia belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang kali sehinggalah Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Jibril, siapakah mereka itu. Maka, Jibril menajawab, mereka itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud, "Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya dijalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir, seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas kurnia Nya lagi Maja Mengetahui." 

Ini merupakan janji yang pasti Allah s.w.t. janjikan untuk mereka yang beriman. Janji ini telah Allah s.w.t. nukilkan dalam ayat Al-Baqarah 1 hingga 5 yang meletakkan taqwa sebagai asas utama iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat, menafkahkan sebahagian rezekinya dijalan Allah, beriman kepada kitab-kitab dan yakin akan adanya hari akhirat. Bila mana manusia itu tidak berada di dalam kelompok ketaqwaan ini, maka, hasil tuaian yang dijanjikan Allah s.w.t. itu tidak terlihat dan tidak diyakini mereka. Akhirnya, kekayaan mereka adalah untuk mereka dan menghidupkan perasaan memberi tetapi tidak ikhlas dalam pemberiannya. Firman Allah s.w.t. di dalam ayat sambungannya yang bermaksud, "Orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti, mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran pada mereka dan tidak mereka bersedih hati." 

Pemberian fisabilillah harus dilakukan dengan sepenuh keikhlasan kepada Allah s.w.t. bukan untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi mengungkitnya. Maka, para dermawan ini digolongkan sebagai orang yang beriman bahkan mereka yang mengungkit-ungkit pula dikatakan pada mereka terdapat sisa-sisa syirik oleh HAMKA. Bahkan, kebaikan itu, bukanlah setakat 700 sahaja, mungkin lebih lagi kerana Allah melipatgandakan bagi siapa yang dikehendaki Nya. Gandaan itu termasuk dalam tuntutan Allah s.w.t. di dalam sambungan firman Nya yang bermaksud, "Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sadaqah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan. Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun." 

Maka, kebaikan itu jika bukan dari material, maka adalah cukup dari segi kata-kata. Mari kita cuba bayangkan seorang dermawan, dengan hati yang ikhlas, bersungguh melakukan kebaikan, tidak mengungkit, bahkan dalam pemeberiannya dia mengingatkan si penerima agar bersyukur kepada Allah bukan berterima kasih kepada makhluk semata-mata, memaafkan dia jika dia berkasar, maka, ganjarannya SubhanAllah, sungguh besar di sisi Allah s.w.t.

Monday, August 24, 2020

INOVASI DAN KREATIVITI DALAM BELAJAR

Pembelajaran diperingkat sekolah kebiasaannya menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran khususnya dari sudut teknik belajar serta kemahiran belajar yang berkesan. Jauh di dalam pemikiran kita semua sentiasa beranggapan, teknik dan kemahiran ini perlu dipelajari serta mesti digunakan mengikut apa yang diajari. Namun, anggapan ini tidaklah seratus-peratus benar, tetapi yang menjadi keutamaan dalam memastikan pembelajaran seseorang itu berkesan adalah kemahuan dan kesungguhan mereka. Inovasi dan kreativiti dalam belajar ini secara langsung akan hadir sekiranya seorang pelajar itu mempunyai kemahuan dan kesungguhan dalam pelajaran mereka. Inovasi membawa maksud kemampuan seseorang itu untuk membuat perubahan atau memperkenalkan sesuatu yang baru dalam konteks pembelajaran, bererti keupayaan seseorang pelajar itu untuk memperkenalkan teknik pembelajaran mereka yang baru dan lebih berkesan untuk diri mereka sendiri.

Kreativiti pula membawa pelbagai maksud. Pertama, kreativiti ini bermakna kemampuan untuk melahirkan idea yang baru bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Apabila seorang pelajar, mempunyai kemahuan dan bersungguh-sungguh untuk berjaya, tetapi segala usahanya untuk mencapai kejayaan itu sering tergendala memandangkan teknik pembelajarannya yang kurang berkesan, maka dari situ akan timbullah idea-idea baru untuk bagaimana mereka boleh mengubahnya agar menjadi lebih baik. Kreativiti juga membawa makna cara yang baru atau berlainan dalam melakukan sesuatu perkara atau juga membawa erti mencari kegunaan baru untuk sesuatu. Ini menggambarkan perubahan atau kelainan dalam melakukan sesuatu. Begitu juga dalam memastikan teknik pembelajaran yang berkesan, kelainan kadangkala akan lebih menggalakkan dan memberikan rangsangan dalam melakukan ulangkaji. Ia juga membawa maksud keupayaan seseorang untuk mempelajari pengertian baru atau maksud suatu tugasan. Ini amat jelas sekali kerana untuk membina minda kreatif, seseorang itu amat perlu untuk memahami apa sahaja yang dilakukannya dengan baik. Begitu juga dengan pembelajaran atau pelajaran mereka. Perlu tahu, faham dan menghayati dan disinilah akan timbul perasaan ingin tahu dan sentiasa mencari pembaharuan. Selain itu, kreativiti juga boleh dimaksudkan dengan menambahkan nilai kepada sesuatu. Ini akan menjadikan sesuatu alat atau pekerjaan itu lebih menarik dan mudah. Dek kerana kreativiti mereka yang sentiasa mencari yang terbaik dalam apa yang mereka lakukan, pelbagai teknik-teknik pembelajaran diperkenalkan. Ia adalah datangnya dari keadaan yang mendesak bagi memenuhi kemahuan serta kesungguhan mereka di dalam sesuatu bidang.

Inovasi dan kreativiti dalam belajar ini amat penting yang mana ia akan mampu untuk mengurangkan tekanan dan stres dalam proses pembelajaran pelajar. Keadaan yang inovatif dan kreatif akan membawa banyak suasana dan keadaan yang baru serta lebih menarik. Ia juga akan mampu menjimatkan masa khususnya dalam membuat ulangkaji pelajaran. Nota yang kreatif akan memberikan makna walaupun hanya berdasarkan satu gambarajah berbanding dengan membaca seluruh buku. Hasilnya, peningkatan kualiti bacaan serta pembelajaran akan lebih jelas dan ketara. Kreativiti akan menggalakkan minda atau otak manusia untuk bekerja dengan lebih berkesan. Ini dijelaskan di dalam buku ‘Brain Gym’ yang ditulis dan dibukukan oleh Dr. Paul E. Dennison dan Gail E Dennison yang diterbitkan oleh Edi Kinestthetics Incorporation. Kreativiti ini boleh dilatih dan dipupuk sekiranya ada kesungguhan dan kesabaran. Usaha yang kuat sehingga akhir akan mendatangkan kepuasan hati dalam setiap apa yang dilakukan. Namun, segalanya memerlukan teknik dan cara yang terbaik. Ia boleh sama-sama diusahakan secara perlahan-lahan.

Untuk menggalakkan dan melakukan inovasi dan kreativiti dalam belajar, ia perlu dimulakan dengan langkah mewujudkan keseronokan dalam pembelajaran itu sendiri. Persoalannya bagaimana kerana belajar itu sendiri sudah tidak diminati. Ini adalah kesilapan bagi setiap pelajar dalam mereka menempuh hari-hari persekolahan mereka. Untuk mewujudkan keseronokan, mereka perlu untuk menanamkan minay untuk belajar. Mulakan dengan memperbetulkan niat, mengapa mereka perlu belajar? Mereka belajar untuk apa dan untuk siapa? Pernyataan awal ini amat memberikan kesan dalam suasana minat mereka terhadap sesi pembelajaran. Kemudian, mereka perlu melatih diri untuk sentiasa bersabar dan bersyukur disepanjang masa pembelajaran. Sebab itulah, perlunya seorang pelajar berdampingan dengan rakan-rakan serta persekitaran yang betul dan memberikankesan positif kepada dirinya. Apabila ingin memulakan pembelajaran, perlulah ditentukan matlamat akhir sesi pembelajaran tersebut. Bukan hanya membaca tanpa ada halatuju bacaan. Ia adalah satu tindakan yang membuang masa serta tidak berkesan, Matlamat bukan hanya bermakna cita-cita, tetapi dalam setiap tindakan kita perlukan matlamat. Apabila ada matlamat, maka akan adalah perancangan dan persiapan sebelum melakukannya. Selepas wujudnya keseronokan dalam proses pembelajaran tadi, sentiasa timbulkan persoalan yang membolehkan minda kita sentiasa bekerja dan berfikir secara kritis. Permulaan ini berupaya mengeluarkan idea serta pandangan yang kreatif untuk lebih menggalakkan pembelajaran tadi. Tetapi, pemikiran kritis ini tidak akan mampu diwujudkan sekiranya tidak disertakan dengan semangat membaca dan menambahkan pengetahuan. Pengetahuan yang luas akan lebih mendorong kita untuk memperbaiki cara pembelajaran serta meningkatkan daya pemikiran yang kritis.

Membaca juga bermaksud memahami keadaan yang berlaku dipersekitaran kita. Ia dilakukan melalui pemerhatian dan tumpuan yang digunakan. Berapa ramai dikalangan kita yang sentiasa sedar akan perubahan disekitar mereka. Persekitaran boleh dijadikan tempat rujukan serta pembentukan pemikiran yang jauh lebih positif. Jika sekiranya, apa sahaja yang berlaku dan apa sahaja yang dilihat sentiasa dijauhkan dari sebarang persepsi sebaliknya menjadikan ia sebagai satu pendorong yang positif. Keupayaan untuk meniru juga adalah sebahagian daripada cara untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti. Ia bukan bermakna mengambil hakcipta orang lain, tetapi ambil dan melakukan perubahan pada idea asal mereka. Ini bermakna, berlaku satu proses inovasi itu sendiri. Sebagaimana di dalam indusrti pengangkutan kereta, pembinaan enjin-enjin kereta menjadi lebih baik dan lebih matang apabila mereka saling bersaing dan melihat pencabar mereka dari sudut keupayaan pembinaan enjin tadi. Akhirnya enjin yang dilahirkan menjadi lebih baik dan lebih efisyen.

Usaha-usaha ini perlu dilakukan dengan penuh kesabaran dan memerlukan masa yang panjang. Hasil kesabaran itulah akan menjadikan kita pelajar yang sentiasa berinovasi dan kreatif dalam setiap tindakan. Penghargaan perlu diberikan kepada diri sendiri samada berjaya atau tidak. Ia bukan penghargaan untuk kejayaan, tetapi penghargaan atas usaha yang dijalankan. Adalah menjadi keutamaan dalam setiap perkara yang dbincangkan dalam tatacara meningkatkan inovasi dan kreativiti dalam belajar ini iaitu, ia mestilah dilakukan oleh diri kita sendiri, bukan sekadar mendengar, membaca dan diperbincangkan. Kita lebih mengenali diri kita berbanding orang lain. Kreativiti adalah kita sendiri. Pasti ia boleh diperbaiki.

Sunday, August 23, 2020

FASILITATOR SEBAGAI PENDAKWAH

Semakin hari, semakin ramai fasilitator yang berjaya dilahirkan dari pelbagai jurusan kemahiran serta atas pelbagai keperluan dan permintaan. Fasilitator merupakan satu kemahiran yang memerlukan latihan serta bimbingan yang baik dan berkesan bagi memastikan kesan jangkamasa panjang, bukan sekadar kepada diri mereka yang menggelar diri sebagai fasilitator, bahkan kepada mereka yang menjadi anak didik atau yang dibimbing oleh fasilitator.

Seorang fasilitator yang terbaik, mempunyai ciri-ciri diri yang positif. Matlamat mereka jelas serta peribadi mereka amat mudah didampingi. Selain itu, mereka juga sangat kreatif dan sering menghidupkan perhubungan yang baik bersama sesiapa yang bersama mereka. Apabila kita menilai diri peribadi seorang fasilitator ini, ia amat berkait rapat dengan pendakwah atau lebih mudah dikenali sebagai da’ie (istilah arab).

Kefahaman tentang keperluan untuk menyampaikan serta menyebarkan agama risalah ini akan menjadikan seseorang fasilitator itu lebih baik dari pelbagai sudut. Fasilitator Muslim dan Mukmin ini, wajib memahami konsep hamba dan khalifah. Inilah yang akan mendorong mereka untuk menyambung tugasan para Rasul dalam menyebarkan Islam kepada sesiapa sahaja yang mereka kenali. Sebaran ini bukanlah semata-mata berkonsepkan retorika atau sekadar edaran nota bacaan, tetapi lebih dari itu. Firman Allah sw.t. di dalam surah Saba’ ayat 28 yang bermaksud, “Kami tidak mengutus engkau (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai rasul pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman), dan pemberi peringatan (kepada orang yang ingkar. Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).”

Jelas sekali, bagi seorang Fasilitator yang Muslim, ini merupakan tugas besar yang amat perlu didahulukan. Mengingatkan mereka yang ingkar serta menyampaikan kebenaran tentang kebaikan yang dilakukan oleh manusia. Hubungan dengan Allah s.w.t. merupakan ibadah yang bersifat peribadi dan tidak mencakupi tugasan sebagai khalifah. Fasilitator merupakan sebahagian yang boleh dijadikan alat melaksanakan tugas khalifah itu sendiri, namun ia amat bergantung kepada diri seorang fasilitator Muslim dan Mukmin itu sendiri.

Oleh kerana, ini merupakan salah satu cara melaksanakan tugasan yang diberikan kepada Ar-Rasul, maka sudah pasti, sebagai seorang fasilitator, perlu melihat Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam sebagai modelnya. Ini jelas diperjelaskan di dalam sebuah hadith yang bermaksud, “Penciptaan yang tertinggi disisi Allah, yang paling disukai-Nya adalah yang memberikan manfaat kepada yang lainnya.” Perjuangan serta dakwah Rasulullah s.a.w. berjalan dengan cemerlang bertiangkan akhlak yang mulia. Akhlak Rasulullah s.a.w. itu bukan sekadar dari sudut peribadinya di dalam masyarakat, bahkan dibuktikan dalam perhubungannya bersama ahli keluarganya serta lebih menyerlah lagi di dalam kepimpinan yang ditunjukkan bersama para sahabatnya. Lihat sahaja kisah-kisah pengIslaman sahabat-sahabat Baginda, tiada banyak yang menggunakan kekerasan bahkan hati mereka luluh apabila melihat akhlak diri pada Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam.

Oleh yang demikian, adalah menjadi keperluan sebagai seorang fasilitator untuk membina peribadi dalam usaha untuk menjadi contoh serta menyampaikan risalah agung ini kepada adik-adik bimbingan mereka. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Anfal ayat 24 yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila Dia menyeru kepada sesuatu yang memberikan kehidupan kepada kamu dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan.” 

Tugasan fasilitator yang meletakkan diri mereka sebagai da’ie seharusnya menjadikan seruan Ar-Rasul ini sebagai keutamaan dalam tugasannya. Namun ia perlu diperkukuhkan dengan ilmu pengetahuan yang sentiasa ditambah. Keutamaan ini semestinya disuburkan di dalam jiwa para fasilitator. Ubah diri harus menjadi keutamaan kerja dakwah dan menjadikan diri kita semakin baik setiap hari. Apa yang lebih perlu diutamakan adalah perasaan takut itu kembali kepada Allah s.w.t.

Perasaan takut kepada Allah s.w.t. ini akan membantu diri seorang fasilitator untuk tabah dalam setiap ujian yang ditimpakan. Percayalah, Allah s.w.t. hanya memberikan ujian yang mampu ditanggung oleh diri kita sendiri. Kepercayaan itu amat penting kerana ujian pasti tiba buat mereka yang mengaku diri mereka beriman. Berdakwah adalah wajib bagi setiap manusia yang bergelar Muslim. Maka bersabar dan istiqamahlah. Inilah tugas sebenar fasilitator Muslim dan Mukmin, jika bersungguh melaksanakan tugas ini, pasti akan berlaku islah dalam kehidupan peribadi seorang fasilitator itu. Utamakan matlamat besar sebagai seorang da’ie nescaya Allah s.w.t. akan membantu untuk bagaimana dapat dilalui dengan cara yang berkesan di dalam kerja dakwahnya.

Saturday, August 22, 2020

CERITERA PETI TUA

Ada seorang pengemis muda, untuk mengemis dia memerlukan sebuah tempat duduk. Dia mencarinya di tempat sampah. Sampai dia menemui sebuah peti bekas yang tertutup rapat.

“Aha, ini dia, sesuai sangat untuk tempat duduk saya.”

Akhirnya dia menggunakan peti bekas tersebut untuk mengemis di pinggir jalan. Berpuluh-puluh tahun, peti tersebut menemani dia mengemis. Kini usianya sudah setengah abad dan masih tetap mengemis dengan duduk diatas peti tersebut. Sudah lebih dari 30 tahun dia duduk diatas peti tersebut. Sampai suatu saat ada seorang pemuda yang menghampiri pengemis tersebut dan memberikan beberapa keping wang ringgit. Sungguh si pengemis merasa senang sebab jarang sekali ada orang yang memberi sebesar itu. “Terima kasih tuan, tuan sangat murah hati.”

“Sama-sama, mudah-mudahan bermanfaat untuk pak cik.” kata orang yang dipangil tuan itu dengan ramah. Kemudian si tuan itu bertanya,

“Agaknya, apa isi peti yang pak cik duduk tu?”

“Saya tidak tahu tuan. Paling kosong atau hanya sampah. Saya menemukannya di tempat sampah waktu saya masih muda.”

“Sudah cuba tengok isi dalamnya?” Tanya si tuan, pemuda tadi.

“Buat apa tuan sibuk-sibuk untuk membuka peti ini.”

“Buka saja, mungkin akan bermanfaat untuk pak cik.” kata si tuan.

“Baiklah, nanti akan saya cuba buka. Sekali lagi terima kasih atas wang yang tuan berikan.”

“Sama-sama.” kata si Tuan sambil berlalu pergi.

Setelah si tuan pergi, pengemis pun terfikir. Apa agaknya isi kotak ini? Ya, selama 30 tahun dia tidak pernah membuka kotak tersebut. Akhirnya dia memutuskan untuk membuka kota tersebut. Dia mengambil besi untuk membuka paksa kotak tersebut. Setelah terbuka, si pengemis sungguh terperanjat, ternyata  selama 30 tahun lebih dia menduduki… Berkilo-kilo emas!!!

Kesimpulan dan pengajarannya, janganlah kita hanya melihat kelebihan dan kekurangan yang nampak dek mata kita sehingga kita melupakan kebenaran bahawa, banyak ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita. Apa yang perlu adalah, teroka.

Friday, August 21, 2020

KEPENTINGAN MESYUARAT

Kita mulakan catatan perbincangan ini dengan firman Allah s.w.t. dari surah Asy-Syura ayat 38 yang bermaksud, “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;”

Mesyuarat merupakan salah satu agenda atau elemen penting di dalam sesebuah organisasi mahupun jawatankuasa pelaksana sebarang tugasan, projek atau pengurusan. Ia merupaka tempat dimana berlakunya percambahan idea, penyampaian maklumat, memberikan arahan serta menerima perintah dari mereka yang mengetuai sesuatu pasukan. Kepentingan mesyuarat ini diperjelaskan Allah s.w.t. di dalam surah Asy-Syura sebagaimana yang tercatat dipermulaan artikel ini.

Amalan bermesyuarat ini merupakan sunnah yang juga dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam. Ia secara jelas tercatat di dalam sirah perjuangan Rasulullah dalam merangka strategi, mengumpulkan pandangan serta mencari kesepakatan di dalam urusan berorganisasi. Mesyuarat memerlukan komitmen semua ahli dan harus mempunyai matlamat serta agenda yang jelas. Mesyuarat melibatkan ahli mesyuarat, perkara yang dibincangkan serta keputusan yang perlu dilaksanakan. Oleh yang demikian, perbincangan harus berlaku dalam keadaan yang harmoni serta saling bertolak ansur.

Amalan bermesyuarat merupakan amalan yang diberkati oleh Allah s.w.t. dan ia merupakan suatu usaha untuk mencari penyelesaian yang laing baik dan paling hampir dengan kebenaran. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud, “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Ali-Imran: 159)

Thursday, August 20, 2020

AJARKAN ANAK ANDA MEMOHON MAAF

Peranan mendidik perlu dipertingkatkan agar anak-anak terus menjadikan ibu bapa sebagai model ikutan mereka. Ibu bapa haruslah mempertingkatkan kemahiran diri bagi memastikan anak-anak dapat mempelajari dan dididik dengan cara yang benar dan tepat. Salah satu peranan dan pendidikan yang perlu didahului adalah mengajar anak-anak kita untuk memohon maaf. Ia amat penting bagi melatih anak-anak untuk tidak merasakan diri lebih baik dari orang lain, bangga diri serta latihan ini mampu menjadikan anak-anak itu bersifat tolak ansur serta merendah diri.

Pertama sekali, ibu bapa haruslah menunjukkanlah contoh ini dihadapan anak-anak. Ini kerana, salah satu proses pembelajaran yang amat berkesan bagi seorang anak dari ibu bapanya adalah dengan cara meniru (immitation) mereka. Oleh yang demikian, buat ibu bapa, apabila berlaku perselisihan antara keduanya di dalam keluarga mahupun mungkin bersama orang lain, ringankanlah mulut serta lapangkanlah dada kita untuk memohon maaf kepada orang lain. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?

Keduanya, apabila si ibu atau si ayah melakkukan kesalahan kepada anak-anak, tunjukkan penyesalan dengan bahasa tubuh kita. Hampiri mereka, peluk mereka, salam mereka dan cium mereka untuk menandakan kesungguhan kita mengungkapkan maaf. Bahasa tubuh yang ditonjolkan mengukuhkan lagi maaf yang ditujukan kepada mereka. Ketiga pula, ajarkanlah anak-anak kita dengan dorongan agar mereka bertanggungjawab dengan setiap perkara yang mereka lakukan. Kadangkala ia agak sukar untuk ibu bapa, tetapi ia perlu diajarkan kepada anak-anak agar apabila mereka melakukan kesalahan atau kesilapan, perasaan bertanggungjawab itu akan terbit dari hati mereka. Nasihatkan anak-anak bahawa, memohon maaf bukan bermakna kalah tetapi memohon maaf adalah tanda ketinggian budi pekerti bagi seorang manusia.

Apabila mereka mula memohon maaf, maka langkah yang keempat harus dilakukan iaitu berikanlah pujian kepada mereka. Ini akan mampu mendorong mereka untuk terus melakukannya dan menjelaskan bahawa tindakan yang mereka lakukan itu adalah satu tindakan yang betul dan mulia. Akhir sekali yang kelima, ajarkanlah anak-anak waktu yang sesuai untuk memohon maaf. Tunjukkan bagaimana mereka mampu untuk menyedari kesilapan. Perhatikan persekitaran mereka dan berikan contoh dan pilihlah masa yang bersesuaian. Mereka perlu menerima didikan yang tepat dan penuh berhikmah daripada ibu bapa mereka.

Semoga dengan usaha mendidik anak-anak untuk memohon maaf ini akan melahirkan seorang insan dari kalangan mereka itu yang baik budi pekerti serta tinggi akhlak mereka disebabkan kerendahan hati serta kebesaran jiwanya. Memohon maaf akan mampu menjadikan anak-anak kita seorang yang penyabar serta matang dan rasional di dalam tindakan mereka.

MUHARAM 1442 HIJRAH

Alhamdullillah, kita dipanjangkan usia untuk melangkah masuk ke tahun baru 1442H hari ini pada tanggal 20 Ogos 2020M. Selama lebih kurang 354 hari mengikut kalendar lunar (bulan mengelilingi matahari) kita melalui tempoh kehidupan sebagai hamba kepada Allah s.w.t.. Sambutan Awal Muharam yang dirayakan oleh umat Islam khususnya di Malaysia adalah sebahagian dari rutinan tahunan sehinggakan dijadikan hari cuti umum buat seluruh rakyat Malaysia. Ini merupakan satu pembuktian dari sudut kuasa pemerintahan bahawa Islam merupakan agama rasmi Malaysia dan tahun Hijriyah merupakan tahun yang penting bagi kaum Muslimin kerana ia merupakan tahun perhitungan peribadatan. Pada zaman pra Islam, kaum arab jahiliyah telah menggunakan gelaran nama-nama bulan sebagaimana yang kita gunakan hari ini. Namun, dahulu mereka kerap menambah atau mengurangkan bilangan bulan atau hari tersebut bagi memenuhi keperluan sendiri. Jika berlaku peristiwa tertentu yang tidak berpihak kepada mereka, maka mulalah mereka menambah atau mengurangkannya bagi mengelakkan kecelakaan atau mengharapkan tuah bulan-bulan tertentu. Sudah menjadi kebiasaan kaum arab jahiliyah menjadikan bulan-bulan tertentu khususnya bulan-bulan haram seperti yang dinyatakan di dalam surah At-Taubah ayat tiga puluh enam dan tiga puluh tujuh ini sebagai bulan pemujaan dewa-dewa. Dewa itu diberikan sajian dan dibuatkan keraian, kononnya memperingati dewa-dewa tersebut sambil berpesta-pestaan bersama patung-patung yang mereka anggap mempunyai kuasa untuk memenuhi hajat-hajat mereka.

Firman Allah s.w.t. tersebut yang bermaksud, "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu; dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. Sesungguhnya perbuatan mengundurkan adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan yang telah diharamkan Allah; dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah untuk dipandang baik oleh mereka. Dan Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang kafir." (At-Taubah: 36 - 37)

Muharam juga amat sinonim dengan sambutan Ma'al Hijrah walaupun pada catatan kebanyaka para ulama' menukilkan bahawa hijrah Baginda sallallahu'alaihiwasallam telah berlaku di dalam bulan Rabi'ul Awal. Justeru, peristiwa hijrah Baginda lebih terkait dengan kelahirannya dan kewafatannya kerana dicatatkan berlaku hijrah itu di antara 2 hingga 12 Rabi'ul Awal. Sebenarnya, tahun peristiwa hijrah itu yang telah disandarkan atas kalendar Hijriyah dan ia telah diperkenalkan oleh Saidina Umar Al-Khattab 7 tahun selepas kewafatan Baginda ataupun 17 tahun selepas hijrah Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam. Penetapan penggunaan kalendar ini sesungguhnya amat terkait dengan hal ibadah manusia seharian dan ia tidak harus dinilai sebagai hal kebiasaan. Maka, kerana itulah sambutan Awal Muharam ini amat besar pada pandangan kebanyakan ulama' Islam. Ia merupakan satu pernyataan kesungguhan terhadap nilai kehambaan kepada yang Maha Memiliki kehidupan kita ini. Tambahan pula bagi kita, Zulhijjah itu penentu penutup sesuatu tahun dan Muharam itu masuknya kepada tahun yang baru. Setiap tindak tanduk kita, apabila memulakan sesuatu, pastinya kita mahukan agar ia dimulakan dengan segala kebaikan. Ibarat memulakan perniagaan baru, atau berpindah ke rumah baru, kita pasti terbiasa dengan menjamu tetamu atau orang yang kita kenali khususnya jiran-jiran kita. Maka, begitulah tabiatnya kita apabila menyambut tahun baru Hijrah.

Muharam dari sudut bahasa terdapat empat maksud. Ia bermaksud disucikan, yang tidak dibolehkan, yang dimuliakan, tidak boleh disentuh. Jika kita nilai sambutan Awal Muharam kita melalui empat maksud ini, pasti akan memberikan manfaat yang terbaik buat diri kita. Muharam yang bermaksud disucikan sebagaimana yang digelarkan 'tanah haram' kepada Mekah. Berazamlah untuk menjadikan diri kita pada tahun 1442 ini suci dari segala macam maksiat dan sifat buruk dan perbaikilah segala sikap buruk yang ada. Usaha membersihkan diri dari segala kotoran dosa bukan hanya dengan memperbanyakkan kebaikan, bahkan kita dituntut untuk bertaubat dan memohon ampun dari Allah s.w.t. sebagaimana firman Allah dalam surah Al-An'am ayat lima puluh empat yang bermaksud, "Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: "Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Muharam juga bermaksud yang tidak dibolehkan sebagaimana syarat-syarat yang dikenakan kepada si pemakai 'ihram'. Menyucikan dari dosa harus seiring dengan usaha menjauhkan diri dari perkara yang boleh menjadi penyebab kepada dosa walaupun hanya pada kadar perkara yang harus apatah lagi syubhah. Memelihara diri dari perkara yang dilarang dalam agama bukanlah semata-mata perkara yang membatalkan wudhu', puasa, solat atau haji bahkan perkara-perkara yang boleh membatalkan iman kita. Berhati-hatilah kerana yang kita khuatirkan pada saat kita melangkah masuk ke tahun baharu Hijrah ini, hati kita masih terikat kuat kepada kepercayaan atau keimanan yang menyekutukan Allah s.w.t., bukan lagi dengan patung berhala, tetapi dengan nikmat dunia hingga hilang nilai hamba kita. Ihram itu sendiri memberikan pelajaran kepada pemakainya, kita bukan sesiapa, dan semuanya adalah atas kehendak dari DIA. Ia juga bermakna kemuliaan, jika kita rujuk kepada perkataan Melayu dari asalnya bahasa Arab iaitu hormat. Mereka yang dihormati adalah mereka yang dimuliakan. Kita sebagai manusia sendiri telah dimuliakan dan menjadi tanggungjawab kita juga untuk memuliakan bulan ini dengan perbanyakkan puasa. Tentu hebat perhitungan Allah s.w.t. apabila sesuatu amal mulia dilakukan oleh makhluk yang dimuliakan pada tika dia beramal di hari atau masa yang dimuliakan oleh Allah s.w.t..

Muharam juga membawa maksud tidak boleh disentuh. Jika kita merujuk kepada larangan berperang di dalam bulan-bulan haram sebagaimana firman Allah s.w.t., jika kita kenangkan makna lain disebalik larangan berperang itu adalah mewujudkan kedamaian atau berdamai. Tidak boleh disentuh pula memberikan gambaran pada kita bahawa sesuatu yang dijaga. Maka, pendamaian adalah sesuatu yang wajib kita wujudkan dan wajib kita jaga agar dapat kita lihat kehidupan yang aman dan harmoni. Namun hakikat ini amat mendukacitakan apabila kita melihat situasi peperangan dan serangan yang berlaku baru-baru ini. Perjanjian UAE dan Israel pula dinilai sebagai satu pengkhianatan bagi sesetengah pihak dan ada juga yang berpendapat, dari sudut jangka masa panjang, ia boleh membawa kepada kebaikan setelah pertelingkahan panjang yang berlaku antara Palestin dan Israel yang mengakibatkan kematian ratusan ribu umat manusia. Perjanjian Hudaibiyah juga memperlihatkan sisi bersetuju dan tidak bersetuju sahabat Baginda sallallahu'alaihiwasallam kepada keputusan tersebut.

Kesimpulannya, pasakkanlah azam dalam diri kita menyambut tahun 1442H ini dengan meletakkan kedamaian kehidupan sebagai keutamaan disamping kita memperbaiki diri kita untuk lebih baik sesama manusia dan memperbaiki perhubungan keinsanan agar kehidupan lebih bahagia dan aman. Mulakanlah tahun ini dengan pelbagai kebaikan sama ada istiqamah dengan apa yang telah diperbuat atau memulakan sesuatu yang belum diperbuat bahkan memberikan sokongan kepada perkara baik yang orang lain buat dalam keadaan kita tidak mampu buat. Semoga Allah s.w.t. merahmati tahun 1442H kita.

Wednesday, August 19, 2020

SISWA DAN KEPEDULIAN

Terdapat persoalan yang perlu kita jawab bersama, mengapa anda ingin jadi mahasiswa? Persoalan ini mungkin pernah ditanya ketika dibangku sekolah lagi. Tetapi pernahkah soalan ini ditanya ketika kita sudah bergelar mahasiswa? Apabila persoalan ini dilontarkan ramai yang menjawab dengan spontan, kerana saya ingin menjadi orang berjaya. Saya ingin jadi orang yang berjasa, berkerjaya, punya masa depan yang cerah serta ramai juga kerana menginginkan kehidupan yang mewah.

Apabila disingkap kewujudan mahasiswa di Malaysia, apakah tujuan Malaysia melahirkan seramai-ramainya graduan universiti dalam dan luar negara adalah tidak lain dan tidak bukan untuk melahirkan seramainya tenaga mahir dalam sektor-sektor pekerjaan, baik dari segi kakitangan awam mahupun swasta. Ini jelas apabila Malaysia sudah berada seiring dengan negara-negara membangun dan maju. Akhirnya, secara tidak langsung, telah terbina dalam minda mahasiswa dan dalam jiwa-jiwa mereka berhala-berhala besar, yang apabila belajar, menjadi mahasiswa, yang memenuhi hati mereka ialah gaji besar, rumah besar, kereta besar serta kehidupan yang mewah.

Peranan 1: Mahasiswa Perlu Trampil dan Wibawa
Ketrampilan mahasiswa merupakan satu persoalan yang besar yang patut kita fikirkan bersama. Bagaimanakah ketrampilan mahasiswa yang wibawa? Adakah dengan berpakaian jubah bertopi pada hari graduasi atau sekadar sama seperti orang lain?

Mahasiswa harus trampil dengan ciri-ciri hebat sebagaimana kita lihat sarjana-sarjana hebat Islam pada satu zaman dahulu. Mereka bukan sahaja menjadi 'icon' bahkan model sehinggakan mereka disebut-sebut namanya sehingga hari ini. Ketrampilan mereka bukan sahaja dari sudut penampilan peribadi seorang tokoh akademik, tetapi wibawa mereka membawa tanggungjawab dan amanah seorang yang berprinsip serta berpegang kepada tali Allah.

Ketrampilan tokoh-tokoh ini lahir dari prinsip keagamaan mereka yang sangat kuat. Kefahaman agama yang mendalam serta meluas. Apa sahaja pengamalan dan kajian mereka akan berasaskan kepada Al-Hak dan kepada-Nya lah mereka akan memohon petunjuk dan pembelajaran. Sejak dari kecil lagi mereka telah berada hampir dengan agama mereka iaitu Islam. Maka tidak hairanlah jika kita lihat hari ini, ramai diantara kita bergelar sarjana, tetapi pencapaian kita sangat jauh ketinggalan dari apa yang mereka perolehi. Kita wajar dan wajib percaya bahawa, ketrampilan yang hebat datang dari kelompok manusia yang berfikir tidak henti-henti dan mencari kebenaran tentang Yang Maha Pencipta.

Kemudian itulah akan wujud wibawa dalam diri setiap anak cucu nabi Adam yang hidup di dunia ini. Apabila Al-Ilah ini telah bertapak dalam hati, hanya DIA-lah yang berhak atas manusia, maka apa sahaja yang dilakukan, belajar, bekerja, berfikir, bersosial dan sebagainya hanyalah kerana Allah. Wibawa ini lahir dari jiwa bersih, ikhlas, sifat patuh dan taat yang sangat tinggi pada agama serta perasaan rendah diri kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Wibawa ini berpunca dari sifat hamba manusia kepada Sang Penciptanya. Wibawa ini akan menjadikan seorang mahasiswa yang sentiasa prihatin terhadap persekitarannya. Mengapa begitu? Inilah bukti kata-kata Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud, "Kamu umat terbaik yang dilahirkan dari kalangan manusia. Mengajak kepada perkara kebaikan dan mencegah dar perkara yang mungkar dan beriman kepada Allah".

Apabila kata-kata Allah ini dinilai dengan akal manusia, siapa yang selayaknya digelar umat terbaik? Adakah kita tidak mahu menjadi sebahagian dari mereka? Inilah cabarannya, menjadi mahasiswa yang trampil dan wibawa, mampu untuk menjadi yang terbaik dikalangan yang terbaik serta sentiasa prihatin terhadap persekitarannya, mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah.

Peranan 2: Cintakan Ilmu dan Kasihkan yang Berilmu
Firman Allah di dalam Al-Quran, "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Menciptakan manusia dari tanah".

Ilmu merupakan asas pembentukan jatidiri kita sebagai manusia. Ilmu tidak terhad kepada hal-hal yang berkaitan dengan peperiksaan kita sahaja bahkan apa sahaja yang mungkin menjadi pengetahuan dan iktibar untuk kita. Satu soalan kita perlu lontarkan untuk diri kita, kenapa kita belajar?

Tujuan belajar ialah untuk mengeluarkan diri kita dari keadaan jahil, bodoh atau tidak tahu. Maka, dimana sahaja apabila kita mendengar, melihat, memahami, mahupun mempelajari, kalau ia baru, dan kita baru tahu, maka itulah ertinya belajar. Belajar ini sangat penting terutama untuk pendokong agama, pendakwah muda pada hari ini. Ia juga berkaitan dengan pembudayaan ilmu.

Cintakan ilmu bermakna sentiasa dan berkeinginan untuk belajar, belajar dan belajar. Setiap ruang waktu yang ada akan diisikan dengan aktiviti pembelajaran. Sebagai mahasiswa, cintakan ilmu sahaja tidak mencukupi kerana setiap ilmu yang diperolehi, perlu diamalkan, diajarkan dan disebarkan. Maka barulah keberkatan pada ilmu tadi hadir dalam diri kita. Ilmu tidak berkurangan apabila dicurahkan kepada orang lain, ia bertambah dan akan terus bertambah.

Ilmu juga, bukan sahaja berkaitan dengan pengamalan. Setiap ilmu perlu ada gurunya dan guru itu perlu dirapati dan dikasihi. Inilah yang digelarkan sebagai pembudayaan ilmu. Menghadiri kelas adalah sumber ilmu, kuliah di masjid juga sumber ilmu, bermuzakarah juga sumber ilmu. Pembudayaan ini lebih mudah jika dilakukan dalam bentuk usrah. Usrah, mempunyai elemen lengkap dalam proses kita untuk membudayakan ilmu. Kita berkongsi, bersama beramal serta bersama menuju kepada sumber ilmu.

Peranan 3: Menjadi Ajen Perubah
Apakah perasaan yang digambarkan apabila anda tamat belajar sebagai graduan? Gembira bukan? Selepas Nabi Adam, dianugerahkan ilmu oleh Allah s.w.t, maka darjatnya diangkat, lebih mulia dari semua penciptaan-Nya. Ilmu menjadikan darjat kita lebih tinggi. Tetapi pernah tidak kita terfikir, bahawa setiap ilmu yang kita ada, jika tidak kita amalkan, kita tegakkan, kita sebarkan akan berdosa? Wajarlah sebenarnya kita berfikir, apabila menjadi graduan, semakin banyak ilmu kita, maka semakin banyaklah tanggungjawab kita kepada masyarakat. Ilmu ini diperolehi setiap masa, maka, mungkinkah kita mampu untuk kumpulkan semuanya dan sampaikan semuanya serentak?
Pastinya kita ingat sebuah hadith yang sabdanya bermaksud, "Terputuslah dunia apabila mati seorang anak Adam itu kecuali 3 padanya iaitu; (1) doa anak yang soleh, (2) sedekah jariah dan (3) ilmu yang bermanfaat".

Bayangkan jika, esok malaikat Izrail datang bertamu, adakah kita telah mempunyai anak yang soleh untuk mendoakan kita? Banyakkah sedekah kita yang telah keluarkan kepada mereka yang selayaknya? Adakah ilmu-ilmu kita telah kita manfaatkan atau orang lain mendapat manfaat darinya? Seorang mahasiswa, dengan yang ilmu yang penuh didada, perlu mengaplikasikan ilmu itu kepada masyarakat sekitarnya, bermula dari keluarga sendiri. Menjadi ajen perubah bermakna, membawa perubahan dan penghijrahan dari kurang baik kepada lebih baik. Ia adalah amanah risalah nabi yang menuntut kita untuk berdakwah kepada setiap manusia yang hampir dengan kita.

Rasa kepedulian kepada sosial adalah rasa yang terbentuk hasil dari jiwa yang subur dan ikhlas berkhidmat kepada Tuhan Maha Penciptanya. Peduli terhadap sosial adalah disebabkan rasa empati terhadap masyarakat. Rasa peduli ini hanya akan wujud dalam masyarakat yang mementingkan kebersamaan, kemasyarakatan dan disokong dengan rasa percaya dan terbuka dalam kelompoknya. Teras kepada pembinaan khayra ummah perlu bermula dari mahasiswa yang berperanan dan terbaik, dari segenap seginya, jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Kesimpulannya, siapa pemuda yang kita lahirkan hari ini, akan membina negara dan masyarakat masa depan. Peranan mahasiswa sebagai orang berilmu sangat penting dalam menbina teras pembentukan khayra ummah. Mahasiswa perlu memperjelaskan matlamat hidup, menjadi mahasiswa yang trampil dan wibawa dalam agamanya, ilmu menjadi teras pembinaan jatidirinya (pembudayaan ilmu), serta menjadi pencetus idea pergerakan dan perkembangan (ajen perubah) dalam masyarakat setempatnya. Sikap yang betul terhadap ilmu akan menjadi ilmu itu sebagai ajen kepada diri. Ilmu sebagai ajen untuk  teroka diri, ubah sikap, nilai diri dan evolusi pemikiran kita.

Tuesday, August 18, 2020

DAYA FIKIR YANG KUAT BUAT ORANG YANG SABAR DAN SYUKUR

Al-Quran telah memberikan pelbagai ciri dan tanda orang-orang yang bersabar dan bersyukur. Untuk mereka, Allah s.w.t. telah berikan daya fikir yang tinggi, rasional, keprihatinan yang sensitif terhadap pelbagai perkara yang tidak menyenangkan atau melanggar perintah serta sunnatullah dalam kehidupan sebagai manusia. Inilah sebahagian petanda orang yang yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t..

Keupayaan orang-orang yang bersabar dan bersyukur ini dalam mentafsir apa yang dilihat apa yang dirasa adalah amat tinggi. Ini memudahkan mereka memahami dan merasai teguran serta hikmah yang Allah s.w.t. tunjukkan dihadapan mata mereka melalui pelbagai kejadian dan pengalaman. Oleh yang demikian, bagi insan yang bersyukur, apabila tidak ditimpakan musibah atau masalah, maka mereka akan mengucapkan alhamdulillahi rabbil 'alamin (segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam). Bahkan bagi orang yang benar rasa syukurnya, ia tidaklah terbatas dengan ucapan sedemikian sahaja, bahkan mereka akan bertindak pada kadar keperluan dan kemampuan mereka. Maka, syukur yang sebenar bukanlah hanya dengan ungkapan lidah semata-mata tetapi juga tindakan, kerana ada perasaan untuk berkongsi kebaikan itu dengan orang lain.

Apabila diberikan nikmat memiliki kereta, maka kereta itu tidak kedekut untuk memberi tumpang kepada si pejalan kaki. Apabila ada duit, maka tidak bakhil untuk menyumbang pada jalan Allah s.w.t.. Bahkan apabila ada masa lapang, tidak sukar untuk memberikan pertolongan serta melakukan perkara yang memberikan manfaat kepada orang lain. Apa yang lebih besar lagi, apabila kita mempunyai nikmat iman, maka ia bukanlah hanya untuk diri sendiri, bahkan berdakwah untuk disampaikan kepada orang lain. Sesuai dengan makna syukur iaitu mengakui nikmat dan menampakkkannya. Menurut Imam Al-Ghazali, syukur merupakan salah satu maqam (tempat) untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t..
Sabar pula membawa makna menahan. Menurut Rasyid Ridho, sabar ialah menghadapi sesuatu keadaan sukar atau susah dengan perasaan redha, ikhtiar dan penyerahan diri. Atau dalam makna lain, sabar ini mencakupi tiga aspek penting iaitu sabar dalam melaksanakan segala perintah Allah s.w.t., sabar dalam menjauhi dosa dan maksiat serta sabar dalam menghadapi kesulitan dan dugaan. Bagi manusia yang sabar, setiap dugaan dan kesusahan itu akan didahului dengan kalimah innalillahi wa inna  ilaihi raji'un (sesungguhnya dari Allah s.w.t. ia datang dan kepada-NYA ia kembali). Pastinya, ia perlu juga dituruti dengan tindakan segera bangkit dan tidak ada istilah putus asa di dalamnya. Bagi orang yang bersabar Allah s.w.t. telah berikan gelaran yang baik buat mereka sebagaimana gelaran Al-Muhsinin di dalam surah Hud ayat 115 serta Al-Muttaqin di dalam surah Ali Imran ayat 15 hingga 17.

Ini amatlah bersesuaian dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Tidakkah Engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahan Nya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur." (Luqman 31: 31)

Monday, August 17, 2020

INTIPATI BELAJAR S.M.A.R.T. DALAM BELAJAR BERKUMPULAN

Pembelajaran perlu diberikan perhatian oleh semua pihak khususnya ibu bapa yang sedang bersama berusaha membesarkan anak-anak mereka. Ini tidak bermakna, untuk mereka yang dewasa untuk melupakan dunia pembelajaran mereka. Cuma, dalam menyediakan diri untuk belajar, ramai dikalangan pelajar gagal memberikan tumpuan memastikan pembelajaran mereka itu berkesan dan memberikan impak yang maksimum.

Belajar S.M.A.R.T. membawa satu pendekatan dimana pelajar bukan sahaja menyediakan diri dari sudut fizikal mereka, bahkan mental dan emosi dalam memastikan diri mereka bersedia sebelum belajar dan mendapat impak maksimum selepas belajar. Belajar S.M.A.R.T. yang diperkenalkan IQ Class Management ini mengandungi 5 elemen penting dalam merencana dan mempersiap diri untuk belajar. Belajar S.M.A.R.T. inilah yang menjadi tunjang kepada penyusunan modul Belajar Berkumpulan Cara S.M.A.R.T. kami.

S – Strategic Planning
Pelajar akan dilatih untuk memiliki pemikiran yang strategik dalam merencana pelan kejayaan masa hadapan termasuk pelan pembelajaran mereka sehingga tamat pengajian di pelbagai peringkat termasuk juga bimbingan untuk pembinaan matlamat jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Pelajar perlu mempunyai pandangan serta matlamat yang jelas ke mana masa belajar itu dihabiskan dan apa yang sepatutnya mereka perolehi dari masa yang digunakan. Ia juga berkaitan dengan persiapan sebelum memulakan pembelajaran. Kadangkala kerap kita melihat mereka yang memulakan pembelajaran tidak cukup alatan atau buku rujukan yang tertinggal.

M – Mind Setting
Pelajar juga akan latih untuk fokus kepada apa yang dicitakan serta cabaran untuk mencapainya. Ia akan menumpukan kepada pembinaan kekuatan minda dan emosi dalam menghadapi pelbagai kemungkinan sepanjang proses pembelajaran berlangsung, bahkan sebarang gangguan itu juga adalah sebahagian dari proses pembelajaran mereka. Apabila telah jelas apa yang ingin dicapai dan persiapan yang baik, datang usaha untuk mengekalkan usaha kearah mencapai matlamat tersebut. Ini yang disebutkan 'istiqamah'. Usaha ini amat sukar kerana sebagai pelajar, tentu banyak perubahan disebabkan gangguan-gangguan yang berada dipersekitaran mereka. tetapi ia tidak mustahil jika kita benar-benar ikhlas untuk mencapai apa yang ditujui tadi. Ada caranya.

A – Attitude Change
Pelajar akan memahami peranan ilmu dan kepentingan memilikinya. Di sini, sikap akan dibentuk dan diperkukuh bagi membolehkan mereka terus kehadapan. Resepi utama kejayaan seseorang adalah bergantung kepada sikapnya sendiri bukan intelektualnya. Salah sikap terhadap ilmu adalah punca sebenar penghalang kepada kejayaan pelajar. Kejayaan yang dibincangkan bukan sekadar mengumpul A, bahkan tentang perkembangan kehidupan mereka pada masa akan datang.

R – Read, Record, Repeat
Pelajar akan diajarkan menggunakan teknik yang berkesan dalam pelajaran. Sudah tentu, teknik juga perlu betul dan tepat. Ada 3 proses penting dalam pembelajaran khususnya di sekolah atau universiti iaitu kemahiran membaca, menyimpan maklumat atau nota dan kemahiran mengeluarkan semula input-input tadi. Penerapan nilai rasa bertanggungjawab (responsible) juga akan diutamakan supaya belajar bukan kerana paksaan tetapi kerana ia adalah tanggungjawab.

T – Time Management
Masa adalah emas. Membincangkan tentang aspek penting dalam membina kejayaan iaitu pengurusan masa. Sesuai dengan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Asr yang menunjukkan kepentingan masa apabila Allah s.w.t. bersumpah dengan masa. Begitu juga dengan kecemerlangan dan kejayaan, ia ada berkaitan dengan faktor masa, sebelum berjaya, semasa berjaya dan selepas berjaya.

Saya catatkan ini sebagai penjelasan umum kepada modul bimbingan Belajar Berkumpulan yang saya dibangunkan bersama IQ Class Management beserta beberapa modul sokongan lain bagi memastikan pembelajaran yang berkesan serta sistemik dan sistematik. Moga ia dapat membantu anak-anak kita dalam merencana corak pembelajaran yang sesuai.

Sunday, August 16, 2020

PRA SYARAT FASILITATOR MUSLIM BAHAGIAN 3

Punya Cita-cita Yang Jelas
- Fasilitator Muslim harus sedar, sejak mereka kecil, jauh di dalam lubuk hati mereka telah diperdengarkan cita-cita tentang kehidupan beragama dan bertuhan. Cita-cita ini tidak harus padam dan disamping cita-cita besar ini, harus ada juga cita-cita lainnya yang menuju ke arah cita-cita yang besar. Sebagai contohnya, ada diantara kita yang bercita-cita untuk menjadi peguam. Sebelum kita berjaya menjadi seorang peguam, pasti ada impian-impian atau cita-cita yang kita perlu capai sebelumnya bukan? Ya, begitu jugalah apabila kita menjadi Fasilitator Muslim. Maka, di dalam kelompok bimbingan mereka harus ada penetapan cita-cita dan matlamat yang sepatutnya mereka penuhi dan capai.

Sentiasa Mengajak Kepada Kebaikan - Memberikan nasihat dan peringatan adalah tugas hakiki seorang fasilitator. Penegasan positif seperti ini harus ada dan ia adalah keperluan pada setiap tutur kata seorang Fasilitator Muslim itu. Katanya bak mutiara dan sentiasa menjadi harapan dan ditunggu-tunggu oleh kelompok bimbingannya. Mengelak dari berburuk sangka serta sentiasa mendahului setiap perbuatan dan perkataan dengan nasihat yang menghidupkan hati mereka yang bersamanya. Kadangkala ajakan itu bukan dalam bentuk jemputan dengan kata-kata, tetapi memadai dengan berbuat baik agar menjadi ikutan untuk sesiapa yang melihatnya.

Mencegah Perkara Yang Buruk - Usah pula dilupakan, bahawa pencegahan merupakan tindakan paling mujarab dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau penyakit. Maka, pencegahan ini memerlukan sedikit komitmen serta keberanian untuk menyatakan yang hak kerana rata-rata fasilitator hanya berani menyatakan kebaikan tetapi amat keberatan untuk menegur kemungkaran. Kebenaran itu memang pahit, namun untuk menghadapinya perlukan juga kesabaran dan ketekunan. Kemungkaran tidak harus dihadapi dengan kekerasan, kerana yang kita mahukan perlakuan bukan kerana takut tapi kerana faham.

Iman Menjadi Tunjang Dalam Kehidupan - Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Kamu adalah ummat yang terbaik yang lahir dari kalangan manusia, ajaklah dengan perkara kebaikan dan cegahlah perbuatan mungkar serta berimanlah kepada Allah”. Maka sempurnalah seruan untuk menjadi ummat yang terbaik apabila 2 perbuatan di atas ditutupi dan dihiasi dengan keimanan. Fasilitator, secara amnya ditugaskan untuk melakukan 2 perkara di atas. Mereka ditegah dari mengeluarkan kata-kata yang kesat serta perbuatan yang menyebabkan hilangnya motivasi dalam diri peserta. Maka, perintah yang ketiga itu melengkapi tanggungjawab dan peranan sebagai Fasilitator Muslim yang perlu memahami amanah aqidah tersebut serta meyakininya. Gagal menekuni iman maka, terumbang-ambinglah peranan seorang Fasilitator Muslim.

Berdisiplin, Berdedikasi dan Berdeterminasi - Orang-orang yang beriman, akan meletakkan seluruh jiwa raga mereka di dalam setiap usaha yang ingin mereka bangunkan di dalam masyarakat mereka. Tidak syak lagi, hasilnya, seorang Fasilitator Muslim akan mempunyai disiplin yang tinggi, berdedikasi terhadap amanah serta tidak pernah mengenal penat dan lelah di dalam melaksanakan tugasnya. Keikhlasannya terserlah melalui kesungguhan dan kemahuannya untuk belajar dan mengajar.

Maka, inilah yang akan menjadi tunjang dan merupakan pra-syarat utama sebelum seorang fasilitator itu bergelar Fasilitator Muslim. Apabila mereka ini berada di dalam kelompoknya, hadirnya dia dirasai dan hilangnya dia dirindui. Adakah kita sebegitu di dalam kelompok kita atau sebaliknya? Jom kita fikirkan dan saya mengharapkan, dengan adanya catatan ringkas melalui pengalaman saya yang sedikit ini, akan membuka ruang dan mata para pembaca tentang pentingnya seorang Fasilitator Muslim serta memahaminya adalah suatu kemestian jika anda memilih ini sebagai sebahagian dari usaha dakwah anda. Selamat membaca.