Monday, August 10, 2020

TIGA CARA MELATIH KEKUATAN MINDA

Belly Breathing
Lebih banyak kita menggunakan minda, lebih tajam pemikiran. Lebih banyak idea-idea kreatif tercetus secara tiba-tiba. Berfikir lebih banyak, membayangkan sesuatu lebih banyak dari biasa dapat mengaktifkan minda, tapi tidak akan menjadikan kita gila seperti yang dikatakan oleh kebanyakan orang skeptik dan orang-orang pesimis. Terdapat 3 cara yang pernah dicadangkan kepada kita untuk melatih kekuatan minda. Pertama adalah dengan cara perbanyakkan menyelesaikan permasalahan matematik. Seharusnya ia dilakukan dengan kadar yang pantas. Latih diri kita menyelesaikan masalah-masalah matematik yang mudah tapi dilakukan dengan sangat kerap dan sangat pantas. Sebagai contohnya 12X36, 35+42, 342-177. Selesaikannya melalui bayangan minda atau melalui tulisan di atas kertas. Lakukan dengan cepat! Lebih banyak kita berlatih, kita menjadi semakin cekap, lantas menjadikan minda kita semakin bertenaga, aktif akhirnya semakin tajam. Otak kita juga sepertimana otot pada tubuh kita. Pasti kita pernah melihat seorang tua yang sakit terlantar atas katil. Kaki mereka akan menjadi semakin kecil disebabkan otot-otot mereka tidak digunakan sehingga menjadi kecut. Begitu juga dengan otak kita. 'Malas fikir' atau 'ntah lah' adalah antara kalimat yang boleh mematikan keupayaan otak kita untuk cerdas.

Cara lain pula adalah dengan bersuara kuat seperti menyanyi, bersyarah, berucap, membaca dengan kuat dan juga disarankan untuk melakukannya dengan kerap. Latih diri bersuara dengan kuat kerana bunyi suara kita akan merangsang tahap getaran saraf neuron di dalam otak, dan membuat ribuan neuron menjadi aktif akibat pergerakan arus elektrik yang pantas di antara hujung neuron dengan hujung neuron yang dekat dengannya. Pergerakan darah kita juga semakin lancar lantas menjadikan tubuh semakin ringan bertenaga, bebas dari sikap malas, bertangguh dan berat nak buat kerja. Kadang kala berat untuk melakukan sesuatu, malas dan bertangguh bukan hanya kerana sikap negatif, tetapi juga berpunca dari kurang keyakinan diri dan sering berpandangan negatif kepada diri sendiri. Boleh kita sama bayangkan bagaimana yakinnya diri orang yang sedang marah, apabila nada suaranya dipaskan dengan kuat bahkan kita akan perasan, telinga mereka merah akibat marah. Ini bukan bermakna menjerit itu bagus ketika marah, tetapi tahap keyakinan yang ditonjolkan ketika itu sekaligus menjadi bukti juga pada mereka yang bersuara lantang dan bercakap dengan penuh keyakinan. Kesediaan untuk menyampaikan sesuatu untuk orang lain dengari secara tidak langsung merangsang otak sendiri untuk bekerja bagi mendapatkan kesempurnaan dalam penyampaian tersebtu.

Akhir sekali, adalah melalui pernafasan yang terarah. Tarik nafas perlahan-lahan dalam kiraan 7 saat, tahan selama 7 saat, lepas perlahan-lahan dalam kiraan 10 saat. Lakukan berulang-ulang dengan kerap, minda kita akan lebih aktif. Dalam ilmu 'brain gym', ia diperkenalkan juga sebagai 'Belly Breathing'. Duduk tegak atau berdiri tegak dan letakkan tangan kanan di dada dan tangan kiri di atas perut. Bernafas mengikut kiraan tadi dan pastikan perut kita kembung ketika menarik nafas dan kempis apabila nafas dilepaskan. Lakukannnya sebanyak 30 kali, dengan pertukaran kedudukan tangan dipertengahannya. Latihan ini amat baik untuk pelajar dan orang yang bekerja dalam bidang kreatif seperti penulis, pelukis, arkitek, pereka grafik, pencipta lagu, pencipta produk, jurnalis. Bagaimana yang dikatakan minda yang kuat? Kita menjadi semakin matang, semakin bijak, dapat membuat keputusan dengan betul dalam masa yang singkat serta akan dapat memperoleh gerak hati yang tajam. Kita juga dapat mencetuskan idea-idea unik dan memperoleh ilham berterusan disamping mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Kita mudah terfikir penyelesaian yang orang lain tak terfikir langsung, kemudian boleh menganalisa masalah menggunakan logik lalu menyelesaikannya menggunakan daya kreatif Anda. Lagi satu, kita dapat menggunakan otak kiri dan otak kanan dengan lebih seimbang tanpa kita sedari, sesuatu yang tak ramai dari kita berjaya mencapainya. Gunakan ia sebaik mungkin.

No comments: