Remaja adalah usia peralihan dan perubahan. Ia termasuk tahap berfikir. Oleh sebab yang demikian remaja sangat memerlukan sokongan dan perhatian bagi membentuk diri mereka. Mereka amat memerlukan bimbingan dan setakat melalui pengalaman saya membangunkan program-program latihan dan bimbingan dengan remaja melalui pelbagai pendekatan, mereka sebenarnya lebih suka didengari berbanding mendengar. Namun, dalam sistem kekeluargaan, keadaan ini jarang berlaku dan ini akan menjadi faktor permasalahan pada diri mereka dikala emosi mereka juga dalam keadaan bercampur baur. Mereka mengharapkan perhatian, penghargaan serta kepercayaan pada keupayaan mereka. Keadaan ini akan bertambah parah sekiranya peranan ibu bapa itu tidak dijalankan dengan cara yang bersesuaian dengan permasalahan mereka.
Seperkara yang harus menjadi pertimbangan apabila melibatkan anak remaja dalam memberikan mereka bimbingan khususnya untuk membantu mereka dalam menyelesaikan masalah dalam diri mereka. Kita perlu menilai diri mereka adakah permasalahan itu timbul kerana mereka terlalu dimanjakan atau terabai sepanjang perkembangan diri mereka? Jika terlalu dimanjakan, maka kemanjaan bagaimana yang telah kita lakukan kepada mereka. Perlu dijelaskan kepada mereka atas kesilapan itu dan nyatakan bahawa keadaan ini perlu ada perubahan dan ia tidak boleh diteruskan demi kelangsungan kehidupannya yang lebih baik pada masa akan datang. Jika mereka terasa diri mereka terabai, maka perlu ibu bapa memperbaiki hubungan dan meluangkan masa untuk mengatasa permasalahan tersebut. Keduanya perlukan pengorbanan. Namun, asas yang penting dalam memulakan langkah ini adalah mewujudkan komunikasi yang berkesan dengan anak remaja kita.
Untuk membantu diri kita dan anak-anak remaja menyelesaikan masalah, berikut adalah empat langkah sebagai panduan asas dalam proses penyelesaian masalah. Mulakan langkah pertama hingga ke langkah seterusnya. Langkah penyelesaian masalah ini perlukan bimbingan dari persekitaran, jika yang membaca ini catatan saya ini seorang remaja, maka, libatkanlah ibu, bapa, abang, kakak yang telah dewasa atau guru-guru dalam usaha menyelesaikan permasalahan ini. Jika anda seorang yang dewasa dan berhasrat untuk membantu anak atau mana-mana individu remaja, maka bantu mereka untuk menyediakan langkah-langkah ini. Sebaiknya, seorang bagi satu-satu masa.
Pertama, fahamilah masalah dan saya ingatkan. Elakkan diri untuk berasa sugul atau menganggap diri seorang yang malang. Tingkatkan semula rasa diri berharga. Tiada masalah yang kekal. Masalah muncul untuk mematangkan, mendewasakan lantas menjadikan semakin positif. Cuba fahami perasaan ketika berhadapan dengan permasalahan tersebut. Fahami situasi kejadian, siapa yang bersama serta peranan mereka yang bersama itu dalam memahami permasalahan mereka. Dapatkan sebanyak mungkin maklumat yang berkaitan dan punca-punca kejadian dan elakkan dari kita menuding jari kepada yang lain melainkan setelah berlaku pertimbangan dan mendapat maklumat yang jelas. Peringkat pertama, jelaskan kepada mereka apakah masalah mereka agar mereka memahami apa yang sedang dilalui dengan cara yang paling baik. Ketika ini, penting untuk memahami masalah dari dalam dan luar. Mencari alasan atau mencari salah adalah sesuatu yang mesti dielakkan kerana itu akan menjadi punca kepada masalah yang berlarutan. Namun dalam kita menggali punca masalah itu, berhati-hatilah, fokus kepada masalah. Masalah adalah umpama kita menggali lubang. Makin kita mencari punca masalah, samalah macam makin dalam makin dalam kita menggali lubang itu. Akhirnya kita akan menggali sedalamnya sehinggakan tidak nampak jalan keluar dan bingung bagaimana untuk keluar pula.
Kedua, mula bertanya tentang bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut. Mulalah membuat senarai apakah cara-cara yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah itu. Tanya dan terus tanya. Cara ini bagus untuk membuat minda separa sedar terfokus pada penyelesaian masalah lalu ia akan menarik penyelesaian-penyelesaian masalah, bukan menambah berbagai lagi masalah yang membebankan masalah sedia ada. Apa yang banyak kita fikirkan, itulah yang akan muncul dalam hidup kita. Mula bimbing anak remaja yang punya masalah ini dengan pelbagai kisah inspirasi yang boleh dikaitkan dengan permasalahan tersebut. Cara terbaik untuk melakukannya juga dengan memberikan penekanan kepada kekuatan dan peluang yang mereka ada untuk melakukan sesuatu. Tindakan yang hendak diambil mestilah perkara yang boleh dikawal bukan luar kawal. Ketiga, mulakan catatan segala bentuk penyelesaian masalah yang difikirkan. Masalah akan lebih cepat diselesaikan apabila ia diakui dan perjelaskan dengan catatan kita sendiri. Catatan adalah satu bentuk luahan yang boleh mengurangkan bebanan pemikiran dalam diri kita. Rugi besar jika hanya memikirkan penyelesaian tapi gagal menulis setiap satu penyelesaian yang muncul di fikiran. Apabila menulis penyelesaian, ia akan membantu diri untuk melakar strategi dan akan menampakkan jalan penyelesaian masalah. Kemudian, muncul keyakinan bahawa masalah itu boleh diselesaikan.
Keempat, bertindak dan tuliskan untuk rekodkan perkembangan prestasi diri. Inilah yang kita namakan diari. Diari adalah satu bentuk luahan yang berkesan untuk mengenalpasti keadaan emosi kita. Curahkan lebih banyak masa kepada melaksanakan tindakan. Walau sukar bagaimana sekalipun, fokuskan bertindak. Hanya tindakan berterusan yang akan menyelesaikan masalah. Dalam konsisten bertindak, tuliskan perkembangan usaha tersebut. Selepas beberapa ketika, baca semula catatan tersebut. Pastinya kita akan dapat melihat dan merasai masalah semakin sampai ke penghujungnya, lantas membuatkan diri kita semakin bersemangat untuk menyelesaikannya. Apa saja masalah boleh diselesaikan dengan mengambil kira empat langkah ini, termasuk masalah kewangan. Kesimpulannya, untuk menyelesaikan masalah, jangan kita melarikan diri darinya, tetapi hadapilah ia dengan jiwa yang besar dan kental. Sokongan dan dorongan dari orang disekitar kita amat ditagihkan dalam menghadapi ujian getir perkembangan hidup khususnya buat anak-anak remaja kita. Jangan mudah putus asa dan jangan cepat mengalah. Alah bisa tegal biasa.

Comments