Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Qasas ayat 76 yang bermaksud, "Sesungguhnya Qarun adalah salah seorang daripada kaum Musa, kemudian dia telah aniaya bangsanya. Telah kami berikan kepadanya perbendaharaan harta yang banyak, sehingga anak-anak kunci gudang-gudangnya amat berat dipikul oleh sejumlah orang yang gagah."
Nama Qarun tidak asing dalam masyarakat kita sehingga wujud aktiviti mencari harta karun. Qarun adalah seorang pemuda yang merupakan sepupu kepada Nabi Musa alaihissalam. Menurut Qatadah bin Di'amah Qarun mempunyai suara yang merdu apabila membaca Taurat sehingga diberikan gelaran Al-Munawwar. Qarun adalah seorang pemuda yang miskin dan naif tetapi memiliki pengetahuan yang sangat tinggi. Dia merupakan seorang pengikut yang setia kepada Nabi Musa 'alaihissalam sehinggakan, oleh kerana dihimpit kesusahan hidup yang amat sangat, dia meminta kepada Nabi Musa untuk mendoakannya agar berlaku perubahan dalam kehidupannya serta berjanji akan menjadi hamba yang taat dan bersyukur walaupun dianugerahkan dengan pelbagai nikmat dan kesenangan. Permintaannya diperkenankan Allah s.w.t. melalui ilham yang disampaikan kepada Nabi Musa, lalu diajarkan kepada Qarun ilmu kimia sehingga dapat menghasilkan emas. Maka, bermulalah episod kekayaan dalam kehidupan Qarun sehingga diriwayatkan kekayaannya berada dimana sahaja dan berupaya membina sebuah kapal berlantaikan tembaga serta berdindingkan emas dan perak. Begitulah kisah insan yang Allah anugerahkan kekayaan dalam kehidupannya namun akhirnya terlupa dan berpaling sehingga ditenggelamkan bumi akibat dari fitnah yang dia lemparkan kepada Nabi Musa 'alaihissalam.
Kisah kekayaan ini juga amat sinonim dengan Sulaiman putera Daud. Baginda merupakan seorang nabi dan Raja yang Agung. Baginda turut diutuskan kepada umat Bani Israel dan oleh kerana Nabi Daud 'alaihissalam merupakan seorang raja, maka, pada usianya seawal 13 tahun, Baginda telah ditabalkan menjadi raja tambahan pula, pada usia semuda itu, Baginda telah memiliki kebolehan serta kepandaian dalam pemerintahan dan baginda sangat terkenal sebagai pemerintah yang hebat. Kekayaan Baginda tidak terjangkau akal dan tidak terkira banyaknya kerana Baginda mempunyai kebolehan mengetahui di mana letaknya harta-harta yang tersembunyi di perut bumi. Baginda hidup dengan penuh kemewahan dan kehebatan di istana. Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Naml ayat 15 hingga 16 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman; dan keduanya mengucapkan: ‘Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman.’ Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan dia berkata: ‘Hai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu, sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata."
Bahkan baginda menadahkan tangan dan berdoa sebagaimana petikan dari surah Shod ayat 35 yang bermaksud, “Ia berkata, 'Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahilah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seseorangpun sesudahku.'” Namun, kekayaan dan kehebatan ini tidak langsung menjadikan nafsu Baginda liar dan tidak berpenghujung sebagaimana nenek moyangnya, Qarun itu. Baginda berkata sebagaimana yang telah difirmakan oleh Allah s.w.t. di dalam surah An-Naml ayat 19 yang bermaksud, “maka dia tersenyum dengan tertawa karena (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa, 'Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau ridhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh.'"
Secara kesimpulannya, Allah s.w.t. telah memberikan bukti yang jelas bahawa kekayaan dan kejayaan keduanya datang dengan keluasan ilmu. Nasib, peluang dan ancaman bukan tempat untuk kita bergantung dalam menjamin kehidupan yang lebih baik. Ketiganya itu hanyalah alat dari Allah s.w.t. untuk menguji hamba Nya sama ada menjadi orang yang bersyukur atau kufur. Menelusuri dua sejarah di atas, maka fahamilah bahawa kehidupan yang terbaik adalah berlandaskan perkembangan ilmu pengetahuan. Apatah lagi apabila kita perkaitkan kehidupan ini dengan kerja dakwah dan kebajikan. Mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, pastilah juga paksinya adalah ilmu pengetahuan. Adalah salah jika seseorang yang memilih untuk berdakwah hanya meletakkan diri semata-mata di dalam urusan Allah s.w.t. tanpa ada sebarang usaha dan rasa tanggungjawab sebagai hamba. Soal pengakhiran kehidupan sudah tentu ia adalah doa yang sering kita ungkapkan, "Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata, 'Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.'" (Al-Baqarah ayat 201).
Maka, adalah menjadi keutamaan bagi para pendakwah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan kerana di dalamnya tersimpan rahsia kekayaan dan kejayaan manusia itu sendiri. Ilmu dengan pelbagai dasar dan keutamaan harus dicermati dan dihayati agar memberikan kesan yang lebih baik demi kelangsungan hidup apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan dakwah dan pendakwah. Kealpaan kini mula menyelubungi kehidupan anak muda apabila kemajuan mula mengejar dan menghimpit kehidupan mereka. Kemajuan tidak seharusnya menjadi sebab mengapa pembudayaan ilmu perlu dibelakangkan bahkan dalam serba-serbi kemajuan, ilmulah yang perlu menjadi teman pembangunan diri sebagai insan bukan kemajuan. Kisah keduanya di atas telah memberikan gambaran keutamaan ilmu dalam membina kekayaan dan kejayaan, walaupun penyudahnya jauh amat berbeza. Perbezaan itu adalah disebabkan oleh kejituan hati terhadap hidup berTuhan dan mengenal Tuhan. Kayu ukur sebenar kekayaan dan kejayaan bukan pada apa yang dicapai atas dunia kerana miskin atau kaya, gagal atau berjaya, tanpa iman, keduanya akan membawa kepada kemiskinan dan kegagalan selamanya, tetapi sebaliknya miskin atau kaya, gagal atau berjaya, dengan iman, pasti dijanjikan dengan kejayaan dan kekayaan yang kekal selamanya.

Comments