Timbul persoalan dalam pemikiran para pendakwah, bolehkah hati yang keras menjadi lembut? Jawapannya terlalu mudah tetapi untuk memahami dan menjadikan ia satu pegangan dalam usaha dakwah itu amat sukar. Bagi para pendakwah itu melihat hasilnya tidak mungkin dalam waktu yang singkat melainkan perlu melalui pelbagai fasa dalam usaha dakwah itu. Ambillah pelajaran dari surah Nuh ayat 7 yang bermaksud, "Dan sesungguhnya aku, setiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau-lampau."
Ayat ini menjelaskan bagaimana penolakan yang dilakukan oleh kaum Nabi Nuh apabila diseru untuk beribadah kepada Allah s.w.t.. Baginda telah berdakwah dan berbakti selama lebih 950 tahun untuk kepada kaumnya yang mana tempoh dakwah Baginda yang panjang itu tidak berlaku dalam sejarah nabi lain sama ada sebelum atau selepasnya. Hal ini sepatutnya menjadi pengajaran cukup besar bagi kita bahawa istiqamah dalam perjuangan adalah asas yang tetap dan tidak akan berubah-ubah sampai ke hari kiamat. Istiqamah ini juga pernah disarankan Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam apabila Sufyan bin Abdillah bertanya kepada Baginda, "Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku mengenai Islam suatu ucapan yang aku tidak akan bertanya lagi mengenainya kepada seorang pun selainmu. Baginda bersabda: Katakanlah, "Aku beriman kepada Allah kemudian beristiqamahlah." (Riwayat Muslim)
Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam telah memberikan kita satu contoh yang tiada tolok bandingnya dari sudut akhlak dan kesabarannya berdakwah kepada umat dan untuk umat. Dahulu sehingga ke hari ini. Benarlah jika ada yang berkata, apa sahaja yang dibacakan ini, tidak samalah beratnya dengan apa yang diperbuat, dan itulah makna sebenar dakwah. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud, "Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan Allah dan hari akhirat serta banyak berzikir kepada Allah."
Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam telah memberikan bukti bahawa tiada kekerasan yang boleh dilembutkan dengan kekerasan. Allah telah menjelaskan di dalam surah Al-Baqarah ayat 74 bagaimana batu yang keras, pecah, keluar air mata air darinya hanya kerana takutkan kepada Allah s.w.t., namun hati manusia boleh jadi lebih keras dari pada itu. "Kemudian setelah itu hati kalian menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai darinya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah, lalu keluarlah mata air darinya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kalian kerjakan."
Kekerasan hati boleh dilembutkan tetapi perlu ada keyakinan bahawa hati itu adalah milik Allah s.w.t. bukan milik manusia untuk menilainya. Allah s.w.t. amat berkuasa untuk mengubahnya. Allah s.w.t. boleh mengubah dari yang buruk kepada yang baik, dari yang keruh kepada yang jernih dari yang keras sebagaimana Umar Al-Khattab kepada lembut. Maka para pendakwah seharusnya menjadikan Al-Quran itu sebagai petunjuk dan para Nabi dan Rasul sebagai ikutan sepanjang masa. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nahl ayat 102 yang bermaksud, "Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan Al Quran itu dari Tuhanmu dengan benar, untuk meneguhkan (hati) orang-orang yang telah beriman, dan menjadi petunjuk serta khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)."
Perbanyakkanlah mengingati Allah s.w.t. khususnya dalam usaha dakwah itu sendiri kerana sesungguhnya dakwah itu tugas kita, hidayah itu milik Allah s.w.t.. Berzikirlah sentiasa agar kita sentiasa dekat dengan Nya, tidak mudah berputus asa bahkan lalai kerana kebaikan-kebaikan yang kita lakukan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ar-Ra'd ayat 28 yang bermaksud, "(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." Yakini dan fahamilah ayat-ayat Allah s.w.t. agar terus dibimbing hati dan fikiran kita untuk Nya. Elakkan dari banyaknya melakukan dosa serta mengeluarkan kata-kata dusta apatah lagi berlandaskan agama dan bersandarkan kepada Baginda Rasul sallallahu'alaihiwasallam.
Tanpa bimbingan dari Allah, kita sendiri sebenarnya akan terlalu mudah untuk lalai akan keduniaan kita sendiri. Anugerah kelebihan keluarga yang baik, pendapatan yang lumayan, ruangan masa yang lapang untuk berdakwah juga mampu mewujudkan kesombongan dan akhirnya kita akan suka mengikuti hawa nafsu dalam melontarkan perkataan kita kerana punya kelebihan berbanding orang lain. Akhirnya datang sifat dengki dan berburuk sangka yang pasti akan memberikan kesan yang jauh lebih negatif kepada kita dan usaha dakwah kita. Ingatlah dalam surah At-Taubah ayat 85 Allah s.w.t. telah berfirman, "Dan janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki akan mengazab mereka di dunia dengan harta dan anak-anak itu dan agar melayang nyawa mereka, dalam keadaan kafir."
Segerakanlah segala kebaikan yang mampu kita lakukan dan tolong-menolonglah dalam perkara kebaikan itu sesuai dengan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud, "Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman sebelum (kedatangan) mereka, mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka; dan mereka mengutamakan, atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung."
Segala pesanan ini bukanlah hanya dalam usaha dakwah untuk mengharapkan lembutnya hati mereka yang didakwahkan, bahkan, hati kita sendiri seharusnya tidak dibiarkan keras hanya kerana merasa cukup dan tidak mahu merenungi semula kekuasaan dan penciptaan Allah s.w.t.. Kekhuatiran paling besar adalah apabila kita sibuk berdakwah kepada orang lain, kita membiarkan diri kita sendiri yang lalai dan keluar dari keimanan kepada Allah s.w.t.. “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Al-Baqarah: 44)
Comments