Pernah dengar orang kata "bukan senang nak senang"? Bagaimana pula "bukan susah nak susah"? Pernyataan sebegini akan lahir dari lidah mereka yang pernah melalui kehidupan serta mengambil setiap butir pengajaran daripadanya. Mereka amat menghargai segala pelajaran yang diperolehi sepanjang perjalanan kehidupan yang penuh dengan dugaan dan pancaroba. Sebab itu mereka amat percaya, untuk berjaya tidak semudah seperti yang disangka oleh sebahagian kita. Pasti akan ada ujian dan dugaan bagi memastikan kita itu layak untuk mengecapi kejayaan yang diharapkan. Kesenangan hanyalah untuk mereka yang tidak pernah kenal erti lelah dan kalah. Kesenangan bagi mereka bukanlah satu kejayaan yang mutlak, sebaliknya hanya satu tahap pencapaian untuk ke tahap yang lebih tinggi lagi selepas itu. Kesenangan tidak pernah datang bergolek. Usahlah terpedaya dengan kesenangan ramai orang di media-media sosial, kerana pasti, disebalik kesenangan itu tersimpan pelbagai cerita dan pengalaman yang pastinya amat terkesan buat mereka untuk sampai ke tahap itu. Jika mereka tiada semangat yang tinggi serta teguh, pasti mereka tidak akan mampu untuk menggambarkan sedemikian di dinding media sosial mereka. Kesabaran dan ketekunan membuahkan hasil bak kata Denzel Washington dalam satu ucapannya, "Hardwork, works!"
Roda kehidupan kita amat mudah untuk kita fahami. Setiap kehidupan manusia tidak bermula dengan berlari. Semua kita sedar hakikat ini dan kehidupan sebenarnya adalah cerminan waktu kita sejak dari kecil lagi. Untuk mencapai kesenangan yang dihajatkan, akan melalui fasa jatuh dan bangun, senyum, ketawa, menangis, merajuk, hampa dan pelbagai perasaan yang saling bercampur baur yang menjadikan kehidupan itu penuh dengan warna dan kepelbagaian yang menjadi bekal pengalaman yang amat berharga. Senyjm dan tawa kita disambut dengan tepukan dan pujian, sedih dan hampa kita didokong dengan pujuk dan kata-kata semangat sepanjang perjalanan untuk mencapai tahap untuk kita mampu berjalan selepas bertatih, lalu berlari. Dokongan ini merupakan penguat sewaktu kita masih kecil, tangisan air mata dikesatkan dan kemudian dipujuk kita untuk terus mencuba sehingga berjaya. Bukti itu cukup untuk kita nyatakan bahawa kesenangan itu jalannya susah.
Bersangka baiklah dengan Allah s.w.t. dikala kita berhadapan dengan kesusahan. Berdasarkan kepada hadis Jabir, beliau berkata, "Aku mendengar Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam bersabda tiga hari sebelum Baginda wafat, 'Ketahuilah bahawa seseorang dari kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada Allah'. Sunat bagi orang yang menghadapi kematian untuk bersangka baik kepada Allah s.w.t.. Ini bermakna, ujian kehidupan ini, penamatnya adalah kematian dan di saat itupun manusia disarankan Nabi untuk bersangka baik dengan Tuhannya. Jika kita bersama merujuk pula kepada hadis riwayat Ibnu hibban, “Aku Allah, menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Jika dia menyangka baik kepada Aku, maka baginya kebaikan sangka baiknya kepada Aku dan jika dia menyangka dengan sangkaan buruk kepada-Ku, maka baginya sangkaan buruknya kepada-Ku.” Maka seharusnyalah kita sentiasa bersangka baik dengan Allah s.w.t. dalam urusan kehidupan kita walau sebesar manapun ujian yang ditimpakan Allah s.w.t. buat kita dalam usaha mencari kesenangan kehidupan kita di dunia. Jalannya adalah melalui doa, zikir dan solat. Inilah sebenarnya saluran sebenar kita untuk mendapatkan bantuan dari Allah s.w.t.. Firman Nya di dalam surah Al-Insyirah ayat lima hingga enam bermaksud, "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."
Bentukkan pemikiran yang positif terhadap keupayaan diri. Tuhan telah menjadikan kita sebagai makhluk yang terbaik, maka seharusnya kita berusaha untuk menghasilkan juga yang terbaik. Segalanya berbalik kepada tahap penerimaan kita terhadap ketentuan dari Tuhan. Pemikiran positif adalah cara pemikiran yang menumpukan ke arah keupayaan dan bukan ketidakupayaan. Ia termasuk melihat kepada aspek positif bagi setiap keadaan. Pada asasnya, ia melihat pada aspek yang baik bagi sesuatu perkara. Penilaian kebaikan hanya ada pada mereka yang sentiasa ingin melihat kebaikan. Mencari kesalahan atau kelemahan bukan ciri pemikiran positif. Apatah lagi apabila menjadikan segala kesalahan dan kelemahan itu sebagai sebab tidak mendapat kesenangan. Ramai antara kita sudahpun memiliki pemikiran yang positif. Namun, kadang-kadang wujud tidak rasional dalam pemikiran yang mengakibatkan kesilapan dalam berfikir. Kedua-duanya itu adalah punca utama menyebabkan terjadinya pemikiran negatif. Berfikiran negatif akan melahirkan emosi seperti tekanan, hasad dengki, benci, takut dan marah. Ia perlu diatasi segera kerana mampu mengakibatkan tingkah laku negatif seperti pergaduhan.
Perbanyakkan komunikasi yang sihat dan pergaulan yang dapat membantu perkembangan diri kita. Elakkan dari berasa malu dengan keadaan diri yang serba kekurangan. Kita sering kali mendengar pesanan, 'dalam mengejar kesenangan hidup di dunia, bandingkan dirimu dengan mereka yang lebih rendah, agar kita mampu menyedari bahawa, ada orang yang jauh lebih buruk keadaannya berbanding diri kita.' Oleh yang demikian, kita akan sentiasa menjadi insan yang rendah diri dan sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang yang dimiliki, tidak lagi berasa segalanya kekurangan. Komunikasi yang positif sebaiknya diwujudkan dalam perhubungan seharian kita dengan mereka yang ada disekitar kita agar mampu menarik tenaga yang positif juga dari mereka untuk diri kita. Pergaulan yang baik akan membuka lebih banyak ruang kesenangan buat kita. Komunikasi yang sihat dan baik ini bukan hanya dari sudut bahasa, bahkan tingkah laku yang menunjukkan kejujuran, keikhlasan serta kesungguhan dalam setiap perkara yang diaturkan untuk kita. Umpama resmi pokok buah, dibaling batu atau kasut, dibalas dengan buahnya. Firman Allah s.w.t. dalam surah Fussilat ayat tiga puluh empat yang bermaksud, "Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib."
Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata, “Tolaklah menghukum orang yang melakukan maksiat kepada Allah dalam dirimu sepertimana bila engkau melakukan ketaatan kepada Allah dalam dirinya.” Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata kepada bekas hambanya, “Hai Qunbur, biarkan orang mencelamu dan lupakanlah. Pasti kamu akan diredai Allah sehingga menimbulkan kemarahan syaitan.” Penyair pernah berkata, “Orang bodoh, dicaci jangan, dicela jangan. Diam sahaja baginya lebih menyeksakan.” Ada pula madah yang berbunyi, "Orang bodoh sukakan jawapan. Melawannya bukan dengan ungkapan. Diam sahaja itulah jawapan." Kesimpulannya, untuk mencipta kesenangan jalannya susah. Tetapi kesenangan itu akan datang kepada mereka yang sentiasa bersangka baik dengan Tuhannya, mempunyai pemikiran positif yang sentiasa memandunya serta komunikasi yang baik dengan persekitarannya yang akan memberikan dokongan kepadanya. Bersedialah diwaktu kita bersangka baik dengan Tuhan, akan didatangkan ujian. Maka hadapilah dengan pemikiran yang positif dan sentiasalah mendapatkan sokongan dan dokongan dari persekitaran kita yang pasti akan Tuhan tunjukkan jalan keluarnya juga kerana itulah yang telah dijanjikan untuk kita.
Comments