Maka, Fasilitator Muslim adalah salah satu jalannya, ruang dan kesempatan. Bagi mereka yang meminati dakwah melalui cara ini, maka tekunilah dan jadikanlah ia sebagai wadah untuk menyampaikan berita gembira juga peringatan buat manusia. Apabila ada dikalangan kita yang memilih jalan ini, seterusnya yakinilah ia. Jangan ada unsur keburukan dan ketidakbenaran di dalam usaha untuk menambah kebaikan diri kita. Ini kerana, dari pengalaman dan amatan saya di dalam dunia kefasilitatoran ini, ramai yang berubah niat dan tujuannya bahkan ada sebahagian cara mereka yang akhirnya mencemari kejituan dan semangat Fasilitator Muslim ini. Sebab itu akhlak seorang Fasilitator Muslim seharusnya menjadi sandaran utama. Akhlak tidak hanya terhad merujuk kepada cara berpakaian bahkan cara percakapan, pergaulan, pemikiran, tindakan serta keyakinan terhadap kewujudan Tuhan adalah sebahagian dari pembentukannya. Akhlak adalah manifestasi keIslaman dan keimanan kita kepada syariat serta Allah s.w.t.. Ia tidak langsung diberikan nilai sekiranya hanya merujuk kepada keupayaan berkata-kata serta melahirkan pandangan-pandangan bernas serta tajam apatah lagi sebagai seorang fasilitator, kemahiran bercakap bukan keutamaan sebaliknya kemahiran membimbing yang sentiasa ditagihkan.
Mensyukuri Nikmat Kurniaan Sebagai Manusia
Maka, berakhlak itu akan menjadikan Seorang Fasilitator Muslim itu berkewajipan menjadikan diri mereka sebagai seorang insan bersyukur dan mempunyai kesedaran hidup bertuhan dan beragama. Takutnya pada Allah s.w.t. dan jalannya sepertimana yang dirintiskan oleh para Rasul dan Nabi. Tiada yang ada pada dirinya itu adalah lebih baik berbanding dari orang lain kerana semua itu adalah kenikmatan sementara yang dipinjamkan Allah untuknya. Bahkan, tiada yang buruk pada orang lain itu adalah sesuatu yang perlu kekal dibenci kerana peranan pendakwah itu sendiri adalah untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan buat mereka. Kesedaran bahawa semua ini adalah nikmat yang dipinjamkan akan menjadikan seorang Fasilitator Muslim itu kerdil dan sentiasa mengharapkan keredhaan atas setiap tindak-tanduknya. Janganlah terpedaya dengan kemasyhuran sehingga mahukan nama disebut-sebut dan disanjung sehingga lupa bahawa itu boleh jadi baik dan buruk juga untuk diri kita. Nikmat kurniaan yang Allah berikan adalah yang terbaik untuk sesiapa sahaja yang mahu berfikir dan menggunakan keupayaan mereka dengan maksimum. Fasilitator Muslim, mestilah seorang manusia yang waras, rasional dan memiliki cita-cita yang besar di dalam dirinya agar dapat diberikan manfaat itu kembali kepada insan lain sebagai sebahagian dari pembersihan dirinya.
Menajamkan Akal Resipi Terbaik Fasilitator
Akan sampai satu ketika nanti, apabila anda kerapkali bertemu dengan peserta, mereka akan melontarkan pelbagai soalan dan juga mereka mula meminta pendapat. Pada saat itu, mereka sedang melihat anda sebagai orang yang terbaik yang pernah mereka temui atau andalah orang yang mereka percayai. Walaupun anda meminta mereka mengutip daun kering sekalipun, mereka beranggapan, pasti ada sesuatu pengajaran disebaliknya. Keistimewaan itu bukan kerana nama Fasilitator Muslim yang anda pakaikan pada diri, tetapi sebagai insan yang diberikan ilmu oleh Allah s.w.t. untuk dimanfaatkan. Ia adalah ujian, bukan untuk mereka yang tidak tahu, tetapi buat mereka yang tahu. Jika kita tergolong dalam kalangan yang tidak tahu, maka sudah pasti kita akan jauh dari persimpangan sebenar sebagai seorang Fasilitator Muslim. Penilaian kita akan semakin dangkal serta sikap kita akan berubah kerana tiada prinsip dan kepercayaan yang dipegang dan akhirnya kita akan penat dan berhenti dari mengajak kepada kebaikan akibat dari lakonan panjang yang memenatkan. Sebab itu, Fasilitator Muslim yang membudayakan pembacaan dalam hidupnya akan mampu berdiri tegak dan istiqamah melakukannya kerana mereka bukan hanya memberi bahkan ada maklumat yang hendak diberikan berbanding Fasilitator Muslim yang bercakap hanya berdasarkan 'rasa' bukan kerana dorongan pengetahuan dan maklumat.
Jika kita dipersoalkan mengenai sesuatu perkara yang tidak pernah terfikir dek akal kita suatu hari nanti, hah, adakah kita hanya akan membatu dan membiarkan diri pada takuk yang lama? Adakah kita akan biarkan mereka kehampaan kerana harapan mereka itu tidak dapat kita penuhkan? Adakah kita akan akur sahaja dan mengatakan, “kita bukan tuhan,” sedangkan usaha kita untuk memperbaiki diri kita tidak pada tahap yang boleh dibanggakan? Jom kita telusuri pengalaman dan kebijakan para sahabat dan sarjana Islam, bagaimana mereka dapat menyelesaikan masalah dengan baik dan memberikan keadilan kepada mereka. Jika kita ingin benar-benar menjadi Fasilitator Muslim, maka inilah tugas kita. Ketajaman akal hanya datang dengan ilmu dan ia akan menuntun kita kepada satu bentuk fikir yang luarbiasa hebat.

Comments