Alhamdullillah, kita dipanjangkan usia untuk melangkah masuk ke tahun baru 1442H hari ini pada tanggal 20 Ogos 2020M. Selama lebih kurang 354 hari mengikut kalendar lunar (bulan mengelilingi matahari) kita melalui tempoh kehidupan sebagai hamba kepada Allah s.w.t.. Sambutan Awal Muharam yang dirayakan oleh umat Islam khususnya di Malaysia adalah sebahagian dari rutinan tahunan sehinggakan dijadikan hari cuti umum buat seluruh rakyat Malaysia. Ini merupakan satu pembuktian dari sudut kuasa pemerintahan bahawa Islam merupakan agama rasmi Malaysia dan tahun Hijriyah merupakan tahun yang penting bagi kaum Muslimin kerana ia merupakan tahun perhitungan peribadatan. Pada zaman pra Islam, kaum arab jahiliyah telah menggunakan gelaran nama-nama bulan sebagaimana yang kita gunakan hari ini. Namun, dahulu mereka kerap menambah atau mengurangkan bilangan bulan atau hari tersebut bagi memenuhi keperluan sendiri. Jika berlaku peristiwa tertentu yang tidak berpihak kepada mereka, maka mulalah mereka menambah atau mengurangkannya bagi mengelakkan kecelakaan atau mengharapkan tuah bulan-bulan tertentu. Sudah menjadi kebiasaan kaum arab jahiliyah menjadikan bulan-bulan tertentu khususnya bulan-bulan haram seperti yang dinyatakan di dalam surah At-Taubah ayat tiga puluh enam dan tiga puluh tujuh ini sebagai bulan pemujaan dewa-dewa. Dewa itu diberikan sajian dan dibuatkan keraian, kononnya memperingati dewa-dewa tersebut sambil berpesta-pestaan bersama patung-patung yang mereka anggap mempunyai kuasa untuk memenuhi hajat-hajat mereka.
Firman Allah s.w.t. tersebut yang bermaksud, "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu; dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. Sesungguhnya perbuatan mengundurkan adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan yang telah diharamkan Allah; dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah untuk dipandang baik oleh mereka. Dan Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang kafir." (At-Taubah: 36 - 37)
Muharam juga amat sinonim dengan sambutan Ma'al Hijrah walaupun pada catatan kebanyaka para ulama' menukilkan bahawa hijrah Baginda sallallahu'alaihiwasallam telah berlaku di dalam bulan Rabi'ul Awal. Justeru, peristiwa hijrah Baginda lebih terkait dengan kelahirannya dan kewafatannya kerana dicatatkan berlaku hijrah itu di antara 2 hingga 12 Rabi'ul Awal. Sebenarnya, tahun peristiwa hijrah itu yang telah disandarkan atas kalendar Hijriyah dan ia telah diperkenalkan oleh Saidina Umar Al-Khattab 7 tahun selepas kewafatan Baginda ataupun 17 tahun selepas hijrah Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam. Penetapan penggunaan kalendar ini sesungguhnya amat terkait dengan hal ibadah manusia seharian dan ia tidak harus dinilai sebagai hal kebiasaan. Maka, kerana itulah sambutan Awal Muharam ini amat besar pada pandangan kebanyakan ulama' Islam. Ia merupakan satu pernyataan kesungguhan terhadap nilai kehambaan kepada yang Maha Memiliki kehidupan kita ini. Tambahan pula bagi kita, Zulhijjah itu penentu penutup sesuatu tahun dan Muharam itu masuknya kepada tahun yang baru. Setiap tindak tanduk kita, apabila memulakan sesuatu, pastinya kita mahukan agar ia dimulakan dengan segala kebaikan. Ibarat memulakan perniagaan baru, atau berpindah ke rumah baru, kita pasti terbiasa dengan menjamu tetamu atau orang yang kita kenali khususnya jiran-jiran kita. Maka, begitulah tabiatnya kita apabila menyambut tahun baru Hijrah.
Muharam dari sudut bahasa terdapat empat maksud. Ia bermaksud disucikan, yang tidak dibolehkan, yang dimuliakan, tidak boleh disentuh. Jika kita nilai sambutan Awal Muharam kita melalui empat maksud ini, pasti akan memberikan manfaat yang terbaik buat diri kita. Muharam yang bermaksud disucikan sebagaimana yang digelarkan 'tanah haram' kepada Mekah. Berazamlah untuk menjadikan diri kita pada tahun 1442 ini suci dari segala macam maksiat dan sifat buruk dan perbaikilah segala sikap buruk yang ada. Usaha membersihkan diri dari segala kotoran dosa bukan hanya dengan memperbanyakkan kebaikan, bahkan kita dituntut untuk bertaubat dan memohon ampun dari Allah s.w.t. sebagaimana firman Allah dalam surah Al-An'am ayat lima puluh empat yang bermaksud, "Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: "Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Muharam juga bermaksud yang tidak dibolehkan sebagaimana syarat-syarat yang dikenakan kepada si pemakai 'ihram'. Menyucikan dari dosa harus seiring dengan usaha menjauhkan diri dari perkara yang boleh menjadi penyebab kepada dosa walaupun hanya pada kadar perkara yang harus apatah lagi syubhah. Memelihara diri dari perkara yang dilarang dalam agama bukanlah semata-mata perkara yang membatalkan wudhu', puasa, solat atau haji bahkan perkara-perkara yang boleh membatalkan iman kita. Berhati-hatilah kerana yang kita khuatirkan pada saat kita melangkah masuk ke tahun baharu Hijrah ini, hati kita masih terikat kuat kepada kepercayaan atau keimanan yang menyekutukan Allah s.w.t., bukan lagi dengan patung berhala, tetapi dengan nikmat dunia hingga hilang nilai hamba kita. Ihram itu sendiri memberikan pelajaran kepada pemakainya, kita bukan sesiapa, dan semuanya adalah atas kehendak dari DIA. Ia juga bermakna kemuliaan, jika kita rujuk kepada perkataan Melayu dari asalnya bahasa Arab iaitu hormat. Mereka yang dihormati adalah mereka yang dimuliakan. Kita sebagai manusia sendiri telah dimuliakan dan menjadi tanggungjawab kita juga untuk memuliakan bulan ini dengan perbanyakkan puasa. Tentu hebat perhitungan Allah s.w.t. apabila sesuatu amal mulia dilakukan oleh makhluk yang dimuliakan pada tika dia beramal di hari atau masa yang dimuliakan oleh Allah s.w.t..
Muharam juga membawa maksud tidak boleh disentuh. Jika kita merujuk kepada larangan berperang di dalam bulan-bulan haram sebagaimana firman Allah s.w.t., jika kita kenangkan makna lain disebalik larangan berperang itu adalah mewujudkan kedamaian atau berdamai. Tidak boleh disentuh pula memberikan gambaran pada kita bahawa sesuatu yang dijaga. Maka, pendamaian adalah sesuatu yang wajib kita wujudkan dan wajib kita jaga agar dapat kita lihat kehidupan yang aman dan harmoni. Namun hakikat ini amat mendukacitakan apabila kita melihat situasi peperangan dan serangan yang berlaku baru-baru ini. Perjanjian UAE dan Israel pula dinilai sebagai satu pengkhianatan bagi sesetengah pihak dan ada juga yang berpendapat, dari sudut jangka masa panjang, ia boleh membawa kepada kebaikan setelah pertelingkahan panjang yang berlaku antara Palestin dan Israel yang mengakibatkan kematian ratusan ribu umat manusia. Perjanjian Hudaibiyah juga memperlihatkan sisi bersetuju dan tidak bersetuju sahabat Baginda sallallahu'alaihiwasallam kepada keputusan tersebut.
Kesimpulannya, pasakkanlah azam dalam diri kita menyambut tahun 1442H ini dengan meletakkan kedamaian kehidupan sebagai keutamaan disamping kita memperbaiki diri kita untuk lebih baik sesama manusia dan memperbaiki perhubungan keinsanan agar kehidupan lebih bahagia dan aman. Mulakanlah tahun ini dengan pelbagai kebaikan sama ada istiqamah dengan apa yang telah diperbuat atau memulakan sesuatu yang belum diperbuat bahkan memberikan sokongan kepada perkara baik yang orang lain buat dalam keadaan kita tidak mampu buat. Semoga Allah s.w.t. merahmati tahun 1442H kita.

Comments