Menghadapi realiti baru ini sungguh mencabar buat saya. Pada satu sudut pandangan, ia cuti yang merehatkan sungguh, dengan tempoh yang amat panjang. Pada awalnya saya berasa lega punya waktu untuk berada di rumah, namun semakin lama perasaan itu semakin berubah. Sudut pandangan yang pertama saya mula berubah masuk ke sudut pandangan kedua, di mana kesudahannya? Bagaimana dengan kerja saya? Dan yang lebih merisaukan bagaimana dengan kantong simpanan saya? Walaupun namanya bekerja sendiri, saya bukanlah seorang yang kreatif untuk membina pelbagai platform pendapatan. Saya seorang yang konsevatif, sukar untuk berubah dan suka melakukan perkara yang menjadi kebiasaan saya sahaja. Mencuba yang baru itu bukan tabiat saya walaupun ada juga cuba-cuba. Apabila Covid 19 melanda, kini saya termenung panjang bermuhasabah, saya di mana dan bagaimana masa depan saya. Rakan latihan lain mungkin punya perniagaan sampingan atau punya keberanian untuk menukar arus sementara, tetapi bagaimana saya?
Soalan ini terus bermain diminda saya dan lebih mengesankan apabila ada dikalangan adik-adik yang saya bimbing mereka, menghubungi saya dan bertanyakan tentang bagaimana dengan 'niche' mereka yang akan datang memandangkan mereka sudah tidak boleh berkumpul dan menganjurkan program. Mereka risaukan tentang pembangunan ahli mereka, kaderisasi mereka bahkan perubahan ahli sedia ada mereka yang berhadapan dengan pelbagai rintangan yang disebabkan oleh Covid 19? Saya berfikir sejenak, dalam hati turut terdetik, mereka fikirkan tentang orang lain, tentang apa nak buat, bagaimana nak teruskan? Mereka fikir? Permulaan suatu gerak kerja adalah dengan adanya pemikiran kecil yang berfokus kepada beberapa permasalahan yang timbul. Asalnya mungkin terlalu kecil, namun kita tidak pasti bagaimana ia akan berakhir sama ada berakhir kecil atau berakhir besar, sebab apa? Sebab tiada siapa yang pernah menyangka pun Covid 19 ini berakhir begini, yang asalnya dulu hanya beberapa kes kecil sahaja. Jadi begitulah corak apa-apa gerak kerja pun. Mestilah bermula dengan berfikir tentang permasalahan yang timbul. Asas ini perlu ada, dan menakjubkan, kerana mereka berfikir tentangnya.
Apabila ada pemikiran mengenai permasalahan kecil-kecil ini mungkin, maka timbullah niat untuk melakukan sesuatu untuk menambahbaik atau membantu menyelesaikan permasalahan itu. Niat itu baik dan niat itu sahaja sudah ada pahala untuknya insyaAllah. Cuma, bahagian melaksana yang perlukan kerja usaha yang gigih. Berhadapan dengan keadaan Covid 19, para pengendali kursus dan program berasa amat tertekan kerana perlu mengubah pendekatan secara drastik tanpa banyak pengalaman dan kesediaan. Itu antara kenyataan yang mesti ditelan dan mesti dilakukan perubahan yang bersesuaian. Pernah dulu saya bincangkan dengan rakan-rakan mengenai dunia latihan yang suatu hari nanti, kita tidak perlu hadir pun ke tempat latihan, mungkin hanya menggunakan hologram sahaja. Saya rasa masanya sudah semakin hampir dan atau mungkin ia patut berlaku sekarang. Sebab itu hari ini saya menulis luahan ini hari ini, walaupun sebenarnya sudah lama saya fikirkan.
Perhatian Saya
Meletakkan diri saya sebagai fasilitator dalam kerjaya saya, adalah berbohong jika saya katakan yang saya tidak risau kepada terjejasnya sumber pendapatan saya. Namun, yang lebih merisaukan saya adalah, apakah perasaan yang ditanggung oleh anak-anak yang tidak ke sekolah? Apakah nilai pembelajaran bagi mereka sebenarnya? Adakah persekolahan ini kerana 'emak kata kena pergi sekolah' atau kerana ilmu itu obor kehidupan? Persoalan ini menarik perhatian saya dan sepatutnya juga menarik perhatian para ibu bapa dan guru-guru juga. Bagi anak-anak yang bakal berhadapan dengan peperiksaan utama, SPM, STAM dan STPM, pada mereka, keadaan ini melambatkan proses pembelajaran dan mereka mula risaukan keadaan mereka yang kurang bersedia untuk mengambil peperiksaan. Mereka takut akan perubahan-perubahan yang berlaku di sekolah yang mungkin menjejaskan persiapan mereka. Mereka takut kerana apa? Kerana apa yang berlaku ini akan menjejaskan keputusan peperiksaan mereka. Adakah belajar ini untuk semata-mata keputusan peperiksaan? Semata-mata mendapat tempat untuk ke universiti? Ya, perhatian saya ini lebih membesar apabila membayangkan, sebahagian besar anak-anak yang dibatalkan peperiksaan mereka iaitu UPSR dan PT3, tersenyum lebar kerana, saya tidak perlu bersusah-susah lagi sebab tahun ini saya 'tak periksa'.
Norma baru ini rupanya membuka satu lembaran buat saya sebagai seorang fasilitator. Fasilitator yang terlibat secara khusus dalam program pembangunan pendidikan, saya mula menilai bahawa, selama hari ini, hala tuju pendidikan anak-anak kita ini sebenarnya amat jauh tersasar. Yang kita benamkan di dalam diri anak-anak ini untuk ke sekolah adalah kecemerlangan untuk mendapat keputusan yang terbaik tetapi bukan pada kepentingan ilmu dan proses pembelajaran. Ilmu adalah matlamat utama persekolahan dengan mengambil manfaat berakhlak serta beradab kepada mereka yang memberikan ilmu itu. Berbakti kepada para guru juga mengangkat mereka sebagai insan yang berjasa dalam kehidupan kita. Namun hari ini, hakikatnya saya sedar, para pendidik seolah-olah hanyalah mereka yang diberikan jawatan untuk dilaksana, 'yang penting kerja aku siap'. Bukanlah saya maksudkan semua, saya yakin ada yang menyerahkan sepenuhnya jiwa mereka untuk mendidik anak bangsa, tetapi kehendak pihak atasan tidak menghalakan kita kepada fokus pembinaan anak-anak terhadap keilmuan tetapi lebih kepada peperiksaan. Sebab itu, sebagai fasilitator, saya kerap dipanggil ke sekolah untuk memberikan motivasi peperiksaan dan apabila, terkena pandemik ini, maka saya berasa akan hilang semuanya kerana tiada lagi penekanan kepada peperiksaan, jika ada pun untuk pelajar nenengah atas yang akan meninggalkan persekolahan mereka.
Maka, sebagai fasilitator, saya memilih untuk tidak menamatkan kerjaya saya di dalam bidang ini, bahkan ia menjadi lebih utama sama ada menghasilkan pendapatan atau tidak. Kekayaan sesuatu bangsa bukan kepada banyaknya harta pusaka yang ditinggalkan tetapi kepada kayanya ilmu yang diwariskan. Saya ingin menggesa para fasilitator dan pendidik di luar sana untuk kita mula menyusun langkah baru untuk bangkit memperbaikinya.
Hidup Perlukan Ilmu
Kehidupan susah bukan kerana gagal peperiksaan. Kehidupan berjaya bukan kerana peperiksaan dapat A. Saya percaya, semua pendidik dan fasilitator bersetuju dengan saya. Maka, mengapa penilaian kejayaan anak-anak berdasarkan berapa peratus yang dapat A? Apa yang kita sibukkan dengan A? Asas utama yang kita perlu pasakkan dalam pemikiran anak-anak di sekolah adalah kehidupan kita perlukan ilmu dan ilmu akan menyebabkan kita boleh hidup. Ilmu perlu diperolehi dan didiklah anak-anak ini untuk mementingkan ilmu. Orang yang mementingkan ilmu akan hidup dengan beradab. Ilmu menyebabkan manusia panjang akalnya, rasional pemikirannya dan akan mampu mengawal emosinya. Maka, kempenlah ke sekolah kerana ilmu yang ada di sana bukan kerana peperiksaan yang akan dihadapi mereka. Peperiksaan hanya norma kepada pembelajaran tetapi bukan itu sebab utama.
Sekolah Sebagai Institusi Keilmuan
Maka, persekolahan harus mewujudkan suasana keilmuan. Apa makna persekolahan jika tiada di dalamnya adab dan ketamadunan? Apa makna persekolahan jika di dalamnya tiada budaya keilmuan? Pelajar yang suka membaca, suka bertanya, suka bereksperimen serta para guru yang gemar menimbulkan persoalan berdasarkan kehidupan, bukan hanya andaian untuk memenuhi keperluan peperiksaan. Guru yang menggalakkan pelajar berfikir dan melakukan sesuatu dengan bimbingan yang meninggalkan kesan di dalam hati mereka. Saya begitu teruja dengan filem hindustan Speed 30 lakonan Hitrik Roshan. Bagaimana gambaran penghargaan yang diberikannya kepada nilai keilmuan. Ya, mungkin cara pendidikan pasca Covid 19 ini dengan menonton filem kan?
Motivasi Cari Ilmu
Saya yang sering dijemput untuk beri ceramah untuk peperiksaan sebelum ini, sebenarnya sudah mula mengubah haluan motivasi saya kepada pelajar-pelajar yang saya jumpa. Pada saya, peperiksaan adalah rutinan tahunan, walaupun SPM atau STPM. Ia adalah rutinan. Ia dilihat besar kerana kita momokkan bahawa peperiksaan ini penentu hala tuju akan datang. Jika tidak berjaya dalam peperiksaan, 'tak dapat masuk U, nanti susah dapat kerja', itu zikir kita. Saya sudah mula ubah pesanan saya dalam ceramah-ceramah saya. Saya fokus kepada kejayaan sebenarnya bergantung kepada sikap manusia. Tidak kiralah sama ada mereka itu peperiksaannya A, B atau C, jika sikap mereka salah, maka kejayaan tidak akan ada bersama mereka. Bukti banyak, kita hanya perlu bukakan mata sahaja.
Pada saya mencari ilmu juga perlu ada sikap. Sebab itu, mesti ada adab kepada ilmu. Bermula dari menghargai ilmu sehingga menghargai tempat dapat ilmu dan penyampai ilmu itu sendiri. Semuanya terkait rapat. Mencari ilmu juga bersangkutan dengan keupayaan menggunakan akal untuk berfikir. Pengetahuan yang disuapkan, tidak akan jadi ilmu, tetapi maklumat yang dicernakan akan meninggalkan kesan bukan hanya kepada yang berusaha mendapatkannya tetapi manfaatnya akan turut dirasai oleh orang lain. Persoalannya adalah dari pada mana nak mula? Jawapan cliche saya, daripada DIRI SENDIRI.
Para pendidik harus mengiktiraf ilmu itu sebagai satu kemestian dalam kehidupan, Elaklah menyuap anak-anak didik kita dengan ilmu kononnya. Ilmu tidak boleh disuap, tetapi ilmu perlu digali dan dicari. Membiarkan mereka melakukan kesalahan itu sebahagian dari pembelajaran itu sendiri. Galakkan mereka buat dan biarkan mereka salah. Pandu mereka untuk betulkan dari apa yang mereka salah, bukan membetulkan apa yang salah. Galakkan mereka berfikir, kerana berfikir itu asas keilmuan. Kita usaha membetulkan diri kita sendiri tentang cara dan pendekatan kita dalam memperkenalkan dunia persekolahan kepada anak-anak kita. Saya telah fikirkan tajuk ceramah yang perlu saya bawa ke sekolah-sekolah akan datang. Tajuknya adalah "Ilmu Pelita Kehidupan, Belajarlah Untuk Menyalakannya".