Tuesday, April 7, 2026

Bisikan yang Membentuk Dosa dan Jalan Pulang yang Dilupakan


Ada dosa yang berlaku secara tiba-tiba. Tetapi kebanyakan dosa tidak bermula dengan tindakan sebaliknya ia bermula dengan satu bisikan, mungkin satu perbualan atau satu justifikasi kecil dalam hati. Maka,  ayat 114 hingga 121 Surah An-Nisa’ membuka satu lapisan yang sangat halus dalam kehidupan manusia tentang bagaimana dosa terbentuk dan ia bukan di tangan, sebaliknya di hati dan kata-kata.

Semua kita pada awalnya berasa bisikan yang ada dalam diri kita adalah biasa. Ayat 114 menyebutkan, “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka…”

Tidak ada kebaikan yang dijelaskan melalui firman ini kecuali mengajak bersedekah, mengajak buat baik dan berusaha mendamaikan perselisihan manusia dan dalam tafsir Ibn Kathir, najwa atau bisikan sering menjadi tempat lahirnya dosa seperti mengumpat, merancang sesuatu yang tidak baik atau menyebarkan persepsi negatif terhadap insan lain. Kita jarang merasa bersalah atas perbualan kita tetapi sedarlah, di situlah punca dosa bermula.

Ayat 115 pula membawa kita ke satu tahap yang lebih serius berkenaan keadaan apabila kebenaran telah nampak jelas, tetapi hati masih cuba menolak kebenaran itu. Ia termasuk menentang Rasul setelah jelas kebenarannya. Ini bukanlah tentang tidak tahu tetapi ini tentang manusia yang tahu tetapi tidak mahu ikut. Jika kita merujuk kepada tafsir Al-Tabari, ini adalah bentuk penyimpangan yang paling berbahaya kerana ia melibatkan kesedaran. Masalah terbesarnya bukanlah kejahilan tetapi keegoan yang menolak kebenaran.

Dosa adalah punca kepada terputusnya diri kita kepada segala sesuatu. Ini diingatkan dalam ayat 116 bahawasanya Allah tidak mengampuni syirik. Ini adalah asas penting berkenaan hubungan dengan Allah mestilah dijaga. Namun, pintu taubat sentiasa terbuka. Ini memberi keseimbangan antara takut dan harap.

Bagaimana syaitan bekerja? Ayat 117–119 membuka strategi syaitan secara jelas bermula dengan memberi janji, mencipta angan-angan dan kemudian mengubah fitrah manusia. Rujukan dari tafsir Al-Qurtubi menjelaskan, ini termasuk perubahan nilai dan cara manusia melihat perkara yang salah sebagai normal. Syaitan tidak memaksa sebaliknya dia meyakinkan. Dia tidak berkata: “buat dosa besar” tetapi dia akan kata: “tak apa…”, “sekali saja…” atau “semua orang buat…”

Apa yang berlaku sebenarnya, janji itu tidak pernah ditunaikan. Ini jelas melalui ayat 120 yang menyebutkan bahawa janji syaitan hanyalah tipu daya dan ini sangat dekat dengan kehidupan kita. Kita tangguh taubat kerana rasa sempat lagi. Kita ulang dosa kerana rasa nanti boleh berubah, betulkan? Syaitan tidak menjanjikan kebenaran. Dia hanya menjanjikan keselesaan sementara.

Apa yang kita khuatirkan adalah pengakhiran yang tidak diingini. Ayat 121 menutup dengan satu realiti yang tegas bahawa jalan yang salah akan membawa kepada akibat yang pasti dan tidak ada tempat lari daripadanya. Perkara ini adalah diakibatkan dari dosa yang tidak kita sedari. Ayat-ayat ini mengajak kita melihat satu sudut yang jarang kita lihat iaitu bukan dosa besar yang menghancurkan kita tetapi dosa kecil yang kita biasakan seperti perbualan yang kita anggap biasa, sangkaan yang kita simpan atau alasan yang kita ulang. Semua ini secara perlahan membentuk hati dan mengubah arah hidup kita.

Tanyalah diri kita dengan jujur, berapa banyak perbualan kita membawa kepada kebaikan? Berapa banyak pula yang hanya memenuhi masa atau lebih buruk, membawa dosa? Adakah kita menolak kebenaran kerana ia sukar atau kerana kita tidak mahu berubah? Berapa banyak “tak apa” yang kita ulang sehingga ia menjadi kebiasaan? Akhir sekali, satu soalan yang paling dalam, adakah kita sedar kita sedang berubah atau kita hanya hanyut tanpa sedar?

Saudaraku, sedarlah. Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan suara, penuh dengan perbualan dan penuh dengan pengaruh tetapi sangat kurang kesedaran, penapisan dan kejujuran. Media sosial pula menjadikan dosa lebih mudah, bisikan lebih kuat dan normalisasi lebih cepat. Ayat ini datang sebagai alarm, berhenti seketika, perhatikan hati kita dan nilailah semula arah tuju kita.

Kitalah sendiri yang paling wajar untuk memulakan perubahan. Tapislah perbualan yang tidak membawa manfaat. Sedar pada bisikan hati sendiri bahawa tidak semua yang kita fikir itu benar seperti yang pernah dialunkan oleh kumpulan nowseeheart dalam lagu bertajuk fatwa hati. Lawan penilaian-penilaian yang kecil kerana di situlah dosa bermula. Jom kita kembali kepada Allah segera. Jangan tunggu sempurna untuk berubah.

Kesimpulannya, ayat 114 hingga 121 surah an-nisa’ mengajar satu hakikat yang sangat halus iaitu kita tidak jatuh secara tiba-tiba. Kita jatuh sedikit demi sedikit tanpa sedar dan mungkin inilah muhasabah yang paling penting untuk kita timbulkan, dosa apa yang sedang kita biasakan hari ini? Ke mana pula ia sedang membawa kita? Pada akhirnya, jalan yang kita pilih tidak bermula dengan langkah besar tetapi ia bermula dengan bisikan kecil yang kita benarkan.

Monday, April 6, 2026

Dosa yang Disembunyikan, Iman yang Dipertahankan



Ada dosa yang dilakukan di hadapan manusia dan ada dosa yang dilakukan dalam diam tanpa sesiapa tahu. Tetapi ayat 106 hingga 113 Surah An-Nisa’ mengingatkan satu hakikat yang tidak boleh dielakkan iaitu tiada satu pun yang tersembunyi daripada Allah. Mungkin, dosa yang paling merosakkan bukan yang besar di mata manusia tetapi yang kecil yang kita ulang, tanpa rasa bersalah.

Istighfar merupakan ibadah antara lisan dan kejujuran hati. Ayat 106 bermula dengan satu perintah yang kelihatan ringan, “Mohonlah ampun kepada Allah…”

Namun dalam tafsir Ibn Kathir, ini bukan sekadar amalan tambahan. Ia adalah keperluan berterusan. Istighfar bukan sekadar lafaz. Ia adalah pengakuan bahawa kita tidak sempurna tetapi masalah manusia hari ini bukan tidak beristighfar. Masalahnya ialah kita beristighfar tetapi tidak berubah. Kita mengaku salah tetapi masih mempertahankannya.

Inilah yang berlaku apabila kesetiaan mengalahkan kebenaran. Ayat 107 melarang kita membela orang yang khianat. Ini sangat berat kerana dalam kehidupan sebenar, kita sering berhadapan dengan situasi apabila kawan kita salah, keluarga kita bersalah atau orang “kita” melakukan kesilapan dan kita diuji, mempertahankan hubungan atau mempertahankan kebenaran. Tidak semua kesetiaan itu benar. Kesetiaan yang menutup kebenaran adalah bentuk pengkhianatan.

Ayat 108 menggambarkan manusia yang seperti dosa yang disembunyikan. Mereka bersembunyi daripada manusia tetapi lupa bahawa Allah sentiasa melihat. Ini sangat dekat dengan realiti kita. Kita menjaga imej di media sosial, di hadapan orang dan dalam perbualan tetapi bagaimana dengan ketika kita bersendirian? Ketika tiada siapa melihat? Pada saat inilah iman sebenar diuji.

Siapa agaknya yang Akan Membela Kita di Akhirat? Ayat 109 bertanya, “Siapa yang akan membela mereka pada hari kiamat?”

Ini satu soalan yang sangat menakutkan. Sewaktu kita di dunia, kita boleh mencari alasan, mendapatkan sokongan dan membina naratif. Tetapi di akhirat hanya kebenaran yang tinggal. Apapun keadaan, pintu taubat yang sentiasa terbuka. Ayat 110 membawa cahaya di tengah kegelapan bahawa sesiapa yang berbuat dosa, kemudian beristighfar, Allah akan mengampuni dan dengan itu, ia menunjukkan bahawa Islam tidak menutup pintu dan Islam juga mengajak kembali cuma ada satu syarat yang tidak disebut secara literal, tetapi difahami iaitu kejujuran.

Berhentilah menyalahkan orang lain. Ayat 111 menegaskan dosa itu kembali kepada diri sendiri. Ini sangat penting. Manusia suka cakap “keadaan yang buat aku jadi begini”, “orang lain yang bersalah”. Tetapi Al-Quran memotong semua alasan itu. Perubahan hidup bermula apabila kita berhenti menyalahkan. Ini akan menjadi punca kepada fitnah dan dosa yang berganda. Ayat 112 menyebut tentang orang yang melakukan kesalahan dan kemudian menuduh orang lain. Ini bukan sekadar dosa. Ini adalah dosa yang berlapis dan dalam dunia hari ini, ini berlaku setiap hari. Apabila dia salah mula menyalahkan orang lain. Bila gagal adalah yang  dicari untuk dikambing hitamkan. Bahkan apabila berdosa, mereka mencipta naratif sendiri. Kadang-kadang kita tidak hanya salah tetapi kita cuba kelihatan benar.

Allah melindungi kita dengan ilmu dan hidayah. Ayat 113 menutup dengan satu mesej yang sangat menenangkan bahawa Allah melindungi Nabi daripada disesatkan. Allah mengajarkan apa yang tidak diketahui. Ini menunjukkan bahawa ilmu adalah perlindungan dan hidayah adalah benteng. Tanpa kedua-duanya, manusia mudah terjatuh dalam kesilapan yang sama berulang kali.

Ayat-ayat ini mengajak kita masuk ke dalam satu ruang yang sangat sunyi iaitu ruang antara kita dan Allah. Ruang itulah yang menjadi tempat untuk mewujudkan niat yang sebenar, dosa sebenar berlaku, kejujuran sebenar diuji dan mungkin inilah yang paling menakutkan, kita boleh menipu semua orang tetapi kita tidak boleh menipu Allah. Cuba tanyakan pada diri kita dengan jujur, berapa banyak dosa yang kita anggap kecil, tetapi kita ulang tanpa rasa bersalah? Berapa kali kita mempertahankan diri walaupun kita tahu kita salah? Berapa kali kita menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahan diri? Berapa banyak istighfar yang kita baca yang benar-benar datang dari hati, bukan sekadar di bibir? Persoalan yang paling dalam adalah Siapa kita sebenarnya, ketika tiada siapa melihat?

Kita hidup dalam zaman yang menghargai imej lebih daripada kejujuran, menghukum secara terbuka, berdosa secara tersembunyi dan cepat meminta maaf, tetapi lambat berubah. Ayat 106–113 datang sebagai pembetulan bahawa iman bukan tentang apa yang dilihat tetapi tentang apa yang tersembunyi.

Saya syorkan langkah perubahan yang jujur. Perbanyakkanlah istighfar dengan kesedaran dan bukan sekadar lafaz, tetapi keinsafan. Mereka harus berani mengaku salah tanpa mencari alasan. Tolonglah hentikan budaya menyalahkan dan ambillah tanggungjawab penuh. Beringatlah untuk menjaga dosa tersembunyi kerana di situlah iman diuji.

Kesimpulannya, ayat 106 hingga 113 surah An-Nisa’ mengajar satu hakikat yang sangat dalam bahawa iman bukan tentang bagaimana kita dilihat. Ia tentang siapa kita di hadapan allah dan mungkin inilah muhasabah yang paling jujur, jika semua manusia melihat kita sebagai baik, tetapi allah melihat kita sebaliknya jadi apa nilai semua itu?

Sunday, April 5, 2026

Allah Memilihmu: Tentang Rasa Tidak Layak, Dakwah dan Doa yang Mengubah Hidup



Allah memilih dalam kita rasa tidak layak. Ada satu detik dalam hidup, kita rasa kecil. Rasa tak cukup baik. Rasa tak layak untuk buat sesuatu yang besar dalam agama dan dalam detik itu kita diam. Kita undur. Kita serahkan kepada orang yang lebih baik. Tetapi dalam Surah Taha ayat 13, Allah berfirman, “Dan Aku telah memilihmu…”

Ayat ini bukan sekadar kisah Nabi Musa tetapi ia adalah jawapan kepada jiwa-jiwa yang selalu rasa tidak cukup. Allah tidak tunggu Musa jadi sempurna. Allah pilih dahulu, kemudian Allah bentuk dan mungkin kita juga sedang berada dalam proses itu. Allah bertanya kepada Musa, “Apa itu yang di tangan kananmu, wahai Musa?”

Soalan ini bukan kerana Allah tidak tahu. Tetapi kerana Musa sendiri belum nampak nilai apa yang dia ada. Tongkat yang biasa yang selama ini hanya digunakan untuk berjalan dan menggembala, tiba-tiba menjadi mukjizat. Kenangkan. Berapa ramai antara kita hari ini yang meremehkan diri sendiri, menganggap kemampuan kita terlalu kecil atau menunggu cukup hebat baru nak mula sedangkan apa yang kita ada sekarang macam suara, masa, empati, sedikit ilmu itu sebenarnya sudah cukup untuk Allah gunakan. Kita bukan kekurangan potensi. Kita cuma belum melihatnya dengan mata iman.

Ayat 25 hingga 35 surah Taha ini adalah doa seorang da’ie yang jujur dan di sinilah kita belajar sesuatu yang sangat manusiawi. Nabi Musa, seorang nabi tetapi Baginda tetap berdoa, “Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, mudahkanlah urusanku. Lepaskan kekakuan lidahku. Jadikan untukku seorang pembantu…”

Ini bukan doa orang kuat. Ini doa orang yang sedar dirinya lemah. Baginda tidak minta populariti, bukan pengaruh apatah lagi kedudukan. Baginda minta ketenangan hati, kemudahan urusan, keupayaan bercakap serta sokongan sahabat. Kita pula bagaimana? Bila diberi peluang buat kebaikan mula la kita takut orang tak dengar, kita takut tersalah cakap, kita takut tak cukup ilmu tetapi kita jarang buat doa seperti ini. Jarang kita menangis dan berkata, “Ya Allah… aku nak buat baik, tapi aku takut. Tolong aku…”

Dakwah ini bukan kerja seorang diri. Nabi Musa tidak bergerak seorang diri. Baginda minta bantuan Nabi Harun. Ini sangat penting kerana realitinya jiwa kita akan penat, emosi kita turun naik, semangat kita tidak sentiasa stabil dan kerana itulah kita perlukan manusia yang menguatkan kita. Jom kita sama-sama muhasabah. Siapa “Harun” dalam hidup kita? Atau adakah kita cuba jadi kuat seorang diri sampai akhirnya kita diam dan berhenti?

Bila Allah kata, permintaanmu diperkenankan dalam ayat 36–37, Allah jawab, “Sesungguhnya telah diperkenankan permintaanmu…”

Tiada penangguhan. Tiada syarat tambahan. Tiada “nanti dulu”. Kenapa? Itulah petanda bahawa doa itu Ikhlas, untuk dakwah dan untuk membawa manusia kepada Allah. Maka, berapa banyak doa kita yang sebenarnya hanya untuk diri sendiri? Berapa banyak pula doa kita yang benar-benar untuk agama ini? Mungkin kunci kepada doa yang “cepat sampai” adalah bila kita mula hidup bukan hanya untuk diri kita.

Maka ingatlah, mungkin awak juga sedang dipilih. Hari ini, kalau hati awak tersentuh dengan ayat ini, kalau awak rasa seperti sedang dipanggil, tolong jangan abaikan kerana mungkin itu bukan sekadar perasaan. Itu adalah seruan halus dari Allah, “Aku memilihmu…” Bukan kerana awak sudah sempurna tetapi kerana Allah ingin menyempurnakan awak melalui jalan ini.


“Ya Allah, lapangkan dada kami untuk menerima amanah-Mu.

Mudahkan langkah kami dalam kebaikan.

Lembutkan lidah kami untuk berkata yang benar.

Dan kurniakan kami sahabat yang menguatkan kami di jalan-Mu.”

Saturday, April 4, 2026

Qazaf: Dosa Lisan yang Menghancurkan Maruah



Saya ingin mengingatkan diri saya tentang bahayanya bila lisan menjadi senjata dalam kehidupan kita. Mungkin kita sangat berhati-hati daripada melakukan dosa besar seperti zina. Namun, dalam masa yang sama, tanpa sedar kita mungkin terjatuh dalam dosa yang lebih halus tetapi sangat merosakkan iaitu menuduh orang lain melakukan zina tanpa bukti atau qazaf. Allah SWT memberi amaran keras dalam Surah An-Nur yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan yang terpelihara kehormatannya… akan dilaknat di dunia dan di akhirat…”

Ayat ini bukan sekadar hukum. Ia adalah perisytiharan bahawa maruah seorang wanita dijaga oleh allah sendiri. Tajuk ini saya bincangkan dalam kelas muslimah saya di masjid nurul hasanah bukit belimbing melalui buku al-busyra; khabar gembir buat umat. 

Apa itu qazaf? Qazaf ialah tuduhan zina terhadap seseorang yang baik (muhsan) tanpa membawa empat saksi. Namun, yang sering kita terlepas pandang adalah qazaf bukan hanya tuduhan terang-terangan. Ia boleh juga berlaku melalui kiasan, sindiran dan “hint” yang difahami orang lain. Hari ini, ia muncul dalam bentuk status whatsapp, caption media sosial dan kebanyakannya adalah bermula dari cerita “dengar-dengar”. Kita berselindung disebalik kata-kata. Kita tidak sebut, tetapi orang faham.

Terdapat beberapa rukun penting dalam jenayah qazaf ini. Antara perkara yang sangat menarik dalam perbahasan ini ialah niat turut memainkan peranan besar dalam menentukan qazaf. Dua ayat yang sama boleh membawa hukum berbeza iaitu jika niat untuk menghina maka ia adalah qazaf namun jika niat profesional sebagai contohnya seorang doktor yang memberikan diagnosnya, maka itu bukan qazaf. Ini menunjukkan bahawa dalam islam, bukan hanya apa yang kita cakap, tetapi amat penting juga kenapa kita cakap, ia juga dihisab.

Beberapa syarat turut diperbincangkan mengenai si penuduh dan tidaklah semua dipersalahkan kepada si penuduh. Islam sangat adil dalam menetapkan hukum. Tidak semua tuduhan terus dihukum sebagai qazaf. Antara syarat penuduh adalah berakal, baligh, tidak dipaksa dan mengetahui pengharaman qazaf. Ini memberi kita satu mesej penting lagi bahawa sesungguhnya Islam tidak tergesa-gesa menghukum tetapi sangat tegas menjaga keadilan.

Siapa pula yang dilindungi? Bukan semua tuduhan dikira qazaf. Ia khusus kepada mereka yang muslim, berakal dan baligh, terpelihara maruah (al-‘iffah) serta tidak dikenali dengan kejahatan dan di sinilah kita melihat keindahan syariat bahawa semakin bersih seseorang, semakin kuat perlindungan allah terhadapnya.

Tuduhan tuduhan kiasan juga tidak kurang bahaya bahkan dalam masyarakat kita, ini yang paling banyak berlaku. Contohnya, “dia tu bukan perempuan baik sangat…” atau “kita tahulah dia macam mana…”. Para ulama berbeza pandangan, tetapi dalam mazhab Syafi’i jika niatnya adalah tuduhan akan tetap dikira qazaf. Ini sangat dekat dengan realiti kita hari ini. Kadang kita rasa, “saya tak sebut pun…” tetapi hakikatnya kitalah yang memberi orang lain ruang untuk berfikir buruk.

Kita dapat fahami bersama bahawa prinsip besarnya adalah islam mengelakkan kezaliman. Satu kaedah penting dalam hukum hudud adalah, “hudud ditolak dengan adanya syubhah (keraguan)”. Maknanya asalkan ada sahaja keraguan yang ditimbulkan, islam tidak akan terus menghukum. Ia adalah atas dasar prinsip lebih baik terselamat orang yang bersalah daripada menghukum orang yang tidak bersalah. Qazaf adalah gejala membunuh tanpa darah. Zina merosakkan diri tetapi qazaf merosakkan orang lain. Satu tuduhan sahaja boleh menghancurkan reputasi, memusnahkan keluarga dan akhirnya membekas seumur hidup. Tambah berat lagi apabila ia melibatkan hak manusia (haq al-‘ibad). Maknanya, tidak cukup sekadar taubat kepada allah tetapi perlu juga minta maaf kepada manusia.

Jom saya ajak untuk kita bermuhasabah. Persoalannya lisan kita di mana? Cuba kita tanya diri, pernah tak kita menyebarkan cerita tanpa pasti? Pernah tak kita “hint” sesuatu tentang orang? Pernah tak kita rasa seronok berkongsi aib? Jika ya, mungkin kita sedang berjalan di tepi jurang qazaf.

Seruan saya, jadilah penjaga maruah dan dalam dunia hari ini, semua orang boleh bercakap. Tetapi tidak semua orang memilih untuk menjaga. Maka jadilah kita penjaga maruah, bukan penyambung cerita, juga penyelamat nama baik, bukan penyebar fitnah kerana di sisi allah, setiap perkataan bukan sekadar bunyi tetapi bukti.

Friday, April 3, 2026

Sabar, Ribat dan Taqwa: Formula Senyap Kebangkitan Umat

 


Ini sebuah pandangan saya tentang mengapa kita kuat bertahan, tetapi lemah membina khususnya dalam dunia yang semakin bising dengan krisis ini? Tidak kiralah krisis itu melibatkan ekonomi, keluarga, identiti ataupun moral, kita akan sering bertanya mengapa umat ini masih belum bangkit sepenuhnya, walaupun ramai yang baik dan beramal?

Jawapannya mungkin tersembunyi dalam satu ayat yang sering kita dengar, tetapi jarang kita fahami secara mendalam iaitu, “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaranmu (musabarah) dan tetaplah bersiap siaga (ribat) serta bertaqwalah kepada Allah agar kamu berjaya.” (Surah Ali ‘Imran: 200)

Ayat ini bukan sekadar seruan moral. Ia adalah formula strategik kebangkitan umat. Ia dimulakan dengan sabar yang menjadi teras ketahanan diri. Sabar sering difahami sebagai menahan diri daripada marah atau putus asa. Namun dalam kerangka Al-Quran, sabar adalah kekuatan dalaman untuk kekal di jalan yang benar walaupun berat. Sabar itu adalah lambing istiqamah dalam ibadah walaupun letih, menahan diri daripada maksiat walaupun mudah dan berterusan berbuat baik walaupun tidak dihargai.

Tetapi di sinilah hakikat yang perlu kita akui bersama bahawa sabar sahaja tidak cukup untuk membina umat. Sabar menjadikan kita kuat tetapi belum tentu menjadikan kita berkesan. Oleh itu, sabar perlu dituruti dengan musabarah atau bersabar yang berdaya saing. Apa maksudnya? Al-Quran tidak berhenti pada sabar. Ia naik satu Tingkat lagi dalam ayat “wa sabiru” (musabarah).

Ini bukan lagi sabar individu, tetapi sabar secara kolektif, strategik dan berdaya tahan lebih lama daripada cabaran yang menjadi tuntutan dalam dunia hari ini yang ideologinya bergerak pantas, budaya rosak menyerap perlahan serta pada waktu tekanan hidup makin kompleks. Maka umat tidak cukup sekadar sabar. Kita perlu lebih sabar daripada kerosakan itu sendiri. Musabarah ini menjadi kekuatan kita untuk menjaga “pos kehidupan” kita atau yang diistilahkan sebagai ribat di dalam ayat. Inilah bahagian paling kritikal dan paling kurang difahami. Ribat pada asalnya bermaksud berjaga di sempadan namun dalam konteks hari ini, ribat adalah menjaga keluarga daripada keruntuhan nilai, menjaga diri daripada hanyut dalam dunia digital, menjaga masyarakat daripada kehilangan arah bahkan menjaga dakwah daripada menjadi sekadar program.

Ribat bermaksud kita tahu di mana posisi kita dan kita tidak meninggalkannya. Maka dalam realiti semasa, krisis umat bukan kerana kurang orang baik, tetapi kerana kurang orang yang “stay in position”. Maka taqwalah yang akhir sekali menjadi neraca yang menentukan nilai amal kita. Maka diakhirnya, Allah menutup ayat ini dengan satu kunci utama iaitu taqwa. Taqwa bukan sekadar takut kepada allah tetapi kesedaran berterusan bahawa setiap amal sedang ditimbang. Apabila kita melihat dari dalam kerangka yang lebih luas, ini berkait rapat dengan konsep mizan al-‘amal (neraca amal) seperti yang ditekankan dalam wacana pemikiran Islam bahawa amal bukan dinilai pada rupa luar sahaja tetapi pada niat, kesan dan keseimbangannya Ramai yang beramal, tetapi tidak semua amal itu bernilai.

Kerisauan kita adalah krisis yang timbul dalam umat ini iaitu banyak amal tetapi amat kurang neracanya. Kita hidup dalam zaman yang unik kerana program semakin banyak, ceramah semakin meluas, kesedaran semakin tinggi namun dalam masa yang sama keluarga semakin rapuh, belia semakin hilang arah dan masyarakat semakin tertekan. Ini menimbulkan satu persoalan besar, adakah kita beramal tanpa neraca?

Apabila sabar tidak disambung dengan ribat dan ribat tidak dipandu dengan taqwa, maka amal menjadi reaktif, bukan strategik. Banyak, tetapi tidak membina. Maka, menjadi inspirasi diri agar melakukan perubahan yang kita harap perubahan itu dari individu ke tamadun dan inilah jalan yang kita gelarkan sebagai jalan kebangkitan. Ayat ini sebenarnya menyusun satu perjalanan itu. Individu harus belajar bersabar kemudian bergabung dengan jemaah dan membinalah musabarah. Kemudian diwujudkan sistem bagi menghidupkan ribat dengan jiwa yang dipandu oleh taqwa. Inilah perjalanan daripada individu baik kepada masyarakat kuat seterusnya membentuk tamadun berimbang.

Muhasabah kita adalah, kita di tahap mana hari ini? Soalan ini perlu kita tanyakan dengan jujur adakah kita sekadar sabar atau sudah sampai tahap musabarah? Adakah kita ada posisi ribat atau sekadar hadir bila lapang? Adakah amal kita ditimbang dengan taqwa atau sekadar ikut rasa? Kebangkitan umat tidak bermula dengan slogan tetapi dengan kejelasan posisi dan ketepatan neraca.

Ini adalah satu formula senyap yang menghidupkan umat dan saya titipkan sebagai penutup untuk kita bersama fikirkan. Ayat ini tidak menyuruh kita menjadi hebat secara tiba-tiba. Ia mengajar kita membina kekuatan secara bertahap bermula dari sabar yang membina jiwa, kemudian musabarah yang membina ketahanan, disusuli ribat yang membina sistem serta akhir sekali taqwa yang membina arah dan dari gabungan inilah lahir satu umat yang bukan sahaja bertahan tetapi mampu memimpin.

Thursday, April 2, 2026

Adil Tidak Semestinya Sama: Memahami Subsidi, Wilayah dan Keadilan Sebenar


Perbincangan tentang subsidi petrol dan diesel hari ini semakin panas. Ia disebabkan di Semenanjung, subsidi dikurangkan dan disasarkan manakala di Sabah dan Sarawak, ia masih dikekalkan. Kemudian timbullah pula suara, “Kenapa tidak sama?”, “Ini tidak adil!”, “Kenapa kami yang perlu tanggung?” Reaksi ini pada saya bukan sesuatu yang pelik kerana apabila sesuatu menyentuh kehidupan harian, kita cenderung melihatnya dari sudut paling dekat dengan diri kita.

Kita sering menyamakan dua perkara, kesamarataan (equality) dengan kefahaman semua dapat benda yang sama dan keadilan (equity) iaitu setiap orang mendapat apa yang diperlukan. Sekilas, kedua-duanya nampak serupa tetapi dalam realiti yang kompleks, ia sangat berbeza. Apabila kita memberi perkara yang sama kepada semua, tidak semestinya menghasilkan keadilan.

Satu perkara yang kita wajib sedar, Malaysia tidak seragam, maka dasarnya juga tidak boleh seragam. Malaysia bukan satu blok yang homogen. Perbezaan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak agak besar. Geografi yang luas dan mencabar, kepadatan penduduk yang rendah, kebergantungan lebih banyak kepada pengangkutan diesel dan kos logistik yang jauh lebih tinggi juga di banyak kawasan di Sabah dan Sarawak bot adalah pengangkutan harian, kenderaan pacuan empat roda adalah keperluan serta akses kepada kemudahan asas lebih terhad. Maka, apabila subsidi dikekalkan di sana ia bukan kelebihan tetapi satu keperluan.

Kita tidak wajar untuk melihat hanya dari sudut kita sahaja. Inilah cabaran sebenar. Kita cenderung bertanya “kenapa mereka dapat, aku tidak?” Jarang kita bertanya “apa keadaan mereka sebenarnya?” Apabila perspektif menjadi sempit, keadilan akan mula kelihatan seperti ketidakadilan. Kita bersama boleh faham tentang kemarahan, tetapi kemarahan itu perlulah dipandu. Reaksi netizen tidak boleh terus ditolak. Ia lahir daripada tekanan kos hidup, kebimbangan masa depan dan rasa terbeban. Namun, dalam masa yang sama emosi tanpa kefahaman boleh membawa kepada kesimpulan yang salah.

Keadilan dalam islam adalah lebih mendalam, bukan sekadar sama rata. Allah tegaskan dalam Al-Quran, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil…” (Surah An-Nahl: 90)

Keadilan dalam Islam bukan sekadar memberi sama rata. Ia bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan mengambil kira keadaan serta menilai dengan hikmah. Jadi, di mana kita perlu berdiri? Penilaian isu ini perlu berlandaskan pendirian yang matang bukan ekstrem. Tetapi seimbang. Saya menyokong prinsip subsidi bersasar agar bantuan sampai kepada yang benar-benar memerlukan. Pada masa yang sama, kita perlu menerima realiti perbezaan wilayah bahawa tidak semua kawasan mempunyai keperluan yang sama.

Jika kita berhasrat untuk mengkritik, kritiklah secara membina terutamanya dalam aspek komunikasi dasar dan ketelusan pelaksanaan. Jagalah adab dalam perbezaan kerana perbezaan pandangan tidak sepatutnya memecahkan kita. Marilah kita bermuhasabah, kita mahu sama atau kita mahu adil? Mungkin persoalan sebenar bukan “Kenapa tidak sama?” tetapi “Apa yang paling adil untuk semua?” Jika kita hanya menuntut kesamarataan, kita mungkin mengabaikan keperluan mereka yang lebih memerlukan dan jika kita benar-benar memahami keadilan kita akan sedar bahawa kadang-kadang, perbezaan itulah yang menjadikan sesuatu itu adil.

Marilah kita belajar melihat dengan mata yang lebih luas. Dunia hari ini menuntut kita berfikir lebih dalam bukan sekadar melihat apa yang kita dapat tetapi memahami bagaimana sesuatu itu diagihkan. Jika tidak, kita akan terus hidup dalam perasaan tidak puas hati, walaupun sebenarnya kita sedang berada dalam sistem yang cuba berlaku adil. Maka dalam isu ini mungkin yang perlu kita ubah bukan hanya dasar tetapi cara kita melihat dasar itu sendiri, dari menuntut sama rata kepada memahami makna sebenar keadilan.

Wednesday, April 1, 2026

Dari Reaktif ke Berfikrah: Membina Umat yang Tidak Mudah Hanyut


Hakikatnya, dunia tidak pernah sunyi, tetapi kita selalu terkejut. Setiap kali dunia bergolak, kita seolah-olah terjaga dari lena. Hari ini konflik, esok krisis ekonomi, lusa isu yang lain pula. Nama berubah tetapi coraknya sama dan setiap kali itu juga, kita melihat fenomena yang berulang. Emosi meluap, pandangan bercampur kemudian masyarakat berpecah. Seolah-olah kita tidak pernah benar-benar bersedia menghadapi dunia yang tidak stabil ini.

Masalahnya ini sebenarnya bukan masalah dunia, tetapi masalah pada cara kita memberi reaksi. Kita sering menyangka, “Masalahnya ialah apa yang berlaku di luar sana.” Tetapi jika diperhatikan dengan jujur, masalah yang lebih besar adalah apa yang berlaku di dalam diri kita ketika menghadapi isu tersebut. Umat yang reaktif akan cepat menyala dan cepat juga padam nyalaannya. Ada satu pola yang semakin jelas dalam masyarakat hari ini. Kita bukan kekurangan maklumat bahkan kita dibanjiri maklumat. Namun kita menjadi umat yang reaktif. Hanya ambil tahu bila isu menjadi viral, marah sebelum memahami sesuatu isu, sebar maklumat sebelum menyemak kesahihannya, memilih pihak tanpa memahami keseluruhan dan yang paling menyedihkan, kita lebih cepat menghukum sesama sendiri daripada memahami bersama.

Inilah yang menjadi kerisauan apabila emosi menggantikan fikrah. Kebenaran akan menjadi kabur, naratif mula menjadi keliru dan musuh tidak perlu menyerang kerana kita sudah melemahkan diri sendiri maka dalam keadaan ini umat tidak lagi dipandu oleh prinsip, tetapi oleh gelombang perasaan.

Inilah bahaya yang tidak kita sedari. Masalah ini bukan kecil. Ia membawa kesan yang besar, seperti mudah dimanipulasi. Apa sahaja boleh dipercayai jika ia selari dengan emosi kita. Umat akan mula berpecah dan menyebabkan perbezaan pandangan bertukar menjadi permusuhan. Kita akan mula hilang peranan sebenar kerana sibuk berbincang tetapi langsung tidak membina dan akhirnya umat hanya menjadi pengguna isu, bukan pembina peradaban.

Ingatlah, Islam membina umat berfikir, bukan sekadar memberikan maklum balas. Allah mengingatkan dalam Al-Quran, “Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah…” (Surah Al-Hujurat: 6)

Allah turut berfirman yang bermaksud, “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman dan berilmu beberapa darjat…” (Surah Al-Mujadalah: 11)

Ayat-ayat ini bukan sekadar nasihat tetapi asas pembinaan umat. Umat yang yang terbina perlu menyemak sebelum percaya, memahami sebelum menghukum dan berfikir sebelum bertindak.

Jom kita hijrahkan diri dari reaktif ke berfikrah. Perubahan yang kita perlukan bukan sekadar pada isu tetapi pada cara kita berinteraksi dengan isu. Maka bagaimanakan umat itu perlu berfikrah? Umat berfikrah seharusnya Berprinsip, bukan beremosi. Keadilan tidak berubah walaupun situasi berubah. Mereka harus Memahami konteks, bukan sekadar teks dan Tidak melihat satu maklumat secara terpisah. Tenang dalam perbezaan kerana tidak semua perbezaan perlu dimenangi dan fokuslah kepada peranan, bukan sekadar bertanya “siapa salah” sebaliknya “apa yang boleh aku sumbang”.

Sama seperti sebelumnya, saya sarankan untuk kita mengambil langkah kecil yang boleh memberikan kesan yang besar. Perubahan besar bermula dari amalan kecil seperti menahan diri dari reaksi segera, menyemak sebelum berkongsi, membaca lebih dari satu sumber, menjaga adab dalam perbezaan dan membina diri sebelum membetulkan orang lain. Ia kelihatan kecil, tetapi di sinilah sebenarnya bermula satu kebangkitan umat.

Persoalannya, kita ini sedang dibentuk atau dihanyutkan? Mungkin soalan paling penting hari ini bukan “Apa pendirian aku terhadap isu ini?” tetapi “Adakah cara aku berfikir hari ini mendekatkan aku kepada kebenaran atau sekadar mengikut arus?” Hari ini dunia semakin bising dan hiruk pikuk cacian dan makian tanpa ada hala tuju jelas dan kita sangat memerlukan umat yang tenang dan berfikir.

Dunia hari ini tidak kekurangan suara. Semua orang bercakap. Semua orang memberi pandangan cuma yang kurang adalah manusia yang benar-benar berfikir. Jika kita terus menjadi reaktif, kita akan sentiasa penat mengejar isu. Tetapi jika kita menjadi berfikrah, kita akan mampu berdiri teguh walau apa pun isu yang datang. Maka mungkin hari ini di sebalik semua konflik, krisis dan kekeliruan Allah sedang mengajar kita satu perkara, Untuk tidak hanya menjadi umat yang cepat bereaksi, tetapi umat yang tenang, memahami dan memimpin dengan hikmah.

Tuesday, March 31, 2026

Minyak Naik, Dunia Bergolak: Antara Realiti Global Dan Tanggungjawab Kita


Bila dunia bergolak, dapur kita pun terasa. Konflik yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran bukan sekadar isu luar negara. Ia meresap perlahan-lahan ke dalam kehidupan kita. Harga barang naik. Kos pengangkutan meningkat. Perbualan di warung berubah nada dan tiba-tiba isu minyak menjadi perbualan nasional. Minyak itu global, bukan lokal.

Ramai melihat kenaikan harga minyak sebagai kegagalan dasar tempatan. Tetapi hakikatnya harga minyak adalah permainan global, bukan keputusan satu negara. Apabila kawasan strategik seperti laluan minyak dunia terancam, pasaran akan bertindak balas. Apabila risiko meningkat maka harga akan naik, ketidakstabilan berlaku akan sebabkan pelabur panik dan akhirnya bekalan terganggu yang menyebabkan kos melonjak. Malaysia tidak terkecuali. Kita hanyalah sebahagian daripada ekosistem dunia yang saling bergantung.

Malaysia ni sebenarnya berada dalam keuntungan atau beban? Inilah uniknya kedudukan malaysia. Kita adalah pengeluar minyak, tetapi dalam masa sama pensubsidi bahan api. Maka berlakulah paradoks bahawa negara “untung” apabila harga minyak dunia naik sepatutnya hasil negara juga meningkat. Hakikatnya kerajaan “terbeban” kerana harga domestik dikawal, subsidi menjadi semakin meningkat. Kita sebagai rakyat yang sebenarnya “dilindungi sementara” sahaja. Harga tidak naik mendadak, tetapi kos sebenar sedang ditanggung di belakang tabir.

Persoalannya, subsidi ini rahmat atau ilusi? Subsidi sering dilihat sebagai penyelamat dan dalam banyak keadaan tidak dapat kita nafikan. Ia dapat meredakan tekanan kos hidup, menstabilkan ekonomi dan memberi ruang bernafas kepada rakyat. Namun dalam diam, ia juga membawa persoalan berapa lama kita mampu menahan harga daripada realiti sebenar? Jika harga dunia terus meningkat, subsidi bukan lagi pelindung, tetapi boleh menjadi beban yang memakan masa depan.

Situasi ini, memerlukan kita berlaku jujur dalam menilai. Saya berpendirian langkah kerajaan mengekalkan subsidi dalam jangka pendek adalah wajar, berperikemanusiaan demi untuk menstabilkan keadaan. Tetapi kita juga kena sedar, dalam jangka panjang subsidi menyeluruh tidak mampan, ketirisan boleh berlaku dan sistem perlu diperbaiki lagi.

Oleh yang demikian, masalah sebenar kita di malaysia ini adalah cara kita berfikir. Ini jelas dalam masyarakat, sering muncul dua reaksi ekstrem iaitu yang pertama menyalahkan sepenuhnya kerajaan seolah-olah semua berpunca dari dasar tempatan dan tidak kurang juga yang menafikan langsung masalah, seolah-olah semuanya terkawal dan tidak perlu risau. Kedua-duanya lahir dari satu punca yang sama apabila kita melihat tanpa memahami.

Allah mengingatkan dalam Al-Quran, “…dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya…” (surah Al-Isra’: 36)

Ayat ini seolah-olah menegur cara kita memberi reaksi hari ini. Khususnya dalam isu minyak ini, pendirian seorang muslim bukan sekadar menyokong atau membantah tetapi biarlah memahami sebelum menghukum. Lihatlah isu dari sudut global, bukan sempit. Jika menyokong, sokonglah dengan kesedaran bukan sokongan membuta tuli. Sokong berasaskan kefahaman. Kritikan amat digalakkan, tetapi kritiklah dengan beradab. Usahlah bertuankan emosi, tetapi membina. Elakkanlah dengan perkataan cacian dan makian apatah lagi memperolok-olokkan tindakan kerajaan.

Kita juga disuruh untuk berfikir jangka panjang bukan hanya hari ini. Masa depan ummah harus menjadi peranan kita dan ia lebih dari sekadar pengguna biasa. Kita mungkin tidak menentukan harga minyak dunia. Tetapi kita masih punya peranan mendidik masyarakat agar faham reality, mengelakkan penyebaran naratif salah dan membina budaya berfikir, bukan sekadar memberi maklum balas kerana akhirnya krisis bukan hanya menguji ekonomi, tetapi juga kematangan fikrah umat.

Harga minyak mungkin naik dan turun. Tetapi persoalan yang lebih besar ialah adakah kita juga naik dalam kefahaman atau sekadar turun naik dalam emosi? Dunia akan terus bergolak. Konflik akan silih berganti. Namun jika kita tidak membina cara melihat yang benar kita akan terus terperangkap dalam kitaran yang sama, panik, marah, keliru dan akhirnya penat sendiri.

Maka mungkin hari ini, di sebalik isu minyak allah sedang mengajar kita untuk tidak hanya melihat apa yang berlaku, tetapi memahami bagaimana kita sepatutnya melihatnya.

Monday, March 30, 2026

Di Tengah Dentuman Dunia: Memilih Pendirian Tanpa Kehilangan Keadilan


Ketika dunia membara, hati kita di mana? Ini persoalan yangn bermain diminda saya. Dunia sekali lagi bergetar. Konflik antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Israel dan Iran bukan sekadar berita antarabangsa ia sudah menembusi ruang emosi umat. Media sosial dipenuhi reaksi pelbagai. Marah, kecewa, keliru dan tidak kurang juga yang saling menuding jari tambahan pula di tanah air, kenyataan pemimpin seperti DS Anwar Ibrahim turut menjadi bahan perbahasan. Ada yang menyokong, ada yang mempersoal. Namun, dalam riuhnya suara dunia kita perlu bertanya, di mana sebenarnya pendirian kita sebagai seorang Muslim?

Ini adalah perkara antara emosi dan prinsip. Ada sesuatu yang sering berlaku setiap kali dunia bergolak. Kita cepat memilih “pihak”, tetapi lambat membina “prinsip”. Kita akan mudah berkata, “Ini salah mereka! Ini semua agenda Barat!” Yang ini mesti disokong!” Tetapi jarang kita berhenti dan bertanya, adakah pendirian ini lahir dari ilmu atau sekadar emosi?

Ingatlah, islam tidak mengajar kita membuta tuli. Allah mengingatkan kita semua dalam Al-Quran, “Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil.” (Surah Al-Ma’idah: 8)

Ayat ini sangat keras maknanya. Ia tidak berkata, “Bersikap adil hanya kepada kawan” sebaliknya berlaku adillah walaupun kepada pihak yang kita benci dan di sinilah bezanya iman dengan sentimen.

Teman-teman, geopolitik tidak pernah hitam putih. Realitinya, konflik dunia bukan cerita dongeng. Ia bukanlah hero vs penjahat, baik vs jahat macam selalu yang kita tonton dalam filem-filem Marvel atau DC. Sebaliknya, ia melibatkan kepentingan kuasa, strategi ekonomi, pengaruh wilayah dan ditambah dengan naratif media. Maka dalam keadaan ini, jika kita melihat dunia secara simplistic, kita akan mudah dipengaruhi propaganda, terperangkap dalam sentiment dan palingn teruk kita akan hilang keupayaan berfikir.

Maka, saya syorkan untuk kita letakkanlan pendirian kita, sebagai seorang muslim atas tiga akar utama. Pertama, keadilan mengatasi sentimen. Ini bukan soal siapa yang kita suka tetapi apa yang benar di sisi allah. Kedua, nyawa lebih utama dari politik. Setiap nyawa yang terkorban tanpa mengira bangsa atau negara adalah amanah yang dilanggar. Ketiga, biarkan ilmu yang mengawal emosi. Emosi itu perlu, tetapi ia mesti dipandu oleh kefahaman. Tanpa ilmu, emosi hanya menjadi bahan bakar kepada kekeliruan.

Peranan kita bukan menjadi “penganalisis sofa”. Kita mungkin tidak berada di meja rundingan dunia tetapi kita juga bukan sekadar penonton. Peranan kita adalah untuk mendidik diri dan masyarakat, membina kesedaran yang seimbang, menyuburkan doa dan empati serta menjaga adab dalam berbeza pandangan kerana akhirnya kekuatan umat bukan pada suara paling lantang tetapi pada fikrah yang paling benar.

Muhasabahlah diri kita, kita di pihak siapa sebenarnya? Mungkin soalan sebenar bukan “awak sokong siapa?” Tetapi “adakah aku benar-benar berada di pihak keadilan?” Sedarlah kita, kadang-kadang ada orang nampak tegas tapi sebenarnya emosional, ada juga yang nampak berprinsip tapi sebenarnya ikut arus bahkan tidak dilupa juga yang diam tetapi sedang membina kefahaman yang jauh lebih dalam.

Teguhkanlah diri dalam kabus. Dunia akan terus berubah. Hari ini isu ini, esok mungkin isu lain pula. Jika kita tidak membina pendirian berasaskan iman dan ilmu, kita akan terus hanyut bersama arus. Tetapi jika kita berpegang kepada prinsip, adil walau kepada musuh, menolak kezaliman tanpa memilih pihak dan mendahulukan ilmu daripada emosi, maka, insya-allah kita tidak hanya menjadi pemerhati sejarah tetapi insan yang dipandu oleh kebenaran di tengah kekeliruan dunia.

Sunday, March 29, 2026

Solat dalam Ujian, Keadilan Tanpa Pilih Kasih


Ada satu persoalan yang sangat jujur untuk kita renungkan bersama. Adakah kita hanya menjaga iman ketika keadaan tenang atau kita mampu mempertahankannya ketika keadaan sukar? Ayat 102 hingga 105 Surah An-Nisa’ membawa kita ke satu realiti yang sangat praktikal tentang bagaimana iman itu hidup dalam dua situasi paling mencabar iaitu ketika kita sibuk dan terancam dan pada ketika kita perlu membuat keputusan yang melibatkan keadilan. Ini bukan ayat teori. Ini ayat yang mengajar cara hidup dan amat dekat dengan situasi kita hari ini.

Solat tidak digugurkan walau dalam keadaan berbahaya. Ini mesej yang sangat jelas dalam ayat 102 yang turut memperkenalkan konsep solat khauf yakni solat dalam keadaan takut atau peperangan. Sebahagian sahabat solat bersama Nabi SAW, sementara sebahagian lagi berjaga. Kemudian mereka berganti. Apabila dirujuk tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir, ini menunjukkan bahawa solat tetap diwajibkan walaupun dalam keadaan paling genting. Jika dalam peperangan pun solat tidak ditinggalkan, apa alasan kita meninggalkannya kerana kesibukan?

Inilah yang dinamakan sebagai keseimbangan antara dunia dan akhirat. Ayat ini juga mengajar satu keseimbangan yang indah. Tidak lalai dalam ibadah serta tidak lalai dalam tanggungjawab dunia. Islam tidak mengajar kita memilih salah satu sebaliknya aa mengajar kita untuk mengurus kedua-duanya dengan bijaksana.

Ayat 103 menyebutkan, “Ingatlah Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring…”

Ini membawa kita kepada satu tahap iman yang lebih tinggi, zikir yang tidak terhenti. Hubungan dengan Allah tidak terhad kepada waktu tertentu. Kemudian Allah tegaskan bahawa solat itu diwajibkan pada waktu-waktu tertentu. Iman bukan sekadar ritual malahan ia adalah kesedaran yang berterusan.

Pesan saya untuk diri saya terutamanya, jangan lemah dalam perjuangan. Ayat 104 mengingatkan, jangan merasa lemah, jangan merasa berat kerana jika kita merasa sakit, orang lain juga merasa sakit cuma perbezaannya, orang beriman mempunyai harapan dari Allah. Inilah kekuatan sebenar bukan pada tubuh, tetapi pada hati yang yakin.

Keadilan tidak pernah berpihak melainkan kepada kebenaran. Ayat 105 adalah antara ayat paling penting dalam soal keadilan, “Janganlah kamu menjadi pembela bagi orang yang khianat…”

Asbabun nuzul ayat ini menjelaskan tnetang kebenaran lebih tinggi dari identiti. Tafsir Ibn Kathir dan Al-Tabari menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan apabila seorang Muslim mencuri dan cuba menuduh seorang Yahudi sebagai pelaku. Sebahagian masyarakat cuba mempertahankan lelaki Muslim itu kerana “dia dari kalangan kita”. Namun Allah menurunkan ayat ini untuk menegaskan bahawa kebenaran tidak bergantung kepada siapa tetapi kebenaran bergantung kepada apa yang benar. Keadilan sebenar bukan memihak kepada orang kita tetapi memihak kepada kebenaran.

Mari kita mengambil pengajaran bahawa pentingnya hubungan antara ibadah dan integriti dalam dunia hari ini. Hari ini kita hidup dalam dunia yang sibuk tanpa henti, penuh tekanan serta dipenuhi kepentingan dan dalam keadaan ini solat kita sering ditangguhkan, kebenaran sering dikompromi. Ayat 102–105 datang sebagai peringatan bahawa iman mesti kekal dalam tekanan dan keadilan mesti kekal dalam konflik.

Kritikan untuk diri saya sendiri mungkin. Kita mungkin rajin beribadah, tetapi tidak adil atau adil dalam kata, tetapi lemah dalam ibadah. Ayat ini mengajar bahawa kedua-duanya mesti berjalan bersama. Hubungan dengan Allah dan kejujuran dengan manusia.

Saya sarankan diri saya dan teman-teman beberapa langkah perubahan praktikal sebagai muhasabah diri kita. Jagalah solat walau sibuk. Jadikan ia keutamaan, bukan pilihan. Latihlah diri untuk berlaku adil walaupun terhadap orang yang kita sayang. Kurangkan kompromi terhadap kebenaran walaupun ia tidak popular dan hidupkan zikir harian supaya hati sentiasa terhubung dengan Allah.

Kesimpulannya, ayat 102 hingga 105 Surah An-Nisa’ mengajar satu prinsip yang sangat kuat, iman bukan hanya tentang ibadah tetapi juga tentang integrity dan mungkin inilah muhasabah yang paling penting, adakah kita menjaga hubungan dengan Allah? Pada masa yang sama, adakah kita berlaku adil kepada manusia? Pengakhirannya, iman yang sebenar adalah teguh dalam ibadah dan jujur dalam keadilan.

Saturday, March 28, 2026

Makna Hijrah, Darjat Orang Berjuang dan Rahmat dalam Syariat



Ada satu persoalan yang sangat penting dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim. Adakah kita benar-benar sedang bergerak menuju Allah atau sekadar berada di tempat yang sama tanpa sebarang perubahan? Ayat 95 hingga 101 Surah An-Nisa’ membawa kita kepada satu tema besar dalam Islam iaitu iman itu perjalanan dan perjalanan itu menuntut pengorbanan, kejujuran dan keberanian untuk berubah.

Kita patut telah mengetahui bahawa tidak semua sama di sisi allah. Ayat 95 menyebut dengan jelas, tidak sama antara orang yang duduk dan orang yang berjuang di jalan Allah. Ini satu hakikat yang kadang-kadang kita sukar terima dan dalam kehidupan moden, kita cenderung melihat semua orang sebagai sama. Tetapi dalam Al-Quran, Allah menilai berdasarkan usaha kita, pengorbanan dan kesungguhan. Namun ayat ini juga membawa satu keindahan bahawa ada pengecualian bagi yang mempunyai keuzuran.

Turunnya ayat ini adalah untuk menjelaskan kepada kita tentang keikhlasan lebih besar dari kemampuan. Tafsiran yang diriwayatkan oleh Ibn Kathir, seorang sahabat buta bernama Abdullah ibn Umm Maktum berasa sedih kerana tidak mampu turut serta dalam jihad. Lalu turunlah ayat yang memberi pengecualian kepada mereka yang uzur. Ini sangat menyentuh hati. Islam tidak menilai manusia hanya pada apa yang mereka lakukan, tetapi juga pada apa yang mereka ingin lakukan tetapi tidak mampu.

Darjat yang lahir dari pengorbanan adalah darjat dari kkalangan mereka yang berjuang. Pastinya mereka akan diberikan keampunan serta rahmat. Ini dijelaskan dalam ayat 96. Ini memberi satu perspektif yang penting bahawa pengorbanan tidak pernah sia-sia di sisi Allah walaupun manusia tidak nampak, Allah melihat setiap usaha kecil.

Ayat 97 memberi teguran kepada yang tidak mahu berubah. Ia satu teguran yang sangat kuat. Golongan yang dizalimi tetapi tidak berhijrah ditanya, “Bukankah bumi Allah luas?”

Tafsir Al-Tabari menjelaskan, ayat ini merujuk kepada mereka yang mampu berhijrah tetapi memilih untuk kekal dalam keadaan yang merosakkan iman mereka. Jelas sekali, kadang-kadang kita tidak berubah bukan kerana tidak mampu tetapi kerana kita terlalu selesa.

Allah turut memberikan rahmat untuk mereka yang lemah dan ini bukti keseimbangan melalui ayat 98-99. Allah mengecualikan mereka yang benar-benar tidak mampu, tidak tahu jalan atau caranya dan Allah memberi harapan bahawa mereka akan diampuni. Ini menunjukkan satu keindahan Islam, tegas dalam prinsip tetapi lembut dalam rahmat.

Ayat 100 membawa satu mesej yang sangat besar iaitu sesiapa yang berhijrah di jalan Allah akan menemukan keluasan dan rezeki. Ini bukan mesej hijrah biasa tetapi lebih dari sekadar perpindahan. Hijrah bukan hanya tentang berpindah tempat. Ia adalah tentang meninggalkan dosa, meninggalkan persekitaran yang merosakkan dan memilih jalan yang lebih dekat dengan Allah serta yang paling menyentuh hati adalah jika seseorang mati dalam perjalanan hijrah, pahalanya tetap sempurna. Allah menilai arah hidup kita, bukan hanya hasil akhirnya.

Rahmat sentiasa ada dalam setiap syariat. Ini dijelaskan dalam ayat 101 yang menyebutkan tentang keringanan solat ketika musafir. Ini mungkin kelihatan kecil tetapi ia membawa mesej besar yang mana Islam bukan agama yang menyusahkan. Al-Qurtubi dalam tafsirnya mendedahkan, rukhsah ini adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Semakin kita memahami Islam, semakin kita melihat rahmatnya.

Bagaimana hijrah dalam kehidupan moden? Hari ini, mungkin kita tidak berhijrah secara fizikal. Tetapi kita semua sedang berhadapan dengan pilihan, kekal dalam kebiasaan atau berubah ke arah yang lebih baik. Hijrah moden mungkin dalam bentuk, meninggalkan dosa yang berulang, menjauh dari persekitaran negatif serta membina kehidupan yang lebih dekat dengan Allah.

Ramai orang mahu berubah tetapi tidak semua sanggup keluar dari zon selesa, menanggung kesukaran dan istiqamah dalam usaha. Ayat-ayat ini telah mengingatkan kita bahawa perubahan sebenar memerlukan harga dan ia amat berbaloi.

Langkah perubahan praktikal yang saya fikir kita wajar untuk pertimbangkan sebagai muhasabah adalah bermula dengan kenal pasti “hijrah” peribadi kita, apa yang perlu kita tinggalkan? Selepas itu, mulakan dengan langkah kecil sahaja, jangan terlalu besar, tetapi konsisten. Jangan tunggu sempurna sebaliknya lakukanlah walaupun perlahan. Yakinlah dengan rahmat Allah kerana Allah tidak menilai kesempurnaan, tetapi usaha.

Ayat 95 hingga 101 Surah An-Nisa’ mengajar satu hakikat yang sangat mendalam bahawa iman bukan keadaan statik sebaliknya aa adalah perjalanan dan dalam perjalanan itu ada pengorbanan, ada kesukaran tetapi sentiasa ada rahmat dan mungkin inilah muhasabah paling penting untuk kita, adakah kita sedang bergerak menuju Allah? Atau kita hanya berada di tempat yang sama? Pada akhirnya, yang penting bukan di mana kita bermula tetapi ke mana kita sedang tuju.

Friday, March 27, 2026

Nilai Nyawa, Bahaya Menghukum Tanpa Ilmu dan Fitnah di Era Media Sosial


Ada satu perkara yang sering kita lupa dalam kehidupan moden. Kita mungkin tidak membunuh dengan tangan, tetapi kita boleh “membunuh” dengan kata-kata. Ayat 92 hingga 94 Surah An-Nisa’ membawa kita kepada satu asas yang sangat penting dalam Islam iaitu kesucian nyawa, keadilan dalam hukum dan disiplin dalam menilai manusia. Ini bukan sekadar hukum jenayah bahkan ini adalah pendidikan hati.

Nyawa bukanlah satu perkara kecil atau ringan yang tidak perlu kita ambil perhatian. Ayat 92 menyatakan bahawa seorang mukmin tidak sepatutnya membunuh mukmin yang lain, kecuali tersalah. Walaupun kesalahan itu tidak disengajakan, Islam tetap menetapkan tanggungjawab kepada si pelaku untuk membebaskan seorang hamba, membayar diyat kepada keluarga kecuali jika si pelaku tadi dimaafkan. Ini dijelaskan dalam tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir yang menunjukkan bahawa Islam sangat serius dalam menjaga nyawa manusia. Kesalahan tanpa niat pun ada tanggungjawab apatah lagi kesalahan yang disengajakan.

Sekiranya berlaku nyawa diragut dengan sengaja maka ayat 93 datang dengan amaran yang sangat keras. Si pelaku akan ke neraka, mendapat kemurkaan Allah, dilaknat serta dijanjikan azab yang besar. Ini menunjukkan bahawa pembunuhan bukan sekadar kesalahan sosial. Ia adalah jenayah terhadap kemanusiaan dan terhadap Tuhan dan dalam Al-Quran, jarang kita melihat hukuman yang disebut dengan begitu tegas. Secara langsung ini menjelaskan semakin besar kesan sesuatu dosa kepada manusia, semakin besar akibatnya di sisi Allah.

Asbabun nuzul ayat 94 mempunyai latar belakang yang sangat menyentuh. Jangan hukum hati manusia lain seperti yang dijelaskan dalam riwayat tafsir oleh ibn kathir dan al-tabari, disebut bahawa seorang sahabat telah membunuh seseorang yang telah mengucapkan syahadah dalam peperangan. Dia menyangka orang itu hanya berpura-pura untuk menyelamatkan diri. Namun Rasulullah SAW menegurnya dengan tegas, adakah kamu membelah hatinya? Soalan ini sangat dalam yang jelas memisahkan antara apa yang zahir dan apa yang tersembunyi malahan manusia tidak diberi hak untuk menilai yang tersembunyi.

Bahaya jika kita menghukum tanpa ilmu dan inilah diajar dalam ayat 94. Teliti dahulu sebelum membuat keputusan, jangan cepat menuduh, jangan menolak seseorang hanya kerana sangkaan dan satu peringatan penting, “kamu dahulu juga seperti mereka, lalu Allah memberi nikmat kepada kamu…”

Maksud ayat itu Allah tegaskan, jangan merasa diri lebih baik, jangan lupa kita juga pernah berada di tempat orang lain.

Era media sosial, “membunuh” mungkin tidaklah sehingga seseorang itu kehilangan nyawa. Hari ini, kita mungkin tidak terlibat dalam peperangan tetapi kita hidup dalam satu medan lain di mana, di sinilah berlaku perkara-perkara seperti pembunuhan karakter, fitnah, tuduhan tanpa bukti dan “trial by public opinion”. Hanya dengan satu komen boleh menjatuhkan seseorang. Hanya dengan satu perkongsian boleh merosakkan kehidupan. Ayat ini bukan hanya tentang pedang atau senjata lain tetapi ia juga tentang lidah dan jari kita.

Hari ini, kita hidup dalam budaya yang cepat menilai, cepat menghukum dan lambat memahami. Ramai orang lebih suka menjadi “hakim” daripada menjadi “pencari kebenaran”. Namun, Al-Quran mengajar kita sebaliknya iaitu berhenti, teliti, fahami kemudian barulah  membuat keputusan.

Kedatangan syawal tahun ini diharapkan kita kembali kepada hati yang bersih kerana dalam suasana syawal, kita sering bercakap tentang maaf, silaturahim bahkan tentang pembersihan hati. Tetapi ayat ini mengajak kita bertanya adakah kita benar-benar menjaga hati orang lain? Adakah kita berhati-hati dengan kata-kata kita? Persoalan ini timbul adalah kerana hati yang bersih bukan hanya memaafkan tetapi aa juga tidak mudah menghukum.

Oleh itu, marilah kita berusaha mengambil langkah-langkah perubahan yang praktikal dalam kehidupan kita sebagai muhasabah diri selepas ramadan. Berhentilah sebelum menghukum. Tanya duluu diri adakah aku tahu keseluruhan cerita? Selepas itu, mari kita kurangkan sangkaan sebab tidak semua yang kita nampak adalah realiti sebenar. Kemudian, jagalah lisan dan media sosial kita supaya jangan menjadi penyebab orang lain terluka. Akhir sekali, latihlah empati dalam diri kita. Cubalah kita letakkan diri kita di tempat orang lain.

Ayat 92 hingga 94 Surah An-Nisa’ mengajar satu perkara yang sangat mendalam. Islam bukan hanya melarang pembunuhan fizikal. Ia juga melatih kita untuk tidak “membunuh” manusia dengan penilaian yang zalim dan mungkin inilah muhasabah paling penting, berapa ramai yang pernah kita hukum tanpa kita benar-benar tahu? Berapa banyak kata-kata kita yang mungkin telah melukakan orang lain? Ini muhasabah yang penting kerana akhirnya, iman bukan hanya tentang apa yang kita lakukan, bahkan tentang bagaimana kita melihat manusia lain.

Thursday, March 26, 2026

Cabaran Iman, Munafik dan Tekanan Sosial di Era Moden


Ramadan telah pun berlalu dan Syawal menjelma, suasana berubah. Masjid mungkin tidak lagi penuh seperti sebelumnya. Disiplin ibadah mula longgar dan kehidupan kembali kepada normal. Tetapi sebenarnya, di sinilah ujian sebenar bermula. Ayat 87 hingga 91 Surah An-Nisa’ datang seperti satu cermin yang sangat jujur, bukan tentang bagaimana kita beribadah ketika suasana baik, tetapi bagaimana kita mempertahankan iman dalam suasana yang mencabar.

Perbincangan kita dari ayat-ayat ini antaranya berkisar tentang keyakinan yang menjadi penentu arah hidup. Ayat 87 menegaskan satu asas besar bahawa, Allah pasti akan mengumpulkan manusia pada hari kiamat dan dalam tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir, ayat ini bukan sekadar maklumat tentang akhirat. Ia adalah asas kepada cara kita hidup. Jika akhirat benar-benar hidup dalam hati kita, keputusan kita akan berubah, keutamaan kita akan berubah dan keberanian kita juga akan berubah.

Seterusnya dalam ayat 88 menunjukkan bahawa orang beriman sendiri boleh berbeza pandangan dalam menilai golongan munafik. Ini adalah satu bentuk kekeliruan dalam menilai manusia. Ini sangat realistik. Hari ini di Malaysia, kita juga melihat, perbezaan pandangan dalam isu agama, kekeliruan dalam menilai siapa yang benar dan juga perdebatan yang kadang-kadang lebih emosional daripada berprinsip. Harus kita ingat, tidak semua kelembutan itu hikmah dan tidak semua ketegasan itu keras. Kita memerlukan kebijaksanaan, bukan sekadar reaksi.

Malahan hari ini, wujud pelbagai tekanan untuk menjadi “seperti mereka” atau bersama dalam kumpulan-kumpulan mereka. Ayat 89 sangat tajam apabila Allah berfirman dengan menekankan bahawa mereka mahu kita menjadi seperti mereka supaya kita sama. Inilah realiti tekanan sosial khususnya dalam konteks semasa di Malaysia. Contohnya, tekanan untuk “ikut trend”, tekanan untuk melonggarkan prinsip agama, tekanan untuk tidak kelihatan “terlalu alim” dan kadang-kadang, iman bukanlah diuji dengan kesusahan tetapi diuji dengan normalisasi perkara yang salah. Seba itu, menjadi berbeza itu tidak mudah, tetapi iman memang memerlukan keberanian untuk berbeza.

Maka, pentingkah bagi kita untuk berlaku adil dalam menghadapi perbezaan. Ayat 90 menunjukkan bahawa Islam tidak bersikap ekstrem. Tidak semua yang berbeza perlu dianggap musuh. Ada yang tidak memerangi dan cenderung kepada keamanan. Mereka perlu dilayan dengan adil. Ini sangat penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Islam sendiri mengajar keseimbangan. Tegas pada prinsip dan adil dalam tindakan.

Bahaya menjalani hidup tanpa pendirian. Perkara ini dijelaskan dalam ayat 91 yang menyebutkan tentang manusia yang mahu selamat dari semua pihak, tidak mahu bertanggungjawab kepada kebenaran dan hanya memilih apa yang menguntungkan sahaja. Ini adalah sikap opportunis dan dalam dunia hari ini, sikap ini sering kelihatan sebagai “bijak”. Tetapi dalam Al-Qur’an, ia adalah tanda kelemahan iman. Iman bukan tentang memilih yang selamat. Iman adalah tentang memilih yang benar.

Saya nak ajak kita membuat refleksi Syawal dan menilai ia sebagai ujian selepas Ramadan. Syawal bukan sekadar hari raya. Aadakah kita kekal dengan prinsip atau kembali hanyut dengan arus? Ketika suasana ziarah, pergaulan dan budaya raya adakah kita menjaga batas? Adakah kita menjaga percakapan? Adakah kita masih ingat Allah dalam kegembiraan? Kerana iman bukan hanya untuk masjid. Ia juga untuk ruang tamu, meja makan dan kehidupan sosial.

Kita hidup dalam dunia yang mengaburkan garis antara benar dan salah, mengangkat populariti lebih daripada prinsip serta menggalakkan kompromi tanpa nilai dan dalam keadaan ini, ayat 87–91 menjadi sangat relevan. Ia mengingatkan kita bahawa tidak semua yang popular itu benar dan tidak semua yang diterima ramai itu baik.

Oleh itu, saya terfikir beberapa langkah perubahan untuk diri sendiri khususnya wajar untuk diambil tindakan sebagai muhasabah syawal. Pertama, perkukuh keyakinan kepada akhirat supaya dunia tidak terlalu menguasai hati. Kedua, belajarlah untuk menilai dengan hikmah dan jangan terlalu cepat menghukum, tetapi jangan juga terlalu longgar. Tiga, berani berbeza jika itu yang diperlukan untuk menjaga iman. Keempat, elakkan sikap opportunis. Pilihlah kebenaran walaupun tidak popular.

Akhir sekali sebagai kesimpulan, ayat 87 hingga 91 Surah An-Nisa’ mengajar satu hakikat yang sangat penting, iman bukan hanya tentang apa yang kita percaya bahkan ia tentang siapa kita apabila kita ditekan dan mungkin inilah muhasabah paling jujur selepas Ramadan. Adakah kita masih sama seperti dalam Ramadan? Atau kita sudah kembali kepada arus tanpa arah? Kerana akhirnya, iman bukan diukur ketika suasana baik, sebaliknya ia diukur ketika kita berhadapan dengan pilihan yang sukar.

Wednesday, March 25, 2026

Taat kepada Rasul, Bahaya Riya’ Sosial dan Adab Komunikasi dalam Islam


Kehidupan dunia hari ini, kita digerakkan dalam dua realiti serentak iaitu dunia ibadah dan dunia komunikasi. Kita solat, membaca Al-Quran, berzikir tetapi pada masa yang sama, kita juga berkongsi berita, memberi komen dan menyebarkan maklumat. Ayat 80 hingga 86 Surah An-Nisa’ datang seperti satu peringatan yang sangat relevan mengenai iman bukan hanya tentang hubungan dengan Allah tetapi juga tentang bagaimana kita berinteraksi dengan manusia.

Jika kita telusuri bacaan ini, ujian ketaatan yang sebenar adalah mentaati Rasul SAW. Ayat 80 menyebut satu prinsip besar, “sesiapa yang mentaati rasul, maka dia telah mentaati Allah…”

Ibn kathir menghuraikan, ayat ini sebenarnya menegaskan bahawa sunnah bukan pilihan tambahan bahkan ia adalah sebahagian daripada agama. Namun dalam realiti hari ini, ramai yang memilih apa yang sesuai dan meninggalkan apa yang sukar. Ketaatan sebenar bukan ketika kita setuju tetapi ketika kita tetap taat walaupun sukar.

Hari ini, terdapat hipokrasi halus dalam kehidupan moden. Ini dijelaskan melalui ayat 81 yang menyebutkan tentang mereka yang berkata, “kami taat” tetapi dalam diam, mereka melakukan perkara yang bertentangan. Ini bukan hanya tentang zaman Nabi SAW. Ini tentang realiti manusia sepanjang zaman. Hari ini, hipokrasi mungkin tidak kelihatan jelas. Tetapi ia boleh muncul dalam bentuk imej baik di depan orang, sikap berbeza di belakang. Ini persoalan siapa kita ketika tiada siapa melihat maka itulah iman kita yang sebenar.

Masalah umat lebih kritikal hari ini apabila mereka tidak mentadabbur dan ini dipertanyakan dalam ayat 82, “tidakkah mereka mentadabbur Al-Quran?” Masalah umat bukan kerana Al-Quran tidak dibaca. Masalahnya kerana Al-Quran tidak difahami dan direnungi.

Jika kita telusuri tafsir Al-Tabari, tadabbur bermaksud melihat makna yang mendalam dan menghubungkannya dengan kehidupan. Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca tetapi juga untuk mengubah cara kita berfikir dan hidup.

Ayat 83 sangat relevan dengan zaman media sosial. Satu peringatan mengenai bahaya menyebarkan sesuatu maklumat tanpa semakan. Apabila datang berita tentang sesuatu, mereka terus menyebarkannya, tanpa semakan. Al-Qurtubi dalam tafsirnya menjelaskan, ini adalah larangan menyebarkan maklumat tanpa memastikan kebenarannya. Setiap “share”, “forward” dan “post” adalah amanah dan dalam dunia digital, satu klik boleh menyebarkan kebaikan atau menyebarkan fitnah.

Maka ingatlah. Jangan tunggu orang lain berubah. Ayat 84 mengajar sesuatu yang sangat penting iaitu bertindak walaupun bersendirian. Ramai orang menunggu supaya suasana berubah atau orang lain berubah tetapi hakikatnya ayat ini mengajar kita perubahan bermula dari diri sendiri.

Ketahuilah, kesan tindakan kita lebih besar daripada kita sangka. Ayat 85 menyebutkan sesiapa yang mendorong kepada kebaikan, dia mendapat bahagiannya. Ini sangat mendalam. Kita bukan hanya bertanggungjawab atas diri sendiri. Kita juga bertanggungjawab atas apa yang kita galakkan dan apa yang kita sebarkan.

Mari kita bermula dari adab kecil yang akhirnya mampu membina masyarakat besar. Ayat 86 mungkin kelihatan sederhana. Balaslah salam dengan yang lebih baik. Tetapi di sinilah keindahan islam. Masyarakat yang sihat tidak hanya dibina dengan hukum besar. Ia dibina dengan adab kecil yang konsisten. Iman bukan hanya dalam perkara besar. Ia juga dalam perkara kecil yang kita ulang setiap hari.

Mari kita bersama lakukan refleksi iman di era digital ini. Ayat 80–86 sangat kuat dalam konteks hari ini. Kita mungkin rajin beribadah dan aktif berkongsi. Tetapi persoalannya, adakah kita jujur dalam iman? Adakah kita bertanggungjawab dalam komunikasi? Perasan atau tidak, dalam dunia digital, dosa tidak lagi memerlukan pergerakan fizikal. Cukup dengan satu jari.

Saya punyai pandangan kritis untuk diri kita khususnya diri saya sendiri. Hari ini, ramai orang mahu kelihatan baik tetapi tidak semua mahu benar-benar menjadi baik. Kita hari ini hidup dalam budaya imej lebih penting daripada hakikat, reaksi lebih cepat daripada semakan dan suara lebih kuat daripada kebenaran. Ayat-ayat ini mengajak kita keluar daripada budaya itu.

Langkah perubahan yang praktikal sebagai muhasabah kita harus bermula dari menapis sesuatu maklumat sebelum kita kongsi. Jangan sebarkan sesuatu yang tidak pasti. Kemudian, latihlah keikhlasan dengan kurangkan keinginan untuk dilihat. Selain itu hidupkanlah usaha tadabbur Al-Quran, jangan sekadar baca tetapi usahakan juga untuk fahami. Terakhir, jagalah adab yang kecil kerana di situlah konsistensi iman terbina.

Saya tutup dengan kesimpulan ayat 80 hingga 86 surah An-Nisa’ yang mengajar kita satu perkara yang sangat penting. Iman bukan hanya tentang apa yang kita percaya. Ia tentang bagaimana kita hidup setiap hari, baik dalam kata-kata kita, dalam tindakan kita, dalam perkara kecil yang kita ulang tanpa sedar dan mungkin inilah muhasabah paling penting, adakah kehidupan kita mencerminkan iman kita?

Tuesday, March 24, 2026

Iman, Keberanian dan Tanggungjawab Selepas Syawal


Ada satu persoalan yang sangat penting selepas kita melalui Ramadan dan memasuki Syawal, adakah iman kita hanya menjadikan kita baik untuk diri sendiri atau juga bermanfaat untuk orang lain? Ayat 75 hingga 79 Surah An-Nisa’ membawa kita keluar daripada zon selesa ibadah peribadi, kepada satu dimensi yang lebih luas iaitu iman sebagai tanggungjawab sosial dan keberanian moral. Ini bukan lagi tentang apa yang kita rasa. Ini tentang apa yang kita lakukan.

Persoalannya, mengapa kita tidak bangkit? Ayat 75 datang dengan satu pertanyaan yang menggoncang jiwa, “mengapa kamu tidak berjuang di jalan Allah dan membela orang-orang yang tertindas…”

Golongan yang disebut bukan sekadar simbolik. Lelaki, wanita dan kanak-kanak yang hidup dalam penindasan dan berdoa agar dibebaskan. Huraian oleh ibn kathir dalam tafsir klasik menjelaskan, ayat ini merujuk kepada mereka yang tidak berdaya di mekah pada waktu itu. Tetapi mesejnya lebih luas. Iman bukan hanya tentang menyelamatkan diri. Iman juga tentang membela mereka yang tidak mampu menyelamatkan diri.

Ayat 76 menjelaskan dengan sangat jelas, tiada jalan neutral. Orang beriman berjuang di jalan Allah, orang lain berjuang di jalan taghut dan ini memberi satu realiti yang tegas bahawa dalam hidup ini, kita tidak benar-benar neutral. Pilihan kita, tindakan kita, dan sikap kita, semuanya berada dalam salah satu jalan dan ayat ini mengingatkan bahawa walaupun kezaliman kelihatan kuat, tipu daya syaitan itu lemah. Maknanya, kebenaran mungkin kelihatan kecil, tetapi ia mempunyai kekuatan yang sebenar.

Ayat 77 sangat dekat dengan realiti manusia. Ada orang yang sebelum diwajibkan berjuang, mereka berkata, “mengapa belum diperintahkan?” Tetapi apabila perintah datang, mereka menjadi takut. Ini sangat jujur. Kita sering bersemangat dalam idea tetapi takut dalam tindakan. Selepas ramadan, kita mungkin mempunyai semangat yang tinggi tetapi syawal menguji, adakah kita berani bertindak atau kembali kepada kebiasaan? Jika kembali kepada kebiasaan, inilah yang dikatakan ketakutan yang menghentikan tindakan.

Kematian tidak boleh dielakkan. Ayat 78 membawa perspektif yang sangat besar, di mana sahaja kamu berada, kematian akan menemui kamu. Ini membebaskan manusia daripada satu ketakutan yang sering menghalang mereka daripada melakukan kebaikan. Kadang-kadang kita tidak bertindak kerana takut kehilangan keselamatan, keselesaan bahkan kedudukan. Tetapi ayat ini mengingatkan bahawa kita tidak boleh melarikan diri daripada takdir.

Berhentilah menyalahkan orang lain. Ayat ini juga menggambarkan sikap manusia apabila mendapat kebaikan dikatanya dari Allah tetapi bila mendapat musibah, mulalah menyalahkan orang lain. Ini sangat biasa dalam kehidupan moden dan ayat 79 meluruskan, apa sahaja kebaikan dari Allah dan apa sahaja keburukan dari diri kamu sendiri.

Al-Qurtubi memberikan tafsiran bahawa ayat ini mengajar manusia mesti bertanggungjawab atas pilihan mereka. Ini adalah titik perubahan hidup. Berhenti menyalahkan dan mulalah bermuhasabah.

Ramadan telah berlalu dan mulakanlah usaha dari ibadah ke tindakan. Ramai yang merasakan diri lebih dekat dengan Allah. Tetapi ayat 75–79 membawa satu cabaran, adakah iman itu akan diterjemahkan dalam tindakan? Adakah kita lebih peka terhadap ketidakadilan? Adakah kita lebih berani mempertahankan kebenaran? Adakah kita lebih jujur melihat kelemahan diri? Kerana syawal bukan sekadar sambutan. Ia adalah ujian sama ada kita benar-benar berubah.

Satu pandangan kritis untuk zaman kita ini. Hari ini, ramai orang mahu menjadi baik tetapi tidak semua mahu menjadi berani. Tidak kiralah sama ada berani berkata benar, berani menolak kezaliman mahupun berani mengakui kesalahan diri. Kita hidup dalam dunia yang sering menggalakkan keselesaan, bukan keberanian. Tetapi Al-Quran mengajar bahawa iman yang sebenar bukan sekadar lembut. Ia juga tegas apabila diperlukan.

Saya ingin mencadangkan langkah perubahan untuk diri kita khususnya diri saya sendiri sebagai refleksi praktikal selepas syawal. Latih diri untuk peduli dan jangan hanya fokus kepada diri sendiri. Kedua, ambil langkah kecil membela kebenaran walaupun sekadar suara atau tindakan kecil. Ketiga, hadapilah ketakutan dengan iman dan usah biarkan ketakutan menghalang kebaikan. Terakhir, biasakanlah bermuhasabah diri. Kurangkan menyalahkan dan usaha tambah kebaikan.

Akhir sekali, kita rujuk ayat 75 hingga 79 surah an-nisa’ ini, ia mengajar kita bahawa, iman itu hidup dan iman yang hidup akan bergerak. Ia tidak hanya berada dalam hati bahkan ia keluar dalam tindakan dan mungkin inilah muhasabah paling penting selepas ramadan iaitu adakah kita hanya menjadi hamba yang beribadah? Atau kita juga menjadi hamba yang membela, berani dan jujur? Kerana akhirnya, iman bukan hanya tentang hubungan kita dengan allah. Ia juga tentang bagaimana kita berdiri di dunia ini.

Monday, March 23, 2026

Membina Rumah Berjiwa Wahyu & 10 Sifat Mukmin Sejati


Kadang-kadang kita terlalu sibuk membina kehidupan hingga terlupa membina jiwa dalam kehidupan itu sendiri. Rumah dibesarkan. Jadual dipenuhkan. Anak-anak dihantar ke kelas terbaik. Tetapi satu persoalan halus yang jarang kita tanya, apa yang sebenarnya hidup dalam rumah kita? Surah Al-Ahzab ayat 34–35 membawa kita kembali kepada asas yang bukan sekadar bagaimana kita hidup, tetapi apa yang menghidupkan kita.

Jadikanlah rumah kit aitu sebagai rumah yang tidak sekadar berpenghuni. Allah berfirman agar isteri-isteri Nabi SAW, “Dan ingatlah apa yang dibacakan di rumah kamu daripada ayat-ayat Allah dan hikmah…”

Rumah Rasulullah SAW bukan rumah biasa. Ia bukan sekadar tempat berehat, tetapi tempat wahyu bernafas. Ada Al-Quran dibaca, ada sunnah diamalkan, ada perbualan yang mengingatkan kepada Allah dan yang paling penting ada kesedaran yang sentiasa dihidupkan.

Hari ini, rumah kita juga ada suara. Tetapi suara apa? Adakah ayat-ayat Allah yang bergema? Atau bunyi skrin yang tidak pernah berhenti? Adakah perbualan yang membina jiwa? atau perbualan yang hanya mengisi masa? Rumah tidak pernah kosong. Jika bukan wahyu yang mengisinya, dunia akan mengambil tempatnya.

Ayat 35 hadir seperti satu senarai, tetapi sebenarnya ia adalah cermin besar untuk kita semua. Allah menyebutkan lelaki dan wanita yang muslim, lelaki dan wanita yang beriman, lelaki dan wanita yang sabar, jujur, khusyuk berulang-ulang. Sepuluh kali. Apabila Allah menyebut lelaki dan wanita bersama, seolah-olah Allah ingin menegaskan jalan menuju Allah tidak ditentukan oleh siapa kita tetapi oleh bagaimana kita membina diri kita. Tiada keistimewaan automatik. Tiada jalan pintas bahkan yang ada hanyalah usaha dan kesungguhan.

Ayat ini bukan sekadar menyenaraikan sifat. Ia sebenarnya menggambarkan perjalanan jiwa seorang mukmin. Maka diberikan 10 sifat mukmin yang bukan hanya sekadar senarai tetapi perjalanan yang perlu diberi perhatian. Ia bermula dengan Islam yang bermaksud tunduk secara Zahir, kemudian kepada Iman iaitu percaya secara mendalam. Kemudian bergerak kepada ketaatan (qunut), kejujuran (sidq) serta kesabaran (sabr) yang akhirnya membina hati yang hidup (khusyuk), tangan yang memberi (sedekah), diri yang terjaga (iffah) juga jiwa yang sentiasa terhubung (zikir). Ini bukan checklist untuk ditanda. Ini adalah proses menjadi manusia yang allah redha.

Mari kita muhasabah, di mana kita sekarang? Cuba berhenti seketika. Tanya diri dengan jujur, adakah aku sekadar Muslim pada nama atau benar-benar hidup dengan iman? Bila diuji, aku memilih sabar atau reaktif dengan emosi? Apabila aku dalam kesibukan, lidahku lebih banyak mengadu atau berzikir? Rumah aku lebih dekat dengan wahyu atau lebih dekat dengan dunia? Kadang-kadang jawapannya tidak selesa, tetapi di situlah permulaan perubahan.

Jom kita mulakan langkah kecil tetapi kesannya besar. Tidak perlu tunggu sempurna. Mulakan dengan kecil tetapi konsisten. Kita mulakan dengan hidupkan “suara wahyu” di rumah. Tetapkan 5–10 minit sehari bacaan al-quran walaupun sedikit. Pasanglah bacaan al-quran ketika waktu tertentu di rumah. Kemudian, bina satu sifat dalam 1 minggu. Fokus satu sifat dari ayat 35 contohnya minggu ini, jujur, minggu depan sabar, seterusnya zikir dan hingga akhirnya. Jangan kejar semua, tapi jangan tinggalkan semua.

Latih juga berzikir dalam aktiviti harian sama ada dalam kereta kita beristighfar, semasa menunggu giliran kita selawat atau sebelum tidur kita lakukan muhasabah ringkas. Wujudkan “momen hikmah” dalam keluarga. Kongsi satu ayat atau hadis setiap minggu dan bincang nilai, bukan sekadar hukum.

Allah menutup ayat ini dengan dua perkara, keampunan dan pahala yang besar. Bukan kejayaan dunia. Bukan pengiktirafan manusia. Tetapi dosa yang diampunkan dan ganjaran yang berkekalan kerana hakikatnya kejayaan bukan apabila kita nampak hebat di dunia, tetapi apabila kita selamat di hadapan Allah.

Bayangkan satu hari nanti, kita kembali kepada Allah. Segala yang kita bina di dunia ditinggalkan dan yang tinggal hanyalah iman yang pernah kita jaga, sabar yang pernah kita tahan, zikir yang pernah kita ulang dan rumah yang pernah kita hidupkan dengan wahyu. Maka pada hari itu, kita berharap, “Ya Allah… aku tidak sempurna. Tetapi aku pernah berusaha untuk menjadi hamba-Mu.”

Sunday, March 22, 2026

1 Syawal & Surah Al-A‘laa: Kemenangan Tazkiyah atau Permulaan Kelalaian?


Pagi ini, kita bangun dengan takbir. Langit seakan-akan dipenuhi dengan kalimah yang sama, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar… Kita melangkah ke tempat solat. Kita berdiri bersama dan imam membaca Surah Al-A‘laa. Bukan kebetulan. Seolah-olah, selepas sebulan Ramadan mentarbiah jiwa, Allah menutupnya dengan satu surah yang merumuskan semuanya dan dalam masa yang sama, memberi amaran tentang apa yang akan datang selepasnya. Hari ini bukan sekadar hari raya. Hari ini adalah hari penilaian dan arah baru kehidupan maka jadikan tasbih sebagai permulaan segala perubahan. 

“Sabbihisma rabbikal a‘la. Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi.”

Ramadan telah mengajar kita menahan diri. Tetapi Syawal mengajar kita sesuatu yang lebih dalam iaitu mengagungkan Allah dalam kemenangan. Takbir yang kita lafazkan sejak malam tadi bukan sekadar tradisi. Ia adalah deklarasi hati bahawa Allah lebih besar daripada nafsu yang kita tundukkan. Lebih besar daripada dunia yang kita kejar. Lebih besar daripada segala yang pernah kita risaukan. Namun persoalannya, adakah tasbih itu hanya di bibir atau sudah menjadi cara kita melihat hidup? Tasbih yang sebenar adalah apabila kita berhenti mempersoalkan takdir dengan hati yang sempit dan mula melihat kehidupan dengan pandangan tauhid.

“Qad aflaha man tazakka, berjayalah orang yang menyucikan diri.”

Tazkiyah diri kita dan ketahuilah inilah makna kemenangan. Sepanjang Ramadan, kita berlapar. Kita menahan marah. Kita menjaga lisan. Kita bangun malam. Semua itu bukan tujuan tetapi proses. Tujuannya adalah tazkiyah dan hari ini, 1 Syawal, adalah seolah-olah hari pengumuman siapa yang benar-benar berjaya? Siapa yang hanya sekadar melalui Ramadan? Kemenangan dalam Islam bukan diukur pada kemeriahan raya, tetapi pada perubahan jiwa. 

Jika hati kita lebih lembut maka itu tanda-tanda kemenangan. Jika solat kita lebih hidup, itu juga kemenangan. Jika dosa yang lama kita tinggalkan, itu kemenangan. Tetapi jika semuanya kembali seperti biasa, maka mungkin kita hanya berpuasa, tetapi tidak benar-benar disucikan.

“Wadhakarasma rabbihi fasalla. Dia mengingati nama Tuhannya, lalu dia mendirikan solat.”

Bukankah ini yang kita lakukan hari ini? Zikir dan solat adalah ritual raya yang penuh makna. Kita bertakbir sepanjang malam adalah zikir. Kita berhimpun di pagi hari untuk solat Aid. Seolah-olah seluruh hari raya adalah praktikal ayat ini. Namun di sebalik amalan itu, ada satu persoalan yang lebih dalam, adakah kita benar-benar mengingati Allah atau sekadar mengulangi lafaz? Zikir yang sebenar bukan pada suara, tetapi pada hati yang sedar.

“Bal tu’thirunal hayata-d-dunya. Tetapi kamu mengutamakan kehidupan dunia.”

Ayat ini terasa sangat tepat pada hari ini. Peringata untuk kita bahawa ujian sebenar bermula hari ini. Ramadan berlalu maka nafsu kembali bebas, rutin kembali sibuk dan dunia kembali menggoda. Inilah ujian sebenar. Bukan ketika kita berlapar tetapi ketika kita sudah tidak lagi diwajibkan berlapar. Adakah kita akan kembali kepada corak lama? Atau kita akan membawa roh Ramadan ke dalam kehidupan? Surah ini seperti satu peringatan lembut pada pagi raya, jangan biarkan kemenangan ini hanya sehari.

“Wal-akhiratu khairun wa abqa. Akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.”

Arah hidup kita sebenarnya dunia atau akhirat? Persoalan yang mesti kita jawab dalam kesibukan beraya, berkunjung, bergembira. Ayat ini hadir sebagai penyeimbang. Bukan untuk menghilangkan kegembiraan tetapi untuk memberi arah. Bahawa semua ini sementara, perjalanan kita masih panjang dan destinasi kita bukan di sini. Hari raya sepatutnya bukan sekadar baju baru malahan hati yang diperbaharui arah hidupnya.

Akhir sekali, surah Al-A‘laa yang dibacakan pagi ini bukan sekadar bacaan solat. Ia adalah mesej penutup Ramadan dan pembuka kepada perjalanan selepasnya. Ramadan telah membersihkan kita tetapi Syawal akan menguji kita dan dalam gema takbir yang masih bergema, surah ini seakan berbisik, kemenangan bukan pada hari ini sebaliknya pada siapa yang mampu kekal bersih selepas hari ini.

Saturday, March 21, 2026

Iman, Pengorbanan dan Ujian Selepas Ramadan


Ada satu hakikat yang jarang kita fikirkan selepas Aidilfitri, Ramadan melatih kita. Syawal menguji kita. Ayat 66 hingga 74 Surah An-Nisa’ datang seperti satu cermin yang jujur, bukan tentang bagaimana kita beribadah ketika mudah, tetapi bagaimana kita bertindak ketika iman menuntut sesuatu yang berat dan di sinilah persoalan sebenar muncul, adakah iman kita kekal selepas Ramadan atau ia hanya sementara sahaja?

Kita perlu fahami bahawa iman yang tidak diuji tidak akan terbukti. Ayat 66 menyebutkan bahawa jika Allah memerintahkan sesuatu yang sangat berat seperti meninggalkan kampung halaman atau pengorbanan besar, akan sedikit sahaja manusia yang benar-benar akan melakukannya. Ia jelas seperti yang dihuraikan salam tafsir oleh Ibn Kathir, ayat ini menggambarkan realiti manusia. Ramai yang mengaku beriman, tetapi tidak semua sanggup membayar harga iman. Ramadan mungkin telah melatih kita untuk menahan lapar, menjaga lidah dan bangun malam, tetapi Syawal akan bertanya, adakah kita sanggup mengekalkan itu semua tanpa suasana Ramadan?

Ingatlah, ketaatan membuka jalan hidayah. Ini dijelaskan dalam ayat 67–68 yang menjanjikan bahawa mereka yang benar-benar taat akan diberikan ganjaran besar dan petunjuk ke jalan yang lurus. Ini sangat penting. Hidayah bukan hanya datang sebelum ketaatan. Hidayah juga datang selepas ketaatan. Ini bermakna, setiap kali kita memilih untuk taat, Allah membuka jalan yang lebih jelas.

Ayat 69 adalah antara ayat paling indah dalam Al-Qur’an. Mereka yang taat akan bersama para nabi, siddiqin, syuhada’ dan orang soleh dan menurut tafsir Al-Qurtubi, ini adalah motivasi rohani yang sangat tinggi bahawa ketaatan bukan sekadar tentang pahala, tetapi tentang siapa kita akan bersama di akhirat bahkan di dunia, kita mungkin tidak berada dalam lingkungan orang soleh, tetapi di akhirat, kita diberi peluang untuk memilih, jalan kita menentukan siapa teman kita.

Ayat 70 mengingatkan bahawa semua itu adalah kurnia allah. Ia adalah rahmat yang tidak terlihat. Ini satu keseimbangan penting apabila kita berusaha tetapi Allah yang memberi hasil. Ia mengajar kita untuk tidak sombong dengan amal dan tidak putus asa dengan kelemahan.

Ayat 71–72 pula seterusnya membawa kita kepada realiti manusia yang sangat dekat. Ada yang lambat bertindak, ada yang penuh alasan, tidak kurang juga yang hanya bergerak apabila keadaan selamat. Ini bukan sekadar tentang peperangan. Ini tentang sikap hidup. Inilah yang boleh kita katakana sebagai iman yang bertangguh. Berapa banyak perkara baik yang kita tangguhkan? Berapa banyak perubahan yang kita tahu perlu dibuat, tetapi kita kata, “Nanti dulu…”

Ada pula manusia yang berada dalam kelompok beriman yang bersyarat. Ayat 73 menggambarkan satu lagi jenis manusia ini. Apabila mereka terlepas peluang kebaikan, mereka berkata, “Alangkah baiknya jika aku bersama mereka…” Ini adalah iman yang datang selepas hasil. Mereka tidak mahu bersama perjuangan, tetapi mahu bersama kejayaan. Ini sangat relevan selepas Ramadan. Ramai mahu pahala Ramadan, tetapi tidak semua mahu disiplin Ramadan.

Ayat 74 adalah klimaks kepada bahagian ini, “Hendaklah berjuang di jalan Allah mereka yang menjual kehidupan dunia dengan akhirat…”

Ini bukan tentang meninggalkan dunia sepenuhnya. Ini tentang meletakkan akhirat sebagai keutamaan. Janganlah sehingga kita menjual dunia untuk akhirat. Para mufassir menjelaskan, ayat ini menggambarkan manusia yang membuat pilihan yang jelas sama ada dunia di tangan atau akhirat di hati.

Kita muhasabah bersama, bahawa syawal adalah bulan ujian selepas tarbiah. Syawal bukan sekadar perayaan. Ia adalah ujian kesinambungan. Solat malam mungkin berkurang, tilawah mungkin semakin sedikit dan disiplin mungkin mula longgar. Tetapi di sinilah ayat 66–74 menjadi sangat relevan. Allah tidak hanya melihat bagaimana kita bermula. Allah melihat bagaimana kita meneruskannya.

Kehidupan moden kini, ramai orang mahu hasil tanpa proses. Mahukan berjaya tanpa disiplin, mahukan syurga tanpa pengorbanan bahkan mahukan perubahan tanpa kesungguhan. Ayat-ayat ini memecahkan ilusi itu. Iman bukan perasaan. Iman adalah pilihan yang datang berulang kali, setiap hari.

Oleh yang demikian, mari kita bersama berusahai untuk kekalkan satu amalan ramadan walaupun kecil, tetapi konsisten. Kedua, latih diri untuk tidak bertangguh dalam kebaikan. Jangan tunggu “masa sesuai”. Ketiga, nilai semula keutamaan hidup. Adakah kita benar-benar memilih akhirat? Terakhir, cari lingkungan yang baik kerana kita akan bersama siapa yang kita dekati.

Saya tutup dengan satu hakikat yang sangat jujur dari ayat 66 hingga 74 surah an-nisa’ ini iaitu iman itu mahal. Ia menuntut, kesabaran, pengorbanan dan kejujuran dan mungkin inilah muhasabah paling penting selepas ramadan. Adakah kita hanya kuat dalam suasana ramadan? Atau kita benar-benar sedang membina iman yang berterusan? Kerana akhirnya, iman bukan diukur pada satu bulan. Ia diukur pada kesetiaan sepanjang kehidupan.