Tuesday, June 22, 2021

PANDEMIK MENGUJI TAHAP KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN

Sertai webinar kami.
Sertai webinar kami.

Besar sekali hikmah apabila kita di maklumi tentang tahap pendidikan anak-anak kita, bahkan ia adalah gambaran ideal bagaimana proses pembentukan sahsiah mereka bersama ibu bapa mereka. Tahap dan peringkat itu memberikan seribu satu sebab yang munasabah untuk kita fikirkan. Permulaannya bagai menatang minyak yang penuh, pertengahannya penekanan adab dan akhlak dan pengakhirannya membina persahabatan yang erat. Banyak diperbincangkan, awal itu bermula dari kosong sehingga tujuh tahun. Kemudian bermula lapan hingga empat belas tahun dan akhir itu dari lima belas hingga dua puluh satu  tahun. Persoalannya, adakah pendidikan kita hari ini menitikberatkan tata cara ideal ini atau hanya diperbincangkan dan tidak pernah pun diguna pakai untuk dilihat keberkesanannya?

Pandemik ini memaksa kita semua terperangkap di rumah dengan pelbagai alasan yang tidak perlu kita bincangkan. Pastinya, memang kita di rumah dan ini sekaligus memberikan kita kesempatan untuk melihat sendiri bagaimana anak-anak kita membesar dalam suasana rumah kita sendiri. Ya, rupa-rupanya, selama ini, mereka membesar di sekolah mereka bukan di rumah sepenuhnya dan pengharapan kita juga begitu. Keluh kesah kita apabila sekolah diarahkan tutup jelas membingungkan sedangkan ini adalah peluang dan ruang pendidikan informal yang pada hakikatnya wajib mereka lalui bersama ibu dan bapa mereka sendiri.

Tahap pertama, kita disarankan mentang mereka ibarat minyak yang penuh. Pada usia mereka bayi dan menjadi awal kanak-kanak yang asyik dengan permainan mereka. Pada waktu ini, kasih sayang perlu ditonjolkan sebanyak yang mungkin kerana mereka sedang membina keyakinan terhadap insan yang paling mereka yakini apabila berlaku sesuatu kepada mereka. Pada waktu inilah pengharapan mereka kuat kepada ibu ayah mereka. Sebab itu, anak-anak yang kerap ditinggalkan pada waktu umur ini secara positifnya mungkin akan lebih cepat berdikari tetapi keyakinan diri mereka akan lebih cepat menjarakkan mereka dari ibu bapa mereka sendiri kerana mereka berasa lebih mandiri.

Tahap kedua adalah tahap pendidikan adab dan akhlak. Denda dan hukuman amat disarankan untuk diperkenalkan pada waktu ini. Mereka perlu sedar bahawa ada peraturan dalam kehidupan kerana kehidupan bukan satu kebebasan. Mereka tidak boleh dicetak maksud kebebasan itu sebagai tiada had atau tiada sekatan, sebaliknya kebebasan itu adalah bersyarat dan punya disiplin tersendiri yang menjadikan mereka manusia. Kita bersama sedar bahawa pada tahap ini mereka sudah mula berfikir ala dewasa, maka pemikiran mereka perlu dibentukkan dengan bimbingan yang benar. Anak yang pada usia sebelumnya terlepas dari kasih sayang yang benar, pada tahap ini mereka akan berasa lebih bebas lagi apabila cetakan kebebasan dan mandiri itu kita berikan secara tafsiran yang salah. Tahap ini penting untuk mereka sedar bahawa dunia ini ada orang lain dan kita saling bergantung antara satu sama lain.

Tahap ketiga adalah dimana anak-anak ini dibuat kawan. Masyarakat melayu khususnya sedikit sukar untuk menerima atau melakukannya. Namun, zaman kini telah berubah. Jika dahulu, kita adalah cetakan bagaimana rupa dan tindak tanduk ibu ayah kita, kini mereka telah ada contoh lain yang amat luas untuk dibuat pilihan. Maka, kita harus perbanyakkan perbincangan dan luahan rasa dengan anak-anak ini yang kita panggil mereka remaja. Rasa tanggungjawab perlu diberikan. Sikap amanah, ringan tulang, perasaan belas kasihan, budaya tolong menolong harus menjadi keutamaan ketika ini. Ini tidak bermakna mereka yang perlu menunjukkannnya, tetapi sebagai rakan, kita seharusnya mendahului mereka.

Konfliknya mungkin kita terfikir adakah saat umur itu tepat pada kiraan itu atau bagaimana? Oleh sebab ia proses, maka, kita perlu bina tahap-tahapnya berdasarkan kecenderungan mereka yakni anak-anak kita sendiri dan tiada buku yang boleh memberikan arahan yang jelas mengenainya. Pasti pada setiap tahap ada bab pengenalannya yang tersendiri yang perlu dikarang oleh ibu bapa sendiri. Pada situasi inilah sekali lagi kita diuji dalam suasana pandemik ini. Seolah-olah, pandemik adalah satu bengkel keibubapaan buat kita fikirkan semula peranan kita dan bagaimana perasaan mereka kepada ibu bapa mereka.

Sunday, June 13, 2021

GROWTH MINDSET: PKP BUKAN ALASAN


Terima kasih buat ABIM Daerah Kuala Selangor yang berikan ruang berbicara semalam dalam Usrah Umum ABIM Daerah Kuala Selangor. Secara peribadi, sebenarnnya saya semakin rindu dengan apa yang saya sering lakukan dahulu dan apabila diberikan peluang itu, saya pasti akan mencuba sedaya upaya untuk memenuhkannya dan menyampaikan bentuk-bentuk pemikiran saya yang terbaik. Pesan Johari Hamzah, "They deserve the best form us,". Saya tidak akan lupa pesanan keramat ini.

Semalam perbincangan tertumpu mengenai sikap menghadapi situasi hari ini. Pemilihan tajuk membuatkan saya berandaian bahawa, ABIM Daerah Kuala Selangor ingin menyampaikan mesej bahawa apa yang berlaku ini tidak harus menarik diri kita ke belakang. Maka saya menyimpulkan, mereka cuba untuk menyampaikan mesej motivasi dan pemikiran positif kepada masyarakat umum di luar sana. Pada awalnya mungkin kita berfikir, mustahil ada orang yang terlalu negatif menerima pandemik ini. Ya, itu benar kerana lihatlah siapa yang berada dilingkungan kita, maka kita boleh katakan bahawa, kita beruntunglah agaknya.

Permulaannya saya jelaskan mengenai motivasi dan pemikiran positif. Adakah growth mindset ini semata-mata pemikiran. Saya yakin, ia bukan setakat pemikiran sahaja. Growth mindset yang dibincangkan adalah bentuk pemikiran yang akhirnya dapat membentuk sikap manusia seterusnya. Secara umumnya, sikap dan pemikiran kita amat berkait rapat dalam mencerminkan perwatakan diri kita. Sebab itu kadang-kadang kita terkeliru, sikap panas baran seseorang adalah disebabkan sikapnya atau cara berfikir? Mengapa ada kalanya panas barannya tidak timbul walaupun keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kepadanya?


Memahami keadaan ini, saya bawakan beberapa tanggapan penting mengenai sikap dan pemikiran secara umumnya. Sikap antara pandangan yang banyak menyatakan bahawa ia terbina dari pengalaman yang telah dilalui sebelumnya. Pengalaman itu adalah pengalaman yang amat mengesankan sama ada ia manis apatah jika ia amat pahit. Pengalaman-pengalaman mereka ini akan membina keyakinan keyakinan mereka terhadap perkara-perkara tertentu. Pengalaman tercekik menelan ubat menjadikan sikap seseorang itu menolak untuk menelan ubat. Pengalaman lemas di laut menjadikan sikap seseorang itu yang tidak minat untuk bercuti di persisiran pantai. Keyakinan ini akan semakin kuat dan akhirnya menjadi pegangan dalam kehidupan. Soaln bercuti tidak menjadi masalah, tetapi bagaimana jika ia berkait dengan perhubungan kekeluargaan atau kepercayaan kepada lawan jantina? Kita sama-sama boleh fikirkan.

Perubahannya boleh berlaku tetapi saya yakin ia akan mengambil masa yang lama. Selepas 20 tahun anda memegang kepercayaan bahawa tayar kereta itu bulat, bahkan kita telah melihatnya dengan nyata, bagaimana kita ingin menerima akan datang kereta hanya flat sahaja di bawahnya tanpa tayar pun? Namun kita akan terima nanti apabila adalah pengetahuan yang datang dengan pernyataan itu. Ada maklumat yang menyokongnya serta ada pembuktian secara ilmiah. Oleh sebab itu, penting untuk kita sentiasa meningkatkan pengetahuan kita dan dalam situasi pandemik dan PKP ini, berada di rumah adalah peluang untuk menambahbaik pengetahuan kita. Anda boleh fikirkan sendiri.

Pemikiran pula adalah keupayaan diri berfikir dan jika kita positif, maka kita pasti mampu untuk berbicara dengan diri kita sendiri. Bermonolog atau bermuhasabah itu petanda keupayaan yang sangat positif. Antara faktor yang akan memberikan pengaruh kepada corak pemikiran kita juga adalah persekitaran dan pergaulan kita. Apa yang ada disekitar kita akan membentuk pola pemikiran kita yang akan cenderung untuk memilih positif atau negatif. Persekitaran yang kotor akan menyebabkan kita tidak ambil kisah tentang kebersihan walaupun kita mungkin bukan pengotor. Pergaulan juga berkita. Ia membentuk apa yang kita aspirasikan. Kerap bercerita tentang orang lain, maka keutamaan kita adalah orang lain bukan kita. Kerap mencari salah maka kita hanya akan nampak salah orang susah untuk nampak salah sendiri.

Keterkaitan keduanya memungkinkan kita untuk memanfaatkan keduanya dan menambahbaik diri kita untuk keduanya juga. Pemikiran akan menghasilkan sikap, sikap akan melambang pemikiran. Penilaian manusia adalah berdasarkan apa yang difikirkan dan bagaimana sikap mereka kepadanya. Anda bagaimana?

Friday, June 11, 2021

TAHNIAH CALON SPM 2020!


Kejayaan adalah pilihan
Kerana jitu kemahuan
Usaha tiada lelah
Yakin janjiNya pada pengusaha
Teman
Kata orang dengar
Tapi bukan akur
Buat jika benar
Timbang salah silap

Teman
Kita ada masa
Ke depan perlu sedia
Ke depan harapkan bahagia
Ke depan ada cita-cita

Tapi
Leka usah ada
Lalai punca kecewa
Alpa punca derhaka
Malas datang merana

Sebab itu Tuhan kata
Usaha hasilnya jaya
Nasib atas dirimu
Dirimu yang mengubahnya

Kehidupan bukan hanya sesaat
Tetapi sesaat itu punca
Terus naik meninggi
Atau terkubur dalam perut bumi

Kehidupan bukan cerita gembira
Tetapi gembira ada bersama
Kehidupan bukan cerita bencana
Tetapi bencana pasti ada

Kerana semua itu
Adalah pilihan
Kita yang buat
Kita yang merasa

Mahu datang dengan daya
Dalih berhias tidak bermaya
Mula bersusah senang didepan
Sekarang senang susahlah kemudian

KAMZ, Kuala Selangor, 11 Jun 2021

Wednesday, June 9, 2021

HARI KESEMBILAN 'LOCKDOWN' 3.0


Tidak tahu apa yang mampu kita fikirkan apatah lagi untuk berbuat apabila berhadapan dengan 'lockdown' sekali lagi. Walaupun kali ini situasi sedikit berbeza dengan sektor ekonomi dibenarkan sedikit-sedikit untuk beroperasi, namun, kita sama-sama tahu keadaan ini sukar untuk ramai orang yang telah terjejas sejak bermulanya PKP awal tahun 2020 yang lalu.

Kuasa pemutus terletak pada tangan orang yang dirasakan mula mahu mengambil kesempatan kepada situasi pandemik ini. Kesempatan untuk berkuasa, membuat keputusan tanpa timbang tara serta mengutamakan apa yang terbaik untuk diri bukan untuk semua. Orang kata, kita tidak boleh memuaskan nafsu semua orang, tetapi kita sangat yakin dan percaya, ramai orang akan utamakan nafsu yang ada pada diri mereka dahulu. Kepimpinan adalah cerminan keamanan sesebuah organisasi dan bagi Malaysia, kepimpinan politik harus dipertanggungjawabkan. Walaupun telah hari yang kesembilan, permainan ini masih diteruskan. Ia seolah-olah sekumpulan orang kaya yang memerhati dari cermin gelas bersama juak-juaknya sedang menonton satu pertandingan perkelahian siapa yang mampu kekal hidup di gelanggang. Perkelahian terdiri daripada masyarakat yang menghadapi tekanan untuk menyara hidup seharian manakala yang menonton sedang enak berada di dalam bilik cermin berhawa dingin. Mereka mempercaturkan perkelahian dengan mempertaruhkan siapa menang dan siapa kalah.

Jika gambaran ini terbaca kasar, kasar lagi kehidupan yang sedang dilalui masyarakat secara keseluruhannya. Ramai yang mula gusar dengan keputusan-keputusan yang dibuat dan ramai juga yang cuba untuk mengendahkannya kerana telah hilang percaya. Usah dipersoal mengapa kerana krisi kepercayaan ini terhakis sebaik sahaja yang diberikan amanah, beralasan, berdolak-dalik bahkan berdusta. Khuatirkan persidangan parlimen akan menyebarkan virus yang hanya melibatkan mungkin kurang dari 250 di dalamnya yang sudah pasti boleh diaturkan dengan pelbagai keselamatan. Jika dibandingkan dengan msyarakat yang kelaparan, hilang punca pendapatan bahkan hilang harapan dan upaya untuk meneruskan kehidupan. Catatan ini bukan untuk mencari salah siapa namun, bertanggungjawablah kepada amanah yang telah Tuhan berikan kepada kalian.

Pada hari kalian menikmati pelbagai kelebihan dengan pendapatan puluhan ribu ringgit, rakyat inginkan sepuluh ringgit sebulan pun mungkin tidak kesampaian. Jika ada pun, ia datang bersekali dengan hutang yang sudah bertimbunan ditanggung menunggu hari untuk dilangsaikan jika ada harapan. Rakyat hanya memohon, biarlah ada dalam hati kecil pemimpin-pemimpin ini untuk membuat tindakan yang tepat. Tidak ambil gaji selama tiga bulan itu kami setuju, tetapi itu hanya menguntungkan kerajaan bukan rakyat. Gaji yang kalian potong bukan pun disalurkan terus kepada rakyat, balik semula masuk kekantung kerajaan dan kemudian digunakan kononnya kepada rakyat. Lebih utama pada kami adalah untuk melihat urus tadbir negara yang lebih bijak dan penuh dengan integriti. Buka parlimen agar setiap pertimbangan kerajaan ada perbincangan sihat. Kurangkan kos perbelanjaan negara dari perkara yang tidak perlu sebagaimana contohnya, gaji-gaji yang dibayar kepada mereka yang tidak mendatangkan manfaat ekonomi kepada negara.

Percepatkan vaksin. Kita perlu HERD imuniti lapan puluh peratus dicapai dengan cepat. Ekonomi akan mula hidup semula jika ini dapat dilakukan. Halang pergerakan tanpa kawalan, bukan halang pergerakan tanpa hala. Tutup industri yang menyumbang kepada gejala dan penyebaran virus, bukan tutup semua. Fokus kepada pengurangan jangan hanya ingin menjaga hati pihak-pihak berkepentingan. Negara ini negara demokrasi bukan negara kapitalis individualis. Bukan orang kaya yang memerintah tetapi rakyat yang memberi perintah. Jika benar mereka menyumbang kepada ekonomi negara, ingat, ekonomi bukan hanya nilai mata wang bahkan nyawa setiap yang hidup di dalamnya juga adalah ekonomi. Buatlah keputusan yang bijak!