Tuesday, June 22, 2021

PANDEMIK MENGUJI TAHAP KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN

Sertai webinar kami.
Sertai webinar kami.

Besar sekali hikmah apabila kita di maklumi tentang tahap pendidikan anak-anak kita, bahkan ia adalah gambaran ideal bagaimana proses pembentukan sahsiah mereka bersama ibu bapa mereka. Tahap dan peringkat itu memberikan seribu satu sebab yang munasabah untuk kita fikirkan. Permulaannya bagai menatang minyak yang penuh, pertengahannya penekanan adab dan akhlak dan pengakhirannya membina persahabatan yang erat. Banyak diperbincangkan, awal itu bermula dari kosong sehingga tujuh tahun. Kemudian bermula lapan hingga empat belas tahun dan akhir itu dari lima belas hingga dua puluh satu  tahun. Persoalannya, adakah pendidikan kita hari ini menitikberatkan tata cara ideal ini atau hanya diperbincangkan dan tidak pernah pun diguna pakai untuk dilihat keberkesanannya?

Pandemik ini memaksa kita semua terperangkap di rumah dengan pelbagai alasan yang tidak perlu kita bincangkan. Pastinya, memang kita di rumah dan ini sekaligus memberikan kita kesempatan untuk melihat sendiri bagaimana anak-anak kita membesar dalam suasana rumah kita sendiri. Ya, rupa-rupanya, selama ini, mereka membesar di sekolah mereka bukan di rumah sepenuhnya dan pengharapan kita juga begitu. Keluh kesah kita apabila sekolah diarahkan tutup jelas membingungkan sedangkan ini adalah peluang dan ruang pendidikan informal yang pada hakikatnya wajib mereka lalui bersama ibu dan bapa mereka sendiri.

Tahap pertama, kita disarankan mentang mereka ibarat minyak yang penuh. Pada usia mereka bayi dan menjadi awal kanak-kanak yang asyik dengan permainan mereka. Pada waktu ini, kasih sayang perlu ditonjolkan sebanyak yang mungkin kerana mereka sedang membina keyakinan terhadap insan yang paling mereka yakini apabila berlaku sesuatu kepada mereka. Pada waktu inilah pengharapan mereka kuat kepada ibu ayah mereka. Sebab itu, anak-anak yang kerap ditinggalkan pada waktu umur ini secara positifnya mungkin akan lebih cepat berdikari tetapi keyakinan diri mereka akan lebih cepat menjarakkan mereka dari ibu bapa mereka sendiri kerana mereka berasa lebih mandiri.

Tahap kedua adalah tahap pendidikan adab dan akhlak. Denda dan hukuman amat disarankan untuk diperkenalkan pada waktu ini. Mereka perlu sedar bahawa ada peraturan dalam kehidupan kerana kehidupan bukan satu kebebasan. Mereka tidak boleh dicetak maksud kebebasan itu sebagai tiada had atau tiada sekatan, sebaliknya kebebasan itu adalah bersyarat dan punya disiplin tersendiri yang menjadikan mereka manusia. Kita bersama sedar bahawa pada tahap ini mereka sudah mula berfikir ala dewasa, maka pemikiran mereka perlu dibentukkan dengan bimbingan yang benar. Anak yang pada usia sebelumnya terlepas dari kasih sayang yang benar, pada tahap ini mereka akan berasa lebih bebas lagi apabila cetakan kebebasan dan mandiri itu kita berikan secara tafsiran yang salah. Tahap ini penting untuk mereka sedar bahawa dunia ini ada orang lain dan kita saling bergantung antara satu sama lain.

Tahap ketiga adalah dimana anak-anak ini dibuat kawan. Masyarakat melayu khususnya sedikit sukar untuk menerima atau melakukannya. Namun, zaman kini telah berubah. Jika dahulu, kita adalah cetakan bagaimana rupa dan tindak tanduk ibu ayah kita, kini mereka telah ada contoh lain yang amat luas untuk dibuat pilihan. Maka, kita harus perbanyakkan perbincangan dan luahan rasa dengan anak-anak ini yang kita panggil mereka remaja. Rasa tanggungjawab perlu diberikan. Sikap amanah, ringan tulang, perasaan belas kasihan, budaya tolong menolong harus menjadi keutamaan ketika ini. Ini tidak bermakna mereka yang perlu menunjukkannnya, tetapi sebagai rakan, kita seharusnya mendahului mereka.

Konfliknya mungkin kita terfikir adakah saat umur itu tepat pada kiraan itu atau bagaimana? Oleh sebab ia proses, maka, kita perlu bina tahap-tahapnya berdasarkan kecenderungan mereka yakni anak-anak kita sendiri dan tiada buku yang boleh memberikan arahan yang jelas mengenainya. Pasti pada setiap tahap ada bab pengenalannya yang tersendiri yang perlu dikarang oleh ibu bapa sendiri. Pada situasi inilah sekali lagi kita diuji dalam suasana pandemik ini. Seolah-olah, pandemik adalah satu bengkel keibubapaan buat kita fikirkan semula peranan kita dan bagaimana perasaan mereka kepada ibu bapa mereka.

No comments: