Friday, March 11, 2011

TRIBULASI DI JALAN DAKWAH


Pertemuan usrah SISMA ini telah berlangsung hampir 15 kali yang mana pertemuannya dijalankan setiap minggu. Setiap pertemuan di dalam usrah ini diharapkan agar dapat menambahkan keyakinan kita kepada janji Allah s.w.t. tentang kehidupan yang kekal di akhirat kelak serta mengukuhkan serta meyemarakkan semangat untuk terus melakukan kerja dakwah mengajak ummat agar kembali berada di jalan Allah s.w.t. serta mengamalkan cara hidup yang Islami. Menyambung perbincangan kita yang lalu, tribulasi di jalan dakwah akan terus membincangkan tentang apakah yang mungkin lagi perlu kita tempuhi dalam usaha-usaha berdakwah ini.

BOLEHKAH KITA MENGELAKKAN TRIBULASI ATAU MENGURANGKAN TEKANAN PENYEKSAAN KEPADA USAHA DAKWAH INI?

Kerapkali, kita memikirkan tentang usaha-usaha yang kononnya bijak apabila kita bergandingan atau bersama dengan beberapa pihak yang dikatakan bahawa mereka mampu untuk membantu memperkembangkan usaha dakwah kita ini. Lalu, kita pun merancang untuk memanfaatkan kedudukan, mendapatkan kuasa politik dan sebagainya atas tujuan untuk mengurangkan tekanan-tekanan tribulasi ini. Persoalannya, adakah ia benar-benar berkesan atau hanya sekadar tanggapan?

Sahabat-sahabat seperjuangan yang dikasihi sekalian.

Berpegang teguhlah kepada usaha jalan dakwah yang mana ianya hanyalah akan mengundang lebih banyak mehnah dan tribulasi. Sekiranya kita biarkan diri kita berusaha untuk mendapatkan sesuatu kedudukan, dan kedudukan itu memberikan kita perasaan selesa dan bersenang-senangan, percayalah, kedudukan itu hanya akan menyebabkan kita amat sayangkan kemudahan, keselesaan dan kesenangan. Akhirnya, ia akan memandu kita ke arah untuk mempertahankannya dari cenderung mempertahankan kerja dakwah kita.

Rasulullah s.a.w. telah pun membuka lembaran sejarah ini dengan penuh rasa belas kasihan kepada para pendokong dakwah Islamiyah ini. Baginda s.a.w. amat berasa susah hati dengan apa yang berlaku terhadap ummatnya. Perkara ini telah Allah s.w.t. sebutkan di dalam firman-Nya yang bermaksud;

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang Mukmin.” (At-Taubah: 128)

Ayat di atas merupakan penjelasan Allah s.w.t. terhadap sikap Rasulullah s.a.w. yang amat mengambil berat kesusahan ummatnya. Bukanlah bermakna dia berdiam diri, tetapi, dia juga manusia yang mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah s.w.t. Oleh yang demikian, apa yang terdaya Baginda s.a.w. lakukan disaat Islam itu memerlukan semangat dan bimbingan adalah berpesan agar terus bersabar, istiqamah serta mempertahankan aqidah masing-masing. Baginda s.a.w. juga menyampaikan berita gembira buat mereka yang Mukmin iaitu tentang janji Allah s.w.t. tentang syurga, pertolongan Allah s.w.t. serta kemenangan yang pasti untuk agama Allah s.w.t.

Imam Bukhari rahmatullah telah meriwayatkan dari Qais berkata, “Aku telah mendengar Khabab r.a. berkata, ‘Aku telah mendatangi Rasulullah s.a.w. sedang Baginda s.a.w. berbantalkan burdadi bawah naungan Ka’abah. Ketika itu kami sedang menerima penyiksaan yang keras dari kaum musyrikin lalu dia berkata, ‘Tidak mahukah kamu berdoa kepada Allah?’’ Lalu Rasulullah s.a.w. duduk dengan merah padam mukanya lantas bersabda, “Sesungguhnya telah terjadi kepada orang-orang sebelum kamu telah disikat dengan sikat-sikat besi yang mencakar-cakar daging-daging dan urat-urat mereka hingga ke tulang-tulang mereka. Itu tidak memalingkan muka dari agama mereka. Satu masa nanti pasti Allah s.w.t. akan menyempurnakan urusan agama ini dengan memberi kemenangan kepadanya di mana orang yang menunggang itu berjalan dari San’a di Yaman ke Hadramaut tanpa rasa takut kecuali hanya kepada Allah s.w.t. dan hanya bimbangkan serangan serigala ke atas kambing-kambingnya. Tetapi kamu ini hendak mencapai kemenangan dengan segera.’”


BILAKAH AKAN BERHENTINYA TRIBULASI INI?

Berpegang dan percayailah perintah serta janji-janji Allah s.w.t. wahai sahabat-sahabatku. Ini kerana, tribulasi ini, ujian dan kesusahan ini atau penyeksaan ini hanya akan berhenti apabila kita sebagai ummat Nabi Muhammad s.a.w. ini berhenti dari meneruskan kerja dakwah yang ditinggalkan oleh Baginda s.a.w. Inilah yang sedang diusahakan oleh musuh-musuh agama Islam. Mereka merosakkan komponen kehidupan Muslim melalui menjauhkan kita dari rumah-rumah Allah, dari Al-Quran dan juga sunnah-sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Ingatlah wahai sahabat-sahabatku, apabila kita berhenti dari meneruskan usaha dakwah, itu bermakna, kita mengutamakan diri kita dan kita telah berhenti dari berjihad. Apabila kita berhenti berjihad, maka akan datanglah ketika di mana anak-anak perempuan kita nanti akan sewenang-wenangnya menghilangkan maruah mereka serta anak-anak lelaki kita sudah lagi tidak bertanggungjawab di dalam kehidupannya. Musuh-musuh Islam akan melakukan apa sahaja untuk memastikan usaha mereka ini berjaya. Sama ada dengan cara mengugut, menyeksa, memujuk, memberikan keselesaan atau apa sahaja. Firman-firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: 'Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang d dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).” (Al-Baqarah: 217)

“Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu, dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka).” (Al-Mumtahanah: 2)

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Al-Baqarah: 120)

Apa yang berlaku pada hari ini bukanlah sesuatu yang baru bahkan Baginda s.a.w. sendiri juga telah berhadapan dengan cabaran yang hampir serupa. Usaha mereka adalah kepada kelompok yang benar-benar memberikan kesan ke dalam masyarakat yakni mereka yang berdakwah. Untuk mereka yang tidak meletakkan diri mereka sebagai pendakwah, ia bukanlah sesuatu yang merisaukan musuh-musuh Islam ini. Tawaran juga pernah diberikan kepada Rasulullah s.a.w. tetapi dengan jiwa yang besar Rasulullah s.a.w. menolaknya. Baginda s.a.w. menegaskan, “Demi Allah! Sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, nescaya aku tidak akan meninggalkannya hinggalah Allah s.w.t. memberi kemenangan kerananya ataupun aku binasa kerananya.”

Kata-kata dan pesanan Rasulullah s.a.w. itu seharusnya menjadi kata-kata motivasi buat para pendakwah, bahawasanya kita tidak akan berhenti dari meneruskan tugas ini. Kita akan teruskan sehinggalah ke akhir hayat kita.


DAKWAH TERTEGAK DARI KEAZAMAN BUKAN DARI KEMUDAHAN

"Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab Yang besar.” (An-Nahl: 106)

Allah s.w.t. telahpun memberikan keringanan buat kita dalam urusan mempertahankan agama Islam sebagai cara hidup serta aqidah yang jitu terhadap keEsaan Allah s.w.t. Namun, keringanan ini bukanlah bermaksud boleh dijadikan asas dan pokok dalam menetapkan pendirian Mukmin. Ingatlah wahai sahabat-sahabatku, dakwah tidak terbangun atas dasar ‘rukhsah’ tetapi atas dasar ‘uzmah’.

Rasulullah s.a.w. tidak menjadikan keringanan itu sebagai alasan dan usaha menjauhkan diri daripada gangguan-gangguan, akan tetapi sebenarnya ia disebabkan perasaan belas kasihan kepada pendokong dakwah dan Baginda s.a.w. sentiasa berpesan agar terus bersabar dan bertawakal kepada Allah s.w.t.

“Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus. “Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (Wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan).” (Az-Zukhruf: 43-44)

“Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (Mereka - Wahai Muhammad - kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: "Aku beriman kepada segala kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami Dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepada-Nyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)." (Asy-Syura: 15)

Maka, gunakanlah keringanan itu disaat akhir di mana sudah sampai ke tahap sudah tidak mampu ditanggung lagi. Mudah-mudahan kita mendapat keampunan dan kasih sayang dari Allah s.w.t.


MENGELAKKAN TRIBULASI ADALAH SATU PENYELEWENGAN

Saudara seperjuanganku sekalian,

Kita tidak boleh mengelakkan tribulasi kerana ia adalah pakej dalam kerja dakwah. Apabila kita dapat mengelakkannya bermakna kita telah pun memberikan kejayaan percuma kepada musuh-musuh Allah s.w.t. Kita tidak sepatutnya meninggalkan jalan dakwah atau berada dalam usaha dakwah yang penuh dengan kepura-puraan. Musuh-musuh Islam akan mengaburi pandangan mata dengan kemudahan-kemudahan yang dijanjikan. Akhirnya kebergantungan pergerakan dakwah bukan lagi kepada Allah s.w.t. tetapi kepada makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t.

Sabarlah dan pertahankanlah aqidah kita. Bertenang dan percayalah kepada pertolongan Allah s.w.t. Sesungguhnya, mereka bukanlah bermusuh dengan kita tetapi mereka bermusuh dengan Allah dan usaha dakwah yang dijalankan terhadapnya. Oleh yang demikian, jika kita tidak melakukan tugas ini, Allah s.w.t. pasti akan menggantikan kita dengan orang lain yang jauh lebih baik dari kita.

"Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Dan demikianlah caranya Kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk Kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf: 21)

Kita bukanlah mencari musuh, sebaliknya, tugas kita menyampaikan dakwah kepada semua ummat manusia. Oleh yang demikian, merekalah sebenarnya yang memulakan persengketaan. Maka, bersabar, istiqamah, pertahan aqidah dan terus berusaha demi agama Allah s.w.t.

“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar. Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Ali-Imran: 146 – 148)

Tuesday, March 8, 2011

CINTA DAN KASIH SAYANG


Semalam saya ke usrah ABIM Selangor di Shah Alam, dapat ilmu yang berguna yang sepatutnya menjadi bekal kita sebagai pendakwah yang turut sama ingin menyumbang di dalam gerakan yang telah didahului oleh para Nabi dan Salafus Saleh. Perjalanan ini tidak mudah, dan saya merasakan ia adalah suatu perjalanan yang memang benar-benar menguji kesabaran dan keimanan serta tahap keupayaan dalam menimbangtara masalah serta isu-isu yang berlaku berhampiran dengan dunia kehidupan kita.

Alhamdulillah, Allah s.w.t. semakin menumpahkan dan menganugerahkan cinta agung kepada ummat manusia dengan memilih Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Penghulu segala nabi. Atas kasih sayang yang agung ini, telah disediakan air telaga kautsar buat ummat semuanya. Setiap orang yang bergelar ummat Muhammad, akan dapat meminum air ini dan menghilangkan dahaga ketika di padang mahsyar. Ya Allah, adakah rasa cinta ini hanya percuma sahaja atau ia datang pelbagai tanggungjawab dan peranan manusia?

Ketika sedang asyik masyuk, ummat Muhammad ini berbaris menunggu giliran bejana atau cawan mereka diisi, pada ketika itu datang malaikat, merampas bejana mereka dan dicampakkannya ke tanah. Seorang demi seorang. Lalu berkata nabi; "Mereka sahabatku, mengapa engkau rampas dan campakkan cawan mereka, mereka itu ummatku?"

Malaikat dalam keadaan marah itu pun berkata, "Adakah benar begitu sedangkan, sesudah engkau wafat, mereka ini tidak lagi menjalankan apa yang engkau sunnahkan dan mereka ini juga tidak meninggalkan apa yang telah engkau larang."

Ya Allah, rupanya banyak perkara yang telah kita tinggalkan, banyak perkara yang kita tidak buat, banyak perkara yang telah kita bazirkan masa kita yang hasilnya, TIDAK ADA! Hampir belasan tahun saya terlibat di dalam kerja dakwah ini, menitis airmata apabila artikel ini ditulis mengenangkan apa yang telah saya lakukan dan perbuatkan, seolah-olah ianya sia-sia untuk diri dan mereka yang berada disekitar saya sendiri. Takut, khuatir, bimbing kalau-kalau amal ini Allah tidak terima hanya kerana ada sedikit kerosakan di dalam hati.

Saya tidak pernah menyangka ada yang terkesan dengan apa yang saya catatkan, kerana selama hari ini, banyak kebaikan yang dicatatkan diblog ini, tetapi kecacatan mudah sangat dihidu dan dikenalpasti. Saya sarankan buat para pembaca, tidak ada manusia yang sempurna bahkan semuanya akan membuat kesalahan, sekiranya catatan saya mengundang rasa tidak senang, saya pohon berjuta kemaafan.

Kenyataan tidak usahlah ditutup, kelemahan tidak usahlah malu untuk kita terima, kerana semua manusia melakukan kesalahan, saya juga mohon kemaafan sekiranya ada keterlanjuran kata, tetapi saya pohon untuk anda yang terus membaca, fahamilah bahawa kita ada mata, lihatlah dengan dalam-dalam, bukan sekadar gambaran yang digambarkan manusia. Keadaan ini sangat penting kerana kita hidup di dunia ini penuh dengan kepura-puraan. Gunalah hati untuk menilai sedalam-dalamnya, benar saya juga melakukan kesalahan, hasil muhasabah yang panjang, inilah sebenarnya tanda CINTA dan KASIH SAYANG.

Berapa ramai yang sudah tidak peduli tentang perkembangan kerja dakwah PEPIAS dan berapa ramai pula yang 'mengambil' berat? Berapa ramai yang merasakan kerja yang mereka lakukan ini sebagai kerja dakwah, dan berapa ramai pula yang mempersoalkan diri mereka bahawa adakah yang aku buat ini 'berdakwah'? Doa Nabi s.a.w. ketika melihat bejana ummatnya dihumban ke tanah, "Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang berhak menghukum kesalahan mereka itu kerana mereka itu adalah makhluk Engkau, tetapi sesungguhnya sekiranya Engkau mengampunkan mereka, maka Engkaulah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun." Dan doa ini Rasulullah bacakan walaupun ummat Nabi itu telah meninggalkan dunia dan Baginda terus membacanya sehingga ke hari ini dan sehingga ke hari kiamat!

Ingatlah wahai teman-temanku sekalian. Bahawasanya, Allah s.w.t. akan mempersoalkan setiap nafas yang dihembuskan, setiap bicara yang dibisikkan, setiap batuk yang dilepaskan, setiap perbuatan yang disembunyikan, semuanya akan dibongkarkan dan dipersoalkan. Adakah saya bersedia untuk berdepan dengannya? Tidak, ada banyak dosa yang saya dah lakukan, dosa dengan manusia saya pohon rakan-rakan yang membaca, maafkanlah. Semoga Allah memberikan kasih sayangnya terus kepada kita semua, bersama di dalam jemaah WADAH-ABIM-PEPIAS ini. Inilah nukilan CINTA dan KASIH SAYANG. Semoga ia memberikan kesan kepada yang membacanya.

Sunday, March 6, 2011

PERJALANANKU 5 MAC 2011


Alhamdulillah, saya meneruskan hari walaupun semalam adalah hari yang sangat 'memberangsangkan'. Mana taknya, salah sendiri, apabila saya sampai di Petronas Batu 7 Cheras, saya dimaklumkan tarikh ceramah telah bertukar ke 26 Mac 2011. Menarikkan? Apa lagi, sedikit terharu dan memenatkanlah. saya bergerak ke Darul Kifayah bersama program Zaki. Menarik dan dapat jumpa Mus, Alin dan Zita.

Saya berasa teruja juga sebab dah lama tak jumpa Alin dan Mus dalam program. Alhamdulillah walaupun lama tak berprogram, nampak mereka mahu, tapi memang sengallah... Mana taknya, dah lama tinggal tu... Zita, saya baru jumpa, dia anak buah program zakat kami tahun 2008 tu... Zaki masih 'contact' dia. Harap dia ada minat. Dia belajar di UIAM sekarang. Saya doakan agar dia istiqamah dan belajar banyak di UIAM.

Ketika saya tersadai kepenatan memandu awal pagi di Petronas Batu 7 Cheras, teringat kepada perkara yang dibincangkan dengan Azali tentang pertemuan dia bersama rakan-rakan PEPIASnya. Alhamdulillah berjalan lancar namun, terdapay kekesalan pada suaranya ketika saya menghubunginya untuk mendapatkan maklumbalas. "3 orang je bang yang datang", balasnya apabila ditanya.

Apa sebenarnya yang berlaku di dalam PEPIAS ini? Makin hari semakin susut semangat berjemaah mereka. Semakin jauh dan penuh dengan tanda tanya yang tidak mungkin dapat dijawab melainkan yang ampunya diri. Pelbagai yang dibincangkan tentang mereka. Bahkan, pertemuan yang dicanangkan semalam adalah pertemuan bakal 'trainers' PEPIAS! Inikah yang akan terus berlaku di dalam PEPIAS.

Setelah saya dan rakan-rakan jauh mengembara dan berkelana di dalam bidang latihan dan motivasi ini, juga penglibatan secara langsung dengan ABIM, dilihat belia khususnya rakan-rakan di IPTA ini sudah semakin hilang fokus belajar mereka di IPTA. Apatah lagi apabila disogokkan dengan kesibukan di dalam kampus sehingga lupa tanggungjawab mereka untuk masyarakat, apatah lagi ummat.

Perjalanan pelajar-pelajar IPTA ini lebih untuk mencari kesenangan kehidupan masa depan mereka berbanding tujuan hidup akhirat. Penglibatan pelajar-pelajar ini terhadap program-program masyarakat amat rendah bahkan mreka seolah-olah ada ego dan tidak mahu kalah dengan sesiapapun. Berbalik kepada rakan-rakan PEPIAS ni pula, mereka sudah semakin jauh tersasar dari corak cara kerja dan perjuangan yang pernah saya menjadi sebahagian darinya. Tidak ada lagi kesibukan program di sekolah, bahkan lebih berminat untuk memenuhi program-program berbentuk tertutup dan hanya menunggu disogokkan.

Bakal-bakal 'trainer' ini juga dilihat amat lemah kemahiran dalam melaksanakan tanggungjawab, baik mengurus dan apatah lagi menyusun dan membina modul. Pernah saya ditanya, kenapa ahli PEPIAS ini sudah tidak mahu mengakui bahawa mereka adalah ahli PEPIAS? Saya secara personal mengakui masih punya usaha dan mengaku bahawa saya masih ahli PEPIAS. Bahkan ada juga yang sudah menyebarkan ura-ura saya lah punca keberantakan dalam PEPIAS bersama beberapa orang senior lain. Entahlah, dugaan apalah ini, namun yang pastinya dari Allah s.w.t..

Saya melihat, apa yang berlaku di dalam PEPIAS hari ini berlaku atas beberapa faktor pengubahsuaian yang berlaku dalam corak perjuangan dan pergerakannya. Pertama, terlalu banyak program yang sifatnya gah tetapi isi kandungannya tidak langsung diberikan perhatian. Kedua, sudah hilang hormat seorang ahli kepada kepimpinannya, sehingga apa yang diperkatakan oleh pimpinannya, tidak diendahkan langsung. Ketiga, ketidakadilan dalam pertimbangan kepimpinan oleh pemimpinnya sendiri. Keempat, yang dilebihkan mereka adalah bilangan ahli tetapi bukan pada kualiti ahlinya. Kelima, menganggap siapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka adalah musuh atau penghalang mereka. Keenam, dalam bab kerohanian, jauh meninggalkan usaha jemaah, usrah tidak lagi membincangkan soal dakwah serta usaha membina kerohanian langsung tidak diutamakan.

Ini cuma pandangan saya secara peribadi melihat apa yang berlaku di dalam mata rantai jemaah WADAH-ABIM-PEPIAS ini. Saya merasa terpanggil untuk melakukan sesuatu, tetapi apakan daya untuk melakukannya berseorangan. Tulisan ini bukan untuk menyakitkan hati sesiapa atau menyebarkan apa-apa, tetapi ia adalah sebagai peringatan kepada saya sendiri untuk melakukan sesuatu dan mengharapkan, sesiapa sahaja yang membacanya untuk kembali membuka mata, meluaskan deria telinga serta melapangkan dada untuk menilai apa yang dilihatnya dengan kesungguhan kerja dakwah yang perlu diteruskan.

Lama dah saya sebut tentang ada mata buta, ada telinga tuli dan ada hati mati, sebab apa yang sepatutnya dilihat, tidak nampak, yang sepatutnya di dengar tak dengar dan hati yang sepatutnya merasakan ada sesuatu yang tak kena sudah hilang rasa. Ini yang berbahaya di dalam jemaah kita. Moga Allah s.w.t. membantu dalam membina generasi yang kita semua cita-citakan ini.

Thursday, March 3, 2011

MENCARI ARAH DAN KEUTAMAAN PERJUANGAN


Allahu akbar! Lama benar rasanya saya tidak menulis dan mengisi blog ini. Ramai yang menunggu, ramai yang menanti-nanti mungkin. Atau itu adalah lambang kemalasan si penulis ini? Saya ukirkan senyuman buat teman-teman yang sudi membaca blog ini, terima kasih. Saya hanyalah insan yang serba kekurangan dan tidak punya sumber ilmu dan kekuatan yang hebat dan mantap. Namun perjalanan kita perlu diteruskan dan perlu berusaha untuk mencari keredhaan-Nya.

Berkelana di muka bumi Allah ini dengan hasrat untuk mengumpul seberapa banyak daki-daki dunia, seolah-olah kerjanya seperti tidak sampai ke mana-mana. Mana tidaknya, berhari-hari, berminggu-minggu saya terus berusaha, berceramah sana sini, dengan harapan mendapat habuan yang baik bagaikan sekadar berlalu dan pergi tanpa apa-apa petanda dari usaha itu. Nah, cabaran buat saya dan teman-teman, makin jauh perjalanan, makin sempit rasanya. Allah nak ajar kita, DIA pasti takkan biarkan kita senang!

Betul ke? Allah itu Maha Pengasih dan DIA tahu apa yang terbaik buat kita. Saya berdoa dan berharap usaha biarlah seperti pendapatannya RM30,000 sebulan, walaupun sebenarnya cuma RM300 sebulan. Allah dah janji, DIA akan bagi, yang penting ikhlas, sabar dan istiqamah dalam melakukan usaha untuk dunia dan akhirat. Entahlah, kadangkala kelekaan menjadikan kita lupa dan apabila kita dah teringat, jauh jugak tersasarnya.

Hari ni pulak, saya dikejutkan dengan sms dari adik PEPIAS. Usaha dakwah ABIM yang saya pegang jawatan ni pun dah terasa bebannya, tambah lagi dengan isu adik-adik kat PEPIAS ni, saya cuma mengeluh dan cakap, apa lagi yang Allah nak ajarkan aku ni. Bercerita dengan isteri tercinta dia pun mengeluh. Kenapalah diorang ni, biarkan jela papa. Abaikan je diorang tu.

Biar? Kalau biar diorang tu nak kemana? Apa yang akan jadi pada mereka nanti? Saya masih berfikir sehingga ke saat sedang menulis ni. Apalagi yang perlu saya buat? Amanah besar dalam ABIM ni pun belum sempurna dan banyak lompongnya. "Ya Allah Ya Tuhanku, Engkaulah sahaja yang Maha Mengetahui setiap isi kandung kejadian dihadapan mataku, bersebelahan telingaku dan di dalam hatiku, Ya Allah aku hanya mampu memohon agar setiap kejadian ini adalah proses untuk menentukan arah dan keutamaan khususnya dalam kerja dakwahku. Jangan tinggalkan aku dengan keadaan yang lupa dan lalai. Anugerah-Mu ini amat besar dan aku berharap akan menjadi salah seorang yang bersama perjuangan Ar-Rasul s.a.w.