Tuesday, November 30, 2010

MEMANTAPKAN MISI PENDAKWAH


Jauh perjalanan luas pemandangan. Itulah ungkapan yang seringkali kita dengari daripada kata-kata mereka yang hidup lebih dahulu dari kita. Ia menggambarkan bahawa, perjalanan yang dilalui kita khususnya di dalam kehidupan ini, pasti akan menghasilkan suatu bentuk pemikiran dan pengalaman yang amat berguna buat mereka yang berfikir. Itulah yang ingin saya kongsikan di dalam satu perjalanan yang jauh dan juga amat besar maknanya buat diri saya. Perjalanan ke Selatan Thailand bersama delegasi kepimpinan ABIM Selangor serta turut sama wakil dari WADAH, HELWA dan ABIM Daerah.

Perjalanan yang bermula pada hari Jumaat (26 November 2010) dan berakhir pada Hari Isnin (29 November 2010) telah memberikan saya satu pengajaran yang besar dalam usaha untuk membimbing, mengetuai serta membina organisasi serta gerak kerja dakwah yang sebenar. Perjalanan yang bermula dengan menziarahi 2 rumah anak yatim di Tak Baik dan Pattani begitu menyentuh hati. Usaha dakwah serta kegigihan mereka yang membinanya menjadikan usaha itu amat berbaloi dan moga-moga mereka mendapat rahmat Allah s.w.t. sebanyak-sebanyaknya. Mungkin kepada sebahagian daripada kita ia hanyalah sekadar biasa sahaja, tetapi jiwa, masa dan harta yang mereka korbankan mungkin tidak setanding dengan apa yang kita usahakan.

Perjalanan hari kedua kami dibawa bertemu teman-teman di Koperasi Ibnu Affan dengan bangunan mereka yang tersergam di dalam kesibukan bandar Pattani. Disusuli dengan pertemuan bersama pengusaha-pengusaha pertanian organik di Yala serta Unit HIV/AIDS YMAT. Perjalanan kedua ini membuktikan bagaimana usaha dakwah ini tidak berlaku hanya di Malaysia, bahkan diserata pelusuk dunia dengan suasana dan keadaan yang berbeza. Inilah usaha semua mereka dan kita yang beragama Islam.

Perjalanan ini membawa kepada 3 kesimpulan penting dalam usaha kita membina keupayaan diri untuk istiqamah di dalam sesuatu perjuangan menegakkan agama Allah s.w.t. Apa yang dapat saya perhatikan dan perhalusi di dalam setiap persinggahan ini, pendokong atau pendakwah ini dengan jelas menyatakan tentang kesatuan aqidah serta objektif sebenar apa yang diusahakan itu hanyalah semata-mata untuk Allah s.w.t, demi keagungan Islam serta ummat yang menjadi amanah khalifah di muka bumi ini.

Melalui kesatuan aqidah ini, para kepimpinan atau qiyadah yang dilantik sekaligus berjaya mengenepikan soal kepentingan peribadi serta membina kepercayaan masyarakat dalam mengetuai ummat dari pelbagai bentuk pendekatan dan keperluan baik dari sudut ekonomi, sosial mahupun politik. Kepercayaan ini semakin mengukuh apabila kesatuan aqidah ini mula meresapi ke dalam masyarakat melalui kepimpinan yang dipercayai sebagaimana juga kaedah yang dilaksanakan oleh Ar-Rasul Muhammad s.a.w. Kepercayaan kepada amanah ini dilaksanakan dengan baik bertunjangkan kepada aqidah yang mantap, menjadikan pemimpin ini tadi melakukan tugas dengan sebaik mungkin dan meletakkan ketakutan dan ketakwaan serta kebergantungan hanya semata-mata kepada Allah s.w.t.

Hasilnya, aktiviti yang direncanakan oleh mereka ini mendapat sokongan padu ummat serta diberikan kemudahan oleh Allah s.w.t. kerana keikhlasan dan kesungguhan para qiyadahnya melaksanakan. Aktiviti jadi berkesan dan mendapat sambutan bahkan diberikan pula kepercayaan oleh pemerintah untuk melaksanakan tanggungjawab penyatuan. Maka, perjuangan ABIM serta gerakan Islam yang menjadi mata rantainya perlu kembali kepada usaha gemilang ini untuk membina semula keyakinan diri terhadap aqidah Allah s.w.t. Percaya bahawa segala apa yang diusahakan dan kejayaan juga kegagalan adalah dari Allah s.w.t. Wujudnya halangan dalam perlaksanaan juga datang dari Allah s.w.t.

Maka, hidupkanlah semula hati-hati kita wahai para pejuang agama Allah s.w.t. dengan keyakinan yang penuh terhadap Allah s.w.t. serta lakukanlah amanah ini dengan bersungguh-sungguh agar ia menjadi satu tugasan yang jelas, mantap dan berkesan kepada seluruh ummat manusia. Saya amat berharap, perjalanan ini memberikan saya lebih banyak tenaga dan semangat untuk bersama-sama melakukan kerja demi ummat dan demi agama Allah s.w.t. Buangkanlah kepentingan diri serta lakukan dengan sebaiknya dalam usaha mencari keredhaan Allah s.w.t.

Wednesday, November 24, 2010

YAKINLAH KEPADA PERTOLONGAN ALLAH S.W.T.


Kenapa cerita tentang pertolongan Allah s.w.t? Pada hari ini, ramai dikalangan kita sebagai ummat Islam mula melupakan pertolongan Allah s.w.t. Apapun kita wajib mempercayai bahawa, semua perkara yang berlaku kepada kita adalah di atas izin Allah s.w.t. Apabila Allah katakan ‘kun’, maka jadilah ia. Semuanya adalah di bawah kuasa Allah s.w.t. samaada untuk menyempitkan atau melapangkan. Menyusahkan atau menyenangkan. Menjayakan atau menggagalkan.

Kekhuatiran terbesar di dalam hidup kita sebagai seorang Muslim adalah apabila kita tidak dapat pertolongan dari Allah s.w.t. Maka, apapun yang kita lakukan atau usahakan, ia wajib dikembalikan kepada Allah, maka ucapkanlah InsyaAllah (dengan izin Allah). Tetapi adakah kita ini dikalangan orang yang layak mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t? Firman Allah s.w.t di dalam surah At-Thalaq ayat 2 hingga 3 yang bermaksud;

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberikannya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang( dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaq: 2-3)

Jelas sekali di dalam ayat Allah di atas, menampakkan jalan dan siapa yang dikatakan sebagai orang yang menerima pertolongan Allah s.w.t. Mereka adalah orang yang sentiasa bertakwa kepada Allah. Jiwanya bergetar setiap kali kalimah Allah s.w.t. tiba di gegendang telinganya. Apabila datang peringatan kerana kelekaannya, maka akan bersegera dia bertaubat dan kembali kepada jalan yang sebenarnya. Apabila semakin berpaling kita dari Allah, maka makin sempitlah perjalanan hidup kita.

Jangan menuntut dari Allah kerana lambatnya dimakbulkan apa yang kita pinta dari Allah s.w.t.. Sebaliknya, hendaklah kita memperbetulkan diri kita, tuntutlah diri kita agar tidak melambatkan kewajipan-kewajipan yang Allah s.w.t. perintahkan untuk kita. Itulah antara pesanan takwa yang disampaikan oleh Ibnu Atha’ilah. Maka, marilah wahai sahabat taulanku untuk kita melaksanakan segala kewajipan dan tuntutan Allah ke atas diri kita. Apa yang perlu diusahakan adalah amalan yang istiqamah. Itulah cabaran sebenarnya.

Ramai dikalangan manusia yang mengakui, kehidupan tidak akan indah tanpa adanya masalah. Setiap masalah pula yang hadir bagi seorang Mukmin akan menjadikan ia lebih bermakna dari sudut hubungannya dengan Allah s.w.t. Tetapi jika ia datang kepada seorang yang jauh dari Tuhannya, maka ia akan menjadi beban, punca perselisihan dan pergaduhan. Baik masalah di dalam keluarga, peribadi, organisasi bahkan lebih bahaya apabila melibatkan masyarakat atau juga du tempat kerja.

Pelbagai cadangan untuk penyelesaian masalah, tetapi tidak ada yang lebih baik dan berkesan selain dari pertolongan dari Allah s.w.t.. Pembukaan pintu pertolongan ini perlu diperbaiki pada diri setiap kita sebaiknya. Pertama, marilah kita bersama mencintai masjid. Masjid adalah rumah Allah. Tidak ada tempat yang lebih mulia dan dan dicintai melainkan masjid. Lakukanlah di dalamnya solat berjemaah dan lebih baik lagi tepat pada waktunya.

Kedua, bertahajjudlah pada sepertiga malam. Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Dzarriyat ayat 15 hingga 18 yang bermaksud;

“Sesungguhnya orang yang bertakwa di taman-taman (syurga) dan di mata-mata air, sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu, di dunia adalah orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam mereka memohon ampun (kepada Allah).” (al-Dzarriyat: 15 – 18)

Ketiga, bersedekahlah. Mulakan hari dengan sedekah kerana ia membuka pintu rezeki dan kemudahan sebaik-baiknya. Sedekah adalah senjata yang amat luarbiasa. Jadi, kita seharusnya menjadikan ia sebagai satu kebiasaan. Keempat, membantu orang lain. Sebagaimana sedekah dari sudut harta, membantu orang lain dari sudut masa, pengetahuan, tenaga dan sebagainya. Apa yang utama adalah sifat pemberi itu. Apabila kita membantu memudahkan urusan orang lain kerana Allah (ikhlas) maka Allah tidak mensia-siakan kita dan Dia akan membantu menyelesaikan urusan kita.

Kelima, perbanyakkanlah berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. Kadangkala, apabila ada teman yang menyebut nama Rasulullah s.a.w. tidak disahutpun dengan selawat ke atasnya. Muhammad itu kekasih yang amat dicintai Allah s.w.t. Dek kerna itu, cinta Rasul membawa kepada cinta Allah s.w.t. Apabila kita mengasihi kekasih Allah s.w.t. maka pasti kita akan mendapat tempias kasih sayang itu dari Allah s.w.t. Maka, untuk orang yang dikasihi-Nya akan mudahlah mendapat pertolongan Allah s.w.t.




Muat turun artikel ini disini.

Tuesday, November 23, 2010

KASIH SAYANG DAN BERLEMAH-LEMBUT MENDASARI KEHIDUPAN MUSLIM


“Maka dengan segala rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihani orang-orang yang bertawakkal kepadaNya” (Al-Imran: 159)

Seawal pagi ini, saya telah menelaah beberapa artikel di internet. Azam saya, untuk memulakan setiap hari ini dengan pembacaan yang memberikan keinsafan dan menambah rasa ketuhanan di dalam diri. Subhanallah, inilah yang kurang dalam masyarakat kita pada hari ini. Dapat kita lihat, setiap hari manusia didedahkan dengan fitnah dan pemikiran yang tidak mendidik mereka bahkan menyebabkan mereka semakin jauh daripada Allah s.w.t.

Apabila menyelak suratkhabar-suratkhabar di seluruh tanah air, mari kita lihat apa yang didedahkan? Soal gosip, soal pertelingkahan politik dan pelbagai isu yang sebenarnya menjadi makanan awal pagi pemikiran masyarakat. Pada hari Sabtu yang lalu, pergerakan kami bersama teman-teman usrah siswazah muda ABIM beriktikaf di Masjid An-Naim Jalan Kebun. Pelbagai yang diperbincangkan termasuklah soal pengorbanan sesuai dengan Hari Raya Korban yang kita sambut seminggu yang lalu. Pengorbanan yang besar adalah pengorbanan jiwa sebagaimana pesan Nabi Muhammad bahawa pada akhir zaman nanti terdapat peperangan yang lebih besar dari segala peperangan iaitu perang nafsu.

Suasana bermalam di masjid dan beriktikaf, bangun qiyamullail dan melakukan aktiviti berjemaah adalah antara cara bagaimana untuk membina semula masyarakat dan generasi hari harapnya. Apabila membaca ayat Allah dari surah Ali-Imran sebagaimana di atas, ia patut mula membuka mata dan menggerak hati kita untuk menilai sejauhmana kita bersama Allah di dalam usaha dakwah ini? Adakah jalan ini yang Engkau redhai atau inilah punca kemurkaan Mu Ya Allah? Nabi telah menunjukkan contoh yang hebat dalam membina generasi di zaman mereka. Kasih sayang dan kelembutan menjadi tunjang dalam usaha dakwah dan ini telah direalisasikan oleh Baginda Rasulullah sendiri melalui penghayatan Iman dan ketaatan Islam lalu membuahkan hasil Ihsan. Pembuktian Rasulullah s.a.w. melalui sejarah dapat kita lihat bagaimana dakwah Baginda adalah melalui akhlaknya bukan peperangan semata-mata. Inilah dakwah bil hal. Apabila Baginda Rasulullah s.a.w. sampai ke Thaif, dibaling najis dan batu-batu oleh kanak-kanak di sana, lalu terguris rasa pada seorang Malaikat (Jibrail) lalu bertanya kepada Rasulullah s.a.w. “Adakah engkau mahu aku terbalikkan negara mereka kerana perbuatan mereka itu?”

Jawab Rasulullah s.a.w. “Jangan, sesungguhnya mereka tidak tahu.” Subhanallah. Inilah bukti perutusan Rasulullah s.a.w. adalah untuk memperbaiki akhlak. Bagaimana kita sahabat-sahabatku? Adakah dakwah kita mengampunkan orang lain atau dakwah kita sekadar mencari salah orang lain? Adakah dakwah kita menunjukkan rasa kasihan belas atau menuding jari menunjukkan siapa lebih beriman atau tidak? Mata pendakwah melihat setiap orang itu sebagai cinta dan kasih sayangnya Allah, tetapi ramai dikalangan kita menjadi Qadi, melihat untuk menghukum dan mencari kesalahan.

Maka Allah syorkan, jika berlaku pertelingkahan atau kesilapan maka bermesyuaratlah dengan mereka. Berbincang dan carilah titik pertemuan yang terbaik. Buanglah segala persepsi dan fikir buruk orang lain. Selemah-lemah persahabatan dalam Islam adalah menghilangkan pemikiran negatif terhadap teman itu sendiri. Setelah bermesyuarat maka kembalilah bertawakkal kepada Allah s.w.t. Tawakkal ini yang kerapkali kita lupakan. Apabila gagal, kita sandarkan pada Allah s.w.t. manakala berjaya adalah sebab kita dan keupayaan kita. Ini harus diperbetulkan. Semua ini hanya peluang dan kita yang memilih peluang ini. Allah yang memberikan peluang dan dia yang memilih kita untuk berada di sini pada hari ini.

Bertawakkallah kepada Allah dan jangan hilangkan Allah s.w.t. dari dalam inda kita. Carilah keredhaan-Nya setiap hari kita dan mulakan dengan keberkatan umur yang sebaik-baiknya. Ampunkan kesalahan saya juga bagi mereka yang membca jika ada salah saya dalam menuduh atau terkasar dalam perkenalan dan saya ampunkan dosa mereka yang memperlakukan sebegitu kepada saya. Dasari Islam dengan kasih sayang dan tolong menolong dalam perkara kebaikan. TUNE-lah diri kita.

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib” (Surah Fussilat: 34, lihat juga surah Al-Fath: 29)



Thursday, November 18, 2010

MELANGKAH KE ALAM REMAJA


Nasihat ini buat remaja yang berada di luar sana. Sana sini dapat kita dengari pelbagai isu dan gejala yang timbul dikalangan remaja yang menjadi perhatian pelbagai pihak. Baik mereka yang bernama guru, apatah lagi ibu bapa dan juga mereka-mereka yang berasa amat prihatin tentang perkembangan anak muda yang bakal mewarisi kepemimpinan negara. Minat dan kecenderungan mereka lebih gemar kepada budaya hidup bersuka-sukaan dan apa yang dapat menjadikan diri mereka gembira dan tiada bebanan hidup.

Melangkah ke alam remaja adalah merupakan suatu langkah yang mesti di ambil mereka. Tidak boleh tidak kerana ia adalah satu proses kematangan yang penting dalam mendepani dunia kedewasaan. Namun, apa yang perlu adalah persekitaran dan persediaan yang baik agar perubahan ini mendapat bimbingan berkesan kerana sekiranya ia negatif, maka jiwa kedewasaan mereka juga akan menjadi negatif dan jika sebaliknya maka, bersyukurlah kerana pendedahan jiwa kedewasaannya juga berada di atas trek yang positif.

Selain itu, pembinaan dalaman diri juga perlu diberikan perhatian. Ia melibatkan latihan kawalan nafsu dalam diri yang bersangkutan dengan emosi dan kerohanian. Hasilnya, barulah mereka ini akan dapat hidup dalam dunia globalisasi yang merupakan cabaran terbesar kehidupan remaja hari ini. Cabaran ini perlu dihadapi dengan bimbingan dan seliaan yang berkesan serta memberikan kesedaran kepada diri remaja itu sendiri.

Remaja yang berjaya mengharungi dunia globalisasi ini dengan berkesan dan positif akhirnya akan berada di dalam dunia kehidupan bermasyarakat mereka dengan cara yang lebih memberikan manfaat dan berkesan. Inilah apa yang kita harapkan daripada generasi hari ini dan inilah sebenarnya tugas kita. Iaitu menjadi persekitaran yang mempersiapkan mereka melalui latihan pembinaan diri yang positif serta memberikan bimbingan yang berkesan dalam mendepani dunia globalisasi. Moga bersama kita TUNE diri kita.


slaid: Modul Melangkah Ke Alam Remaja (MeKAR); berminat sila hubungi saya ditalian 019-277 0412.

Thursday, November 11, 2010

PENYELEWENGAN DARI JALAN DAKWAH; MUHASABAHKAN DIRI


Setelah beberapa minggu kita bersama-sama membincangkan serta mengupas tajuk-tajuk awal berkenaan dengan dakwah, marhalahnya serta menilai kesilapan yang dilakukan di dalam proses memenuhi marhalah-marhalah dakwah ini, alhamdullillah, ternyata jalan dakwah ini amat terang dan disuluhi dengan cahaya petunjuk dari pelbagai sumber khususnya Al-Quran dan Sunnah Rasul s.a.w. Berpegang kepada cahaya yang telah Allah s.w.t. sediakan untuk kita, pasti perjalanan dakwah ini akan sentiasa berada di atas jalan yang benar.

Namun sudah menjadi lumrah sebagaimana kita semua fahami, ia tidaklah semudah itu sahaja. Pada kala perjalanan dakwah kita ini disuluhi cahaya, kadangkala, mata kita ini terhijab atau tertutup dari melihat cahaya sebenar dan akhirnya mula menyeleweng dan tersasar dari jalan yang benar ini. Menurut Ustaz Mustafa Masyhur, penyelewangan ini kerapkali berlaku dan pernah pun berlaku dikala ummat sedang bangkit untuk menegakkan kebenaran. Ia disebabkan oleh keghairahan pendakwah-pendakwah muda yang ingin membuat pembaharuan serta penambahbaikkan yang akhirnya membawa kepada perubahan niat perjuangan mereka sendiri. Ramai juga dikalangan mereka yang tersalah sangka kepada orang yang mereka ikuti. Nampaknya seperti memperjuangan Islam sebagai cara hidup, tetapi rupa-rupanya sekadar pada nama dan kata-kata tetapi tidak dari segi tingkahlakunya.

Rujukilah abang-abang kita dalam usaha dakwah ini dan bersabarlah agar kita semua tidak tergelincir disebabkan kurangnya pengetahuan dan penerangan tentang perkara-perkara yang tidak kita ketahui. Usaha-usaha sebegini amat penting. Ia akan memberikan kesan besar kepada generasi seterusnya kerana ia adalah untuk memperbaiki unsur-unsur di dalam diri kita sebelum berusaha memperbaiki dan merubah unsur-unsur yang terdapat pada musuh-musuh kita. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-An’aam ayat 153 yang bermaksud;

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa” (Al-An’aam: 153)

Penjelasan Allah itu amat mudah difahami. Lorongan Allah s.w.t. kepada kita untuk berada di jalan dakwah yang penuh dengan mehnah dan tribulasi ini merupakan ruangan untuk kita mempersiap diri dan mengukuhkan kefahaman kerana ia adalah jalan yang lurus dan menuju kepada cita-cita yang benar InsyaAllah. Bahkan, pilihan selain dari jalan-Nya ini, akan menyebabkan kita semua berpecah belah dan saling bermusuhan sesama sendiri yang akhirnya, kesejahteraan dunia yang kita harapkan tidak kesampaian bahkan akhirat jua yang kita korbankan. Perjuangan untuk menuju ke syurga ini juga telah Allah perjelaskan dan mohon dipertegaskan di dalam diri kita dengan firman-Nya di dalam surah Yusuf ayat 108 yang bermaksud;

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain" (Yusuf: 108)

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian.

Perjelaskanlah kedudukan dan ketegasan di dalam diri bahawasanya, kerja dakwah ini hanya untuk Islam, mengemis kepada ummat manusia lain untuk kembali hidup berTuhan dan rujukilah Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. serta kehidupan dan persekitaran yang menjadi bukti jelas dan nyata.

FAKTOR-FAKTOR PENYELEWANGAN DALAM DAKWAH

Terdapat beberapa faktor yang dibincangkan oleh Ustaz Mustafa Masyhur di dalam bukunya Jalan Dakwah. Ia amat bersesuaian dengan senario kita pada hari ini, yang mengakui berada di dalam jemaah Islam, bekerja dan menghabiskan segala upaya demi menegakkan Islam di dalam diri kita. Semngat sahaja tidak mencukupi rupanya. Faktor utama yang menyumbang kepada penyelewangan adalah disebabkan oleh kekosongan jiwa agama. Ini jelas, apabila yang berjuang tidak punya pegangan yang jelas dan fahaman yang baik tentang agama Allah ini, maka mereka juga membawa perjuangan kosong yang hanya dipenuhi dengan keseronokan dan kesenangan.

Hasilnya perjuangan mereka telah hilang kanun atau undang-undang dalam strategi dakwah mereka. Ia bertitik tolak dari keadaan jahil dan merasakan semangat serta cita-cita memadai tanpa mahu memperbaiki diri sendiri. Kita juga sedar dan harus merasa tanggungjawab kerana semangat mereka itu tiada bimbingan daripada mereka yang lebih baik pengetahuannya. Kelemahan ini jelas dapat kita lihat dipersekitaran kita sendiri. Rakan, teman, sahabat yang pada satu ketika dahulu kita mereka begitu seronok kerana mempunyai ramai teman yang berfikiran dan bertindak sebagaimana kita. Tetapi bagaimana kita dan mereka hari ini? Konsep perjuangan atas jalan dakwah ini telah berubah kerana hanya disebabkan oleh mereka-mereka yang tidak faham dan dosa kita pula apabila hanya menyatakan kesalahan tetapi tidak sama-sama memperbaiki mereka. Hidayah adalah hak mutlak Allah s.w.t. dan bukan kita. Kita tidak harus menuding jari dan mencari salah bahkan sepatutnya bersama-sama berusaha mencari pintu keluar dan sentiasa saling nasihat-menasihati.

PENYELEWENGAN YANG BERLAKU

Ilmu merupakan satu keperluan yang tinggi dalam usaha menyampaikan dakwah dan peringatan kepada seluruh ummat manusia dari dulu sehingga kini. Maka, merasakan diri sudah cukup berilmu merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima pakai sebagai seorang pendakwah. Akhir-akhir ini, ramai dikalangan teman-teman dan sahabat-sahabat kita sudah mula menolak dan tidak mahu menerima sebarang nasihat atau peringatan yang disampaikan kepada mereka. Bahkan, mereka lebih mudah untuk menjauhkan diri mereka dari si pemberi peringatan ini. Oleh yang demikian, timbullah di dalam hati mereka perasaan merendah dan memudahkan pandangan dan urusan orang lain. Kedangkalan ilmu ini juga melahirkan corak-corak perjuangan yang hanya tertumpu kepada sesuatu bidang sahaja. Kata mereka, “Kita sudah melakukan apa yang tidak upaya mereka lakukan”. Akhirnya perasaan kelazatan itu menutup keupayaan lain yang sebenarnya dapat dibangunkan dan diterjemahkan ke dalam hidup seorang pendakwah.

Sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah sekalian.

Marilah bersama kita belajar dan tuntut ilmu-ilmu yang berguna dan memberikan manfaat lebih besar kepada ummat dan diri kita sendiri. Usahlah kita melampaui batas dalam usaha ini dan bersederhanalah. Jangan pula kerana ghairah menuntut ilmu akhirnya kita melupakan kerja dakwah dilapangan. Wujudkanlah perasaan bersangka baik dengan apa sahaja ilmu yang kita terima dan ketahuilah pastinya ia adalah ilmu yang terbaik berbanding dari apa yang belum kita ketahui. Cantumkan pengetahuan itu dengan amal kerana pengetahuan sahaja menjadikan ia maklumat, amal sahaja menjadikan ia sesuatu yang sia-sia, tetapi apabila dicantumkan pengetahuan dengan amal menjadikan ia ilmu dan dari Dia datanglah faham. Sebarkanlah. Berlapang dadalah dan janganlah dibekukan kefahaman itu. Letakkanlah nilai manusia iatu pada tempatnya, bak penyataan Muhammad Natsir di dalam penulisannya, ‘Wahyu Memanggil Fitrah dan Fitrah Menghajatkan Wahyu’.

Apabila ilmu menjadi bekal yang sentiasa diperkembangkan, maka, ummat dan ahli jemaah kita sendiri tidak akan lagi memperbincangkan tentang perkara cabang bahkan dasar yang menjadi keutamaan. Penyelewangan perkara cabang dan dasar ini berlaku apabila terdapat sesetangah daripada kita, pendakwah ini yang lebih mudah melihat perjuangan yang hasilnya dapat dilihat berbanding yang disembunyikan Allah s.w.t. Mereka tidak mahu menilai dari sudut hatinya tetapi fizikalnya. Apabila yang dikejar adalah keseronokan tetapi bukan keberkatan. Usahanya lebih kepada persahabatan dan persaudaraan berbanding ikatan hati yang jitu kerana Allah s.w.t. Sifatnya lebih kepada Islam yang kepura-puraan berbanding kepercayaan dan sifat Ihsan kepada Allah s.w.t. Akhirnya amal mereka tidak tertumpu kepada keredhaan Allah s.w.t. tetapi hanya mengharap keredhaan manusia semata-mata. Akhirnya, sesebuah gerakan Islam itu akan dicemuh dan mereka lari darinya. Ingatlah sahabat-sahabatku, fokus kita adalah Allah s.w.t. dan akidah yang benar serta cara hidup Islam yang terbaik.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu”. Mesej ini sangat mudah untuk difahami. Allah tidak akan jemu dengan apa yang kita lakukan untuknya samaada dosa atau pahala, tetapi kita akan lebih mudah berasa jemu apabila kita lakukan sesuatu tidak mendatangkan hasil atau mendapat penghargaan orang lain. Pesan Ustaz Mustafa Masyhur, di dalam usaha dakwah usahlah terlalu keras dan bersusah payah. Ini akan membebankan kita. Keutamaannya adalah istiqamah. Nafsu ini diibaratkan sebagai anak kecil, apabila diberikan susu secara cuai, mereka akan terus memintanya sehinggalah berusia 9 atau 10 tahun. Tetapi jika dari awal ianya dibendung pasti tidak sukar.

Nafsu yang tidak dididik akan melahirkan diri yang terburu-buru serta berlewahan dari segi tindakan dan amalan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud;

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah: 286)

Peringatan Allah s.w.t. ini menunjukkan kemampuan manusia itu tehad dan bergantung kepada ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita. Tidak upaya menanggung bukan bermakna tidak berbuat apa-apa bahkan perlu melakukannya pada kadar yang termampu dan di dalam ayat ini Allah s.w.t. juga memerintahkan kepada kita supaya menyerah diri atas perintah Allah tadi. Namun, ramai dikalangan sahabat-sahabat kita apabila diberikan amanah dakwah ini, mereka lakukannya dengan terburu-buru dan ada sebahagiannya yang berlewah-lewahan sahaja. Melakukan ia bak melepaskan batuk di tangga. Allah s.w.t. sebutkan di dalam ayat di atas, pahala untuk kebaikan dan dosa untuk kejahatan. Jalankan amanah dakwah itu kebaikan dan pahala untuknya, bahkan menyatakan bahawa dakwah itu amanah, tetapi perbuatannya jauh dari apa yang diperkata, nescaya Allahlah yang Maha Menghitung.

Terburu-buru dalam erti kata dakwah adalah tidak mengikut perincian dan perancangan yang ditentukan oleh jemaah. Terdapat sebahagian dari kita yang melihatkan usaha dakwah ini tidak berkesan, lantas mengambil jalan pintas untuk melibatkan diri dalam ruangan yang juga dakwah tetapi terlalu optimis yang usaha dakwah mereka akan berjaya. Mereka menjangkakan tindakan itu wajar dan patut sedangkan mereka lupa bahawa tunjangnya mungkin mereka rasakan ada iaitu akidah dan iman, tetapi yang menuruti keduanya adalah persatuan dan perpaduan dari sudut fikrah dan tindakan. Kemudiannya barulah datang kuasa dan persenjataan, itupun jika sekiranya amat-amat perlu.

Terburu-buru ini lebih jelas dalam konteks ahli gerakan yang memilih politik berbanding tarbiyah. Apa yang berlaku, mereka mula merasakan tarbiyah ini suatu tugas hanya untuk pendakwah dan politik hanya kepada mereka yang berada di dalam salurannya. Mereka lupa bahawa politik juga memerlukan tarbiyah yang benar dan jitu dan semestinya berasaskan akidah yang kuat imannya terhadap Allah s.w.t. Pemikiran mereka mula dicorak berdasarkan pemikiran politik bukan lagi tarbiyah. Kuantiti lebih bermakna pada mereka berbanding kualiti. Teriakkan dan omongan kosong lebih perlu berbanding berkata benar. Mendapat sokongan manusia itu lebih bermakna dari keredhaan Allah. Berkata apa yang manusia hendak dengar dapat meraih sokongan berbanding mengingatkan manusia tentang perkara yang benar. Inilah bezanya tarbiyah dan siasah. Ingatlah sahabat-sahabatku, hari ini gerakan Islam bukan tiada kuantiti, tetapi tiada kualiti.

Sahabat-sahabat seperjuangan.

Manusia memang sering melakukan kesalahan dan kadang-kadang ada juga sifat benarnya. Apa yang utama buat kita semua adalah berpegang kepada tali Allah. Jika ada yang bersalah, tegur dan betukanlah. Jika ada perbezaan pendapat, maka baiki dan berlapang dadalah. Oleh sebab itulah, di dalam perbezaan pendapat, ada adab dan sentiasa meletakkan pergantungan itu kepada Allah s.w.t. Inilah ertinya dakwah dan manusia. Keutamaan yang wajar kita berikan adalah dari sudut tolong-menolong dan bahu-membahu. Perbezaan itu mematangkan dan mendewasakan kita jika paksinya adalah kerana Allah s.w.t. dan kita mencari kebenaran. Tetapi jika ada niat untuk menang atau menjaga kepentingan kemudian disebarkan untuk mendapatkan perhatian, itu adalah dakwah yang membuang masa kerana selepas itu kita terpaksa menghabiskan masa untuk mengatasi perpecahan di dalam gerakan dakwah itu.

Fahamilah dengan benar peranan dan tanggungjawab kita. Celikkan mata, lapangkan hati, bukakan minda kita supaya dapat melihat dan memerhati ciri-ciri penyelewangan ini di dalam wadah yang kita sertai. Keluar bukan bererti selamat, berhenti bukan bermakna terlepas dari amanah. Bahkan akan ditanya akan ia kepada kita tentang tanggungjawab dan peranan, adakah kita rasa sudah ada jawapannya atau sekarang baru kita terfikir tentangnya? Segala yang baik itu datang dari Allah s.w.t. dan yang lemah itu datang dari diri sebagai manusia biasa, haknya Allah s.w.t. berikan kepada kita untuk melakukan pilihan.